“Tiada Lagi Percutian Keluarga & Kenduri Kahwin Sepanjang PKP 2.0” PM Muhyiddin

Kebelakangan ini, aktiviti sosial yang melibatkan perjumpaan ahli keluarga dalam skala kecil begitu galak diperkatakan. Ramai yang balik kampung untuk melepas rindu dan bawa anak-anak bercuti, memandangkan beberapa sekatan dilonggarkan termasuklah mengadakan majlis kahwin.

Sayangnya, di saat kita bergembira itulah, virus COVID-19 mula mengalir dalam komuniti dan menyebabkan penularan lebih tinggi.

Sehingga hari ini (11/1/2021), laporan terkini COVID-19 dari Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan kes setinggi 2,232. Kewajaran untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa Rabu ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat paling bijak diambil.

Dua minggu bermula 13 hingga 26 Januari 2021, PKP 2.0 bakal dilaksanakan terhadap enam negeri yang diletakkan di bawah kategori PKP, dan ini termasuklah pergerakan rentas daerah yang tidak dibenarkan sama sekali.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, enam negeri yang dikategorikan sebagai negeri PKP ialah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Enam negeri yang dikategorikan sebagai PKP Bersyarat (PKPB) pula ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan, manakala dua negeri di bawah kategori PKP Pemulihan (PKPP) ialah Perlis dan Sarawak.

BEKALAN MAKANAN

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberikan jaminan bahawa bekalan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi.

Beliau berkata, pemantauan terhadap barangan keperluan pengguna seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, hand sanitizer dan pelitup muka akan dilakukan setiap hari.

Kerajaan juga telah mengenal pasti lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu (essential economic sector) ketika Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang bermula Rabu ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sektor berkenaan melibatkan bidang

  1. pengilangan dan pembuatan,
  2. pembinaan,
  3. perkhidmatan,
  4. perdagangan dan pengedaran, serta
  5. perladangan dan juga komoditi.

“Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri; kelengkapan alat perlindungan diri (PPE).

“Selain itu sektor peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan; aktiviti perdagangan antarabangsa; memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan turut dibenarkan beroperasi,” katanya ketika berucap menyampaikan Perutusan Khas Perdana Menteri Pelaksanaan PKP sebentar tadi.

Sumber: Astro Awani

IKLAN
Share