Tragedi 6 Bomba Lemas; “Tiada Lagi Permintaan Arwah Untuk Menu Berbuka Puasa,” Isteri Anggota Bomba

Tragedi 6 anggota bomba lemas ketika operasi menyelamat remaja Mohd Ilham Fahmi Mohd Azzam, 17, di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, masih segar dalam ingatan semua.

Salah seorang yang terkorban adalah Adnan Othman, 34 tahun. Bertanya khabar tentang isteri yang ditinggalkan oleh anggota bomba ini begitu menyentuh hati.

Shahmiza Salleh, walaupun sedia maklum tentang tugas suami sebagai Pegawai Bomba yang sentiasa menempuh bahaya tetapi tidak menyangka sepantas ini suaminya pergi meninggalkan buat selama-lamanya ke negara abadi.

Kehadiran Ramadan tanpa suami di sisi buat pertama kali bukan seperti selalu menyuntik dimensi yang asing buat wanita yang lebih mesra disapa Miza ini. Meskipun cuba membina kekuatan dan menyembunyi segala kepedihan sesekali roboh juga benteng yang cuba dibinanya.

Saat bertanyakan tentang persiapan ibu kepada dua orang anak perempuan ini menyambut Ramadan, Miza terdiam, memejam mata sambil menghela nafas yang panjang sebelum menjawab persoalan yang diajukan kepadanya. “Cakap pasal bulan puasa pun sudah mengundang rasa sayu dan sebak sebenarnya.

Aktiviti yang paling dirindui ketika bulan puasa sudah pasti ketika berbuka puasa bersama-sama dan makan sahur bersama-sama. Sebab biasanya setiap kali kedatangan Ramadan kami berdua akan merancang bagaimana untuk menyambut puasa bersama-sama. Tidaklah merancang begitu dan begini tetapi sekadar rancangan untuk menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur.

Seperti selalu, saya sering mendahulukan selera arwah. Seperti orang lain tika hari pertama berbuka saya masak sedikit istimewa. Tahun lepas, puasa pertama arwah minta saya masakkan Butter Prawn. Walaupun saya tidak begitu mahir masak resipi tersebut tetapi bila tengok cara-cara memasaknya, saya cuba sebaik mungkin. Nasib baik menjadi,” terlerai tawa dari mulut Miza bagai menyembunyikan gelora dijiwanya.

Walaupun jelas kelihatan rindu masih bertamu di hati wanita yang bertugas sebagai Pengajar di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini namun cuba mencipta kekuatan. “Arwah suami lebih gemar berbuka dan bersahur di rumah berbanding di luar.

Namun, berpuasa tahun lepas memang kami lebih kerap berbuka puasa di rumah. Kalau nak bandingkan berbuka di luar boleh dikira dengan jari. Pergi bazar Ramadan pun tak, kecuali nak beli air lemon asam boi yang menjadi kegemarannya.

Arwan memang suka makan pedas-pedas seperti sambal namun sejak kehilangannya sampai sekarang saya belum lagi ada keupayaan untuk masak sambal. Makanan kegemaran suami secara tak langsung jadi kegemaran anak-anak juga.

Baju: Scaffeya

Ada juga anak bertanya sudah lama ibunya tak masak makanan kegemaran mereka, saya jawab pada mereka “Ibu belum beli barang lagi,”. Saya belum ada kekuatan nak masak makanan kegemaran arwah.

Mungkin ketika Syawal nanti saya akan cuba membina kekuatan dan memberanikan diri masak makanan kegemaran mereka,” tutur Miza sambil cuba menyeka air mata yang mula bertakung.

Apabila jasad sudah terpisah hanya memori sahaja yang ditinggalkan untuk dikenang oleh insan tersayang yang terpaksa meneruskan hidup. Miza juga terpaksa meneruskan hidup sambil mengingati memori bersama suami tersayang.

“Memori bersama arwah masih basah lagi di ingatan ini. Bila arwah suami tak ada rasa hidup ini macam kosong saja. Sebab tak ada lagi orang yang kacau kita di rumah, arwah memang suka menyakat.

Lepas tragedi yang meragut nyawa suami, saya merawat hati dengan cara yang tersendiri. Saya dah jarang masak kerana perasaan itu berlainan sangat. Dahulu arwah banyak tolong saya kat dapur tapi kini dah tak ada.

Bagaimana saya kuatkan semangat? Nak kata saya kuat sangat tak juga, bila sendirian pasti akan teringat dan mula menjadi lemah. Mencipta kekuatan itu saya sendiri tak tahu nak ungkap macam mana. Saya hanya banyak berdoa kepada Allah SWT dan mengadu padaNya.

Masa awal-awal kehilangan arwah dahulu, saya banyak meratap dan menangis. Tapi anak saya yang sulung tu tiba-tiba bertanya “Kenapa ibu menangis, ibu rindu ayah ya? Mia pun nak ayah,” dan akhirnya dia pun akan menangis sama.

Bila dua tiga kali jadi macam tu, saya bercakap dengan diri sendiri, aku tak boleh jadi macam ini. Kalau terus hidup begini bagaimana dengan perasaan anak. Kalau dia terus tengok saya macam itu bagaimana mereka mahu membesar dengan postif dan sihat.

Kalau asyik menangis sahaja, kesihatan juga akan merudum. Perlahan-lahan saya cuba bangkit dan bina semangat. Kalau saya sendiri tak kuat bagaimana mereka nak menghadapi hari-hari mendatang. Saya mesti kuat. Apa pun selepas itu saya hanya memikirkan perasaan anak dan melebihkan mereka.

IKLAN
Share