Sejak kebelakangan ini, pelbagai pendekatan dilakukan oleh sesetengah pengusaha atau pengasas produk untuk mempromosikan jenama mereka. Ada di antaranya menggunakan taktik atau strategi melawan arus serta ‘popular’ untuk dikenali dan sekaligus menjadi tular di dalam masyarakat.
Said Saiful Fazli
Tidak dinafikan ‘modus operandi’ yang acapkali dipraktikkan segelintir pengasas produk dengan mempamerkan kekayaan masing-masing menjadi perhatian. Kebanyakannya berbuat demikian untuk tujuan ‘marketing’ dan atas dasar ingin menarik lebih ramai individu untuk turut sama dalam bisnes mereka termasuklah menjadi ejen mahupun stokis.
Antara ‘modus operandi’ berkenaan termasuklah memperlihatkan rumah besar dan luas, kereta mewah bersusun di parkir rumah dan memilih untuk membeli tas tangan mewah.
Bagaimanapun, syarikat Saudagaar Asia (S-Asia) menerusi jenama produk tub makanan ringan berasaskan coklat dan bijirin, ChocoAlbab mempunyai pandangan berbeza dan mungkin dianggap konvensional dalam menentukan hayat dan keberadaan jenamanya.
Said Saiful Fazli
Menurut Pengasasnya, Said Saiful Fazli, apa yang lebih utama ialah terus menghargai ejen yang dianggap aset syarikat dan tidak lokek melabur wang untuk memberikan ganjaran dan hadiah sebagai suntikan semangat kepada mereka.
“Sebelum mempunyai jenama produk sendiri, saya pernah 13 tahun bergelar ejen menjual produk orang lain. Apabila saya berjaya membuat ‘sales’ atau melonjakkan jualan, pihak ibu pejabat sangat meraikan saya. Sebab itu apabila berada di posisi sekarang, saya terus praktikkan benda sama kerana saya sangat memahami apa yang ejen mahukan.
“Lumrah dalam hidup, kita akan rasa dihargai apabila setiap kerja dilakukan berbaloi dengan hasil dimiliki. Lebih daripada itu, kita dihargai dengan anugerah atau pelbagai ganjararan untuk menyuntik semangat bekerja. Macam pelakon dan penyanyi, bakat mereka diiktiraf dengan trofi anugerah.
“Selama ini ejen sayalah yang banyak buat jualan untuk syarikat. Jadi tak salah untuk syarikat meraikan dan menghargai mereka. Bukan banyak kos pun untuk semua itu dan nak dibanding dengan usaha ejen melonjakkan jenama dan jualan produk,” katanya.
Ads
Namun, Said berkata, dalam berniaga ini tak ada istilah ‘modus operandi’ digunakan itu salah atau sebaliknya.
“Terpulang kepada niat dan tujuan masing-masing. Ada yang cakap itu cara yang betul. Tapi antara wajar dan tidak, tepuk dada tanya selera. Pilihan di tangan masing-masing.
“Pada akhirnya, saya percaya guna ‘modus operandi’ sebegitu atau tidak, niat pengasas produk seperti kami hanya mahu memberi manfaat kepada orang ramai dan membuatkan produknya dikenali.
“Cuma pada pandangan peribadi, apabila pengasas produk tak pandai menghargai ejen dan hanya sentiasa nak tunjuk kemewahan semata-mata sedangkan ejen terus bergelut… tiada gunanya juga. Mungkin ejen itu takkan lama setia dengan kita,” katanya.
Kata Said lagi, sejak jenama itu diperkenal dan dilancarkan April 2021, seramai lebih 25,000 ejen berjaya direkrut.
Ads
“Dalam syarikat saya, kami terapkan nilai ‘togetherness’ atau kebersamaan dalam menghargai keberadaan ejen. Perkataan itulah umpama azimat dan kata sakti yang dilaungkan saban waktu.
“Buat apa sama-sama. Biar kaya dan berjaya sama-sama. Jadi itulah yang menjadi halatuju dan tujuan dalam syarikat. Jadi, di ChocoAlbab cara berkenaanlah menjadi salah satu usaha melonjakkan jenama yakni dengan membolehkan ramai ejen berjaya dengan kita. Apabila berjaya sama-sama, insya-Allah kita boleh kekal lama,” katanya.
Tambah Said lagi, dia percaya apabila wujud konsep ramai ejen yang mempromosi jenama produknya, maka di situ ada potensi lonjakkan nama ChocoAlbab.
“Kata kunci di sini, ejen adalah mustahak. Saya takkan melupakan jasa mereka yang berusaha keras menaikkan jenama. Malah ramai ejen saya yang sudah nikmati bonus dan pelbagai rezeki dengan menjual produk ini. Malah syarikat baru saja pulang bercuti menerusi percutian mewah ke Club Med Cherating dan Splash Mania Water Park, Banting.
“Seramai 450 ejen berpeluang menikmati ganjaran percutian itu. Pendek kata, selain memberi ganjaran anugerah dan hadiah, syarikat banyak melaburkan wang untuk pemasaran untuk ejen atau saya sebut sebagai ‘anak team’. Tiga kali seminggu ada kelas coaching untuk mereka.
“Begitulah putaran kerja di sini, selepas ejen bekerja keras mendapatkan hasil diingini, mereka layak diberi ganjaran. Itulah teknik dan resipi saya membina komuniti ChocoAlbab. Yakni membina ‘anak team’ yang berjaya, dihargai dan sekaligus melahirkan usahawan cemerlang,” katanya.
Ads
Said berkata hingga saat ini, dia belum terlintas untuk menggunakan ‘modus operandi’ popular dimaksudkan.
“Bagi saya segelintir syarikat atau ‘founder’ memilih sensasi cara viral mungkin ada kebaikan dan kelebihannya. Saya tak boleh menghukum dan tak berhak mengadili apa cara sekalipun. Cuma bagi diri ini, saya tak memilih cara itu sebab tak mahu jenama produk hanya meledak popular sekali atau bermusim saja.
“Bayangkan apabila viral sekali saja, mulalah ada kes produk di ‘restock’ tapi ejen tak dapat jual dalam tempoh masa tertentu. Malah di ChocoAlbab, kami tak amal cara begitu kerana tidak mahu ejen terkesan mengeluarkan modal besar.
“Saya selalu berpesan kepada ‘anak team’, kalau jual produk viral ini kemungkinan permintaan bertahan satu ketiga bulan saja. Lepas itu, sudah tak boleh cari makan. Cukup dapat jual produk yang konsisten dan ‘evergreen’ macam jenama Milo contohnya yang terus bertahan hingga sekarang,” katanya.
Tegas Said lagi, dalam berniaga perlu ada perancangan ‘sustainability’.
“Melihat jenama popular bertahan, dari situlah saya nampak bagaimana boleh cari makan dengan cara yang berpanjangan. Sebab di luar sana, ada ‘founder’ yang praktikkan cara ‘touch and go’. Cara sebegitu juga mewujudkan ejen yang ‘touch and go’.
“Sedangkan saya nak ejen serta pengedar yang bertahan lama dan bukan bermusim. Sebab itu juga saya suka amal cara syarikat jualan langsung yang lebih praktikal berbanding mengejar sensasi ‘modus operandi’ yang bersifat sementara,” katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 yang berlangsung pada 25 hingga 30 September 2022.
Baginda diiringkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Al-Sultan Abdullah bertitah agar Simposium Tekstil Tradisional ASEAN dwitahunan itu akan terus diadakan di negara lain pada masa hadapan dengan menghimpunkan penggiat seni tekstil dari ASEAN dan rantau lain untuk berkongsi maklumat mengenai keunikan tekstil masing-masing.
“Sambutan untuk acara ini amat menggalakkan dengan lebih 300 peserta. Saya berharap semua peserta akan bergembira di sini,” titah Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka baginda turut mengucapkan tahniah kepada Tunku Azizah dan pasukannya atas usaha mereka dalam menganjurkan acara dengan jayanya.
“Beta perlu memberitahu bahawa Raja Permaisuri sangat sibuk dalam memastikan simposium ini berjaya. Beta ingin berkongsi bahawa beta melihat betapa mendalamnya minat Raja Permaisuri untuk memastikan kejayaan acara ini, baginda kadang-kadang tidak dapat tidur pada waktu malam,” titah Al-Sultan Abdullah.
Simposium berkenaan dianjurkan Yayasan Tenun Pahang Diraja, mempamerkan keindahan tekstil Malaysia termasuk songket dan batik selain teknik pembuatan tekstil warisan Melayu seperti tekat, tenun, telepuk dan menggerus untuk dipelajari oleh masyarakat dunia.
Sempena simposium itu, 19 kertas kerja akan dibentangkan oleh wakil 13 negara termasuk Brunei, Indonesia, Kemboja, Kanada, India, Filipina dan Myanmar, khususnya untuk membincangkan mengenai pemeliharaan seni dan kelestarian tekstil tenunan asli di rantau ASEAN.
Sementara itu, Tunku Azizah yang merupakan pengasas dan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha dalam menyokong dan memelihara seni kraf tekstil berkenaan.
“Dari lubuk hati beta, beta ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan. Terima kasih banyak-banyak. Kita harus memelihara apa sahaja yang kita ada untuk generasi akan datang,” titah Tunku Azizah.
Tunku Azizah bertitah, Institut Kraf Negara di Rawang, Selangor, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Kuala Lumpur, Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam di Pekan, Pahang, dan program pemulihan penjara oleh Jabatan Penjara, merupakan pencapaian khas hasil inisiatif kerajaan.
Sempena majlis itu, Tunku Azizah turut mengumumkan projek kerajaan Pahang di Kampung Al-Sultan Abdullah di Pekan akan menyediakan tempat tinggal kepada bekas banduan dari seluruh negara dan memberi peluang kepada mereka untuk membina semula kehidupan dalam persekitaran yang bersepadu dan kondusif.
“Di dalam perkampungan seluas 20 ekar tanah yang disediakan kerajaan Pahang ini, beta ingin terus membawa harapan kepada mereka yang datang dari penjara ini mengenai erti kebebasan. Kami mahu memperkasakan insan-insan ini untuk berdikari dari segi kewangan serta menyumbang kepada ekonomi tempatan dan domestik,” titah Tunku Azizah.
Baginda juga mengumumkan penubuhan Persatuan Artisan Diraja Malaysia sebagai sebuah persatuan untuk mengiktiraf segelintir artisan yang mahir dan hasil usaha mereka yang lampau dan masa depan.
Berkongsi perjalanan baginda, dalam memelihara dan menghidupkan tradisi budaya, Tunku Azizah bertitah, ia bermula dua dekad lepas dengan memberi tumpuan kepada usaha perkembangan dan penjenamaan semula Tenun Pahang kepada Tenun Pahang Diraja di Pulau Keladi, Pekan.
“Baru-baru ini, kita telah menyertai Minggu Kraf London untuk mempamerkan Tenun Diraja Pahang kepada dunia. Beta berharap dapat mengetengahkan seni dan kraf lain seperti seni Orang Asli dan songket dalam Minggu Kraf London yang akan datang,” titah Tunku Azizah.
Tunku Azizah turut bertitah, baginda juga akan meneruskan lawatan sambil belajar ke negara-negara lain untuk menerokai dan mengenali cara negara berkenaan mengekalkan tradisi lama.
“Apabila pulang ke Pahang, beta akan gabungkan ilmu yang dipelajari ke dalam tekstil tradisional kita. Malah, reka bentuk itu telah diserapkan dalam kesemua enam persalinan pakaian yang beta pakai semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong,” titah Tunku Azizah.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Yang Amat Arif (YAA) Tun Tengku Maimun Tuan Mat secara rasmi menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara pada 1 Julai lepas selepas enam tahun berkhidmat dan melakar sejarah menjadi wanita pertama memegang jawatan itu.
Disifatkan seorang yang tegas dan bertanggungjawab sepanjang menggalas tugas itu, YAA Tun Tengku Maimun akui tidak pernah menyesal mahupun berkecil hati tidak ditawarkan untuk melanjutkan perkhidmatan berkenaan.
Sebaliknya anak jati Kota Bharu, Kelantan ini bangga kerana dapat memikul amanah dan menyempurnakan tugas sebagai hakim tertinggi negara.
Tun Tengku Maimun Bangga Galas Tugas Ketua Hakim Negara
Ketika ditemu bual media di Mahkamah Persekutuan Tun Tengku Maimun berkata, “Tidak, tidak sama sekali. Sebab anda tahu menjadi Ketua Hakim Negara sebenarnya bukan impian saya.
Jadi bila sesuatu itu bukan impian anda, tetapi anda berada di kedudukan itu selama enam tahun dan saya sudah pun melengkapkan tempoh berkenaan. Sama ada saya mencapai sesuatu yang besar atau tidak, seperti yang saya katakan, itu bukan untuk saya tentukan.
Saya telah berkhidmat selama enam tahun dalam keadaan sihat dan bagi saya, itu satu nikmat yang besar.”
Beliau turut menyifatkan peluang berkhidmat dalam badan kehakiman sebagai satu penghormatan besar.
Meskipun kecil molek saja orangnya tapi kebijaksanaan Tun Tengku Maimun mengendalikan hal berkaitan perundangan tidak perlu dipertikai lagi. Beliau diberi kepercayaan menjadi Ketua Hakim Negara selepas Tan Sri Richard Malanjum bersara pada 12 April 2019.
Sebelum bersara wajib, Tun Tengku Maimun menyempurnakan tugas sebagai Ketua Hakim Negara dengan mempengerusikan dua prosiding termasuk rayuan akhir enam lelaki yang membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.
Beliau merupakan siswazah lulusan Universiti Malaya yang memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada tahun 1982.
Memetik infomasi dari Bernama, pada 2 Oktober 2006 hingga 4 September 2007 Tun Tengku Maimun merupakan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kemudian beliau dilantik menyandang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selama hampir empat tahun bermula 5 September 2007 hingga 31 Mac 2011.
Pada April tahun yang sama hingga 7 Januari 2013, Tun Tengku Maimun pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Selangor seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya yang berkhidmat selama hampir lima tahun bermula 8 Januari 2013 hingga 25 November 2018.
Tidak hanya terhenti di situ, Tun Tengku Maimun turut menerima pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Putrajaya mulai 26 November 2018 hingga 1 Mei 2019 sebelum diangkat sebagai wanita pertama dilantik selaku Ketua Hakim Negara.
Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan YAA Tun Tengku Maimun dalam menerajui Badan Kehakiman Malaysia sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Prestasi cemerlang jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nyata membanggakan rakyat Malaysia. Datang ke bumi Jepun dengan semangat berkobar-kobar untuk mengulangi kejayaannya membawa pulang pingat emas seperti di Sukan Paralimpik Rio 2016, impian Ziyad musnah sekelip mata apabila penyertaannya dibatalkan selepas mendapat bantahan daripada kem Ukraine.
Kem sukan negara berkenaan melakukan protes berikutan Ziyad serta dua lagi atlet dari Australia dan Ecuador dikatakan lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
Tindakan membatalkan penyertaan Ziyad meskipun sudah membuat beberapa lontaran sebelum itu turut mendapat perhatian meluas rakyat, atlet dan pemimpin negara. Antaranya Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin dan jaguh keirin, Datuk Azizulhasni Awang.
Lebih menyedihkan, Ziyad telah berjaya pecah rekod dunia dengan catatan 17.94 meter. Bagaimanapun, susulan protes terbabit persembahan hebat Ziyad tidak dikira. Sekaligus menyaksikan atlet Ukraine meraih pingat emas dan perak bagi acara lontar peluru F20.
Walau kem sukan Malaysia, Australia dan Ecuador sudah membuat rayuan terhadap perkara itu namun ia tetap ditolak.
Sementara itu, Ziyad menerusi perkongsian di Instagram beberapa jam lepas turut memuat naik luahan hati berhubung situasi berkenaan. “Saya mintak maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya.”
Menelusuri kejayaan Ziyad, nama atlet berusia 31 tahun ini mula dikenali ramai selepas dia meraih pingat emas Paralimpik Rio, Brazil pada 2016. Dua bulan selepas memenangi acara temasya sukan paralimpik, November 2016 menjadi detik bersejarah buat dirinya apabila selamat bergelar suami kepada Zafirah Mohd Nasir.
2 Ogos 2017, pasangan ini dikurniakan anak perempuan Zuhayra Zafra dan pada 6 April 2019 pula mereka menimang cahaya mata kedua, Thariq Zavier.
Sepanjang pembabitannya dalam bidang sukan, Ziyad pernah mendapat pengiktirafan sebagai Atlet Paralimpik Negara Terbaik 2013 oleh Anugerah Sukan Negara.
Sering ‘dahaga’ kejayaan, Ziyad meneruskan aksi cemerlang di Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 apabila memecahkan rekod temasya dengan catatan 16.81 meter sekali lagi merangkul pingat emas menerusi acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran).
Dalam usia muda, pencapaian membanggakan Ziyad wajar dijadikan inspirasi buat semua. Malah dia cukup bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan kepadanya. Nona juga tertarik dengan pesanan yang pernah dikongsikan Ziyad di media sosial.
“Betullah orang dulu berkata ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Tapi tiada istilah NASIB, setiap apa yang kita buat, nak berjaya perlu kerja keras. Apa yang kita nak tu kita perlu ada pengorbanan dan rintangan.
Apa pun juga kekurangan kalau ada kemahuan anda akan berjaya suatu hari nanti. Mungkin lambat lagi atau mungkin korang buat terus menjadi. So jangan pernah mengalah dalam setiap apa yang hendak dilakukan. Terima kasih pada semua yang selalu mendoakan kejayaan saya sekarang ini. Saya akan ingat mana asal usul saya.
Tiada sedikit pun di hati nak menunjukkan kemewahan apa yang ada. Saya cuma ingin memberikan motivasi untuk rakan-rakan semua. Apa yang kita inginkan tak mustahil terjadi jika kita benar-benar mahukannya dan buat dengan ikhlas. Prinsip saya, biar sampai jadi. Kalau tak jadi betulkan balik apa yang silap.”
Syabas Ziyad sebab berani keluar dari zon selesa dan gigih mencari platform terbaik saban tahun. Moga bakat yang dimiliki terus bersinar dan kembali mengharumkan nama negara di persada dunia!
Kredit foto: Instagram Ziyad Zolkefli
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.