Petah berbicara, gelagat spontan dan gaya bersahaja Asni Abu Mansor ketika menyampaikan ceramah mahupun mengacarakan sesebuah program di kaca televisyen tidak pernah mengecewakan.

Ads

Senyuman manis yang sentiasa terukir di bibir saat berdakwah menerbitkan rasa tenang kepada setiap mata yang memandang. Di sebalik kelembutan, terserlah sisi ketegasan insan istimewa ini yang lebih dikenali sebagai Ustazah Asni.

Beliau yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan sudah berkecimpung dalam dunia dakwah dan pembangunan kemahiran serta potensi diri masyarakat sejak lebih 20 tahun lalu. Bukan hanya bergelar penceramah motivasi, Ustazah Asni juga merupakan seorang Al-Hafizah.

MINAT DAKWAH ASNI ABU MANSOR

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Asni Mansor (@asnimansor)

Ibu 4 Anak & Nenek 7 Cucu, Ustazah Asni Abu Mansor Pilih Jalan Dakwah Demi Raih Reda Allah!

Ibu 4 Anak & Nenek 7 Cucu, Ustazah Asni Abu Mansor Pilih Jalan Dakwah Demi Raih Reda Allah!

“Saya dibesarkan sebagai anak peneroka felda di Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan. Biasalah anak felda ini dia lasak orangnya. Masa kecil saya selalu ikut mak saya pergi ke kuliah di kampung. Kesan daripada selalu ikut mak ke kuliah itu jadi saya jatuh minat kepada bidang dakwah.

Dari situlah saya mahu bersekolah agama. Bila belajar Al-Quran, saya mahu mendalami lebih banyak lagi. Asalnya saya belajar dengan mak dan kemudian minta untuk berguru dengan ustazah-ustazah lain,” bicaranya.

Menelusuri latar belakang figura terkenal berusia 49 tahun ini, beliau mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk menghafaz 30 juzuk Al-Quran melalui pengajian peringkat Diploma Tahfiz Al-Quran di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Walau pada awalnya hasrat Ustazah Asni untuk beralih arah dalam jurusan tahfiz Al-Quran dipersoal ahli keluarga memandangkan beliau merupakan pelajar cemerlang. Namun penulis buku Kuasa Cinta Al-Quran ini nekad meneruskan impian berkenaan. Hatinya terdetik untuk mendalami kitab suci itu selepas membaca hadis sebuah buku ketika sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Artikel https://www.nona.my/berkilauan-bak-berlian-tokoh-wanita-berjaya-diraikan-di-nona-superwoman-award-2024/

“Waktu itu saya tengah berehat sekejap dan baca buku hadis bertajuk Fadilat Al-Quran. Dalam hadis itu memberitahu, “Barangsiapa yang menghafaz Al-Quran dan mengamalkannya, nescaya Allah akan memakaikan ibu bapanya di akhirat kelak dengan mahkota yang begitu indah dan bersinar cahayanya melebihi cahaya matahari yang menyinari dunia.”

Ia terus menusuk ke dalam kalbu dan dalam hati saya berkata apa lagi cara untuk membalas jasa mak bapa melainkan dengan cara ini. Saya bertegas cakap pada diri sendiri, apa pun keputusan saya, saya mahu hafaz Al-Quran nanti. Alhamdulillah saya dapat teruskan dengan matlamat tersebut. Bagi saya niat yang baik akan memberi kesan yang baik.”

BAKAT

Selain aktif menganjurkan ceramah dan program keagamaan, Ustazah Asni juga mempunyai bakat seni terpendam dan gemar melakukan aktiviti lasak seperti sukan selam skuba dan menunggang kuda. Walau berstatus agamawan tetapi beliau enggan mengehadkan kemahiran dan sering mencuba perkara baharu untuk menguji potensi diri.

 

“Islam tak kaku dan tidak membataskan kita menjadi orang yang kaku. Islam ini merupakan satu agama yang sangat mudah. Kita boleh letak diri kita walau di mana saja terutamanya dalam seni. Saya ialah seorang yang sangat berjiwa seni.

Saya minat melukis, suka muzik, saya main piano, percussion, seruling, flute dan sebagainya. Walau saya tak ada asas dalam muzik mahupun bidang seni lukis. Saya rasa seni ini sangat membantu dalam urusan dakwah saya. Macam lukisan, saya boleh luahkan perasaan melaluinya.

Pada pandangan sayalah, kalau seni ini lebih mudah menyentuh orang seni. Kadang-kadang satu gambaran atau visual yang kita buat tak perlu berbicara seribu kata. Cukup dengan lukisan. Sekarang ini saya banyak melukis mengenai Palestin sebab ia begitu dekat di hati.

Malah, saya banyak kali ke sana dan belajar banyak benda sepanjang di sana,” dedahnya yang menjadikan lukisan sebagai alat bantu mengajar bagi memberi gambaran kepada penonton ketika beliau menyampaikan ceramah.

Karya indah Ustazah Asni Abu Mansor kebanyakannya berkisarkan mengenai keagungan terhadap Allah SWT dan islam semakin mendapat perhatian banyak pihak. Antara yang membeli lukisan beliau termasuklah golongan kenamaan dan rakan-rakan artis seperti Dato’ Alha Alfa, Datin Paduka Umie Aida, Uqasha Senrose, Nora Danish dan Mimi Lana.

Bukan itu sahaja Ustazah Asni juga merancang untuk membuka galeri dan menerima jemputan seni di luar negara.

Ads

CABARAN

Lumrah bergelar individu berpengaruh pasti tidak terlepas daripada menjadi perhatian khalayak. Begitu juga dengan kehidupan Ustazah Asni yang turut berdepan kecaman. Enggan menjadikan ia halangan untuk saling memesan dan menyebar agama Allah, beliau kekal tenang berfikiran positif dan bermuhasabah diri.

Ibu 4 Anak & Nenek 7 Cucu, Ustazah Asni Abu Mansor Pilih Jalan Dakwah Demi Raih Reda Allah!

Ibu 4 Anak & Nenek 7 Cucu, Ustazah Asni Abu Mansor Pilih Jalan Dakwah Demi Raih Reda Allah!

“Kecaman itu normal. Nabi Muhammad SAW bukan hanya disanjung tapi juga dikecam oleh ahli keluarga sendiri. Baginda berhijrah ke Madinah kerana dakwah tidak diterima. Sukar untuk buat orang suka dengan kita. Jadi, bersedialah. Bila kita buat dakwah, kita hendak cari reda Allah.

Berdakwah memang perkara mulia tapi jangan rasa kita mulia. Dakwah yang kita lakukan kini tak semua orang boleh terima. Bismillah dan teruskan berdakwah. Ya Allah, saya berdakwah bukan untuk saya betulkan orang. Saya hendak betulkan diri saya sendiri. Pada saya, jalan dakwah ini sebenarnya adalah proses kita memperbaiki diri.

Kalau saya hendak perbaiki diri dan ‘locked’ diri saya dengan beramal di rumah saja ertinya proses itu tidak sampai. Kerana proses membaiki diri adalah kita kena jadi baik, beramal baik dan ajak orang berbuat baik. Jangan perasan kita baik,” nasihatnya.

Sepanjang pembabitan dalam industri ini Ustazah Asni turut berdepan dengan bermacam-macam cabaran yang menguji ketahanan mental dan fizikalnya. Tidak ketinggalan, terpaksa berjauhan dengan keluarga dan anak-anak.

Ads

“Sebelum keluar pergi menyampaikan ceramah atau dakwah, saya selalu berdoa kepada Allah. ‘Aku tinggalkan anak-anakku di bawah jagaan dan pengawasanMu, Ya Allah.’

Syukur alhamdulillah sekarang mereka bukan saja dah menginjak usia remaja. Bahkan kedua-dua anak perempuan saya sudah menjadi ibu. Saya suka anak-anak didik anak mereka dengan buat kelas Al-Quran di rumah,” titip Ustazah Asni Abu Mansor yang merupakan ibu empat orang anak dan nenek kepada tujuh orang cucu.

Artikel https://www.nona.my/ustazah-asni-mansor-ibu-terbahagia-saksi-anak-laung-azan-di-masjid-al-aqsa-terima-ijazah-di-bumi-anbia/

MOTIVASI ASNI ABU MANSOR

Bersandarkan populariti beliau sebagai pendakwah bebas, Ustazah Asni menjalin kolaborasi bersama agensi pelancongan ‘World Travel Ambassador’ (WTA) khusus bagi trip perjalanan ke bumi Anbia seperti Jordan dan Palestin. Katanya, destinasi terkenal dalam kalangan umat Islam iaitu Al-Aqsa di Palestin meninggalkan banyak momen indah kepada beliau terutamanya pada tahun 2014.

Ibu 4 Anak & Nenek 7 Cucu, Ustazah Asni Abu Mansor Pilih Jalan Dakwah Demi Raih Reda Allah! Ibu 4 Anak & Nenek 7 Cucu, Ustazah Asni Abu Mansor Pilih Jalan Dakwah Demi Raih Reda Allah!

“Pengalaman saya ketika di sana ialah apabila saya bersama tiga orang anak dan seorang anak murid mendapat ijazah Al-Quran dalam satu bilik di mana bilik itu ialah bilik kuliah Imam Al-Aqsa bernama Imam Sheikh Yusuf Abu Snieneh.

Saya diberitahu dalam bilik kuliah yang sama juga ada makam Nabi Sulaiman. Selain itu, Allah juga izin dan rezekikan untuk anak saya melaungkan azan di dalam masjid pada Hari Raya pertama tahun 2014. Ia adalah jemputan daripada Imam 1 Masjid Al-Aqsa,” imbas Ustazah Asni.

Sebelum mengakhiri perbualan, Ustazah Asni sempat menitipkan kata-kata hikmah ini agar kaum wanita tabah dan kuat melalui liku kehidupan.

“Hati milik Allah. Menangislah untuk Allah dan keranaAllah. Tangisan ini ialah keinsanan yang Allah beri dari lubuk hati paling dalam. Menangis tak salah tapi menangisi hidup itu salah. Banyak menangis juga akan buat kita jadi lemah.

Kita tak boleh menentukan takdir sebab itu takdir bukan untuk difikir, takdir untuk kita zikir. Kalau orang asyik fikir takdir, ia akan merosakkan jiwa. Kalau hati rasa sedih, gantikan dengan tasbih. Jangan layan sedih itu.

Kalau kita rasa risau, jangan dilayan risau itu sampai tak boleh tidur. Kalau kita risau, hati kita galau gantikan dengan doa banyak-banyak. Serahkan kepada Allah SWT. Percayalah Allah takkan buat sesuatu yang buruk untuk kita. Walau kita rasa benda itu tidak menarik untuk kita, tapi sebenarnya Allah tengah sediakan benda yang menarik untuk kita. Tugas kita adalah sabar dan bersangka baik.”

 

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI