Toh Puan Ragad Kurdi Taib Meriahkan Aidilfitiri & Hari Gawai Dengan Sumbangan Peribadi

Lagi dua hari umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana normal baharu. Namun, di Sarawak terdapat sebuah lagi perayaan yang bakal di sambut seminggu selepas hari raya iaitu Hari Gawai.

Bersempena dengan itu, isteri Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Ragad Kurdi Taib telah menyampaikan sumbangan peribadi beliau di sekitar Kuching, Padawan dan Samarahan.

Sumbangan pertama disampaikan oleh pegawai kanan Astana Negeri Sarawak kepada pengurus Kompleks Kebajikan Laila Taib (PERYATIM), Ustaz Mohd Salleh Hamdin untuk diagihkan kepada 125 penghuni kompleks tersebut.

 

Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Ragad Kurdi Taib juga turut menyumbang sebuah kek kepada penghuni kompleks tersebut untuk dijadikan juadah berbuka.

Selain itu, Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Ragad Kurdi Taib turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada 30 keluarga asnaf. Sumbangan barangan keperluan tersebut diagihkan oleh kakitangan Astana Negeri Sarawak kepada asnaf-asnaf sekitar Kuching, Padawan dan Samarahan.

Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Ragad Kurdi Taib juga berpesan agar rakyat Sarawak agar terus berdisiplin dan mematuhi saranan dan larangan Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang perayaan yang akan tiba kerana negera kita masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau juga mendoakan semoga wabak ini dapat dikawal dan dihapuskan sepenuhnya dalam masa terdekat.

IKLAN
Share