TUNKU AZIZAH Dimasyhur Tengku Ampuan Pahang Ke-5 & TENGKU HASSANAL IBRAHIM, Tengku Mahkota Pahang!

Negeri Pahang mencipta sejarah tersendiri apabila Istiadat Pemasyhuran dua jawatan penting dalam institusi diraja negeri itu berlangsung hari ini di Istana Abu Bakar. Pemasyhuran Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang Kelima dan pemasyhuran Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah sebagai Tengku Mahkota Pahang mencatat sejarah kerana buat julung kalinya… istiadat itu diadakan serentak dalam sejarah diraja negeri Pahang.

Tunku Azizah bersama anakanda, Tengku Hassanal Ibrahim

Lebih istimewa, istiadat ini juga menyaksikan Tengku Hassanal turut dimasyhurkan Pemangku Raja Pahang berikutan ayahanda baginda, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari ini.

Kali terakhir Istiadat Pemasyhuran Tengku Mahkota Pahang diadakan pada 23 Oktober 1977 setelah Sultan Abdullah dilantik memegang jawatan itu pada 1 Julai 1975. Baginda kemudian dilantik menjadi Pemangku Diraja Pahang dalam satu istiadat berasingan pada 28 April 1979.

Tengku Hassanal bersama ayahanda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Istiadat diraja yang berlangsung pagi tadi dihadiri lebih 1, 500 tetamu terdiri daripada kerabat diraja, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan wakil masyarakat.

Mengenali latar belakang Tengku Ampuan Pahang Kelima ini, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diputerikan pada 5 Ogos 1960 di Istana Stulang, Johor Bahru. Baginda merupakan puteri ketiga kepada Almarhum Sultan Iskandar.

Biarpun berstatus keluarga diraja namun Tunku Azizah cukup dekat dengan masyarakat dan merupakan Pengasas dan Presiden Seumur Hidup Yayasan Fertaliti Tunku Azizah (TAFF), Pengasas Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam, Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Dunia, Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang (WI) dan Pemegang Amanah Yayasan Istana Abdulaziz.

Selain itu, baginda turut menghasilkan tiga buku masakan iaitu Air Tangan Tengku Puan Pahang (2007), Air Tangan Tengku Puan Pahang Manisan Tradisional Pahang dan Masakan Tradisional Pahang (2018).

 

Sumber: Bernama

IKLAN
Share