Urus Bisnes & 3 Anak Tanpa ‘Maid’, Kejayaan FEEYA ISKANDAR Jadi DJ Radio & Usahawan Cetus Inspirasi!

Celoteh cerianya setiap kali ke udara pasti mencuit hati para pendengar. Terkenal dengan gaya bersahaja dan penuh sense of humor, personaliti Feeya Iskandar atau mesra disapa Cik Piah membuatkan sesiapa sahaja yang pernah bekerja dengannya berasa senang dan terhibur.

Berpeluang menemu bual figura cantik ini, Cik Piah yang baru melahirkan cahaya mata ketiganya pertengahan Februari lalu mesra menyambut panggilan penulis. Meskipun rutin harian makin bertambah dan ‘berperang’ menguruskan tiga anak kecil yang kesemuanya lelaki tanpa bantuan pembantu rumah, namun Cik Piah kental mengharungi cabaran seorang isteri dan ibu bekerjaya. Memang superwoman!

Jelas Cik Piah atau nama penuhnya Nor Shafiza Iskandar Azizan, ketika ini dia sedang berehat cuti bersalin dan menghabiskan masa menjaga anak-anak serta perniagaan miliknya. “Buat masa sekarang, saya tengah cuti berpantang selepas bersalin pada 11 Februari lalu. Jadi, tengah cuti selama 3 bulan dan tak ke udara di konti. InshaAllah saya akan mula bekerja semula pada 14 April. Tapi sekarang tengah busy dengan bisnes jamu yang dilancarkan pada awal Mac baru-baru ini.”

Kagum tengok kesungguhan Cik Piah untuk berjaya. Bukan mudah bagi ibu yang baru bersalin, mempunyai dua orang lagi anak kecil dan dalam masa sama mempunyai kerjaya serta bisnes sendiri. Tapi sebagai wanita kental yang ‘dahagakan’ kejayaan, Cik Piah membuktikan perkara berkenaan tidak mustahil untuk dicapai.

Menjawab pertanyaan bagaimana dia bijak menguruskan masa, dalam nada tenang penyampai radio Suria FM ini menyusun bicara. “Sejujurnya dari awal kahwin sampai sekarang anak dah 3, saya memang tak ada pembantu rumah. Hanya bergilir-gilir dengan suami jaga anak. Jadi dekat sini saya memang kena betul-betul susun jadual saya. Alhamdulillah, suami pun memang tak ada masalah urukan anak-anak.”

Untung Cik Piah dikurniakan suami yang memahami dan menyokong penuh minat isteri tercinta. Selain bertugas sebagai DJ Radio, Cik Piah juga berjinak-jinak mendalami dunia perniagaan. Yang pasti, ini bukanlah kali pertama usahawan berusia 32 tahun tersebut berniaga. Sebelum ini pun Cik Piah pernah menjual pelbagai jenis produk berkaitan kesihatan dan kecantikan wanita. Memang ‘otak bisnes’! Kali ini produk berasaskan jamu semula jadi menjadi pilihan bisnes Cik Piah.

“Produk ini namanya ‘Manja Boost’. Memang khas untuk wanita dan keistimewaan jamu ini ialah ia jamu fruities pertama di Malaysia. Jarang-jarangkan dengar? Memang inilah istimewanya jamu kami.”

Antara kelebihan Manja Boost ialah membantu mengurangkan berat badan, mencantikkan kulit, melancarkan kitaran haid, menambah tenaga dan memelihara aset wanita. Malah jamu ini juga dihasilkan dengan 14 bahan premium termasuk habatussauda, manjakani, kunyit, kulit kayu manis, kurma merah, blueberry dan banyak lagi.

“Bercerita tentang bisnes ni memang saya minat ada bisnes sendiri sejak tiga tahun lepas. Saya mula jual macam-macam. Foundation, tudung, kemudian terhasillah Manja Boost. Seronok berniaga ni. Sebab sambutan menggalakkan, jadi kali ni kita lebih serius hasilkan supplement untuk wanita pula.

Urus bisnes ketika PKP ni memang sangat mencabar. Ramai yang terjejas tapi kalau kita bijak, ketika PKP ni sebenarnya bisnes boleh ‘masyuk’. Tengok pada apa yang kita jual. Macam saya, saya jual sesuatu yang bagi manfaat kepada kaum wanita khusus untuk kesihatan dan penjagaan luaran serta dalaman mereka. Tidak dinafikan perlu banyak buat promosi dan hebahan agar mereka tahu produk ini bahkan team saya sendiri sangat aktif membantu.”

Patutlah kulit wajah Cik Piah cantik berseri-seri dan mulus. Rupa-rupanya dia amalkan Manja Boost. Menyingkap rejim kecantikan isteri Nurashid Abdul Wahab, ini jawapan Cik Piah. “Tak ada amalan tradisi pun. Cuma air kosong kena banyak minum. Lepas tu jangan suka tukar-tukar skin care. Bila dah sesuai, maintain je pakai.”

Mengulas detik kelahiran anak ketiga, tanpa berselindung Cik Piah berkata kelahiran kali ini cukup mencabar dan berbeza daripada anak terdahulu. “Cabaran melahirkan anak ketiga, saya kena induce dan lama dalam labour room. Baby dikeluarkan secara vakum sebab ketika itu muka baby ke atas. Kira songsanglah.

Memang struggle doktor nak keluarkan baby tapi alhamdulillah dengan pengalaman yang ada, doktor yang sambut baby saya berjaya keluarkan secara normal.”

Rezeki Cik Piah, ketiga-tiga anaknya dilahirkan secara normal dan tanpa jahitan. “Alhamdulillah, saya hanya amalkan minum kelapa dara. Dari anak pertama sampailah ke anak ketiga. Kelapa dara jenis cecair dan saya minum ketika usia kandungan mencecah 7 bulan. Bila kandungan dah 8 bulan pula saya amalkan minum air kelapa. Satu lagi tip supaya dapat bersalin tanpa jahit ialah bila teran jangan angkat punggung.”

Tanggal 6 Mei depan, genap lima tahun Cik Piah mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Adam Malique, Nuh Aryyan dan Muhammad Zidane.

Sebelum mengakhiri perbualan, Cik Piah sempat menitipkan ‘resipi’ rumah tangga bahagia. “Rahsia rumahtangga yang bahagia, kita kena jujur dengan pasangan. Selain itu, kena saling melengkapi kekurangan yang ada dan kena sentiasa bersyukur.”

 

 

Kredit foto: Instagram Feeya Iskandar

IKLAN
Share