Faktor usia bukanlah halangan buat selebriti jelita, Vanidah Imran menggenggam Master. Kejayaan beliau turut sekaligus membuktikan bahawa anak seni juga berpelajaran tinggi.
Merupakan bekas naib juara Miss World Malaysia 1993, Vanidah yang mesra disapa Vee, baru saja menerima Sarjana Seni Persembahan (Drama) di Istiadat Konvokesyen ke-61 Universiti Malaya pada Mac lepas.
Beliau sebelum ini memperoleh Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dari Universiti Terbuka Malaysia (2015).
Berasal dari Pulau Pinang, kejayaan Vee yang merupakan ibu kepada Mikail dan Maryam cukup menyuntik inspirasi. Bahkan beliau turut menjadikan semangat bapanya, Haji Imran Abdullah sebagai motivasi untuk terus belajar ke tahap tertinggi.
Lebih sebak bila membaca perkongsian Vee tentang hasrat Abahnya yang tak kesampaian menggenggam Master dulu…
Vee di sisi Abah kesayangannya
“Saya tujukan kejayaan ini buat cinta pertama saya, iaitu Abah saya sendiri, Haji Imran Abdullah @ Indiran Koothayan.
Ads
Abah pernah melanjutkan pengajian beliau ke peringkat Master sewaktu arwah ibu jatuh sakit dan dikesan menghidap kanser.
Ketika itu, saya baru berumur 3 tahun sementara adik baru berumur 10 bulan ketika arwah ibu meninggal dunia. Abah terpaksa bekerja sambil menjaga kami dua beradik (dengan bantuan nenek).
Dalam masa yang sama Abah sangat bersedih dengan kehilangan isteri tercinta. Akhirnya beliau tidak dapat meneruskan pengajian tersebut.
Abah, hari ini saya di sini kerana kasih sayang, restu, redha dan berkat doa Abah untuk saya. Terima kasih kerana menjadi sangat tegas tentang menjaga maruah diri dan keluarga.
Semoga Allah SWT panjangkan umur dan berikan kesihatan yang baik kepada Abah hingga akhir perjalanan saya ke peringkat PhD. InshaAllah… Amin, saya sayang Abah.
Ads
Untuk anak-anakku, Mikail dan Maryam… Kejayaan, malah hidup itu sendiri, tidak akan bermakna tanpa kehadiran kalian berdua. Hidup ibu akan sentiasa bersama anak-anak ibu, no matter how big you get.” Vanidah Imran
Siapa bilang anak seni tak mementingkan pelajaran? Kini bekas pelajar Convent Bukit Nanas itu membuktikan tanggapan negatif masyarakat silap.
Selepas melalui pelbagai halangan, kejayaan Vee menggenggam Master pastinya menjadi kenangan termanis buat pelakon, model dan pengacara terkenal itu.
Majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor pada 5 hingga 13 Mac melibatkan lebih 7,000 graduan yang menamatkan pengajian pada tahun 2021.
Selain itu beliau juga membuktikan bahawa usia bukanlah halangan untuk terus belajar ke peringkat tertinggi. Vee kini berusia 49 tahun tapi masih yakin akan kemampuan dirinya menambah ilmu pengetahuan.
Bercakap tentang rancangan masa depan, Vee yang kini masih aktif berlakon merancang untuk meneruskan pengajian beliau ke peringkat lebih tinggi sekaligus memberi manfaat kepada orang lain. Syabas!
Tampil sebagai cameo dalam filem ‘Padang Kertas’
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sekitar tahun 90an industri muzik tanah air begitu meriah dengan kehadiran boyband dan girlband. Girlband seperti kumpulan Elite, Feminin, Res2 dan Freshie bukan suatu nama yang asing dalam industri seni ketika itu.
Kumpulan M’Steen yang terdiri daripada 5 anggota kumpulan iaitu Intan, Diela, Jaja, Shankey dan allahyarham Meyra juga tidak terkecuali dengan pesona glamor ketika itu. Menjejaki Jaja M’Steen atau nama sebenarnya Syirin Syafiza Said yang kini menetap di Kota London bersama keluarga tersayang begitu istimewa.
Rupanya dalam diam sudah 24 tahun Jaja M’Steen berhijrah ke Kota London yang pada mulanya untuk melanjutkan pelajaran di sana. Patutlah sedap dengar bila Jaja M’Steen bertutur dengan loghat Inggeris. Sementelah pula suami kepada penyanyi ini seorang lelaki berbangsa Caucasian, Lee Gaze. Pasangan sama cantik ini dikurniakan 2 orang anak lelaki, Daniyal, 11 tahun dan Zachy, 10 tahun.
Dalam kesibukannya menggalas tugas sebagai isteri dan ibu, Jaja tetap aktif sebagai pelakon, model dan pegawai komunikasi korporat. Bukan itu sahaja, wanita ini juga telah menjadi sukarelawan badan kebajikan di London. Seronok melihat Jaja M’Steen menjalankan aktiviti kemanusiaan di Kota London.
Bercerita tentang penglibatan wanita cantik ini tentang aktiviti kemanusiaan, “Sebenarnya memang dah lama saya bergiat aktif menjalankan aktiviti kemanusian. Di tempat kerja, saya salah seorang komiti yang bertanggungjawab mengeratkan dan menjalinkan hubungan yang bermanfaat dengan badan-badan kebajikan di London,” tutur Jaja M’Steen tentang penglibatan awalnya sebagai sukarelawan.
Dalam diam rupanya Jaja M’Steen juga telah membuka perniagaan berasaskan makanan Melayu bersama rakan kongsi di London. “Semasa penularan pandemik COVID-19 ini, saya dan rakan perniagaan di Malaysian Supper Club telah menyumbangkan sejumlah makanan kepada mereka yang tiada tempat tinggal.
Saya juga merupakan sukarelawan untuk Food Bank di kawasan tempat tinggal saya. Alhamdullilah, ramai yang sudi membantu menyumbangkan makanan kepada mereka yang mengalami kesukaran akibat COVID-19 dan juga kepada keluarga-keluarga miskin di sini,” terang Jaja M’Steen ini panjang lebar.
Wanita ini juga mempunyai jiwa yang murni dan sanggup menolong orang dalam apa cara sekalipun. “Saya juga pernah menolong seorang insan yang tinggal di tepi jalan dengan mencarikan beliau kerja dan tempat tinggal. Ahamdullillah rezeki dan tenaga Allah SWT anugerahkan ini boleh gunakan untuk menolong mereka yang berada dalam kesusahan,” ujar wanita kelahiran Kuala Lumpur ini.
Bila ditanya tentang perasaan rindunya dengan kegiatan seni di Malaysia, jawabnya jujur, “Rindu sangat tapi belum ada yang memberikan peluang untuk saya sambung di dalam dunia seni. Saya juga masih berhubung dengan ahli kumpulan yang lain dan kami memang rapat. Saya sayang semua kawan seumur hidup, Shankey, Dilla dan Intan. Semasa saya pulang ke Malaysia pada bulan Feb lalu, mereka ada datang berkunjung ke rumah saya,” kata Jaja M’Steen mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Merujuk Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia bakal mencapai status negara tua sepuluh tahun lagi, apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas dianggarkan mencapai 15% daripada jumlah penduduk pada tahun 2030.
Namun kini, sudah banyak warga tua yang sebatang kara dan ada juga segelintir yang sengaja memilih untuk tinggal di rumah orang tua SECARA SUKARELA.
Nona melangkah ke Pusat Penjagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah untuk mendapatkan pencerahannya.
Menelusuri kawasan perumahan elit dan padang golf yang terbentang di Bangi Golf Resort, perjalanan penulis pada pagi Jumaat itu akhirnya berlabuh di sebuah banglo dua tingkat.
Persekitaran menghijau begitu mendamaikan bagai mengusir kepenatan memandu. Ketika berbalas salam dengan para penghuni yang senang digelar ‘bonda’ itu, kedatangan penulis disapa oleh Pengasas dan Pengerusi PACU (Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah), Hajah Asral Widad Ahmad Asnawi.
Keseronokan melihat warga emas di sini solat berjemaah dan mengaji bersama-sama cukup menyentuh jiwa penulis. Apabila pandangan kami bertembung, ada bonda yang tersenyum lebar, menampakkan riak wajah keibuan yang lembut, tenang dan terisi dalamannya dengan pengetahuan.
Benarlah seperti kata orang, orang tua ini seperti radio lama. Yang dimahukan hanya ‘telinga’ kita. Untuk mendengar. Untuk memahami nasihat mereka.
Cerita Hajah Widad, walaupun ada yang kelakar, tapi banyak juga ragam orang tua yang menguji kesabaran. “Bonda-bonda ini ada yang boleh diusik manja dan ada juga yang tidak. Kadang-kadang terdengar juga pertengkaran kecil seperti berebut tempat solat atau soal kebersihan. Cuma satu persamaannya, mereka semua handal memasak.
Cakap saja resipi apa, bonda petik jari, yang dimasak sedap-sedap belaka. Malah para penjaga dan kakitangan DI juga gemar berbual dengan bonda-bonda kerana mereka banyak pengalaman,” kata beliau tentang DI yang dihuni bonda lingkungan usia 55-84 tahun.
Menyelami sejarah penubuhan Pusat Penjagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah (DI), ia sebenarnya berasas daripada sebuah kisah yang benar-benar berlaku di Selangor. “Waktu itu salah seorang Pengasas DI iaitu Ustazah Wan Nazidah terjumpa 14 warga emas Muslim yang dijaga oleh sebuah institusi bukan Muslim.
Ia sangat mengejutkan kerana kami bimbang jika akidah mereka mungkin terpesong. Namun tidak dinafikan bahawa masyarakat kita amat memerlukan tempat jagaan sebegini kerana Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 nanti.
Sebenarnya saya mahu melihat semua anak menjaga orang tua mereka sendiri. Menjaga, menemani dan mengasihi ibu bapa sepertimana mereka membesarkan kita dahulu. Tapi jika terpaksa juga, jangan tinggalkan mereka seorang diri hanya kerana mereka orang dewasa. Ingat, orang tua ini fitrahnya akan kembali seperti anak kecil.
Jika mereka masih ingin belajar dan mendalami agama, bawalah ke DI kerana di sini rata-ratanya dihuni oleh bonda yang memang mahu belajar dan bergaul. Ia bagus untuk sokongan sosial dan kesihatan juga.
Dewasa ini, apabila anak-anak sibuk bekerja dan mengabaikan ibu bapa di rumah, wujud risiko penyakit kemurungan, Alzheimer, demensia dan amnesia. Sebagai anak, kita perlu faham bahawa mereka juga ada perasaan sunyi, perlu rakan bersembang dan ingin terus menimba ilmu hingga ke akhir hayat.
Sebab tu DI ditubuhkan sebagai pusat jagaan yang juga rumah pendidikan buat mereka. Ia bagaikan sebuah IPT yang menekankan ilmu fardu kifayah dan pengisian di akhirat buat warga emas wanita.”
Sambung Hajah Widad, tidak semua kondisi warga emas boleh dimasukkan ke DI. “Sebelum ini pernah berlaku kes skizofrenia yang teruk dan kami terpaksa mengembalikan bonda tersebut kepada waris untuk dijaga.
Bonda tersebut sebenarnya tertekan dengan suasana di rumahnya. Sedangkan sewaktu dia di sini, dia sihat dan rajin membaca Al-Quran.
Selain itu, ada seorang bonda yang ibarat ‘a walking dead’ semasa tiba ke sini. Dia pada asalnya murung kerana selalu ditinggalkan seorang diri di rumah. Di rumah dia hanya merenung dinding, tak lalu makan minum, susah tidur dan susah beribadat. Tapi alhamdulilah sejak menetap di DI, bonda tersebut berubah ceria kerana dikelilingi kawan-kawan seusia.
KARAKTER
Air wajah yang sentiasa tenang dengan senyuman manis yang tidak lekang-lekang dari bibir membuatkan pertemuan kami hari itu sangat menyeronokkan. Meskipun hanya bersolek tipis, penampilan wanita kelahiran Jitra, Kedah yang baru menginjak usia 44 tahun itu kelihatan lebih muda dari usianya.
Hajah Widad merupakan lulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan medico-legal.
Sambil berbual-bual, latar belakang beliau yang pernah bergelar pensyarah menjadi topik perbualan kami. “Saya pernah berkhidmat di beberapa universiti tempatan antaranya Open University Malaysia (OUM), Kuliyyah Information and Technology (KICT), INTI College Subang Jaya dan Lim Kok Wing University College Cyberjaya.
Sejak di bangku sekolah lagi saya telah bergiat aktif sebagai aktivis masyarakat dan kini saya gembira dapat menyumbang bakti kepada komuniti menggunakan seluruh pengetahuan yang ada,” kata Hajah Widad.
Menurut isteri kepada Pengerusi ASAS yang juga seorang penasihat syariah, Prof Madya Dr. Aznan Hassan tersebut, beliau banyak mendapat sokongan suami dalam menjalankan tugas-tugas kebajikan.
“Secara peribadinya saya suka melihat suami berdakwah dan ia membuat saya terpanggil untuk berdakwah sekali. Suami seorang yang sangat sibuk, namun apabila beliau di rumah, saya akan pastikan masa dikhususkan untuknya seorang,” ujar ibu kepada tujuh cahaya mata itu.
Mengakhiri sesi ini, penulis sempat bertanya nasihatnya berkaitan penjagaan ibu bapa berusia. Hajah Widad tersenyum lembut sambil berbicara, “Bagi anak-anak yang masih mempunyai ibu dan bapa, ketahuilah bahawa mereka itu adalah lorong-lorong syurga kita.
Mereka sebenarnya tak memerlukan kita, tapi kitalah yang memerlukan mereka. Kalau berlaku ketidaksefahaman, cuba bersabar dan mengalah dalam apa saja perkara. Melainkan jika ia menyimpang dari akidah, barulah kita berhak berkata tidak.
Ingatlah bahawa rumah orang-orang tua ini bukannya tempat transit mereka untuk menunggu mati. Semua orang ada kekurangan, begitu juga diri kita dan ibu bapa kita. Yang muda mesti menjaga yang tua. Yang berupaya membantu yang kurang upaya,” nasihat Hajah Widad sambil menegaskan bahawa jika wujud pengabaian waris terhadap ibu bapa, aduan polis perlu dibuat agar tindakan dapat diambil.
Hajah Widad juga mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada masyarakat untuk terus menghidupkan kewujudan pusat jagaan seperti ini umpamanya berupa dana, bantuan bahan asasi dan makanan kering.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Datin Saidatulnisa Aminuddin yang sering menjadi pilihan golongan ternama mahupun kerabat Diraja. Berpengalaman selama lebih 30 tahun dalam dunia solekan meletakkan wanita berusia 57 tahun ini dalam kelasnya yang tersendiri.
Beberapa hari lalu, Datin Saidatulnisa memuat naik foto dirinya bersama KDYMM Sultanah Nur Zahirah di laman Instagram sempena sambutan Hari Keputeraan KDYMM Al-Wathiqu Billah Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang ke 60.
Selain Sultanah Nur Zahirah, beliau turut merias anakanda baginda iaitu YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah. Terserlah kejelitaan puteri raja yang memiliki raut wajah yang manis dan ayu, persis bondanya.
Menurut Datin Saidatulnisa, setiap kali merias golongan kerabat memerlukan beliau mematuhi protokol istana yang ditetapkan.
“Berpengalaman dalam protokol istana sedikit sebanyak membantu saya untuk tidak merasa kekok ketika bersama mereka. Saya cukup menghormati pelanggan dan tidak akan melangkaui batas antara kami.
Saya bukanlah terlalu memilih sebaliknya mahu mengekalkan polisi confidentiality sesama pelanggan lebih-lebih lagi selebriti, VVIP dan golongan ternama.
Dalam solekan, saya mewarisi bakat Nenda yang pakar dalam menyolek pengantin dan golongan diraja zaman dulu. Saya banyak belajar sendiri tanpa tunjuk ajar sesiapa. Alhamdulillah kini ia menjadi minat dan salah satu sumber rezeki saya.
Tiada sebarang rahsia mahupun pantang cuma saya masih mengekalkan tip daripada Nenda saya. Selalunya sebelum menyolek saya terlebih dahulu akan berselawat ke atas junjungan Nabi SAW sambil berpegang teguh kepada prinsip ‘Less is more’.
Saya masih berpegang teguh kepada solekan yang tidak keterlaluan, tidak makan dek zaman atau evergreen (malar segar). Lebih-lebih lagi solekan untuk perkahwinan yang akan terpahat pada gambar kenangan sampai bila-bila.
Dunia solekan akan sentiasa berevolusi tetapi bagi saya kita tetap perlukan solekan yang evergreen (malar segar). Sejauh mana transformasi solekan itu berlaku pastikan ia tidak melampaui agama dan budaya kita.”
Kredit Foto: Instagram @saidatulnisaaminuddin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.