Wajah Berseri-Seri & Bersalin Tanpa Jahitan, Ini Rupa-Rupanya Petua DATIN SERI SHAHIDA!

Untungnya bayi comel yang diberi nama Yusoff Al Qardawi ini. Bukan saja menjadi kesayangan ibu bapa, Dato’ Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Shahida Mohd Rashid bahkan kelahirannya pada 25 Jun lalu turut mendapat perhatian meluas. Semalam, di kediaman mewah Aliff Syukri Palace telah berlangsungnya Majlis Tahnik, Cukur Jambul dan Akikah Yusoff Al Qardawi. Diraikan mengikut adat dan budaya Melayu, putera keempat usahawan ternama ini sekali lagi mencuri tumpuan apabila majlis tersebut mendapat sentuhan dekorasi dan pelamin dari Glam Weddings by Dato’ Rizalman. Memang luar biasa cantik!

Tanpa berselindung, Dato’ Seri Aliff berkata majlis menyambut cahaya mata seumpama ini yang menggunakan khidmat Dato’ Rizalman telah lama menjadi impian isterinya. Alhamdulillah, angan-angan Datin Seri Shahida akhirnya menjadi realiti. Enggan berkongsi jumlah belanja yang diperuntukkan untuk acara berkenaan, Pengasas D’Herbs ini turut memaklumkan persalinan yang dipakai beliau, isteri dan Yusoff Al Qardawi juga merupakan rekaan Dato’ Rizalman.

Datin Seri Shahida, biarpun baru dua minggu melahirkan anak namun pesona ibu muda ini tetap terserlah. Kelihatan anggun dan ceria melayan tetamu yang hadir, pertanyaan Nona tentang kelahiran Yusoff Al Qardawi tanpa jahitan dan hanya mengambil masa sejam disambut dengan senyuman manis. “Tak ada apa-apa amalan pun cuma memang daripada anak ketiga lagi memang dah tak ada jahitan.. so, kita banyak berjalan la.”

Mendengar jawapan isteri tercinta, Dato’ Seri Aliff yang berada di sebelah sempat mencelah. “Sebenarnya dia banyak baca Al-Quran setiap hari. Lepas tu dia minum air zam-zam dan waktu beranak dia baca ayat-ayat Al-Quran.” Sambil tertawa, Datin Seri Shahida menambah. “Biasa je, memanglah bila kita mengandung mestilah banyakkan beribadah. Macam tu lah..”

Yusoff Al Qardawi di samping nenda tersayang

Memang merendah diri sungguh Datin Seri Shahida ni. Mengakui beliau bukanlah seorang yang gemar mengumpul koleksi barangan berjenama … namun jauh di sudut hati, Datin Seri Shahida sangat menghargai setiap pemberian suami tercinta. Meskipun ada yang menganggap, air mukanya seolah-olah tidak menyenangi hadiah Dato’ Seri Aliff selepas melahirkan anak mereka baru-baru ini namun tegasnya ia sekadar tanggapan negatif masyarakat.

“Sebenarnya saya suka tapi saya bukan jenis yang karakter macam tu. Saya bukanlah seorang yang ‘gila’ shopping handbag ke, jam tangan ke, barang kemas ke.. memang saya tak suka.”

Pada majlis sama, Dato’ Seri Aliff dan Datin Seri Shahida turut menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri. Selain dihadiri rakan media, rakan bisnes dan masyarakat setempat, beberapa artis tempatan turut kelihatan memeriahkan majlis. Antaranya, Norman Hakim dan isteri, Memey Suhaiza, Joy Revfa, Vie Shantie dan Fasha Sandha.

Mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Ammar Ahyan, 10 tahun, Qadejah El Zahra, 8 tahun dan Ibraheem Adham, 6 tahun. Tahun lalu, Dato’ Seri Aliff dan Datin Seri Shahida mengambil dua anak angkat iaitu Ameena yang kini berusia sembilan bulan dan Qayyum, tujuh bulan. Moga dengan kehadiran cahaya mata baru ini perniagaan Dato’ Seri Aliff terus berkembang maju dan seisi keluarga diberkati Allah SWT.

Kredit foto: Haikal Mulia

IKLAN
Share