Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Mencemar Duli Di World #QuranHour

Umpama sudah menjadi tradisi tahunan penghayatan AlQuran melalui World #QuranHour berlangsung dengan jayanya tengah hari tadi. Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan berangkat mencemar duli untuk bersama mengimarahkan Ramadan dengan penghayatan al-Quran melalui World #QuranHour.

World #QuranHour yang memasuki tahun keempat penganjurannya telah mengangkat tema ‘Solusi Cabaran Sejagat’. Tahun ini, World #QuranHour mengajak masyarakat untuk memahami empat cabaran dunia akhir zaman dan solusi yang diibrahkan daripada Surah Al-Kahf.

Penghayatan surah ke18 ini memberi persediaan dan solusi dari perspektif fizikal, emosional, intelek dan spiritual dalam konteks Qurani kepada masyarakat dalam menangani dunia era Volatility, Uncertainty, Complexity and Ambiguity (VUCA).

Pentadabbur Surah Al-Kahf disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM, Prof Madya Dr Habeeb Rahman Ibramsa.

Sesi berinteraksi dengan al-Quran telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah. Pembawa Panji-panji Al-Kahf yang memperdengarkan bacaan Surah Al-Kahf ialah;

  1. Penolong Pendaftar Nikah Gombak Utara, Haji Abd Malik Hashim
  2. Ketua Unit Imam & Dakwah Masjid UIAM, CENTRIS, Ustaz Abdul Khair Jalil
  3. Imam Rawatib Masjid Jamek Sultan Abdul Samad KL (Orang Kurang Upaya), Ustaz Muhammad Syukri Ismail
  4. Imam Surau Jumaat An–Naim, Wangsa Maju, Imam Momin Falah Ali Hawas
  5. Pegawai Agama Kem KEMENTAH, Mejar Haji Mohd Nizam bin Dato’ Haji Termizi Al-Hafiz
  6. Penyampai Radio Zayyan, Raqib Majid
  7. Tahfiz Muda, Tahfiz Muda Aqil @ Mohamad Aqil Khair Mohamad Fairos
  8. Pelajar Jabatan Quran & Sunnah, UIAM, Mohamad Najeeb Dimasar Abdul Jalee
  9. Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, ACP Haji Ghazali bin Haji Daud
  10. Jurutera Projek TNB, Mohamad Fahmy Ismail
  11. Selebriti – Ameng Spring @ Wan Aminuddin Wan Ismail
  12. Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ammar Resources Sdn. Bhd. Ustaz Ahmad Tarmizi Abd Rahman.

Lebih 3,000 orang telah menyertai kempen berinteraksi dengan al-Quran, baca, faham dan amal di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini bermula jam 12 tengah hari.

Pada masa yang sama World #QuranHour akan turut diadakan serentak di lebih 2,100 lokasi berdaftar dalam negara dan lebih 79 lokasi di 27 negara luar.

Program ini merupakan kolaborasi Ummah di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dianjurkan bersama oleh UIAM, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Majlis Dakwah Negara, Rumah Ngaji dan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd.

Media turut bergabung atas nama Sinergi Media untuk menjayakan kempen ini termasuk Kumpulan Media Karangkraf, Sinar Harian, Sinar TV), Astro, Kumpulan Media Prima, RTM, Bernama, TV Alhijrah, IKIMfm, Kumpulan Utusan, Kumpulan NSTP dan blogger, Denaihati Network.

Mat Dan sedang membaca ikrar
IKLAN
Share