Pengalaman 13 tahun menjadi Presiden MERCY Malaysia mengasuh jiwanya menjadi lebih sabar, lebih memahami dan bertolak ansur. Bersama Nona, Dato’ Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus mencurahkan pengalaman hidupnya sebagai seorang pakar perunding perubatan, pekerja kemanusiaan dan presiden sebuah badan amal kesukarelawanan.
Biar tanpa publisiti kencang, takwim kerja Dato’ Dr Ahmad Faizal, 54 tahun begitu padat sekali. Ada-ada sahaja komitmen yang menanti hinggakan sukar menetapkan temu janji dengan Pakar Perunding Perubatan (Respiratori) itu.
Mujurlah di sebalik kesibukan, pengurusan MERCY Malaysia memberi kepercayaan untuk kami menyelit masa, menyelami lebih dalam jiwa lelaki kelahiran Kuala Lumpur yang kedua ibu bapanya berasal dari Perak itu.
Petang Ahad usai mempengerusikan retreat fizikal pertama MERCY Malaysia sejak bermula pandemik COVID-19, bapa kepada tiga cahaya mata ini bergegas bertemu kami.
“Sejak saya mengambil alih jawatan Presiden MERCY Malaysia daripada Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pada tahun 2009, tugas saya sebagai Presiden lebih menuntut komitmen masa dan fokus yang tinggi sebenarnya. Percaya tidak, tanggungjawab yang digalas seperti orang bekerja sepenuh masa.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Dato’ Dr Ahmad Faizal kini masih berkhidmat di Hospital KPJ
Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MERCY Malaysia atau singkatan Malaysia Medical Relief Society ini telah ditubuhkan pada tahun 1999 untuk memberi bantuan kemanusiaan.
Banyak bantuan perubatan serta kemanusiaan telah disalurkan apabila berlaku krisis dan bencana di peringkat antarabangsa mahupun di dalam negara.
Di bawah pimpinan Dato’ Dr Ahmad Faizal, pelbagai misi besar berjaya dilaksanakan antaranya yang terbaru, bantuan memerangi COVID-19 menggunakan kepakaran sedia ada.
Sejak pandemik melanda pada awal 2020, MERCY Malaysia tampil memberi bantuan kecemasan serta jangka panjang kepada Kementerian Kesihatan dalam pelbagai cabang untuk memudahkan operasi memerangi wabak COVID-19.
Tumpuan mereka jelas dalam menyediakan keperluan penting seperti katil, alat ventilator, pakaian perlindungan diri (PPE), ubat-ubatan dan sebagainya, serta meningkatkan aktiviti vaksinasi dan saringan.
Sebagai seorang mukmin, semua kerja yang dilakukan di dunia ini mestilah semuanya kerana Allah Taala. Tambah Dato’ Dr Ahmad Faizal, beliau juga memberi keutamaan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira bangsa, warna kulit atau fahaman politik.
Ads
Kerja kemanusiaan harus ikhlas, bukan saja kerana Allah tapi kerana tanggungjawab sesama manusia.
“Walaupun organisasi ini mengalami banyak pertumbuhan dari segi kapasiti, keupayaan, kemampuan kewangan serta sumbangan staf sepenuh masa, tapi kami masih melakukan kerja-kerja secara sukarela.
Selain turun ke lapangan untuk beri bantuan, saya kira kerja-kerja merancang, membuat strategi dan menyelesaikan masalah yang timbul terutamanya yang melibatkan ramai pemegang taruh (stakeholders) amat mengambil masa yang banyak.
Dalam waktu yang sama, saya masih lagi berkhidmat sebagai pakar perunding di Hospital KPJ Damansara.
Dua tahun kebelakangan ini pula, saya terpaksa bergelut dengan wabak dan pesakit COVID-19 secara langsung.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Sambungnya, beliau kini turut terlibat menangani pandemik di Malaysia sebagai seorang frontliner merawat pesakit COVID-19 sesuai dengan kepakaran sebagai pakar perunding respiratori.
Sebagai pemimpin MERCY Malaysia yang bergerak secara aktif membantu usaha-usaha mencegah COVID-19 di kalangan masyarakat, badan amal kebajikan ini juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak ketinggalan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya.
Ketokohan Dato’ Dr Ahmad Faizal turut terlihat apabila beliau terlibat dengan jawatankuasa peringkat nasional untuk membantu kerajaan dalam memberikan nasihat, idea atau buah fikiran, terutama sekali kepada NADMA.
Selain menjadi pengerusi kluster kesihatan dan bahaya baru muncul (emerging hazard) yang sinonim dengan COVID-19, beliau juga menjadi ahli jawatankuasa berkenaan kerjasama hospital awam dan swasta (private-public partnership) dalam menangani isu yang sama.
“Saya juga salah seorang penyelaras yang terlibat dalam proses penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta di Lembah Klang.
Ads
Di sini kita bernasib baik kerana ada banyak hospital swasta yang sudi membantu di peringkat operasi. Jadi saya kira tak ramai orang di negara ini seperti saya yang mempunyai pengalaman serupa di semua peringkat.”
AKTIVITI
Jasa beliau yang sangat besar dalam dunia kesukarelawanan dan kebajikan Malaysia membuatkan lelaki ini diiktiraf sebagai penerima Nona Men’s Charity Award di acara Nona Superhero.
Tonton video ini saat beliau mengimbau kembali pengalamannya dalam dunia kebajikan sejak 18 tahun lalu…
“Saya bermula sebagai ahli sukarelawan biasa pada 4 Januari 2003. Masa tu saya baru menjadi pakar perubatan, setepatnya selepas menamatkan latihan kepakaran sebagai pakar perubatan dalam sub-bidang respiratori.
Tiada siapa daripada MERCY Malaysia yang mengajak saya secara formal. Tapi kerana minat yang mendalam, mungkin sayalah yang mengajak kawan-kawan saya masa tu di HUKM.
Kebetulan ada program induksi untuk ahli sukarelawan baru, jadi saya pun masuk sebab jauh di sudut hati, saya yakin sudah masanya orang Malaysia buat kerja kemanusiaan secara terurus dan sistematik sebegini.”
Aktiviti kemanusiaan banyak membawa Dato’ Dr Ahmad Faizal ke serata ceruk dunia. Antaranya ke Sri Lanka sewaktu banjir besar, ke Iran membantu mangsa gempa bumi, ke Sudan ketika konflik Darfur, ke Aceh semasa tsunami, Pakistan, Myanmar, Filipina, sempadan Turki-Syria, Syria, serta banyak lagi.
Timbul pertanyaan, sepanjang beliau bergiat aktif dengan aktiviti MERCY Malaysia, bagaimanakah penerimaan isteri dan anak-anak, tidakkah terhalang masa berkualiti dengan mereka?
Ads
“Sebenarnya isteri juga adalah ahli sukarelawan MERCY Malaysia dan kini masih berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan am swasta.
Anak-anak saya sejak kecil lagi, mereka selalu ikut beri bantuan kepada warga emas, fakir miskin atau mangsa banjir. Saya kira jiwa kemanusiaan sudah disemai sejak dulu dan mereka pun memahami minat kami dalam bidang kebajikan.”
Dato’ Dr Faizal diwakili Timbalan Presiden MERCY Malaysia, Datin Raja Riza menerima anugerah
Tidak mahu meletakkan sebarang garis akhir dalam kerjaya kemanusiaannya, Dato’ Dr Ahmad Faizal menyerahkan segala ketentuan masa depan di tangan Yang Maha Kuasa.
“Sehingga kini saya sangat suka berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kebolehan yang saya ada dalam bidang kemanusiaan.
Cuma di MERCY Malaysia, mungkin akan tiba masanya nanti saya lepaskan jawatan ini supaya ada kesinambungan kepimpinan yang baru.
Menjadi harapan kami sejak 22 tahun usia MERCY Malaysia ditubuhkan, kami bukan saja mahu badan NGO ini berjaya di Malaysia tapi di peringkat serantau dan antarabangsa.”
IDOLA
Majoriti kerja kemanusiaan di luar negara bukan dilakukan secara sukarela, sebaliknya diuruskan secara profesional, umpamanya di Afrika dan Eropah.
Terdapat organisasi tertentu yang mendapat bantuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Persatuan Palang Merah Antarabangsa atau badan-badan NGO besar dari Barat untuk menjalankan misi-misi tertentu.
“Terdapat seorang tokoh yang saya kagumi iaitu mendiang William L. Swing yang merupakan seorang diplomat Amerika Syarikat.
Mendiang sampai ke umur 80 tahun pun masih berkhidmat sebagai Ketua Pengarah di International Organization for Migration (IOM), sebuah agensi migrasi yang diletakkan di bawah PBB.
Mendiang William L. Swing
Mendiang menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia dan baru saja menghembuskan nafas terakhir pada Jun 2021 lalu akibat komplikasi COVID-19.
Apa yang saya kagumi, jiwa kemanusiaan itu begitu besar dalam dirinya sehinggakan mendiang menolak untuk menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator) dan menyuruh ia diberikan kepada pesakit lain yang lebih muda dan memerlukan, walaupun beliau orang kenamaan.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Percaya bahawa kerja-kerja kemanusiaan mampu mengasuh nilai-nilai murni dalam jiwa manusia, Dato’ Dr Ahmad Faizal berpegang teguh kepada ajaran Islam bahawa setiap yang baik itu akan mendapat pembalasan yang baik juga di pengakhirannya.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Natrah Mat Jan
Solekan: Che Wann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pejam celik, rumah tangga Atta Halilintar dan Aurel Hermansyah sudah memasuki angka 2 tahun. Pasangan yang memilih melangsungkan pernikahan ketika wabak Covid-19 rancak melanda seluruh dunia itu ternyata bersyukur dapat meraikan ulang tahun perkahwinan kali ini dalam suasana romantik dan mencipta memori indah buat mereka berdua.
Melihat perkongsian Atta dan Aurel di laman Instagram mereka, pasangan ini meraikan ulang tahun perkahwinan ke 2 dalam suasana romantis di sebuah lokasi yang tidak dinyatakan.
Kelihatan kedua-duanya menikmati suasana makan malam sambil diiringi dua orang pemuzik yang mengalunkan irama romantik yang bersesuaian dengan mood pasangan tersebut.
Bukan itu sahaja, Atta turut menghadiahkan isteri tersayang jambangan bunga yang bersaiz mega rona ungu istimewa buat ibu kepada Ameena Hanna Nur Atta ini.
Untuk rekod, pasangan ini memilih untuk melangsungkan majlis pernikahan di Hotel Raffles, Jakarta pada 3 April 2021. Mereka telah dinikahkan sendiri oleh bapa Aurel yang juga penyanyi dan komposer, Anang Hermansyah.
Pada majlis pernikahan, Atta menyerahkan mas kahwin sebanyak RM100 (Rupiah 342,021) serta alat kelengkapan solat buat isteri tercinta.
Menariknya, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi turut menjadi salah seorang saksi pernikahan Aurel dan Atta selain Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto. Majlis pernikahan Aurel, 23, dan Atta, 27 turut mencipta sejarah apabila ia disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan, RCTI.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Ameena Hanna Nur Atta. Nama Ameena diinspirasi dari nama ibu Nabi Muhammad SAW, Hanna bererti kebahagiaan untuk keluarga, Nur dari nama Aurel agar bercahaya, Atta dari nama ayahnya.
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau terpacul sahaja nama Kylie Jenner pasti sudah terbayang seorang gadis dengan sosok tubuh seksi yang gemar menggayakan fesyen terkini pereka jenama mewah. Wajah yang jelita dan sering tampil cantik dengan solekan sempurna ini sebenarnya seorang yang berhati mulia.
Ini kerana jutawan muda ini telah mengeluarkan duit poketnya sendiri yang bernilai RM4.3 juta (USD1 juta) demi membantu hospital-hospital di Los Angeles mendapatkan bantuan dan bekalan untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
Mungkin Kylie Jenner tidak sangup mendengar laporan yang menyatakan Amerika Syarikat setakat ini mempunyai jangkitan COVID-19 paling tinggi di dunia dengan mencatatkan lebih daripada 142,000 kes positif.
Doktor peribadi kepada jutawan cantik ini, Dr. Thaïs Aliabadi telah menzahirkan rasa terharunya terhadap Kylie Jenner di media sosial milik peribadinya.
“Saya hilang kata-kata, air mata gembira jatuh dan benar-benar terharu apabila Jylie Jenner telah menghulurkan bantuan untuk membeli topeng muka, pelindung muka dan barang keperluan lain, TERIMA KASIH Kylie Jenner you are my hero,” kata doktor cantik ini.
Kylie telah membalas ucapan Dr. Thaïs Aliabadi, “I love you dan terima kasih atas kasih sayang dan perhatian untuk menentang virus ini. You are an angel on earth,” ucap Kylie Jenner.
Wanita yang lahir daripada program realiti TV ini turut menggalakkan pengikutnya membantu memutuskan rantaian pandemik COVID-19 dengan duduk di rumah. Menurut Kylie sudah 2 minggu dirinya kuarantin di rumah.
Majalah Forbes ini telah menyenaraikan Kylie Jenner sebagai salah seorang wanita muda yang berjaya dalam perniagaan kosmetik sehingga bergelar Instagram-Savvy Makeup Moguls. Dengan memiliki 168 juta pengikut di laman Instagram dan digelar sebagai Seventh Most Followed User mungkin Kylie Jenner tidak perlu bersusah payah untuk mempromosikan barangan solekannya.
Bisnes kosmetik yang diberi nama sempena namanya, Kylie Cosmetics telah mentransformasikan dirinya daripada seorang gadis biasa kepada seorang Jutawan dengan jumlah harta kekayaan USD900 juta dalam masa tiga tahun memulakan perniagaan.
Foto: Instagram @kyliejenner
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Korea Selatan merupakan negara pertama yang melaporkan bilangan kes COVID-19 di luar China serta antara yang terjejas teruk.
Kina Omar, anak kelahiran Malaysia yang mengusahakan industri pelancongan Jeju Muslim Travel di negara tersebut bersama suami turut merasai kesannya. Sebagai seorang yang telah lama menghuni bumi Korea Selatan, Kina berkongsi sedikit sebanyak tentang keadaan terkini di Korea Selatan.
“Walaupun Korea Selatan kesnya agak tinggi tetapi di Pulau Jeju hanya terdapat empat kes positif COVID-19. Namun kini keempat-empatnya sudah kembali pulih.
Kini keadaan sangat terkawal. Semua masyarakat di Korea Selatan mengikut arahan dengan menjaga keselamatan diri serta keluarga. Mereka sentiasa memakai topeng muka serta hand sanitizer walaupun sedang bekerja di dalam pejabat.
Antara langkah-langkah pembendungan yang dilakukan oleh kerajaan agar wabak COVID-19 tidak merebak dengan lebih serius ialah semua restoran serta kedai tidak membenarkan warganegara China memasuki premis mereka.
Selain itu, untuk mengekang wabak COVID-19 daripada terus menular kerajaan Korea Selatan turut menyekat kemasukan warganegara China. Korea menarik free-entry visa untuk seluruh warganegara kecuali Malaysia.
Ini bermaksud semua warganegara memerlukan visa untuk memasuki Korea kecuali warganegara Malaysia.
Keadaan di Jeju lengang, tiada pelancong dan ramai yang stay indoor walaupun negara tersebut tidak melakukan lockdown. Seperti mana kita tahu masyarakatnya sangat berdisiplin.
BISNES PELANCONGAN TERJEJAS
Industri pelancongan antara yang paling terkesan dengan wabak COVID-19 ini. Bisnes pelancongan kami, Jeju Muslim Travel turut terima tempiasnya. Syarikat kami menerima jumlah pembatalan dan penangguhan trip yang terlalu tinggi. Sejak minggu kedua bulan Mac semua trip dibatalkan. Kami kehilangan lebih 1.000 orang pelanggan dalam masa 2 bulan.
Syarikat kami mengalami banyak kerugian sehingga menyebabkan Jeju Muslim Travel terjejas dan hilang sumber pendapatan. Kami juga terpaksa memberhentikan beberapa orang pekerja.
Bisnes kami adalah dalam sektor pelancongan (tour, kereta sewa dan guesthouse). Semuanya tiada income. Dijangkakan keadaan ini akan berterusan di Korea Selatan sekurang-kurangnya setahun baru kembali pulih. Buat masa ini kami berada dalam fasa survival.
PERSEDIAAN
Alhamdulillah saya dan suami tetap bersyukur kerana kami ada membuat simpanan dan tidak berbelanja dengan boros ketika perniagaan masih dalam keadaan stabil. Justeru, kami menggunakan wang simpanan sedia ada untuk survive.
Di saat semua agensi pelancongan memilih untuk menghentikan kerja-kerja pemasaran dan penjenamaan mereka, kami pula giat melakukan kerja-kerja tersebut kerana pada masa inilah iklan-iklan kami di Facebook serta Instagram tiada persaingan.
NASIHAT
COVID-19 memberi impak kepada kita semua, satu dunia terkesan. Jika anda tidak dijangkiti virus COVID-19, anda mungkin akan terkesan dengan hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan, gaji dipotong dan ekonomi negara yang jatuh merudum.
Jika tidak terkesan hari ini, mungkin akan terkesan minggu depan atau bulan depan atau tahun depan (sekiranya COVID-19 masih belum pulih). Oleh itu, marilah kita sama-sama mematuhi arahan PKP untuk kebaikan bersama termasuk frontliners yang sedang berjuang di hospital.
Tinggal di rumah, jaga kebersihan, kekalkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain, jangan berjabat tangan dan pakai topeng muka. Hand sanitizer sentiasa ada apabila keluar rumah. Together we can fight this virus!
Kesimpulannya, saya menganggap COVID-19 ini sebagai satu ‘blessing in disguise’. Sejak tahun lepas lagi, saya berdoa kepada Allah SWT semoga ada masa untuk luang lebih banyak masa bersama keluarga. Dapat berehat kerana saya sudah penat bekerja selama lima tahun.
Tiba-tiba tahun ini Allah SWT ‘datangkan’ COVID-19. Walaupun Jeju Muslim Travel terkesan teruk dengan wabak ini, tetapi saya anggap Allah SWT telah memakbulkan doa untuk dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak dan keluarga.
Sejak PKP dilaksanakan, setiap hari saya dapat memasak untuk keluarga. Selain dapat menyediakan menu yang berbeza setiap hari, saya juga dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada anak sambil melayannya bermain serta melakukan banyak aktiviti bersamanya.
Paling seronok kini saya dan suami dah kurang bercakap hal-hal kerja. Terima kasih Allah, inilah kebahagiaan yang kami tak dapat waktu bisnes tengah naik sebelum ini. Apa yang berlaku ada hikmahnya. Cari titik positif di setiap musibah yang berlaku. Pasti kita akan merasa bahagia dan sentiasa bersyukur,” akhiri Kina yang kini berada di Malaysia bersama keluarga tersayang.
Kredit Foto: Instagram Kina Omar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.