Hadir dengan tema ‘Inspirasi Wanita Bermula di Sini’, Nona Superwoman Award 2018 mengiktiraf wanita melalui 36 kategori anugerah yang sinonim dengan majalah Nona yang telah berada di pasaran selama 33 tahun. Para penerima anugerah ini bukan saja terdiri daripada golongan selebriti, malah ia merangkumi golongan usahawan, pakar motivasi, ahli sukan, ahli korporat serta ramai lagi.
Sebuah kejayaan itu bukanlah kebetulan. Harga untuk mencapai sebuah impian itu memerlukan kegigihan, kesungguhan, belajar dan belajar, pengorbanan dan rasa cinta yang mendalam. Nur Ernawati Mohd Nor, 34 tahun merupakan pengurus peribadi (Artist Management) kepada suami, aktor Zul Huzaimy. Beliau turut menguruskan kerjaya beberapa talent, stuntman dan pelakon muda lain. Tidak cukup dengan itu, wanita ini juga membantu perniagaan keluarganya dalam industri katering makanan.
Siapa sahaja boleh menjadi wanita yang kuat tetapi untuk terus bertahan dan percaya pada kemampuan diri itu, perlu disertakan dengan kesabaran dan kebijaksanaan. Nur Ernawati merupakan bekas penuntut Convent Kajang dan memiliki Ijazah Komunikasi Pengajian Media (Masscomm UiTM), Nur Ernawati mempunyai minat dalam bidang perniagaan yang mendalam untuk berjaya.
“Saya pernah berkhidmat di beberapa buah syarikat swasta sejurus selepas tamat pengajian. Saya juga menjalankan perniagaan fashion retail secara dalam talian (kecil-kecilan) dan akhirnya menyambung khidmat sebagai pengurus outlet bagi menyediakan katering hospital untuk para pesakit dan doktor di beberapa buah hospital swasta serta kerajaan.
Kemuncak kerjaya saya sekarang apabila berjaya mendapatkan sijil lulus MSQH (akreditasi audit hospital) dan kemudian menubuhkan syarikat pengurusan artis, selepas berkahwin dengan aktor Zul Huzaimy. Saya menjadi pengurus peribadinya dan membantu kerjaya artis baru yang lain,” jelas Nur Ernawati yang merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik perempuan kesemuanya.
Bagi Nur Ernawati, hidup kita ini jangan dibiarkan terlalu banyak ruang kosong, takut nanti terlalu banyak unsur negatif hadir. Hari-hari yang berlalu penuh dengan pelbagai aktiviti dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. “Tanggungjawab saya setiap hari adalah membentangkan jadual klien selain mencari booking job baru untuk talent di bawah pengurusan saya. Segala urusan mengenai kontrak, projek, tour, sponsor, merchandise, pemasaran dan sebagainya termasuk sebagai representative yang berinteraksi dengan pihak ketiga diuruskan oleh saya sepenuhnya.
Dalam masa yang sama, saya sebagai pengurus syarikat katering bersama ibu tercinta terus menerima tempahan katering. Tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada saya untuk memastikan segalanya berjalan mengikut perancangan dan pelanggan berpuas hati dengan tempahan yang dibuat.
Pada masa lapang, saya suka menyertai aktiviti kelab permotoran SPARK (NGO), seperti menghulurkan bantuan kewangan, makanan kepada pesakit di hospital dan membantu khairat kematian yang memerlukan. Aktiviti ini bagi menarik golongan muda belia untuk beriadah secara sihat tanpa terus terjebak dengan perlumbaan haram mahupun penyalahgunaan dadah. Setakat ini, aktiviti CSR kami sudah mencakupi seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak,” jelas Nur Ernawati yang mengakui aktiviti ini agak terhad sekarang.
GIGIH
Mengimbas kembali kegigihan berniaga, Nur Ernawati terus bercerita, “Sedari dari dulu saya sejenis yang suka mencabar diri saya untuk menceburi pelbagai bidang kerjaya. Sungguhpun aliran pengajian saya dalam bidang MassComm, namun minat yang sangat mendalam terhadap dunia perniagaan membuatkan saya belajar ‘from scratch’ tentang hospital catering/dietitic dan juga patient food services. Ternyata saya telah membuktikannya apabila memperoleh sijil akreditasi dan HACCP dalam bidang ini.
Pengalaman banyak mengajar saya untuk jadi lebih matang. Saya pernah berkhidmat di sebuah syarikat produksi tempatan dimiliki oleh Datuk Rosyam Nor di awal permulaan karier saya. Kemudian saya mendalami ilmu teknologi pengkomputeran dan selok-belok dunia perniagaan sepanjang bekerja dengan sebuah anak syarikat milik Touch Group Holdings yang dimiliki oleh YM Raja Dato’ Karib Shah Raja Shahruddin. Pengalaman kerjaya dalam pelbagai bidang inilah yang menjadi bekalan langsung melahirkan rasa untuk mengembangkan perniagaan kecil saya sendiri. Terkini, saya telah menjalankan perniagaan online fashion retail, selain daripada tumpuan sepenuhnya pada servis pengurusan suami dan talents di bawah pengurusan saya.
Pernah sekali saya terpaksa berniaga di konvensyen Singapura sewaktu anak pertama cuma baru berusia 6 bulan dan masih menyusu. Saya tidak boleh tinggalkan anak bersama pengasuh, sementara suami pula tidak dapat ikut serta ke Singapura disebabkan komitmen kerja di KL. Sambil menyusukan anak dan tidurkan anak di booth jualan itu, saya terpaksa lakukan urusan jual-beli sendirian kerana ketiadaan staf lain pada waktu itu. Ia merupakan pengalaman yang amat berharga dan merasakan pengorbanan yang saya sanggup lakukan ini, demi membuktikan bahawa anak kecil bukan halangan untuk saya serius berniaga,” jelas Nur Ernawati.
“Alhamdulilah, kalau dulu pada awal mula berniaga secara dalam talian saya cuma bermodalkan RM200 sahaja dan kemudian berkembang hingga menjadi ‘pop-up store’ di event besar serata tanah air. Manakala dalam perniagaan katering pula saya cuma mengambil gaji tetap setiap bulan dan ditambah pula dengan pendapatan servis pengurusan artis saya mampu capai 5 angka pendapatan bulanan. Syukur, alhamdulillah.
Sebagai seorang isteri dan juga ibu, saya harus bijak membahagikan masa secukupnya untuk keluarga memandangkan usia anak-anak masih kecil namun begitu saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang sangat memahami dan kebanyakan kerja kami buat bersama-sama. Kami menolak sangkaan yang menyatakan suami isteri tidak boleh bekerjasama kerana dikhuatiri hubungan rumah tangga akan terjejas.
Ironinya, kami capai keserasian dengan kerjasama sehari-hari dan saya akui sikap timbang rasa itu sangat penting. Pengurusan masa untuk wanita yang bekerja adalah kunci utama kerana berbeza dengan lelaki, mereka tidak perlu melaksanakan tugasan rumah seharian seperti kita. Oleh itu, para wanita yang ingin menjalankan perniagaan samada kecil-kecilan mahupun suri rumah tangga harus bijak dalam menguruskan pembahagian masa,” pesan Nur Ernawati sambil tersenyum.
Apakah cabaran sebagai seorang peniaga dalam keadaan sekarang? “Cabaran peniaga dalam keadaan pandemik ini antaranya adalah kekangan dari segi supply dan juga limited movement. Namun begitu, trend jual beli dalam talian adalah lebih mudah dan meningkat sejak kebelakangan ini yang mempengaruhi peniaga untuk mempertimbangkan semula konsep jualan masing-masing.
Banyak faktor yang perlu diambil kira dalam melancarkan proses jualan online antaranya packaging, penyimpanan dan teknik pemasaran yang berkesan (mostly online) serta pelan strategi ‘return customer’. Apa yang penting adalah jangan mudah berputus asa dan sebagai peniaga selain harus kekal positif kita juga perlu produktif. Tiada usaha yang sia-sia dan tiada kejayaan tanpa usaha. Kebanyakan peniaga yang gagal selalunya apabila mereka cepat merasa give-up dan kurang refleksi diri. Berniaga perlukan kemahiran dan jangan segan untuk mempelajari sesuatu yang baru, sentiasa tambahkan skill anda dari masa ke semasa,” ujar Nur Ernawati yang mendapat sokongan penuh dari ibu dan suami tercinta.
Impian dan perancangan masa hadapan, “Saya jarang meletakkan harapan yang tinggi dan impian luar biasa, tapi saya percaya dengan praktikaliti. Saya biasanya akan tetapkan satu ‘target’ dengan jangka masa tertentu, contohnya ‘Dimana saya akan berada dalam tempoh 3 tahun lagi?’
Impian dalam masa jangka masa begini lebih mudah dan jelas untuk dicapai. Saya amat berharap agar perniagaan katering bersama ibu saya berkembang maju dan ingin menambah lagi aset tetap di masa hadapan. Saya juga berharap kerja-kerja NGO kami di kelab SPARK dapat memberikan impak besar kepada masyarakat dalam melahirkan kumpulan motor yang berhemat, insyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Saya mahu kasut MEDSHOE jadi satu keperluan. Semua orang sekurang-kurangnya mesti ada sepasang, tidak kiralah untuk bekerja atau berjalan-jalan,” kongsi usahawan kasut kesihatan MEDSHOE, Nur Diana Dzulkiply atau Kak D tentang impiannya.
Jenama MEDSHOE yang dinobatkan sebagai NONA BEST MEDICAL FOOTWEAR AWARD dalam Nona Superwoman Award 2020 jelas dipacu dengan kepimpinan serta strategi terbaik pasukan Kak D.
“Saya banyak belajar erti keyakinan, sifat berani, ambil risiko dan optimistik. Yang penting mesti selalu syura (bermesyuarat) dan berarbitrari sesama team. Saya juga banyak gabungkan ilmu advocacy dan cara menyampaikan hujah ke dalam perniagaan.
Seni memujuk pelanggan perlu dilakukan secara jujur dan cara menyampaikan maklumat pun mesti berhemah,” kata Kak D yang pernah bergelar peguam syarie itu.
Sebagai Pengasas MEDSHOE dan Pengarah Urusan di Ettijar Enterprise Sdn Bhd, Kak D awalnya bermula dengan perniagaan membekal barangan perubatan dan tudung untuk jururawat. Apabila sering berjumpa frontliners, timbul pula permintaan untuk membekalkan kasut yang sesuai untuk gaya kerja mereka.
Tahun 2016, Kak D bersama seorang rakan niaga pun memulakan MEDSHOE. “Kami bermula dengan menghasilkan kasut-kasut untuk jururawat dan seterusnya kasut yang praktikal untul pelbagai acara.”
Dengan tagline Health, Comfort, Style, jenama MEDSHOE berkembang pesat menerusi 22 outlet fizikal di seluruh Malaysia. Kak D turut melahirkan konsep jualan MEDSHOE On The Go dengan trak lori ke pelbagai tempat.
Sebelum ini Kak D pernah berhasrat untuk membuka lebih banyak outlet MEDSHOE. Tapi tiba-tiba dunia dilanda pandemik COVID-19, maka niat itu terpaksa dipendam.
“Dengan sebulat suara, kami bersatu majukan MEDSHOE di platform online. Alhamdulilah kini MEDSHOE boleh didapati di laman web, Shopee, Lazada serta media sosial seperti Instagram, Facebook dan Telegram.
Walaupun menjual secara online, tapi saya masih menekankan interaksi dengan pelanggan. Bagi saya, kami tidak fokus untuk sekadar menjual saja tapi kefahaman pembeli tentang sesuatu produk itu lebih penting.
Kami juga cipta satu kitaran ekonomi agar banyak pihak dapat berkongsi rezeki melalui sistem dropship dan ejen,” terang Kak D yang turut mengadakan sesi Facebook Live setiap minggu untuk berhubung dengan potential customer.
Kasut MEDSHOE juga amat selesa dan sering menjadi pilihan jemaah haji serta umrah. Disebabkan kualiti tersebut, Kak D menyasarkan untuk membuka outlet MEDSHOE di Mekah dan Madinah beberapa tahun lagi bagi memudahkan jemaah menunaikan ibadah dengan selesa di sana.
Seperti jenama kasut Bata umpamanya, yang sentiasa menjadi pilihan ramai.
Seperkara tentang kasut kesihatan MEDSHOE yang turut diiktiraf sebagai Super Health Brand 2019 ini adalah membolehkan pemakainya berdiri lebih lama tanpa menyakiti kaki.
Lebih-lebih lagi untuk kerjaya beruniform seperti jururawat, anggota keselamatan dan guru, kasut yang betul amat penting untuk mengoptimumkan tugas mereka.
“Sebut jenama MEDSHOE, saya yakin orang sudah tahu ia adalah jenama kasut kesihatan. Selain sistem ortotik, kami juga memastikan kasut dilengkapi pelbagai ciri-ciri hebat seperti microfibre yang baik untuk pesakit diabetes. Ini kerana mereka perlu menjaga kaki agar tidak terluka atau melecet.
Terdapat juga teknologi PORON iaitu pelapik dalaman yang menyerap tekanan dalam kasut, ciri high arch, suede lining dan microfibre pada luaran kasut yang tahan lasak serta kalis air.
Bagi saya kasut kesihatan tidak semestinya membosankan. Walaupun bertujuan untuk menjaga kesihatan dan postur badan sewaktu bekerja, kami juga memastikan ia menepati cita rasa serta gaya hidup pemakainya. Umpamanya melahirkan pilihan rona-rona berani seperti ungu dan mustard dalam rekaan terkini,” akhiri Kak D.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bagai berada di lorong gelita, bertitik tolak ujian pemergian ibu tercinta di kala dirinya memerlukan sumber kekuatan dalam melayari kehidupan akhirnya menjadi asbab terlahirnya produk Annona yang kini menjadi salah satu produk kesihatan terunggul dan mulai dikenali di seluruh pelusuk Malaysia.
Dari ahli farmasi kini usahawan berjaya, siapa menyangka Ony Nurhusny memilih laluan berbeza bagi mengecap kejayaan. Walau timbul kegusaran, beliau memilih untuk terus mara tanpa menoleh ke belakang lagi. Dan kini, misinya adalah untuk mengubah nasib nasib kaum wanita untuk terus cekal membaiki diri dan menganjak potensi diri demi kelangsungan hidup yang berkualiti.
Inspirasi Dari Arwah Ibu
Ony mula berbicara, “Saya dan adik beradik dikejutkan dengan berita di mana arwah ibu didignos dengan kanser limfoma tahap ke empat, dan rawatan disyorkan pada waktu itu adalah radioterapi dan kimoterapi, tetapi arwah ibu bertegas enggan mendapatkan rawatan moden”, jelas Ony membuka bicara. Jus Annona dicipta berinspirasikan arwah ibunya yang pernah menghidapi kanser limfoma.
Akui Ony sendiri, memandangkan dirinya seorang pakar penjagaan kesihatan dan sebagai seorang anak menyebabkan perasaanya bercampur baur. “Sudah pastinya kita mahukan rawatan moden yang terbaik untuk ibu tetapi dengan keadaan mak yang tidak menizinkan, saya terpaksa mencari rawatan alternatif untuk membantu ibu kembali sembuh”.
Dalam pada dirinya mencari ikhtiar, terdetik untuk dirinya menyelak halaman Internet. Ony akhirnya menemui sinar yang dicari selamanya. “Saya terbaca satu artikel berkaitan khasiat durian belanda, dan mendapati khasiatnya sangat bagus untuk pesakit kanser, walaupun saya sedar tiada rawatan khusus yang benar-benar dapat mengubati kanser namun saya tidak berputus asa.
Bertitik tolak dari situlah, saya mendapat ilham untuk memasarkan produk berasaskan durian belanda dan memformulasikannya dalam bentuk mudah diambil. Malah nama Annona sendiri diambil dari nama saintifik durian belanda, Annona Muricata. Dan pada tahun 2012 jus Annona dipasarkan secara rasmi. Malah mak pun dah mula mengambil jus Annona dan ternyata nampak perubahan positif.”
Namun akui Ony, siapa dirinya untuk melawan takdir dan qadar Allah. Ibunya akhirnya pergi dijemput Ilahi pada 21 Januari 2013. Selepas pemergian arwah ibunya, Ony melalui satu fasa gelap dalam kehidupannya. Bagaikan berada di dunianya sendiri malah seakan ‘merajuk’ dengan produknya sendiri, Ony mengakui tidak boleh langsung melihat botol jus Annona yang gigih diusahakan olehnya selama ini.
“Bayangkan saya langsung tak boleh tengok produk malah saya sendiri tidak boleh dengar perkataan Annona. Saya membenci produk saya sendiri! Saya merasakan seperti seorang yang gagal kerana asalnya memang saya mencipta jus Annona ini untuk menyembuhkan penyakit ibu, namun bila ibu dah tiada seakan separuh jiwa saya berkubur”.
Persoalannya, bagaimana dirinya nak menjual sendiri produk yang dibenci. Akui Ony, dia mengambil masa setahun untuk mencari kekuatan dan bangkit kembali. Namun berkat sokongan suami, Syah Ismail dan juga doa ahli keluarga, akhirnya Ony berjaya bangkit kembali meneruskan legasi Annona sehingga kini memiliki lebih dari 5,000 orang wakil jualan di seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura. Malah pengguna Annona pula dilihat terus meningkat dan jenama Annnona mula mendapat kepercayaan.
Keunikan Annona? Akui berpegang pada prinsip, etika dan keberkatan dalam menjalankan bisnes, Ony mengakui sebagai seorang ahli farmasi, dia cukup yakin dengan kepakaran yang dimilikinya. “We know what we are doing, menerusi ilmu farmaseutik dan pendispensan. Kami sangat menekankan setiap produk yang nak di hasilkan melalui fasa-fasa yang ketat bermula dari formulasi, persampelan, penghasilan dan kawalan kualiti.
Dari Ahli Farmasi, Kini Pengasas Produk Kesihatan Sendiri
Selain dari mengusahakan perniagaan kesihatan dan kecantikan Annona, Ony dan suami turut memiliki sebuah farmasi sendiri. Bermula sebagai seorang ahli farmasi pada tahun 2004, selepas menamatkan latihan housemanship di Hospital Tuanku Fauziah Kangar, di awalnya Ony dilihat berjaya dalam bidang yang diceburinya, tapi jiwanya tiada disitu.
“Siapa menyangka lepas beberapa ketika saya bergelar ahli farmasi, akhirnya terbuka hati saya untuk terjun dalam bidang perniagaan selepas terhasilnya jus Annona. Namun tidak semuanya datang dengan mudah. Cabaran utama yang perlu saya lalui ialah untuk mendidik dan memberi kesedaran pada orang awam tentang penjagaan kesihatan dan kecantikan tanpa memudaratkan diri.
Bayangkan di awal dahulu, pelbagai cabaran harus dilalui antaranya perniagaan yang gagal seperti bisnes kafe, kedai perabot dan lain-lain. Yang teruknya, saya pernah kena ligan dengan bank dek mengalami kerugian sehingga RM200 ribu malah pernah rugi RM1 Juta”.
Ony yang turut mengagumi dan memandang tinggi Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad serta usahawan selebriti Neelofa turut berkongsikan perancangan Annona dalam tempoh 10 tahun akan datang. “Insya allah, Annona akan mempunyai rangkaian kedai fizikal Annona Pharmacy yang mana turut mempunyai pelbagai produk house brand dengan jenama Annona sendiri di samping jenama-jenama antarabangsa dan lokal yang lain.
Selain itu, Annona berazam untuk menjadi farmasi atas talian yang dipercayai dalam membekalkan produk kesihatan, kecantikan dan penjagaan diri serta ubat-ubatan serta kilang sendiri yang menghasilkan produk-produk Annona”.
Menerajui sebuah empayar perniagaan dengan tiket seorang wanita, apa pandangan Ony dalam fenomena begini? “Kenapa tidak? Sebagai seorang wanita kita di anugerahkan Tuhan untuk mampu memikul banyak topi peranan pada satu-satu masa. The ability to wear many hats. The ability to multitask. Wanita juga banyak emosi, tak dinafikan.
Tapi cuba kita ambil emosi yang positif dengan sifat-sifat seperti penyayang, sabar, mudah empati, memahami yang mana apabila ia disalurkan dengan cara yang betul ia akan membentuk tenaga yang sangat kuat. Ini berupaya untuk membentuk persekitaran dan budaya yang lebih harmoni seperti sebuah keluarga di tempat kerja berbanding kepimpinan autokratik yang banyak ditonjolkan pemimpin lelaki.”.
Nasihat Ony buat semua wanita yang berazam untuk terjun dalam bidang perniagaan. “Kita mesti ada self disiplin yang kuat, kerja keras, rajin tambah ilmu. Kita mungkin ada banyak self-doubts dalam diri kita. Jadi jangan terlalu overthinking. Satu perkara lagi, kejayaan seorang isteri ini juga banyak di sokong oleh suami. Doa dan redha suami atau mereka yang memegang kunci redha iaitu ibu bapa kita adalah keramat pada kejayaan”, jelas Ony mengakhiri temubual.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT dan sudah pun tertulis di Luh Mahfuz. Industri seni tanah air pada 5 Ogos lalu kehilangan seorang bintang berbakat besar dikenali sebagai Cik Man yang telah lama mewarnai dunia hiburan sejak 40 tahun lepas.