
Erra Fazira sememangnya terkenal dengan peribadi menyenangkan dan lembut tutur kata. Tak lekang menguntum senyuman dan ramah melayan orang sekeliling… keperibadian Erra rupa-rupanya turut disenangi penceramah ternama, Ustaz Ebit Lew. Berpeluang mendekati pelakon handalan ini dalam siri program ‘A Bit With Ebit’ baru-baru ini, Ustaz Ebit nyata kagum dengan semangat dan kekuatan Erra mendepani cabaran sebagai seorang ibu.
Tersentuh mendengar pengakuan Erra ketika mula mengenakan hijab dan mahu kekal istiqamah, Ustaz Ebit berkata jelitawan tersebut berulang-ulang kali menegaskan hasratnya untuk mendekatkan diri kepada Allah Maha Esa. “Macam-macam difikirkan masa tu. Dia pohon kekuatan dariNya dan selalu simpan niat mahu dekat pada Allah.
Beliau sangat kuat. Allahuakbar. Kagum pada semua ibu di luar sana yang begitu kuat melalui hidup ini. Saya kata padanya semua ujian ini cuma kerana Allah sayang. Baik sangat orangnya, rendah diri dan suka dengar nasihat. Allah sayang padanya.”
Ketika menghadiri rakaman program berkenaan, Erra turut ditemani anak tersayang, Engku Aleesya. Melihat keakraban kedua-dua anak dan ibu tersebut, lantas membuatkan Ustaz Ebit mahu mengetahui sumber kekuatan usahawan muslimah ini. “Saya tanya padanya apa yang buatnya kuat. Katanya saat berdoa dan menangis minta pertolonganNya.
Bila ditanya jika hari ini adalah hari terakhir dalam hidup Erra, apa yang ingin dikatakan kepada Aleesya dan ibu bapa Era? Katanya, “Wahai anakku Aleesya, jadilah anak yang jaga solat. Jadi orang baik. Dekat dengan Allah. Kerana kita semua hamba Allah. Satu hari kita akan mati. Kita akan dapat bersama dalam syurga jika kita menjadi hamba Allah yang baik.”
Allah sayang Erra dan anak serta ibu bapanya. Tahniah menjadi contoh yang baik buat masyarakat di luar sana,” telus Ustaz Ebit.
Dalam pada itu, Erra turut menzahirkan rasa syukur kerana impian untuk bertemu Ustaz Ebit akhirnya diperkenankan. “Syukur alhamdulillah, saya ketemu dengan ustaz yang sangat saya kagumi cara beliau berdakwah. Sangat lembut dengan setiap bait bicara.
Pilihan kata-kata bisa menyentuh hati setiap insan termasuklah saya. Moga usaha murni ustaz menambah baik impak buat generasi Islam seterusnya.”
Kredit: Instagram Erra Fazira
“Adakah Aku IBU Yang Baik…” Jadikan 3 Amalan Ini Ladang PAHALA Menuju Syurga Allah!

Menjadi ibu bukan perkara yang mudah dan bukan perkara yang sukar juga sebenarnya, kita boleh laluinya bila kita yakin dan rasa kita boleh, maka ia akan menjadi mudah. Jika kita rasa sebaliknya maka jadilah sebaliknya.
Monolog pada diri selalu ada, dan bagi mama-mama yang baru bergelar mama atau yang sedang melalui status ini, adakah aku ibu yang baik dan inilah yang selalu menjadi persoalan bagi ibu muda hari ini.
Kami ingin kongsikan 3 tip bagaimana persoalan ini kita boleh kurangkan sedikit demi sedikit. Bagi para ibu di luar sana dapat guard sedikit demi sedikit untuk terus berjuang. Kita adalah ibu yang selalu mencari Allah dan mencari syurga Allah.
Jom kenali tindakan yang paling patut untuk kita lakukan sebelum dan sedang kita lakukan sebagai seorang ibu.

1. Kenali diri sendiri
Bila ibu dapat kenal diri sendiri, ibu akan selalu berfikir apa yang aku ingin di dunia ini? Apa yang sedang aku lalui setiap hari? Apa yang menjadi tanggungjawab aku setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan? Ibu perlu selalu kenal apa kekuatan ibu, apa kelemahan ibu, apa peluang menjadi ibu, dan apa ancaman menjadi seorang ibu. Huraikan satu persatu untuk terus kenal siapa anda dan kenapa anda menjadi seorang ibu.
Di sini para ibu, perlu memiliki buku jurnal sendiri dengan tajuk yang menurut para ibu suka dan meresap pada diri sendiri, catat satu persatu dan buat semakan setiap bulan.

2. Kenali suami anda
Ketika kita bergelar seorang ibu, kita perlu yakin kita ada yang membantu iaitu seorang suami yang menyempurnakan hidup kita. Bagaimana untuk mengenali suami, kita tidak akan pernah kenal secara keseluruhan atas diri orang lain walaupun dia telah memiliki tanggungjawab terhadap diri kita.
Tapi yang boleh dihuraikan adalah, bagaimana suami kita dapat membantu kita menjadi ibu yang baik. Untuk kali pertama mengenal suami adalah, duduk bersama dalam keadaan keduanya sedang dalam keadaan tenang dan catat satu persatu kelemahan dan kekuatan masing-masing kemudian, catat bersama bagaimana untuk melalui bersama.
Ambil sehelai kertas lagi dan senaraikan bagaimana kita ingin membentuk anak yang telah menjadi amanah kita untuk kita bentuk. Jadikan sebagai journal dan lalui secara tenang keduanya. Bila tugasan masing-masing telah faham dan ada denda bila tidak terlaksana dan ada reward bila terlaksana adalah salah satu cara untuk terus kekal menjadi ibu dan ayah yang baik.

3. Kenali anak-anak anda
Setiap mereka memiliki perangai berbeza, kelemahan berbeza, kekuatan berbeza, peluang berbeza, itulah yang perlu kita sedar. Di sini ibu perlu malah wajib untuk terus istiqamah belajar bagaimana berbicara, bagaimana menggunakan bahasa badan, menggunakan kuasa dan bagaimana mengatasi kelemahan ibu sebagai manipulasi mereka.
Hidup dengan anak-anak Allah berikan pengalaman sejak dalam kandungan, kelahiran mereka belajar berjalan dan bercakap sehinggalah mereka boleh menjadi diri mereka sendiri semua bermula dari seorang ibu dan sebuah rumah.
Para ibu, laluilah dengan tenang, setiap kali bangun dari tidur, mulakan dengan menyebut nama Tuhan mu ALLAH seperti doa yang sudah disusun oleh Rasulullah, bangun dari katil yakinlah ada pahala yang sedang menanti hari ini, pahala itu akan hilang bila ibu mengeluh, pahala itu akan berlalu bila ibu tidak boleh baik dengan suami dan anak-anak.
Jom teruskan bersemangat dengan diri dan menjadikan rumah dan anak adalah ladang yang mengumpulkan segala pahala yang akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Semoga tip ini dapat membantu anda menjadi ibu yang lebih produktif dan cemerlang.
Coretan,
Puan Anna Rosdijanti Binti Ahmat Rusdi
Pengurus Beana Home Quran Sdn Bhd
“Suka Kongsi Kekayaan Sebab Tu Rezeki Tak Putus,” RITA Dedah Peribadi Arwah FAZIANI ROHBAN!

Dari suasana riuh dan meriah… ruang Glam Hall bertukar sepi saat paparan skrin Nona Top Beauty Entrepreneur menunjukkan wajah usahawan kosmetik yang juga Pengasas Dnars, allahyarham Faziani Rohban. Suami arwah iaitu Ahmad Shah Rizal Ibrahim dan anakanda, Iqbar Hakim kelihatan sayu menanggung bebanan rindu tak berpenghujung terhadap wanita istimewa ini.
Suasana bertambah sebak ketika rakan baik arwah yang juga penyambung legasi Nouvelles Visages, Rita Sosilawati menceritakan sikap dan peribadi Faziani sebelum
dijemput ilahi pada tanggal 17 Mei 2019. Dengan suara yang tersekat-sekat menahan tangis, dia membuka bicara.
“Beliau banyak mengajar saya dan pernah berkongsi kisah rumah tangganya yang tidak berjaya, kesusahan membesarkan anak-anaknya, menaiki kereta Proton Saga untuk membawa anak pergi ke sekolah dan tiada duit di dalam purse.
Yang ada waktu itu cuma tinggal RM2. Itu pun dikorbankan untuk anaknya sebagai duit belanja sekolah. Hidupnya susah ketika masih kecil… inilah yang diceritakannya
kepada saya. Sewa rumah RM60 sebulan pun tak mampu nak bayar. Arwah bapa beliau begitu susah tapi dengan kesusahannya itu mengingatkan beliau di mana asalnya. Beliau
bukan anak orang kaya. Walaupun begitu itulah kenangan terindah masa zaman sekolahnya di Kampung Sungai Keladi, Kelantan.”
Biarpun dihimpit dengan kesusahan pada usia kanak-kanak namun Allah SWT maha adil dengan mengurniakan kesenangan buat allahyarham Faziani Rohban setelah beliau memiliki anak dan bertemu suami keduanya yang disifatkan seorang penyayang, baik hati dan memahami. Mendedahkan sisi peribadi sebenar seorang kakak yang mesra disapa Kak Yani itu, Rita berkata pemergian arwah ibarat kehilangan sebutir permata.
“Orangnya seorang yang open minded, pemurah, tabah, tak pernah berputus asa, tak kedekut ilmu, suka menolong orang, tak suka mengumpat dan tak ambil tahu pasal orang.
Walaupun ada orang bercakap buruk pasal dirinya, dia tetap positif dan tak pernah membalas balik. Tak sombong walaupun kaya-raya… tak pernah menunjuk!
Walau perkahwinan pertamanya tidak berjaya tapi perkahwinan keduanya bahagia. Semangatnya sangat tinggi. Seperti yang saya katakan, beliau kawan yang sangat baik. Kami pernah pergi bercuti bersama dengan menggunakan gelaran #tripmakdaragojes ke Kelantan sampai ke Golok. Macam-macam benda yang beliau uruskan waktu tu. Sekarang, kalau kami pergi ke Kelantan, dah rasa kekurangan. Bukan sahaja kami sebagai kawan malah orang-orang yang selalu beliau bantu turut terasa kehilangan.
Kerana kesabaran, kecekalan, ketabahan, semangat dan keberaniannya… daripada tiada apa-apa selain RM2 dalam purse waktu itu dan dialah ibu tunggal, sampailah penghujung
hayat, dia telah pun ada segala-galanya. Suami yang baik, anak-anak yang soleh dan solehah, harta, duit, kesenangan yang semua orang dapat merasa termasuk keluarga,
adik-beradik, umi iaitu ibu beliau. Segala benda yang diusahakan bukan untuk dirinya seorang. Beliau kongsi dengan semua sebab itu rezekinya tidak pernah putus.”
Lebih mengharukan, arwah sentiasa menyokong sahabat-sahabatnya. Ujar Rita, “Beliau juga seorang yang sangat support bisnes kawan-kawan sekeliling. Bukan minta free! Seperti raya tahun lepas, beliau order handbag dari saya. Waktu itu beliau sedang buat umrah dan mesej saya, ‘Rita, akak nak order 70 beg nak support Rita’. Sampai kita
pula yang segan.
Dan saya ingat lagi nasihat beliau, ‘Rita apa yang Rita nak buat, boh dengar cakap orang. Jangan fikir. Apa yang nak buat, buatlah. Pedulikan apa orang kata. Just go. Akan ada rezeki untuk kita kalau kita berusaha. Orang takkan tahu masalah kita, susah senang kita.’
Saya tengok bisnes arwah Kak Yani, apa yang dibuat, itu yang dikota. Sampai anak beliau pun merasa. Arwah seorang kawan dan kakak yang saya sanjungi,” akhirinya yang mengakui cukup terkesan dengan pemergian Faziani Rohban.
2 Tahun Bina Empayar Perniagaan Makanan Ringan, SAID SAIFUL FAZLI Pilih Berniaga Secara Konsisten. Elak Pemasaran Murahan

Sejak kebelakangan ini, pelbagai pendekatan dilakukan oleh sesetengah pengusaha atau pengasas produk untuk mempromosikan jenama mereka. Ada di antaranya menggunakan taktik atau strategi melawan arus serta ‘popular’ untuk dikenali dan sekaligus menjadi tular di dalam masyarakat.

Tidak dinafikan ‘modus operandi’ yang acapkali dipraktikkan segelintir pengasas produk dengan mempamerkan kekayaan masing-masing menjadi perhatian. Kebanyakannya berbuat demikian untuk tujuan ‘marketing’ dan atas dasar ingin menarik lebih ramai individu untuk turut sama dalam bisnes mereka termasuklah menjadi ejen mahupun stokis.
Antara ‘modus operandi’ berkenaan termasuklah memperlihatkan rumah besar dan luas, kereta mewah bersusun di parkir rumah dan memilih untuk membeli tas tangan mewah.
Bagaimanapun, syarikat Saudagaar Asia (S-Asia) menerusi jenama produk tub makanan ringan berasaskan coklat dan bijirin, ChocoAlbab mempunyai pandangan berbeza dan mungkin dianggap konvensional dalam menentukan hayat dan keberadaan jenamanya.

Menurut Pengasasnya, Said Saiful Fazli, apa yang lebih utama ialah terus menghargai ejen yang dianggap aset syarikat dan tidak lokek melabur wang untuk memberikan ganjaran dan hadiah sebagai suntikan semangat kepada mereka.
“Sebelum mempunyai jenama produk sendiri, saya pernah 13 tahun bergelar ejen menjual produk orang lain. Apabila saya berjaya membuat ‘sales’ atau melonjakkan jualan, pihak ibu pejabat sangat meraikan saya. Sebab itu apabila berada di posisi sekarang, saya terus praktikkan benda sama kerana saya sangat memahami apa yang ejen mahukan.
“Lumrah dalam hidup, kita akan rasa dihargai apabila setiap kerja dilakukan berbaloi dengan hasil dimiliki. Lebih daripada itu, kita dihargai dengan anugerah atau pelbagai ganjararan untuk menyuntik semangat bekerja. Macam pelakon dan penyanyi, bakat mereka diiktiraf dengan trofi anugerah.
“Selama ini ejen sayalah yang banyak buat jualan untuk syarikat. Jadi tak salah untuk syarikat meraikan dan menghargai mereka. Bukan banyak kos pun untuk semua itu dan nak dibanding dengan usaha ejen melonjakkan jenama dan jualan produk,” katanya.
Namun, Said berkata, dalam berniaga ini tak ada istilah ‘modus operandi’ digunakan itu salah atau sebaliknya.
“Terpulang kepada niat dan tujuan masing-masing. Ada yang cakap itu cara yang betul. Tapi antara wajar dan tidak, tepuk dada tanya selera. Pilihan di tangan masing-masing.
“Pada akhirnya, saya percaya guna ‘modus operandi’ sebegitu atau tidak, niat pengasas produk seperti kami hanya mahu memberi manfaat kepada orang ramai dan membuatkan produknya dikenali.
“Cuma pada pandangan peribadi, apabila pengasas produk tak pandai menghargai ejen dan hanya sentiasa nak tunjuk kemewahan semata-mata sedangkan ejen terus bergelut… tiada gunanya juga. Mungkin ejen itu takkan lama setia dengan kita,” katanya.
Kata Said lagi, sejak jenama itu diperkenal dan dilancarkan April 2021, seramai lebih 25,000 ejen berjaya direkrut.
“Dalam syarikat saya, kami terapkan nilai ‘togetherness’ atau kebersamaan dalam menghargai keberadaan ejen. Perkataan itulah umpama azimat dan kata sakti yang dilaungkan saban waktu.
“Buat apa sama-sama. Biar kaya dan berjaya sama-sama. Jadi itulah yang menjadi halatuju dan tujuan dalam syarikat. Jadi, di ChocoAlbab cara berkenaanlah menjadi salah satu usaha melonjakkan jenama yakni dengan membolehkan ramai ejen berjaya dengan kita. Apabila berjaya sama-sama, insya-Allah kita boleh kekal lama,” katanya.
Tambah Said lagi, dia percaya apabila wujud konsep ramai ejen yang mempromosi jenama produknya, maka di situ ada potensi lonjakkan nama ChocoAlbab.
“Kata kunci di sini, ejen adalah mustahak. Saya takkan melupakan jasa mereka yang berusaha keras menaikkan jenama. Malah ramai ejen saya yang sudah nikmati bonus dan pelbagai rezeki dengan menjual produk ini. Malah syarikat baru saja pulang bercuti menerusi percutian mewah ke Club Med Cherating dan Splash Mania Water Park, Banting.
“Seramai 450 ejen berpeluang menikmati ganjaran percutian itu. Pendek kata, selain memberi ganjaran anugerah dan hadiah, syarikat banyak melaburkan wang untuk pemasaran untuk ejen atau saya sebut sebagai ‘anak team’. Tiga kali seminggu ada kelas coaching untuk mereka.
“Begitulah putaran kerja di sini, selepas ejen bekerja keras mendapatkan hasil diingini, mereka layak diberi ganjaran. Itulah teknik dan resipi saya membina komuniti ChocoAlbab. Yakni membina ‘anak team’ yang berjaya, dihargai dan sekaligus melahirkan usahawan cemerlang,” katanya.
Said berkata hingga saat ini, dia belum terlintas untuk menggunakan ‘modus operandi’ popular dimaksudkan.
“Bagi saya segelintir syarikat atau ‘founder’ memilih sensasi cara viral mungkin ada kebaikan dan kelebihannya. Saya tak boleh menghukum dan tak berhak mengadili apa cara sekalipun. Cuma bagi diri ini, saya tak memilih cara itu sebab tak mahu jenama produk hanya meledak popular sekali atau bermusim saja.
“Bayangkan apabila viral sekali saja, mulalah ada kes produk di ‘restock’ tapi ejen tak dapat jual dalam tempoh masa tertentu. Malah di ChocoAlbab, kami tak amal cara begitu kerana tidak mahu ejen terkesan mengeluarkan modal besar.
“Saya selalu berpesan kepada ‘anak team’, kalau jual produk viral ini kemungkinan permintaan bertahan satu ketiga bulan saja. Lepas itu, sudah tak boleh cari makan. Cukup dapat jual produk yang konsisten dan ‘evergreen’ macam jenama Milo contohnya yang terus bertahan hingga sekarang,” katanya.
Tegas Said lagi, dalam berniaga perlu ada perancangan ‘sustainability’.
“Melihat jenama popular bertahan, dari situlah saya nampak bagaimana boleh cari makan dengan cara yang berpanjangan. Sebab di luar sana, ada ‘founder’ yang praktikkan cara ‘touch and go’. Cara sebegitu juga mewujudkan ejen yang ‘touch and go’.
“Sedangkan saya nak ejen serta pengedar yang bertahan lama dan bukan bermusim. Sebab itu juga saya suka amal cara syarikat jualan langsung yang lebih praktikal berbanding mengejar sensasi ‘modus operandi’ yang bersifat sementara,” katanya mengakhiri perbualan.