“Tidak Mudah Hidup Bermadu”- ERMA FATIMA Tinggal Pesan Untuk Datin Seri Umie Aida

“Mungkin itu hanya satu mimpi untuk dia dan saya harus katakan ini, bukan mudah untuk hidup bermadu. Ketiga-tiganya harus kenal erti reda, dan juga betul-betul menerima kehadiran orang ketiga dalam kehidupan masing-masing.

Kalau tak boleh, jangan cakap dan buat. Bercakap memang mudah tapi untuk melaluinya tidak semudah yang dikatakan”, kata Erma Fatima ketika diminta mengulas tentang isu adiknya, Datin seri Umie Aida yang membenarkan suaminya berkahwin lain dan rela bermadu dalam satu entri di laman instagram miliknya.

Fitrah seorang wanita yang tidak suka berkongsi terutama sekali apabila terpaksa menerima kehadiran orang ketiga di dalam kehidupan rumah tangga selama ini dibina bersama suami tersayang. Pasti akan timbulnya rasa sakit hati, cemburu dan marah. Sering juga menjadi persoalan, apa lagi yang tidak sempurna dengan diri si isteri hingga suami sanggup mencari yang lain?

Menurut Erma lagi, kesempurnaan seseorang wanita itu tidak hanya terletak pada wajah atau tubuh tapi meliputi keseluruhan aspek dan dalam kehidupan ini kita harus sentiasa rasa bersyukur dengan apa yang ada.

“Tidak ada yang tidak sempurna dilahirkan oleh Allah SWT ke dunia ini. Kesempurnaan itu bukan hanya pada wajah atau tubuh badan tetapi kesempurnaan itu meliputi banyak sisi dalam hidup kita”, tambah Erma lagi ketika ditemui di Sidang Media Malaysian Fashion & Business Mission To New York 2018 yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Kalau kita seorang manusia yang sering bersyukur, kita akan merasa sempurnanya hidup kita yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Jadi gunakan lah kesempurnaan itu untuk membina hidup kita. Jangan tunggu sahaja dan duduk di rumah kemudian menangisi atau meratapi ketidaksempurnaan itu. Malah, kita harus terus berusaha tampa berhenti untuk menyempurnakan diri kita,” katanya.

Mungkin ada betulnya apa yang diperkatakan oleh pengarah hebat ini. Tidak semua perempuan yang sanggup berkongsi kasih suami dengan orang lain dan hidup bermadu. Apa entah lagi Erma sendiri pernah merasakan pengalaman pahit itu apabila terpaksa bercerai dengan suami, Bade Azmi pada Ogos tahun lalu selepas 26 tahun berkahwin.

Bade dan Erma bernikah pada 30 November 1991 dan tidak dikurniakan cahaya sepanjang tempoh perkahwinan. Mereka mempunyai lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 25, Ahmad Arir, 23, Ahmad Aifin, 21, Citra, 16, dan Nurain, 12.

Bagaimanapun pada awal 2014, Bade telah berkahwin dengan wanita bernama Aida berasal dari Pahang dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Jihad dan Jannah. Bade dan isteri kini sedang menanti kehadiran cahaya mata ketiga mereka.

 

sumber foto: instagram

 

IKLAN
Share