Tunku Puan Mahkota Kedah Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran Kedah

Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff mendahului senarai penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-81 di Istana Anak Bukit, semalam.

Foto: Instagram @kedah.royal.family

Che Puan Nur Julie dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (SSSK) yang membawa gelaran Dato’ Seri Diraja.

Untuk rekod, Che Puan Nur Julie Ariff atau nama asalnya Julie Gwee Chai Hong mendirikan rumah tangga dengan Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin pada 26 November 2022 dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Darul Aman Jalan Kedah, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.

Foto: Instagram @kedah.royal.family

Pada hari perkahwinan tersebut November lalu, KDYMM Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mengurniakan Pangkat Kemuliaan dengan gelaran Duli Yang Amat Mulia Tunku Puan Mahkota Kedah kepada menantu baginda Che Puan Nur Julie Ariff.

Foto: Instagram @kedah.royal.family

Sejak mendirikan rumah tangga November lalu, Che Puan Nur Julie Ariff dilihat  sering menemani Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff ke majlis-majlis rasmi kerajaan negeri. Malah kelibat pasangan diraja ini turut kelihatan di mana DYAM Tunku Mahkota Kedah dan DYAM Tunku Puan Mahkota Kedah berangkat ke Pameran Aerospace dan Maritim di Langkawi baru-baru ini.

Foto: Instagram Kedah.royal.family
Foto: Instagram @kedah.royal.family

Sultan Sallehuddin turut berkenaan menganugerahkan Darjah Seri Setia Diraja Kedah Yang Amat Dihormati (SSDK) yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali diikuti Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Datuk Bakar Din yang dianugerahkan Orang Besar Lapan yang membawa gelaran Dato’ Seri Setia Diraja.

Foto: Instagram @kedah.royal.family

Berangkat sama ke istiadat hari ini Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan isteri Tok Puan Jusmalailani Jusoh.– BERNAMA

 

 

 

 

 

IKLAN
Share