Perubahan sering kali membawa kita pada kematangan. Dengan keadaan dunia yang terancam dengan wabak COVID-19 ini, menunjukkan betapa rapuhnya kita. Banyak yang berlaku di luar kawalan kita terutama dari segi kesihatan dan ekonomi.
Namun, insyaAllah ada ruang untuk mengendalikan ke arah mana perubahan itu dan kita akan bangkit lebih kencang. Saya percaya setiap daripada kita yang melalui segala kesukaran itu akan bangun dengan sebuah harapan, doa, tawakal dan berusaha untuk memperbaiki segala keadaan yang musnah itu.
Wanita yang disifatkan sebagai makhluk kejadian dengan kelembutan, tapi bisa menggoncang dunia. Mengorak langkah dengan segala usaha, kerajinan untuk berubah dan menjadi yang terbaik.
Inilah bicara POWER LOOK yang dimiliki oleh seorang wanita. Kagum dengan setiap wanita yang terus kuat, sabar dan memenuhi ruang dengan sifat positif dalam menempuh setiap dugaan.
Tidak semua wanita sehebat Indira Ghandi, Ibu Theresa, Margaret Thatcher atau Aung San Suu Kyi tetapi kecekalan anda menempuhi segala yang dibentangkan dalam kehidupan sudah cukup mengagumkan. Biarpun perkaranya mungkin dianggap remeh bagi kaum lelaki tetapi ditatang baik oleh wanita dengan ikhlas, sabar dan jujur.
Ads
Ini sudah cukup membuktikan anda adalah wanita hebat. Kerana itulah Tuhan jadikan wanita sebagai seorang ibu, bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat ke dunia.
Nyata, kita tidak boleh diperkecilkan kelebihan seorang wanita, biapun ketua keluarga adalah lelaki. Hargailah pengorbanan seorang wanita. Siapa lagi kalau bukan mereka yang menukar lampin, mencuci baju, memasak, menjahit, bekerja, melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan dan melayan suami. Jelas, daripada perkara kecil sehinggalah kepada isu dunia, wanita sentiasa bertindak dengan semangat superwoman!
Ads
Kalau dahulu, si ibu bangun seawal pagi untuk menyiapkan nasi lemak untuk dihantar ke kedai. Kemudia pergi ke kebun dan pulang tengah hari sibuk menjemur ikan. Ibu gigih mencari rezeki demi menampung pendapatan ayah yang tidak seberapa. Harapan ibu hanya untuk melihat anaknya belajar dan sukses.
Dan hari ini bila anak perempuannya berjaya dalam bidang perniagaan, pastinya dia telah membuktikan kepada semua bahawa dia dibesarkan dengan sempurna oleh seorang ibu dan berkat doa ibu itu telah membawa dirinya menggapai bintang.
Ads
Ya! Hari ini anak perempuannya akan berkata, “Yes money can’t buy happiness but its more comfortable to cry in a BMW than on a bicycle.” Generasi wanita yang membanggakan!
Itulah perubahan masa, keadaan dan pencapaian apabila wanita lebih bertindak agresif demi memenuhi kehendak hidupnya yang lebih selesa. Bukan materialistik tetapi ingin perubahan hidup yang lebih baik. Segala kesusahan ibu dahulunya, si anak bertekad dengan cita-cita dan usaha mengubah kehidupan lebih sempurna.
Maka, lahirlah wanita yang lebih berani dan tidak mudah rapuh dengan segala cabaran serta dugaan. Mereka menjadi lebih kental, peka berdikari dan gigih bersaing secara sihat. Kekuatan jiwa mereka itu tidak mudah dihancurkan lagi.
Kita bangga dengan wanita hari ini, bijak mengatur langkah dengan pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang. Seiring dengan penampilan yang lebih elegan. Nampak lebih berkeyakinan dan menonjolkan karisma tersendiri. Anda adalah wanita yang hebat dan perkasa, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama Vivy Yusof nyata bukan lagi asing dalam kalangan usahawan dan generasi muda. Lebih mengagumkan adalah setiap kali bertemu dan bertanyakan kepada golongan belia hari ini tentang siapa inspirasi mereka… nama inilah antara yang paling banyak disebut-sebut.
Mana tidaknya, kejayaan yang diraih Vivy atau nama sebenarnya Datin Vivy Sofinas Yusof bukan calang-calang. Beliau tidak hanya memiliki rekod akademik yang cemerlang malah berjaya melakar pencapaian membanggakan dalam bidang perniagaan saban tahun.
Dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada penghujung Mei lalu oleh Kementerian Pendidikan, khabar gembira tersebut mendapat reaksi positif pelbagai pihak. Selaku peneraju FashionValet dan The dUCk Group, Vivy pernah berkongsi rasa syukur atas pelantikan tersebut di Instagram miliknya.
“Saya sangat menghormati pengerusi serta barisan ahli lembaga pengarah yang lain atas apa yang mereka lakukan. Biarpun tidak memiliki pengalaman setara dengan mereka, saya berharap dapat memberi sumbangan. Sumbangan dari idea yang segar dan beberapa pembaharuan kepada UiTM. Semoga ia mampu memberi manfaat kepada industri pendidikan dalam pelbagai cabang.”
Pelantikan ini juga sekaligus menjadikan Vivy, Ahli Lembaga Pengarah UiTM termuda dalam sejarah institusi pengajian terkemuka negara. Sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-91 yang berlangsung Ahad lalu, buat pertama kalinya Vivy muncul ke istiadat tersebut sebagai Ahli Lembaga Pengarah. Tengok usahawan berusia 31 tahun ini duduk bersama barisan para akademik dan ahli lembaga pengarah lain nyata mencetus inspirasi.
Iyalah, daripada seorang blogger… ahli perniagaan yang membina empayar FashionValet bermula dari bawah ini terus mendaki puncak kerjaya yang membanggakan hingga ke hari ini. Kongsi isteri kepada Fadza Anuar di Instagramnya, “Sejujurnya, ia merupakan momen yang sangat bermakna buat saya juga kerana ia adalah pengalaman pertama saya menghadiri konvo sebagai ahli lembaga pengarah.
Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan UiTM kerana kerja keras anda akhirnya berbaloi. Tapi realiti sebenar sedang menanti di luar sana. Yang pasti lebih mencabar dan semoga berjaya. Lakukan yang terbaik untuk kehidupan dan kerjaya, sertanjadi insan yang kuat yang mampu menempuhi segala bentuk cabaran kelak.”
Duli Yang Maha Mulia, Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan mencemar duli dalam Istiadat Konvokesyen Kali Ke-91. Pada istiadat itu, Vivy tampil menawan dengan persalinan kurung royal blue ilham MimpiKita.
Kredit: Foto Instagram Vivy Yusof
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keputusan meninggalkan kerjaya sebagai Akauntan kira-kira 10 tahun lalu merupakan satu tindakan berani yang dilakukan Azlin Mohd Said. Meskipun pada awalnya ibu kepada dua cahaya mata ini ‘berat’ melepaskan karier impian tersebut namun bersandarkan keyakinan yang tinggi terhadap rezeki Allah SWT yang luas, beliau nekad berhenti kerja demi membina legasi dalam bidang perancangan kewangan dinamakan AMS Empire.
Azlin atau mesra disapa Coach Azlin yang berasal dari Bota Kanan, Perak ialah anak kepada bekas pendidik. Kedua-dua ibu bapanya pernah berkhidmat sebagai guru. Begitu juga dua daripada enam adik-beradiknya yang turut mengikut jejak langkah ibu bapa mereka sebagai pendidik. Sementara dua beradik lain dalam bidang kewangan dan seorang lagi Penolong Pegawai Belia dan Sukan Negeri Perak.
“Selepas tamat pengajian Ijazah Perakaunan di Universiti Malaya (UM), saya timba pengalaman kerja di firma audit dan syarikat pembinaan. Pekerjaan terakhir saya ialah Akauntan di salah sebuah badan berkanun di Malaysia selama 10 tahun.
Latar belakang keluarga saya tak ada seorang pun yang buat bisnes dan saya tak pernah ada cita-cita untuk jadi usahawan. Tapi bila fikirkan kesihatan mental saya dan ada keluarga serta anak-anak yang perlu saya jaga, saya terpaksa lepaskan kerjaya Akauntan yang berdepan dengan banyak cabaran.
Untuk melangkah keluar daripada pekerjaan yang stabil memang kena ada kewangan yang kukuh. Saya tak terus berhenti kerja sebaliknya ambil cuti separuh gaji untuk menjaga ibu dan membawanya mendapatkan rawatan susulan setiap bulan waktu itu.
Sehinggalah pada satu hari, konsultan yang bantu pelaburan saya ajak berjumpa dan beri cadangan supaya saya ambil lesen Perunding Unit Amanah. Mulanya ia sekadar untuk memudahkan saya urus pelaburan sendiri. Tapi bila lulus exam dan lihat bagaimana mereka mengalu-alukan penyertaan saya, rasa seperti dunia baru.
Kata-kata penghargaan dari mereka mungkin nampak kecil di mata orang lain tapi besar maknanya bagi saya. Benda yang saya tak pernah dapat daripada pekerjaan dulu. Mulai saat itu, saya tak menoleh ke belakang dan tekad mendalami ilmu perancangan kewangan di samping berkongsi ilmu dengan orang lain,” ujar Pengasas AMS Empire ini yang melibatkan diri secara serius dalam bidang kewangan sejak Ogos 2014.
AMS EMPIRE
Awal penubuhan AMS Empire kurang daripada 10 orang ahli Perunding Unit Amanah dan sekarang berkembang kepada 38 Perunding Unit Amanah bertauliah dengan nilai pengurusan pelaburan mencecah sehingga sembilan angka. Mengulas lanjut mengenai perniagaan ini, Coach Azlin Mohd Said menjelaskan misi penubuhan AMS Empire.
“Singkatan AMS ini bermula sejak dari sekolah lagi sebab ada dua orang nama Azlin. Jadi kawan-kawan panggil saya AMS iaitu Azlin Mohd Said. Walau baru saja masuk dalam bisnes, saya dah ada misi untuk bina empayar dan terus letak nama AMS Empire.
Salah seorang kawan yang juga klien pernah persoalkan sejauh mana besarnya bisnes saya ini sampai mahu digelar ‘Empire’. Kata-kata itu jadi cabaran buat saya!
Nama AMS Empire itu diterjemah kepada maksud A iaitu ‘Achievers’, M bermakna ‘Millionaire’ dan S sebagai ‘Success’ yang melambangkan Perunding Unit Amanah AMS Empire yang komited dan kompeten,” dedah Coach Azlin yang turut memiliki lesen Islamic Financial Planner.
Berbekalkan usaha gigih dan iltizam untuk membawa AMS Empire ke tahap global, usahawan berusia 49 tahun ini sentiasa mempersiapkan diri menghadapi cabaran ekonomi semasa dengan mempelajari ilmu dan selok-belok dunia perancangan kewangan.
Tambahnya, selaku pemilik perniagaan beliau perlu kreatif dan menunjukkan prestasi terbaik berbanding pesaing industri kewangan yang lain supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan klien menggunakan perkhidmatan konsultan AMS Empire.
“Saya upgrade diri saya dengan mengambil certificate sebagai Professional Coach daripada Badan Nasional Sertifikasi Profesi (BNSP) dari Indonesia. Pentauliahan ini merupakan satu level untuk saya bukan saja mengembangkan profesion sebagai perunding kewangan di Malaysia. Malah di luar negara.
Saya juga aktif menghadiri sesi bimbingan daripada coach-coach di Jakarta secara online kerana mahu AMS Empire ada jaringan komunikasi dan sosial lebih meluas yang tidak hanya tertumpu di Malaysia saja.”
PELABURAN SEMBILAN ANGKA
Menjadikan ‘Millionaire Coach’ Dr Niki Shuhada Shukor yang juga salah seorang Mentor beliau sebagai sumber inspirasi usahawan berjaya, penulis buku Jom B.O.S (Bijak Organise Savings) ini mampu tersenyum bangga apabila berjaya memimpin 38 orang Perunding AMS Empire meraih jumlah pelaburan lebih RM100,000,000 dalam tempoh sedekad.
“Cabaran menguruskan klien, team dan staf bukanlah satu perkara mudah. Ada masa kami di atas, ada masa pula di bawah. Saya ialah seorang ketua yang akan selalu tracking figures dan membimbing Perunding AMS Empire supaya jelas dan fokus tujuan mereka mengambil lesen. You don’t know your numbers; you don’t know your business.
Misalnya dua tahun lepas, saya tracking jumlah pelaburan klien yang kami uruskan adalah sebanyak RM80 juta. Setiap bulan kami akan pantau dan bulan Jun lalu sewaktu saya mengerjakan haji dan berdoa di Arafah, saya terima mesej daripada pengurus menyatakan jumlah pelaburan AMS Empire tahun ini melebihi RM100 juta,” ungkapnya sambil mengukir senyuman.
Bagaimana pun Coach Azlin tidak menafikan hakikat bahawa beliau turut diuji dengan dugaan yang menggugat keyakinan diri dan mahu mengalah. Terutama sekali apabila berdepan dengan individu yang cuba menjatuhkan reputasi dan empayar yang dibina. Namun memikirkan tanggungjawab yang digalas selaku ketua, beliau bangkit berjuang.
“Bagi saya bila dah stable macam ini, saya boleh saja stop dan tak perlu kerja keras lagi. Tapi bila fikir tanggungjawab kepada team dan klien, saya tak boleh pentingkan diri. Sepanjang 10 tahun dapat urus pelaburan RM100 juta membuatkan saya emosi kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Ia juga menjadi pencapaian terbesar saya.”
Bercerita mengenai masa depan legasi perniagaan ini, ada impian besar yang sedang dirancang Coach Azlin.
“Melalui bisnes ini saya harap dapat beri pendedahan tentang pengurusan kewangan kepada lebih ramai masyarakat. Kami sebagai subject matter expert sangat berbesar hati berkongsi ilmu dan pengalaman. Misi saya secara sukarela memberi taklimat dan seminar kepada universiti sebab kebanyakan pelajar kurang pendedahan dan pengetahuan mengurus kewangan.
Saya juga ambil inisiatif mendekati para siswazah untuk menerangkan mengenai ilmu kewangan dengan menghubungi Dekan di universiti-universiti kerana ia adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat AMS Empire.
Kalau tidak, generasi muda akan lalui masalah kewangan yang sangat mencabar kelak. Begitu juga kaum wanita khususnya golongan suri rumah. Mereka perlu tahu ilmu menguruskan wang. Lebih-lebih lagi apabila hilang tempat bergantung atau kehilangan suami.”
Jelasnya lagi, beliau mahu menjadikan empayar miliknya sebagai platform menyampaikan ilmu dan tidak berpaksikan kepada keuntungan semata-mata.
“Menyebarkan ilmu perancangan kewangan ini satu fardhu kifayah. Cuma bidang ini tak popular macam bidang lain. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang, AMS Empire mampu melahirkan future leader yang boleh bawa legasi ini dan menguruskan pelaburan nilai amanah sehingga RM200 juta,” telus Coach Azlin yang menerima anugerah ‘Women in Business-Financial’ daripada Business Professional Woman (BPW) Malaysia.
Sebelum mengakhiri perbualan, Coach Azlin menzahirkan rasa syukur atas doa dan sokongan daripada ibu iaitu Hajah Paizah Haji Anuar, suami beliau Anuar Hasbul’lah Aboo Hashim serta dua anak tersayang, Aiman Hazim dan Adeeb Hafiz sepanjang melalui perjalanan sebagai seorang wanita, pemimpin dan ‘Financial Coach’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Itu perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan kehidupan yang sedang dilalui Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana ketika ini. Mana tidaknya, dari seorang bekas pramugari Thai Airways, Jeneral Suthida kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengawal Peribadi Raja Maha Vajiralongkron sebelum dilamar ‘majikannya’ itu dan kini bergelar Permaisuri Thailand. Bertuahnya!
Setelah sekian lama menjaga keselamatan dan melindungi Raja Maha Vajiralongkorn, Permaisuri Suthida yang dilaporkan berusia 42 tahun pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pemerintah Unit Pengawal Peribadi Raja Maha Vajiralongkorn pada tahun 2014 dan menerima kenaikan pangkat sebagai Jeneral pada Disember 2016.
Baginda seterusnya dilantik menjadi pengawal peribadi Raja Maha Vajiralongkorn pada tahun 2017 dan dianugerahkan Thanpuying iaitu gelaran diraja yang membawa gelaran Lady.
Sepanjang tempoh itu kelibat Suthida sentiasa berada di samping Raja Maha Vajiralongkorn demi memastikan keselamatan pewaris takhta Thailand tersebut dikawal rapi. Baginda juga sering dilihat lengkap berpakaian tentera ketika mengiringi Raja Maha Vajiralongkorn ke acara-acara rasmi.
Dilahirkan pada 3 Jun 1978, Akhbar Thai Rath melaporkan Permaisuri Suthida memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Komunikasi dari Assumption University pada tahun 2000. Dikurniakan raut wajah cantik, penampilan Permaisuri Suthida yang sopan dan bijak berfesyen juga menarik perhatian rakyat Thailand.
Paling menarik perhatian penulis, apabila Permaisuri Suthida mengenakan persalinan ala kebaya dengan kain batik bercirikan seni budaya Siam dan Indonesia! Memang tampak berbeza daripada gaya baginda sebelum ini.
Tahun lalu juga menyaksikan Raja Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida kerap turun padang bertemu serta beramah mesra dengan rakyat jelata. Tidak kira golongan kanak-kanak, remaja mahupun warga emas. Malah rata-rata rakyat yang berpeluang bertentang mata dengan raja mereka ini sempat merakam gambar kenangan bersama-sama.
Pasangan diraja ini melangsungkan perkahwinan di sebuah istana di Bangkok. Raja Maha Vajiralongkorn segak berpakaian seragam rasmi berwarna putih. Manakala Jeneral Suthida pula anggun mengenakan dress tradisional sutera Thailand merah jambu.
Upacara menandatangani ikrar perkahwinan Raja Maha Vajiralongkorn dan Jeneral Suthida turut disaksikan adindanya Princess Siridhorn dan salah seorang pemimpin tertinggi Thailand, Prem Tinsulanonda.
Turut menghadiri upacara tersebut ialah Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha dan beberapa ahli pemimpin Thailand.
Ia merupakan perkahwinan keempat baginda Raja selepas bercerai dengan isteri ketiganya, Puteri Srirasmi pada 2014 setelah 13 tahun berkahwin. Semuanya gara-gara pembabitan ahli keluarga Srirasmi yang dikatakan terlibat dalam skandal rasuah. Hasil perkongsian hidup, Raja Maha Vajiralongkorn dan Puteri Srirasmi dikurniakan seorang putera.
Raja Maha Vajiralongkorn yang menggunakan gelaran King Rama X, menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya, Raja Bumibol Adulyadej pada Oktober 2016 selepas memegang takhta diraja Thailand selama 70 tahun.
Upacara pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn sebagai Raja Thailand berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Mei 2019.
Sumber: Channel News Asia
Credit photo : Instagram Her Majesty Queen Suthida
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.