Sosok wanita tua ini mencuit perhatian. Berusia 130 tahun, inilah Sarahouda Stiti dari Algeria yang tercatat sebagai jemaah haji tertua pada tahun 2024!
Ads
Talbiah Labaikallah Humma Labaik berkumandang. Serentak dengan sambutan Hari Raya Aidiladha, jutaan umat Muslim di seluruh dunia juga baru sahaja menunaikan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji di Mekah, Arab Saudi.
Dipilih mengerjakan ibadat haji pada usia muda dianggap peluang keemasan dan rahmat dari Allah SWT. Namun andai kemampuan diri mengizinkan ketika usia meningkat tua, ia juga rezeki asalkan tiada halangan dari aspek fizikal dan kesihatan.
Sempena musim haji kali ini, sosok seorang wanita tua dari Algeria menyorot perhatian. Usianya melepasi satu abad, setepatnya 130 tahun, ayuh kenali Sarahouda Stiti yang dinobatkan jemaah haji tertua 2024.
Menurut laporan Gulf News, wanita yang mesra disapa Stiti itu tiba di Jeddah pada Isnin, 10 Jun 2024. Ketibaan beliau mendapat sambutan hangat dari pejabat Arab Saudi dan pasukan misi haji Algeria.
Algeria merupakan sebuah negara bekas jajahan Perancis yang terletak di Afrika Utara dengan majoriti penduduknya beragama Islam. Sebahagian besar wilayahnya dilitupi Gurun Sahara.
Tonton video momen ketibaan Stiti di lapangan terbang, dapat sambutan hebat!
Ads
JEMAAH HAJI TERTUA
Tiba menggunakan kerusi roda untuk menunaikan ibadah Haji, Stiti disahkan sihat meskipun harus berada di bawah pengawasan perubatan sepanjang mengerjakan ibadah haji. Walaubagaimanapun, Stiti kelihatan cukup bahagia dan bersemangat ketika di sana.
Ads
Biarpun usia membatasi pergerakannya, beliau masih mampu bercakap dengan jelas dan berkomunikasi dengan baik. Menurut laporan Asharq Al-Awsat, Stiti yang lahir pada tahun 1849 itu sudah bermimpi untuk menunaikan haji sejak usia 25 tahun lagi. Impian yang kuat sejak muda membuat Stiti akhirnya direzekikan bergelar Hajah pada usia senja.
Semangat Stiti jelas menjadi inspirasi buat wanita yang lebih muda dan berupaya. Beliau membuktikan tiada yang mustahil meskipun perlu melaksanakan pelbagai rukun haji yang panjang dan meletihkan, khususnya di kalangan warga tua.
Wanita hebat ini juga dikenali sebagai sosok hebat yang memiliki sejumlah anak dan cucu di Tebessa, Algeria. Menurut sumber, cucunya pernah berkongsi bahawa neneknya tidak menderita sebarang penyakit, selain penuaan. Beliau juga memiliki tahap psikologi yang baik pada usia ini.
Chintya Candranaya kini menjadi tumpuan di media sosial kerana aksi seni mempertahankan dirinya yang hebat.
Sebelum ini, gadis berusia 26 tahun ini pernah tular dengan aksinya menghancurkan durian hanya menggunakan tangan.
Baru-baru ini, tular pula video Chintya membuat aksi menendang tong gas secara ‘live demo’ di Majlis Tayangan Perdana Filem Tujuh Dua Belas.
Ternyata, Chintya bukan calang-calang wanita!
Untuk info, Chintya Candranaya dilahirkan di Bandar Lampung, Indonesia pada 25 Ogos 1997. Chintya merupakan seorang pesilat yang aktif mencipta kandungan video di media sosial.
Di sebalik kehebatannya dalam ilmu persilatan, rupa-rupanya Chintya Candranaya telah mempelajari seni mempertahankan diri itu sejak usianya 7 tahun.
Sejak tular di media sosial, kecantikan Chintya Candranaya turut menarik perhatian netizen.
Chintya Candranaya seorang yang sangat aktif di media sosial. Selain berkongsi aksi-aksi silatnya di media sosial, Chintya juga banyak berkongsi video-video simulasi pertahanan diri khusus untuk wanita bagi melindungi diri daripada risiko jenayah di jalanan.
Menjengah ke akaun Instagramnya, Chintya sudah mempunyai lebih 300 ribu pengikut. Chintya juga mempunyai siri web yang dimuat naik di Saluran YouTube Chintya Candranaya.
Selain bergelar seorang pesilat profesional, Chintya juga pernah berlakon dalam filem Benyamin BiangKerok. Chintya juga pernah menyertai filem ‘5 Guys Jagoan Movie’. Chintya turut bergelar bintang iklan televisyen.
Menurut Chintya, dia tidak mahu belajar silat menggunakan kuasa jin seperti yang tertulis di status Instagramnya:-
“Belajar silat adalah syirik dan bersekutu dengan jin supaya berkuasa dan berkuasa. Jawapannya sama sekali tidak!
“Kerana selagi manusia ingin berusaha bersungguh-sungguh dan penuh sabar, hasil yang diperolehi akan sesuai dengan hal yang diperjuangkan.
“Lagi satu, latihan melampau bukan untuk mendiskriminasi antara yang kuat dan yang lemah tetapi lebih dari memahami bahawa di antara semua ilmu yang sudah ada, masih banyak yang “tersembunyi” yang belum dibongkarkan oleh mereka yang bijak.
“Oleh itu, sebelum bertanya orang, tanya diri dulu. Salam semangat!”
Chintya sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kemahirannya dalam dunia persilatan dan pada masa sama memberi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana agar menjadi seorang yang berani.
Kredit Foto: Instagram Chintya Candranaya
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.”
Tersentuh membaca luahan hati seorang ibu, merindui seorang anak yang sudah tiada. Di sebalik senyuman dan raut wajah tenang penyanyi era 80an yang tersohor dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu, Azian Mazwan Sapuwan tersimpan perasaan rindu yang tak tertanggung terhadap arwah anaknya, Mohammad Aqil Zulkarnain. Arwah maut kemalangan jalan raya sekitar Disember tahun lalu. Semestinya, rasa kehilangan itu adalah yang paling ‘sakit’ kerana kasih sayang seorang ibu tiada penghujungnya.
Arwah Mohammad Aqil anak keempat daripada tujuh beradik. Biarpun Allah SWT meminjamkan Mohammad Aqil selama 20 tahun sahaja namun setiap kenangan bersama arwah tersemat kemas di sanubari Azian lebih-lebih lagi detik mengandungkan, melahirkan dan membesarkannya. Azian sekeluarga redha dengan takdir Ilahi dan yakin dengan hikmahnya. Kini genap 5 bulan pemergian arwah.
Jelas terlihat kuatnya semangat seorang ibu menghadapi kehidupan selepas ketiadaan arwah. Setiap anak memiliki sikap serta keistimewaan yang berbeza. Salah satu sikap arwah ialah ringan tulang dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Itulah yang dirindui oleh Azian.
Arwah Mohammad Aqil menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas mengalami kemalangan motorsikal pada 22 November 2019. Ekoran kemalangan itu, Mohammad Aqil mengalami kecederaan dalaman yang serius sehingga terpaksa dibius untuk direhatkan bagi memulihkan hati serta limpanya.
Namun, setelah hampir sebulan dirawat serta berada dalam keadaan koma akhirnya Mohammad Aqil menemui ajal kira-kira pukul 11.30 pagi. Arwah turut meninggalkan seorang balu dan anak. Ketika meninggal dunia, arwah baru sahaja bergelar seorang bapa dan anaknya, Aryan Zahfran ketika itu baru berusia 11 hari.
Azian turut berkongsi di laman Instagramnya “Anakanda saya, Mohammad Aqil Zulkarnain telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 11.30 pagi ini. Semoga roh Allahyarham anakanda ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Ya Allah..kuatkan aku..” Ternyata, ibu yang berusia 45 tahun ini sangat tabah.
KONGSI DETIK TERAKHIR
“Pada siang hari kejadian, arwah ada datang makan tengah hari bersama kami sekeluarga. Arwah ada tegur saya, lama tak makan ayam memandangkan isterinya ketika itu masih dalam pantang. Saya kata petang nanti saya masakkan untuknya nasi ayam. Petang tu memang keraplah arwah datang. Dua minggu sebelum meninggal, arwah kerap bawa adiknya berjalan-jalan naik motor.
Saya selalu pesan kepadanya bawa motor baik-baik walaupun arwah memang bawa motor tak laju. Kadangkala saya ada juga terdetik rasa tak sedap hati bila berkata begitu. Takut terjatuh dan sebagainya. Malam sebelum kejadian, anak bongsu tiba-tiba demam dan menggigil. Dalam pukul 2 pagi saya mendapat panggilan daripada rakan arwah menyatakan dia kemalangan di Kajang dan terjatuh dari motor.
Anak ketiga (abang arwah) bergegas ke tempat kejadian dan menemainya menaiki ambulan. Ketika itu arwah masih sedar namun dalam keadaan kesakitan. Saya tak dapat pergi kerana kebetulan anak bongsu demam mengejut. Suami ke hospital untuk melihat keadaannya. Memandangkan arwah masih sedar ketika itu dia sempat bercerita bagaimana kemalangan boleh berlaku.
Menurut cerita, arwah keluar sebentar untuk berjumpa rakan memandangkan sudah lama dia tak keluar bertemu mereka sejak menjaga isterinya berpantang. Semasa dalam perjalanan tiba-tiba ada dua kereta dipandu laju sehingga arwah hilang kawalan. Arwah terpaksa brek mengejut lalu terjatuh.
Mulanya saya kurang percaya sebab setahu saya, sejak isterinya sarat mengandung arwah kerap memandu kereta dan sudah lama tak menunggang motor terutama luar dari Putrajaya. Apabila anak sulung berkongsi gambar kejadian barulah saya percaya. Keesokannya baru saya berpeluang ke hospital. Dari luaran kecederaannya sedikit sahaja. Cuma kecederaan dalamannya sahaja agak serius. Selepas dibedah arwah ‘ditidurkan’.
Arwah dipindahkan ke Hospital Selayang untuk tindakan susulan doktor pakar hati. Setiap hari saya akan ke sana walaupun arwah masih dalam ICU. Empat hari sebelum arwah pergi dia ada membuka mata. Fizikalnya juga semakin susut. Walaupun sedar tetapi arwah tidak mampu bercakap kerana masih lagi sakit dan terdapat banyak wayar di dalam mulut.
Hanya matanya sahaja mampu merenung ke arah saya. Dan setiap hari saya akan menyebut ‘Aqil, ini Mama..’ Terdetik juga, adakah dia buka mata hanya untuk seketika atau sebaliknya. Namun saya tetap positif dan yakin dia boleh sembuh. Anak sulung sentiasa berpesan agar kami terus berdoa kepada arwah. Setiap hari kami juga tidak lupa untuk mengaji di sisinya mohon kesembuhan.
SYAWAL
“Setiap kali raya arwah mesti nak saya sediakan baju Melayu. Saya pernah mengusiknya, dah kahwin belilah sendiri. Dia kata baju Melayu nak Mama yang sediakan. Sebelum pemergiannya kami hanya berkesempatan bercakap tentang baju raya sahaja. Itulah permintaan terakhir arwah yang paling saya terkesan kerana tidak dapat sediakan tahun ini. Menurut isterinya juga arwah sudah belikan siap-siap baju dan barangan bayi yang bersaiz besar. Mungkin dia pun dah tahu yang dia akan ‘pergi’ buat selamanya.
Sejak berkahwin arwah juga menjadi seorang yang lebih mengambil berat dan bertanggungjawab. Tahun ini pertama kali kami menyambut Syawal tanpa arwah. Selalunya arwahlah yang banyak cakap dan suka buat ‘bising’ di rumah. Jadi, ketiadaannya tahun ini memang cukup terasa. Kebetulan juga ibu saya tak sihat sejak tahun lalu. Memang dugaan buat saya.
Kalau diikutkan pemergian arwah masih lagi baru. Selepas pemergian arwah, apa yang saya lakukan ialah motivasikan diri dengan bercakap kepada diri sendiri agar sentiasa positif dan menjadi lebih kuat. Sebagai seorang Islam juga saya tidak pernah putus berdoa dalam solat lima waktu. Saya juga sentiasa memastikan mendekatkan diri kepadaNya. Itulah penawar paling mujarab buat saya, jiwa akan lebih tenang.
Bohonglah kalau saya kata tidak merasa sedih dan menangis terutama ketika merasa rindu. Ada juga situasi yang mengingatkan saya terhadap arwah. Contohnya, ketika memasak atau buat sesuatu perkara saya akan terasa ada sesuatu yang kurang. Selalunya saya akan hantar pesanan Whatsapp kepada arwah untuk bertanya khabar. Sekurang-kurangnya sekali sehari.
Selepas berkahwin arwah tinggal bersama keluarga mertuanya. Anak-anak yang lain masih tinggal bersama kami kerana masih belajar. Sejak arwah tiada saya rasa sesuatu yang kosong terutama pada setiap hujung minggu di mana arwah akan datang ke rumah menjenguk kami sekeluarga. Untuk tidak terlalu memikirkan rasa sedih saya akan sibukkan diri di tempat kerja dan keluar bersama rakan-rakan.
Setiap petang saya sering ke kubur arwah. Saya memang mahu arwah dikebumikan di Putrajaya kerana saya mahu dekat dengannya dan hendak berjumpa dengannya setiap hari. Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.
HIKMAH
Sejak pemergian arwah sebenarnya banyak hikmah dan kebaikan yang datang. Banyak pengajaran yang kami dapat selain banyakkan bersedekah untuk arwah dan orang lain. Sumber kekuatan saya semestinya suami walaupun selepas kejadian dialah insan yang paling lemah walaupun luarannya nampak tenang.
Kami banyak berkongsi rasa kerana saya sendiri memerlukan sokongan yang kuat ketika meluahkan apa yang dirasa. Saya juga semakin rapat dengan anak perempuan kedua kerana saya sering berkongsi perasaan dengannya dan dia cukup faham dan matang dengan apa yang berlaku. Harapan saya agar kami sekeluarga tabah menghadapi kehidupan dan semakin akrab bersama,” akhiri Azian sebak. Al Fatihah (mohon dibacakan buat Allahyarham Mohammad Aqil Zulkarnain).
Kredit Foto: Instagram @azianmazwann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Suatu ketika dahulu, nama pelakon Wardina Safiyyah cukup dikenali dalam industri seni lakonan tanah air. Paling diingati adalah lakonannya sebagai Misha dalam siri komedi Spanar Jaya. Bekas peserta pertandingan Dewi Remaja 1997/98 ini juga turut aktif dalam bidang modeling dan pengacaraan, malah pernah membintangi beberapa buah filem.
Dan ketika namanya berada di puncak dan kemudiannya berkeluarga, Wardina memutuskan untuk berhijrah ke Australia membawa diri dan menyambung pelajaran pada tahun 2014. Sejak daripada itu nama Wardina dilihat jarang menghiasi dada akhbar mahupun media cetak dan elektronik, walaupun aktif di media sosial.
Kini meniti usia 43 tahun, pemilik nama Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot yang juga ibu kepada 3 orang cahaya mata ini tetap kelihatan anggun dan terserlah kejelitaannya. Wardina juga dikhabarkan aktif menjalani kehidupan sebagai seorang ahli profesional di sana.
“Alhamdulillah saya kini bertugas sebagai seorang ahli psikologi berdaftar di sebuah pusat kesihatan di Brisbane membantu pesakit-pesakit yang mengalami masalah mental termasuklah kanak-kanak autistik. Di samping itu, saya juga aktif dalam aktiviti sukarelawan sebagai seorang petugas sokongan krisis (crisis support worker) bersama LifeLine di mana saya memberikan sokongan kepada mereka yang mengalami krisis emosi seperti kemahuan untuk menamatkan kehidupan dan lain-lain isu secara atas talian. Its my dream job,” ujar Wardina kepada Nona.
Menurut Wardina lagi, kerjaya sebagai seorang ahli profesional cukup memberikan kepuasan buatnya. “Saya banyak menghabiskan masa meningkatkan diri dengan ilmu di samping menyambung pengajian post graduate dalam bidang pengajian autistik memandangkan saya banyak menghabiskan masa bersama-sama dengan kanak-kanak autistik.”
Walaupun pernah bergelar anak seni, Wardina mengakui kerap kali ditanya sama ada dirinya rindu untuk kembali beraksi di hadapan kamera namun jelasnya dia tidak terfikir langsung untuk kembali berlakon.
“HonestlyI don’t miss acting at all. Bidang seni adalah satu pengalaman hidup di mana babaknya sudah lama ditutup dan disimpan jauh buat selama-lamanya. Ia merupakan satu fasa hidup yang dah lama berlalu, namun saya hargai setiap satu momen yang mengajar saya untuk menjadi insan yang lebih baik.”
“Saya happy di sini bila tak ada siapa yang kenal kita. I live quite a simple and comfortable life here with my family. Ada yang bertanya bila mahu pulang ke Malaysia. For now, masih belum ada perancangan untuk kembali ke Malaysia. Lagipun suami pun bekerja di sini, he’s an architect. Anak-anak pun dah selesa. Do I miss Malaysia?Of course, Malaysia negara kelahiran saya. Tapi kita tak pernah tahu perancangan Tuhan kan? We’ll see..” ulas Wardina lagi.
Kini bahagia menetap di Brisbane, Wardina juga sempat berkongsikan perkembangan terkini berhubung anak-anaknya. “Amna Nafeesa yang kini berusia 19 tahun berada di tahun kedua Universiti of Queensland. Cita-citanya ingin menjadi seorang doktor haiwan. Azra Sareera pula berusia 16 tahun kini di tahun ke 10 dalam perancangan menamatkan pengajian International Baccalaureate (IB), dan Imran pula berada di tahun lapan di sekolah tinggi (high school).
Memasuki tahun kelapan hidup di Australia, Wardina juga bersyukur anak-anaknya mudah menyesuaikan diri di tempat orang. “Australia negara yang cukup bebas dan terbuka namun syukur anak-anak masih mampu mengawal diri, malah saya dan suami selalu tanamkan perasaan cintakan agama dan Islam. Malah mereka juga sangat berbangga dengan asal usul dan identiti mereka sebagai seorang Muslim serta tidak mengagungkan orang barat. Alhamdulillah, mereka anak-anak yang baik dan mudah dibentuk,” ujar Wardina mengakhiri temubual bersama NONA.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Irma Hasmie bukanlah nama baru, kehadiran dirinya dalam industri seni satu ketika dahulu cukup meninggalkan kesan dengan penampilannya yang cantik dan popular sebagai pelakon,...