“Tidak Memiliki Anak Cara Semula Jadi Untuk Awet Muda” Pempengaruh GITASAV Anggap Anak Itu Beban

Baru-baru ini isu ‘childfree’ atau tidak memiliki anak menjadi perbualan hangat di media sosial gara-gara kenyataan kontroversi dari seorang pempengaruh terkenal Indonesia, Gita Savitri Devi.

Gita mendakwa wanita yang sudah berkahwin dan memilih untuk tidak memiliki anak akan menjadi awet muda secara semula jadi.

Menerusi Live Instagram bersama suaminya Paul Andre Partohap baru-baru ini, Gita mengeluarkan kenyataan itu ketika membalas komen salah seorang pengikut yang memuji wajahnya yang awet muda pada usia 30 tahun.

Kata pengikutnya itu, dia mahu menjadi awet muda seperti Gita.

“Saya yang berumur 24 tahun pun kalah dengan Kak Gita, padahal sudah usia 30 tahun. Awet muda sangat ni,” kata pengikutnya.

Balas Gita: –

“Tidak mempunyai anak adalah cara semula jadi untuk awet muda.

“Anda boleh tidur 8 jam sehari dan tidak akan tertekan mendengar jeritan anak.

“Saat wajah berkedut, kita ada duit untuk melakukan botoks,” ujar Gita seperti dipetik dari detikHealth.

Wanita yang berasal dari Palembang ini tetap dengan pendiriannya untuk tidak memiliki anak. Malah, dia menganggap anak itu sebagai satu beban.

“Iya, buat saya anak itu beban. Buat anda, bukan (tapi) anugerah. Buat saya beban sebab itu saya tidak mahu (ada anak). Dan itu tidak ada salahnya.”

Terdahulu, pada 2021 Gita dan suami membuat keputusan untuk tidak memiliki anak.

Perkara ini mencetuskan kontroversi seolah-olah menyindir wanita berkahwin yang bergelar ibu. Gita turut dianggap angkuh dengan anugerah yang diberikan Ilahi.

Pun begitu, ada juga netizen yang faham dan menyokong kenyataan Gita itu.

Untuk info, Gita sebenarnya sudah lama berada dalam dunia YouTube iaitu sejak 17 Disember 2009. Pada mulanya, Gita hanya berkongsi video dirinya membuat liputan lagu sekadar untuk suka-suka.

Februari 2016, Gita mula membuat video inspirasi yang tercetus daripada rasa bimbangnya ketika melihat video vlog YouTuber lain yang sering menggunakan bahasa menyinggung perasaan.

Gita juga aktif sebagai penyanyi dan penulis buku. Setakat ini, dia berjaya menghasilkan dua buah buku iaitu ‘Range of Stories’ (2017) dan ‘A Cup of Tea’ (2020).

Gita turut mengeluarkan ‘single’ bersama suaminya berjudul If (2017), Miss You (2019), dan Choose You (2021).

Apa pula pendapat anda?

Kredit Foto: Instagram Gita Savitri Devi

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

IKLAN
Share