Umur 18 Dah Jadi Jutawan, EMMA RADUCANU Pelajar Pintar ‘A Levels’ Keturunan China – Romania!

Baru umur 18 tahun dah jadi jutawan! Tahun 2021 pastinya menjadi tahun paling bertuah buat pemain tenis muda ini. Mana tidaknya, selepas tamat sahaja pengajian di peringkat A Levels dengan keputusan cemerlang, Emma Raducanu yang kini berusia 18 tahun turut meraih kejayaan berganda apabila dinobatkan sebagai juara Kejohanan Tenis US Open 2021 pada September lepas.

Emma yang sebelum ini menduduki tangga ke-338 dunia melonjak ke ranking 23 dunia selepas kejayaannya menakluki US Open 2021. Sekaligus membawa pulang wang kemenangan bernilai USD2.5 juta atau kira-kira RM10.2 juta.

Hasil kejuaraan itu juga, Emma menjadi pemain tenis wanita yang layak ke peringat separuh akhir dan akhir US Open seterusnya pemain wanita termuda selepas Maria Sharapova pada tahun 2015.

Pada April 2021, Emma berjaya menamatkan pengajian di Newstead Wood School dan meraih keputusan cemerlang di peringkat A Levels. Kejayaan Emma menjulang piala US Open 2021 membawanya terus ke kedudukan pertama selaku pemain tenis wanita Britain.

Atlet cantik ini dilahirkan pada 13 November 2002 di Toronto, Canada. Memetik laporan Express UK, bapa Emma iaitu Ian Raducanu berasal dari Bucharest, Romania. Sementara ibunya, Meizhai Dong atau dikenali sebagai Renee ialah wanita keturunan Shenyang, China. Kedua-dua ibu bapa Emma bekerja dalam bidang kewangan.

Ketika bergelar juara US Open 2021
Ketika bergelar juara US Open 2021
Ketika bergelar juara US Open 2021
Tetap belajar walau sibuk dengan kerjaya sukan

Difahamkan Emma berhijrah ke United Kingdom ketika berusia dua tahun. Dia juga merupakan anak tunggal kepada pasangan tersebut. Portal Tatler mendedahkan sejak kecil Emma sudah menunjukkan minat dalam pelbagai bidang sukan termasuklah menunggang kuda, berenang, luncur ski, go-kart, motor cross dan ping pong.

Tidak cukup itu, Emma juga pernah mengikuti kelas tarian balet. Bagaimana pun minat Emma dalam sukan tenis mula bercambah selepas ibu bapanya memperkenalkan sukan tersebut seawal umur Emma lima tahun.

Meskipun menyokong penuh kerjaya sukan anak tersayang, namun ibu bapa Emma tidak pernah memberi tekanan kepada anak tunggal mereka ini untuk menyertai pelbagai kejohanan terutamanya ketika musim Covid-19.

Emma Raducanu
Emma Raducanu
Emma dilantik duta baharu Dior

Berjiwa aktif dan lasak, Emma merupakan peminat sukan Formula One. Dia mempunyai dua kerakyatan iaitu British dan Kanada. Selain itu, Emma juga boleh berbahasa Mandarin, menonton rancangan TV Taiwan serta menggemari sajian Romania.

Pada 22 Oktober lepas, jenama fesyen mewah Dior mengumumkan Emma Raducanu sebagai duta terbaharu mereka.

 

Kredit foto: Instagram Emma Raducanu

IKLAN
Share