Gaya Hidup

Waspada 6 Perkara Ini Kalau Anak Penghidap Asma. Nombor 2 Paling MUSTAHAK

Mempunyai anak yang menghidap asma pasti akan menjadi kebimbangan buat ibu bapa. Anak-anak yang ‘terpilih’ ini perlu diberikan perhatian yang lebih kerana serangan asma boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Berikut beberapa faktor penting yang perlu diberikan perhatian oleh ibu bapa terhadap anak yang menghidap asma. Pastikan juga anda memilih ubat serta rawatan yang terbaik buat anak tersayang demi kesihatannya.

SIMPAN CATATAN SEJARAH PERUBATAN ANAK SEBAIKNYA

Langkah terbaik untuk merancang rawatan asma secara efektif ialah dengan sentiasa bersiap sedia. Simpan segala catatan perubatan anak kerana ia sangat berguna untuk memudahkan doktor mengenal pasti keadaan anak seterusnya menentukan jenis perubatan yang paling sesuai untuknya.

Anda juga perlu membuat catatan lengkap tentang kekerapan anak mengalami sesak nafas dengan nafas berbunyi, kekerapan anak dibawa ke klinik atau hospital, kekerapan menggunakan ubat asma dan kaedah yang digunakan untuk mencegah asma.

ELAKKAN PENYEBAB ASMA

Beberapa penyebab asma atau alergi berikut perlu diperhatikan. Antaranya ialah haiwan berbulu, permaidani, perabot beralas kain dan boneka. Selain itu ialah kulat pada dinding, asap rokok, minyak wangi, penyembur serangga dan bedak. Namun begitu, anda tidak perlulah menghindarinya terus sebaliknya perlu sentiasa berwaspada.

RUTIN PEMERIKSAAN KESIHATAN

Pastikan anak anda mengikut rutin pemeriksaan ke doktor untuk memantau tahap asma yang dialaminya. Selain itu, sebagai ibu bapa juga anda haruslah memastikan ubat asma untuk anak sentiasa tersedia. Lihat juga kepada tarikh tamat tempoh pada setiap ubat. Jika kandungan ubat semakin sedikit segeralah ke klinik atau farmasi.

Pastikan anak anda memakan ubat mengikut jadual serta dos yang ditetapkan oleh doktor. Pastikan juga ubat asma anak yang utama seperti nebulizer sentiasa dekat dan mudah dicapai. Nebulizer adalah pilihan yang baik untuk rawatan asma kerana ia lebih mudah digunakan berbanding inhaler.

RANCANG PELAN TINDAKAN

Pelan tindakan merupakan arahan bertulis yang anda lakukan bersama dengan doktor. Apa yang perlu ada dalam pelan tindakan asma anak ialah jenis dan jumlah ubat yang digunakan, apa jua gejala asma, gejala-gejala yang spesifik, pantang larang aktiviti fizikal untuknya dan tindakan cadangan darurat apabila anak tidak memberi tindak balas kepada ubatnya. Masukkan juga nombor telefon anda, suami dan doktor yang merawat dalam setiap catatan.

AHLI KELUARGA LAIN JUGA PERLU BERSEDIA

Penting untuk memaklumkan semua ahli keluarga tentang asma yang dihidapi oleh si kecil. Maklumkan juga kepada orang-orang yang sering ada bersama anak anda seperti pengasuh, pengetua sekolah dan guru. Pastikan mereka tahu bagaimana cara untuk menghadapi gejala asma termasuk penggunaan ubat. Maklumkan kepada sekolah jika anda anda alergi terhadap makanan tertentu.

FAHAMKAN ANAK TENTANG ASMA

Ketika anak menginjak usia ke 5 tahun atau lebih, anda sudah boleh memberikan pengetahuan tentang asma dan gejala-gejala sehingga anak dapat terlibat secara langsung terhadap rancangan pelan tindakannya sendiri. Jika anak anda mahu melibatkan diri dalam aktiviti sukan pastikan berbincang dahulu dengannya tentang cara mengatasi asma sebelum, semasa dan selepas beraktiviti.

 

IKLAN
Share