Tuah Anak Muda Putrajaya, Mierul Aiman Ditabalkan Juara Edisi ke-11 Hero Remaja 2021

Pencarian Hero Remaja melabuhkan tirainya pada 6 November 2021 dengan menobatkan Muhammad Amirul Aiman bin Norazman atau lebih dikenali sebagai Mierul Aiman, 23 sebagai juara Hero Remaja edisi kesebelas pada tahun ini.

Menerusi siaran langsung selama satu jam setengah di saluran Astro Ria, On Demand dan aplikasi Astro Go, empat orang finalis akhir yang terpilih untuk berentap di pentas finale bersama-sama Mierul Aiman ialah Aqil Taqeeuddin bin Tuhit (Aqil Taqee), Muhammad Fazziq Muqris bin Mohd Shariff (Fazziq Muqris) dan Afiq Hilman bin Hamidon (Afiq Hamidon).

Pada malam tersebut, mereka telah dihakimi oleh dua orang juri tetap program Hero Remaja iaitu Datuk Rosyam Nor dan Dewi Remaja 2005/2006, Scha Alyahya tanpa kehadiran juri jemputan.

 

 

 

Cabaran pertama yang perlu dilalui adalah pengacaraan solo secara langsung. Cabaran kedua adalah persembahan sketsa mengikut idea, skrip dan memilih pelakon iringan sendiri dan cabaran ketiga adalah sesi soal jawab (Q&A) bersama juri tetap.

Ternyata setelah diadili dalam tiga segmen tersebut, Mierul Aiman mendahului lain-lain peserta dengan persembahan yang cukup menyakinkan juri serta penonton.

 

 

 

Mierul dinobatkan sebagai juara manakala kedudukan finalis lain adalah seperti berikut; Naib Juara, Aqil Taqee; Pemenang Tempat Ketiga, Fazziq Muqris dan Pemenang Tempat Keempat, Afiq Hamidon.

Dua lagi kategori yang turut disampaikan pada malam tersebut menjadi milik Aqil Taqee bagi kategori Hero Inspirasi dan Syazani Zainal bagi kategori Hero Favourite hasil undian peminat di laman web rasmi Majalah Remaja sepanjang percarian berlangsung.

 

 

Pencarian Hero Remaja 2021 turut menampilkan juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar sebagai pasangan hos. Ia juga meraikan kehadiran penaja, NIVEA Men menerusi beberapa episod yang ditayangkan.

Foto: Sharinizam Othman & Azfarina Sulaiman

IKLAN
Share