Semua selebriti juga telah bersuara di media sosial untuk rakyat Malaysia duduk rumah, kalau ada yang degil lagi tindakan wajar patut diambil. Ini bagi memastikan wabak COVID-19 tidak terus tersebar dan dapat dikawal dengan baik.
Perdana Menteri Malaysia telah bercakap dengan nada lembut, bersahaja dan terus tepat kepada seluruh rakyat tentang perintah kawalan pergerakan ini. Kalau tidak faham juga maksud yang disampaikan, tidak tahulah bagaimana cara lagi untuk dikatakan.
Azrinaz Mazhar Hakim
Sempat bertanya kepada Azrinaz Mazhar Hakim tentang perkara ini, “Kepada rakyat Malaysia, sila beri kerjasama jika kita ingin kembali hidup secara normal. Banyak membaca agar faham tujuan sebenar kerajaan adakan perintah larangan keluar dan duduk di rumah. Ketepikan hal-hal sosial dan yang lain-lain.
Mungkin inilah masa kita untuk buat pelbagai kerja rumah seperti spring cleaning dan baju-baju yang banyak boleh disedekahkan. Buat gardening yang selama ini kita tidak sempat lakukan. Cuci baju, memasak dengan mencuba resipi baru, menulis atau membaca dan mungkin jika berkesmaptan, boleh cat rumah. Paling penting, kebersihan perlu dijaga. Jangan kompromi dengan kebersihan,” jelasnya tegas.
Ads
Bagi Azrinaz sendiri, antara aktiviti yang dilakukan di rumah sekarang, “Saya dan keluarga duduk di rumah dengan meningkatkan lagi bacaan Al-Quran dan terus berdoa agar pandemik ini luput serta hilang di muka bumi ini. Selain itu, saya dan suami mengadakan pelbagai aktiviti indoor menguji motor system bayi seperti bermain bubbles (buih sabun), swimming dan menyusun color block toys. Di kesempatan ini juga kita dapat meluangkan lebih banyak masa bersama ibu bapa dan beriadah di rumah,” bicara Azrinaz.
Datin Seri Shahida turut memberi kenyataan tegas bila ditanya tentang keadaan perintah kawalan pergerakan ini, “Kepada semua rakyat Malaysia elakkan keluar rumah, jangan kumpul beramai-ramai. Kalau perlu keluar untuk beli barang penting, cukuplah seorang sahaja yang pergi. Jangan terlalu panik dan risau. Paling mustahak jaga kebersihan dan jangan abaikan untuk cuci tangan selalu,” pesanan ikhlas dari Datin Seri Shahida.
Aktiviti Datin Seri dan keluarga sepanjang berada di bawah perintah kawalan pergerakan ini. ”Untuk 14 hari berada di rumah ini tidak ada perancangan besar yang dibuat. Cuma dalam tempoh waktu ini saya manfaatkan untuk menghabiskan masa bersama keluarga.
Ads
Kalau hari-hari lain kita sibuk bekerja, inilah masa untuk makan dan beribadat bersama-sama. Kita perbanyakkan zikir dan berdoa agar bumi kita kembali sihat dan dihapuskan terus virus COVID-19 ini. Saya juga telah mengarah salah seorang anak saya untuk setiap satu jam dia perlu bagi semua pakai hand sanitizer. Saya akan ingatkan dia setiap hari,“ jelas Datin Seri Shahida. Kiffy Razak
Petah berbicara, gelagat spontan dan gaya bersahaja Asni Abu Mansor ketika menyampaikan ceramah mahupun mengacarakan sesebuah program di kaca televisyen tidak pernah mengecewakan.
Senyuman manis yang sentiasa terukir di bibir saat berdakwah menerbitkan rasa tenang kepada setiap mata yang memandang. Di sebalik kelembutan, terserlah sisi ketegasan insan istimewa ini yang lebih dikenali sebagai Ustazah Asni.
Beliau yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan sudah berkecimpung dalam dunia dakwah dan pembangunan kemahiran serta potensi diri masyarakat sejak lebih 20 tahun lalu. Bukan hanya bergelar penceramah motivasi, Ustazah Asni juga merupakan seorang Al-Hafizah.
“Saya dibesarkan sebagai anak peneroka felda di Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan. Biasalah anak felda ini dia lasak orangnya. Masa kecil saya selalu ikut mak saya pergi ke kuliah di kampung. Kesan daripada selalu ikut mak ke kuliah itu jadi saya jatuh minat kepada bidang dakwah.
Dari situlah saya mahu bersekolah agama. Bila belajar Al-Quran, saya mahu mendalami lebih banyak lagi. Asalnya saya belajar dengan mak dan kemudian minta untuk berguru dengan ustazah-ustazah lain,” bicaranya.
Menelusuri latar belakang figura terkenal berusia 49 tahun ini, beliau mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk menghafaz 30 juzuk Al-Quran melalui pengajian peringkat Diploma Tahfiz Al-Quran di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Walau pada awalnya hasrat Ustazah Asni untuk beralih arah dalam jurusan tahfiz Al-Quran dipersoal ahli keluarga memandangkan beliau merupakan pelajar cemerlang. Namun penulis buku Kuasa Cinta Al-Quran ini nekad meneruskan impian berkenaan. Hatinya terdetik untuk mendalami kitab suci itu selepas membaca hadis sebuah buku ketika sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Waktu itu saya tengah berehat sekejap dan baca buku hadis bertajuk Fadilat Al-Quran. Dalam hadis itu memberitahu, “Barangsiapa yang menghafaz Al-Quran dan mengamalkannya, nescaya Allah akan memakaikan ibu bapanya di akhirat kelak dengan mahkota yang begitu indah dan bersinar cahayanya melebihi cahaya matahari yang menyinari dunia.”
Ia terus menusuk ke dalam kalbu dan dalam hati saya berkata apa lagi cara untuk membalas jasa mak bapa melainkan dengan cara ini. Saya bertegas cakap pada diri sendiri, apa pun keputusan saya, saya mahu hafaz Al-Quran nanti. Alhamdulillah saya dapat teruskan dengan matlamat tersebut. Bagi saya niat yang baik akan memberi kesan yang baik.”
BAKAT
Selain aktif menganjurkan ceramah dan program keagamaan, Ustazah Asni juga mempunyai bakat seni terpendam dan gemar melakukan aktiviti lasak seperti sukan selam skuba dan menunggang kuda. Walau berstatus agamawan tetapi beliau enggan mengehadkan kemahiran dan sering mencuba perkara baharu untuk menguji potensi diri.
“Islam tak kaku dan tidak membataskan kita menjadi orang yang kaku. Islam ini merupakan satu agama yang sangat mudah. Kita boleh letak diri kita walau di mana saja terutamanya dalam seni. Saya ialah seorang yang sangat berjiwa seni.
Saya minat melukis, suka muzik, saya main piano, percussion, seruling, flute dan sebagainya. Walau saya tak ada asas dalam muzik mahupun bidang seni lukis. Saya rasa seni ini sangat membantu dalam urusan dakwah saya. Macam lukisan, saya boleh luahkan perasaan melaluinya.
Pada pandangan sayalah, kalau seni ini lebih mudah menyentuh orang seni. Kadang-kadang satu gambaran atau visual yang kita buat tak perlu berbicara seribu kata. Cukup dengan lukisan. Sekarang ini saya banyak melukis mengenai Palestin sebab ia begitu dekat di hati.
Malah, saya banyak kali ke sana dan belajar banyak benda sepanjang di sana,” dedahnya yang menjadikan lukisan sebagai alat bantu mengajar bagi memberi gambaran kepada penonton ketika beliau menyampaikan ceramah.
Karya indah Ustazah Asni Abu Mansor kebanyakannya berkisarkan mengenai keagungan terhadap Allah SWT dan islam semakin mendapat perhatian banyak pihak. Antara yang membeli lukisan beliau termasuklah golongan kenamaan dan rakan-rakan artis seperti Dato’ Alha Alfa, Datin Paduka Umie Aida, Uqasha Senrose, Nora Danish dan Mimi Lana.
Bukan itu sahaja Ustazah Asni juga merancang untuk membuka galeri dan menerima jemputan seni di luar negara.
CABARAN
Lumrah bergelar individu berpengaruh pasti tidak terlepas daripada menjadi perhatian khalayak. Begitu juga dengan kehidupan Ustazah Asni yang turut berdepan kecaman. Enggan menjadikan ia halangan untuk saling memesan dan menyebar agama Allah, beliau kekal tenang berfikiran positif dan bermuhasabah diri.
“Kecaman itu normal. Nabi Muhammad SAW bukan hanya disanjung tapi juga dikecam oleh ahli keluarga sendiri. Baginda berhijrah ke Madinah kerana dakwah tidak diterima. Sukar untuk buat orang suka dengan kita. Jadi, bersedialah. Bila kita buat dakwah, kita hendak cari reda Allah.
Berdakwah memang perkara mulia tapi jangan rasa kita mulia. Dakwah yang kita lakukan kini tak semua orang boleh terima. Bismillah dan teruskan berdakwah. Ya Allah, saya berdakwah bukan untuk saya betulkan orang. Saya hendak betulkan diri saya sendiri. Pada saya, jalan dakwah ini sebenarnya adalah proses kita memperbaiki diri.
Kalau saya hendak perbaiki diri dan ‘locked’ diri saya dengan beramal di rumah saja ertinya proses itu tidak sampai. Kerana proses membaiki diri adalah kita kena jadi baik, beramal baik dan ajak orang berbuat baik. Jangan perasan kita baik,” nasihatnya.
Sepanjang pembabitan dalam industri ini Ustazah Asni turut berdepan dengan bermacam-macam cabaran yang menguji ketahanan mental dan fizikalnya. Tidak ketinggalan, terpaksa berjauhan dengan keluarga dan anak-anak.
“Sebelum keluar pergi menyampaikan ceramah atau dakwah, saya selalu berdoa kepada Allah. ‘Aku tinggalkan anak-anakku di bawah jagaan dan pengawasanMu, Ya Allah.’
Syukur alhamdulillah sekarang mereka bukan saja dah menginjak usia remaja. Bahkan kedua-dua anak perempuan saya sudah menjadi ibu. Saya suka anak-anak didik anak mereka dengan buat kelas Al-Quran di rumah,” titip Ustazah Asni Abu Mansor yang merupakan ibu empat orang anak dan nenek kepada tujuh orang cucu.
Bersandarkan populariti beliau sebagai pendakwah bebas, Ustazah Asni menjalin kolaborasi bersama agensi pelancongan ‘World Travel Ambassador’ (WTA) khusus bagi trip perjalanan ke bumi Anbia seperti Jordan dan Palestin. Katanya, destinasi terkenal dalam kalangan umat Islam iaitu Al-Aqsa di Palestin meninggalkan banyak momen indah kepada beliau terutamanya pada tahun 2014.
“Pengalaman saya ketika di sana ialah apabila saya bersama tiga orang anak dan seorang anak murid mendapat ijazah Al-Quran dalam satu bilik di mana bilik itu ialah bilik kuliah Imam Al-Aqsa bernama Imam Sheikh Yusuf Abu Snieneh.
Saya diberitahu dalam bilik kuliah yang sama juga ada makam Nabi Sulaiman. Selain itu, Allah juga izin dan rezekikan untuk anak saya melaungkan azan di dalam masjid pada Hari Raya pertama tahun 2014. Ia adalah jemputan daripada Imam 1 Masjid Al-Aqsa,” imbas Ustazah Asni.
Sebelum mengakhiri perbualan, Ustazah Asni sempat menitipkan kata-kata hikmah ini agar kaum wanita tabah dan kuat melalui liku kehidupan.
“Hati milik Allah. Menangislah untuk Allah dan keranaAllah. Tangisan ini ialah keinsanan yang Allah beri dari lubuk hati paling dalam. Menangis tak salah tapi menangisi hidup itu salah. Banyak menangis juga akan buat kita jadi lemah.
Kita tak boleh menentukan takdir sebab itu takdir bukan untuk difikir, takdir untuk kita zikir. Kalau orang asyik fikir takdir, ia akan merosakkan jiwa. Kalau hati rasa sedih, gantikan dengan tasbih. Jangan layan sedih itu.
Kalau kita rasa risau, jangan dilayan risau itu sampai tak boleh tidur. Kalau kita risau, hati kita galau gantikan dengan doa banyak-banyak. Serahkan kepada Allah SWT. Percayalah Allah takkan buat sesuatu yang buruk untuk kita. Walau kita rasa benda itu tidak menarik untuk kita, tapi sebenarnya Allah tengah sediakan benda yang menarik untuk kita. Tugas kita adalah sabar dan bersangka baik.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alahai, comelnya tengok kedua-dua anak perempuan Que Haidar dan Linda Jasmine. Macam Barbie Doll! Iyalah, macam mana tak comel… mak ayah pun dah memang cantik dan handsome. Kalau diamati betul-betul, anak perempuan sulung mereka, Tengku Ratu Haidar mewarisi kecantikan ibunda tersayang. Sementara si comel Tengku Cleopatra Haidar pula lebih iras wajah bapa.
Tengku Ratu atau mesra disapa sebagai Ratu kini berusia 11 tahun sementara Tengku Cleopatra atau nama timangannya Cleo bakal mencecah usia 9 tahun pada 26 April nanti. Semakin meningkat dewasa, kedua-dua beradik perempuan ini makin terserlah dengan bakat masing-masing.
Memandangkan ibu mereka, Linda Jasmine merupakan bekas guru tari Akademi Fantasia dan bapa pula ialah pelakon berbakat besar, darah seni yang mengalir dalam diri ibu bapa turut diwarisi Ratu dan Cleo.
Difahamkan Ratu memasang cita-cita untuk menjadi pelakon. Sementara adiknya pula memiliki bakat dalam seni lukisan sama seperti Que Haidar dan ingin mendalami bidang photographer! Sebagai ibu bapa, baik Que mahupun Linda… kedua-dua mereka sentiasa menyokong minat anak-anak dan tidak pernah menghalang minat mereka.
Selain dikurniakan wajah comel dan cantik, puteri kesayangan Que dan Linda ini juga mempunyai bakat dalam bidang peragaan. Sejak kecil lagi mereka sudah didedahkan dengan bidang tersebut. Wajah Ratu dan Cleo sebelum ini pernah menghiasi kempen lebaran bagi koleksi kanak-kanak jenama terkenal, Jovian.
Bak kata pepatah, ‘Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi’! Menerusi perkongsian Que dan Linda di laman media sosial masing-masing, jelas menunjukkan Ratu cukup meminati tarian dan aktif mengikuti kelas tarian balet. Terkesima tengok aura dan lenggok tarian anak gadis pelakon Rock Oo ini!
Melihat bakat Ratu tersebut membuatkan peminat Linda terkenang kembali zaman kegemilangan program Akademi Fantasia. Dari situlah nama Linda Jasmine melonjak naik dalam persada seni kerana kelincahannya selaku choreographer untuk para peserta program popular berkenaan. Dengan raut wajah cantik, ramping, bertenaga dan suara yang lantang, ramai anak muda menjadikan Linda sebagai idola dalam seni tarian.
Jadi, tak hairanlah kedua-dua anak perempuannya pun secara tak langsung meminati dan mewarisi bakat ibunda mereka. Dalam erti kata lain, darah seni sudah sebati dan mengalir dalam diri Ratu dan Cleo. Selain dikurniakan dua anak perempuan, Linda juga mempunyai seorang anak lelaki yang juga anak tiri Que iaitu Qalif Khan yang berusia 21 tahun.
Que Haidar atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar kini aktif membabitkan diri sebagai pelukis. Kalau tengok karya lukisan Que memang sarat dengan jalan cerita tersendiri. Malah, karya Que juga dibuka untuk jualan.
Tanggal 15 Februari lalu merupakan ulang tahun perkahwinan Que dan Linda yang ke-12. Walau terpaksa hanya sambut di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun tetap meriah! Macam-macam kek yang mereka terima dan lebih istimewa, Que sendiri menghias meja makan untuk keluarga dan mencipta suasana romantik di rumah dengan taburan kelopak bunga ros buat isteri tercinta.
Pelakon kacak ini mendirikan rumah tangga bersama Linda Jasmine Hashim pada 15 Februari 2009. Waktu itu Que berumur 30 tahun sementara Linda Jasmine pula berusia 37 tahun. Majlis persandingan mereka diadakan dalam suasana indah berkonsepkan ‘Bali Dalam Taman’ yang turut dihadiri para peserta Akademi Fantasia dan rakan artis.
Kredit foto: Instagram Que Haidar & Linda Jasmine
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kemenangan qariah Malaysia, Nor Farhatul Fairuzah Panut dalam pertandingan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) pada Sabtu lalu nyata satu kejayaan membanggakan bagi seluruh rakyat Malaysia. Pencapaian luar biasa yang diraih Farha itu bukan saja mencipta sejarah selaku peserta termuda yang menyertai majlis berkenaan… bahkan dia juga merupakan qariah termuda yang memenangi pertandingan berkelas antarabangsa tersebut pada usia 19 tahun.
Memungut kutipan markah tertinggi 87.05 peratus dalam MTHQA, Farha tidak sekadar berjaya mengatasi markah 86.67 peratus ketika menjuarai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan, Mac lalu. Sebaliknya, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini juga menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah masing-masing 84.88 peratus dan 80.46 peratus.
Berpeluang menemu bual Farha sebelum pertandingan berlangsung, anak bongsu ini mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Ada saja masa terluang, dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya. “Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.
Mendengar pengakuan anak tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin yang juga ibu kepada Farha lantas membongkar rahsia tentang kelakuan anak kesayangannya. “Dekat sekolah dia selalu telefon saya dan beritahu nak balik rumah sebab nak tarannum. Bila saya minta dia tarannum je dekat sekolah, dia tak mahu. Katanya rasa macam tak puas… tak lepas. Memang dia nak balik rumah juga.
Jadi, dah sampai je rumah dia akan tarannum puas-puas. Sambil buat kerja pun dia akan tarannum dan hafal surah dengan lenggok lagu yang dia suka. Sampai sekarang, bila semua adik-beradik balik rumah… mereka akan berkumpul dan mengaji bersama-sama.”
MashaAllah, bagusnya didikan Hajah Jaliah dan Allahyarham Haji Panut Haji Markum! Kelima-lima anak mereka bagai sudah sebati dengan Al-Quran dan telah diasuh mencintai kitab suci sejak kecil. Hasilnya, kesemua adik-beradik Farha aktif menyertai pelbagai pertandingan tilawah Al-Quran dan salah seorang kakaknya, Nor Faizah Panut merupakan naib juara Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan yang lalu.
Kongsi Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah.
Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.
Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya.
Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.”
Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70, 000, piala iringan dan wang tunai RM40, 000. Turut mencipta rekod cemerlang ialah Qari Malaysia iaitu Abdul Khair Jalil yang menjadi Johan Qari dalam pertandingan sama. Moga kejayaan mereka berdua dapat menggalakkan lebih ramai generasi muda mendalami Al-Quran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap orang pasti ada koleksi barang peribadi yang menyimpan banyak kenangan dan nilai sentimental. Seperti kebanyakan orang, Sofizah Mousin juga tidak terkecuali menjaga barangan ‘istimewa’ miliknya dengan sebaik mungkin. Antara item kesayangan Johan Qariah ini ialah Tafsir Al-Quran yang dibelinya sendiri sejak dahulu.