Wajah ERNIE ZAKRI Pula Muncul Di Times Square New York

Jika sebelum ini, beberapa selebriti kelahiran Malaysia telah menghiasi papan iklan digital di lokasi paling happening di kota New York, kini giliran Ernie Zakri pula melakar momen indah apabila wajahnya terpampang di billboard di Times Square New York.

Ibu kepada Nur Khawla Soleha berkongsi momen indah tersebut di laman Instagram miliknya hari ini.  Ernie turut menyifatkan momen tersebut sebagai momen indah dalam kerjayanya dan ia merupakan satu platform untuk lebih dikenali ramai.

“Semestinya saya sangat gembira dengan berita ini. Alhamdulillah ia sememangnya salah satu kejayaan terbesar dalam kerjaya saya sebagai penyanyi solo. Tidak pernah terbayang satu hari nanti wajah saya akan terpampang di papan iklan digital Times Square yang ikonik,” katanya memetik M Star.

Untuk info, penampilan Ernie pada papan iklan digital tersebut mewakili penyanyi Malaysia dalam kempen Equal oleh platform penstriman muzik digital, Sportify. Equal merupakan program anjuran Sportify yang memperjuangkan kesamaan dalam mengetengahkan artis wanita dari seluruh dunia.

Sebanyak 35 senarai lagu Equal membabitkan artis dari 50 negara, Ernie merupakan penyanyi wanita mewakili Equal Malaysia dan Singapura. Malah isteri kepada Syamel ini turut tersenarai sebagai Lagu Terbaik Global Equal yang menyenaraikan penyanyi Equal mewakili muzik dari artis sejagat seluruh dunia.

Untuk rekod, selain Ernie antara selebriti yang pernah menghiasi papan iklan digital gergasi tersebut termasuklah Yuna, Datuk Sri Siti Nurhaliza, Dolla, Aina Abdul, Kaka Azraff, Layla Sania, Iman Troye, Aisha Retno, Vanessa Reynauld dan ramai lagi.

 

IKLAN
Share