
Luaran nampak sihat, tapi dalaman tiada siapa yang tahu. Itulah sebabnya faktor diet dan pemakanan penting bagi menjaga kesihatan wanita, terutama sekali dalam mencegah risiko penyakit No. 1 iaitu kanser payudara.
Kanser menyerang organ manusia tanpa belas kasihan. Oleh itu, langkah yang perlu diambil untuk mengatasinya adalah dengan mengambil makanan tinggi antioksidan untuk menentang radikal bebas.
Radikal bebas ini mengoksidakan sel dalam tubuh, mempengaruhi DNA dan pertumbuhan sel dalam tubuh serta akhirnya meningkatkan risiko kanser.
Kanser payudara merupakan pembunuh No. 1 wanita di seluruh dunia. Cara terbaik untuk membantu mencegahnya adalah mengamalkan pemakanan sihat seperti buah-buahan yang terbukti kaya dengan antioksidan.
Pilih makanan yang tepat untuk mencegah kanser. Antaranya tiga jenis buah-buahan ini iaitu durian belanda, buah tin dan buah delima.
(a) Durian Belanda
Buah durian belanda berwarna hijau, mempunyai kulit berduri lembut dengan isi yang berwarna putih, berperisa masam-masam manis serta tekstur lembut. Buah durian belanda ini sudah dikomersialkan dan semakin popular dijadikan jus minuman.
Buah durian belanda kaya dengan vitamin C, iaitu sekitar 20mg per 100 gram isi buahnya. Kandungan vitamin C yang tinggi menjadikan buah ini sebagai antioksidan yang sangat baik untuk meningkatkan daya tahan tubuh.
Selain itu, durian belanda juga kaya dengan mineral, iaitu fosfor dan kalsium dengan berat masing-masing 27 dan 14mg per 100 gram. Kedua-dua mineral ini sangat penting untuk pembentukan jisim tulang sehingga elok untuk membentuk tulang kuat dan menghalang osteoporosis.
Kehebatan khasiat yang terdapat pada buah durian belanda boleh membantu menyerang sel kanser secara efektif dan semula jadi tanpa kesan sampingan. Malah ia melindungi sistem kekebalan tubuh dan mencegah daripada jangkitan serta menambah tenaga berterusan sepanjang proses rawatan atau penyembuhan.
(b) Buah Tin
Buah tin mengandungi polifenol yang bertindak sebagai antioksidan bagi melawan sel kanser. Antioksidan amat penting untuk tubuh kerana berfungsi untuk menentang radikal bebas dalam badan yang menjadi punca kanser.
Buah tin juga mengandungi sebatian lain yang menjadi bahan antikanser iaitu benzaldehyde dan coumarins. Selain itu, buah tin juga dikenali sebagai pelancar, penahan sakit dan unsur perkumuhan air kencing.
Buah tin tidak mengandungi garam, lemak dan juga kolesterol tetapi mengandungi lebih tinggi kandungan galian yang lain seperti kalium, serat dan zat besi. Kajian mendapati satu saiz hidangan buah tin (100 gram) mengandungi 20% daripada keperluan zat serat seharian tubuh badan kita.
(c) Buah Delima
Buah delima berwarna merah dan manis ini mengandungi enzim yang mampu membantu melemahkan kanser payudara dengan menghalang perkembangan estrogen.
Delima mengandungi fitokimia dan kaya dengan polifenol antioksidan. Buah delima terkenal dengan zat besi, kalsium, fosforus, vitamin A dan C. Selain itu, ia juga mempunyai kadar vitamin K yang tinggi untuk membantu kesihatan tulang.
Malah vitamin B yang terdapat dalam delima boleh membantu tubuh memproses protein, karbohidrat dan lemak. Buah delima mengandungi manganese untuk membantu pembentukan struktur tulang semasa proses metabolik.
Buah delima boleh melindungi epidermis dan dermis kulit dengan membantu pertumbuhan sel kulit, menolong pembentukan semula tisu-tisu badan, penyembuhan luka-luka dan melancarkan peredaran darah.
“Sewaktu Sel Kanser Merebak Dalam Badan Saya, Payudara Sakit Sangat-Sangat SAMPAI BERDARAH!” Murni Hafiza

Kesedihan hari ini hanya akan menjadi cerita masa depan. Selama kau tidak berhenti, terus berjalan, berusaha dan melalui semuanya…
Hampir dua tahun berlalu sejak kali terakhir Nona bertemu wanita jelita ini. Pertemuan merangkap sesi fotografi dan temu bual itu membibitkan persahabatan, sekaligus memberikan kami kesempatan yang luas untuk saling berbahagi pengalaman.
Cerita Murni Hafiza Mohd Zamri, 32, kanser payudara mengajarnya banyak perkara. Nasib kurang baik, dia menghidap kanser pada usia muda dan ketika kehidupan rumah tangga mereka baru bermula.
“Penyakit kanser yang saya hidapi mula dikesan pada tahun 2011. Setepatnya beberapa bulan selepas saya melahirkan anak, Athirah Najwa. Pada masa itu saya hanya bergelar suri rumah sambil berniaga kecil-kecilan secara online.
Awalnya, saya langsung tak sangka ketulan kecil di payudara kanan menandakan sesuatu yang berbahaya. Selepas dibiarkan, lama-kelamaan payudara kian membengkak dan menyakitkan.
Kami terus ke klinik dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Seremban untuk pemeriksaan lanjut sekitar awal tahun 2012. Dengan perasaan berdebar-debar, saya kuatkan hati untuk mengikut segala proses yang ditetapkan.”
Berita yang singgah ke telinga Murni sememangnya sesuatu yang telah dijangka. Benar, dia disahkan menghidap kanser payudara dan pembedahan perlu dilakukan segera.
“Dalam keluarga saya memang ada sejarah ahli keluarga yang meninggal dunia akibat kanser. Mulanya saya tak sangka akan mendapatnya tapi setelah berfikir panjang, saya yakin bahawa kanser itu boleh diwarisi,” ujarnya dengan tenang.
Sebaik peristiwa itu, Murni sekeluarga berikhtiar untuk berubat cara kampung dahulu. Antara yang dicuba ialah kaedah rawatan Islam dan mengambil ubat-ubatan berasaskan herba tradisional.
Pendek kata, semua yang dikhabarkan baik untuk sembuh, telah dicuba. Mereka sedaya upaya berusaha untuk merawat kanser Murni tanpa melibatkan pembedahan.
“Macam-macam usaha kami buat tapi semakin hari semakin merebak kanser di dalam tubuh saya. Seluruh payudara makin sakit membengkak sampai mengeluarkan darah. Pada suatu tahap, saya betul-betul tertekan.
Akhirnya saya tekad menyerahkan diri kepada pakar perubatan. Daripada Hospital Seremban, saya dikejarkan terus ke Hospital Putrajaya kerana kemudahan di sana yang jauh lebih lengkap.
Pembedahan membuang sebelah payudara atau mastektomi pun segera dijalankan. Doktor turut mengambil kulit di bahagian belakang tubuh saya untuk ‘menampal’ bahagian payudara yang dibuang. Parutnya hampir sebesar tapak tangan.”
Ikhtiar Untuk Sembuh
Riak wajah tenang yang terpamer di wajah Murni bukan bererti hatinya tidak bergelora. Mungkin, hanya suami tercinta, Shahizul Hafiz Ismail sahaja yang mengerti segala-galanya.
“Jujurnya saya sentiasa dalam situasi saspens, panik dan terkejut apabila memikirkan tentang Murni.
Hati saya gundah gulana, tapi apabila memandang wajahnya, saya jadi tenang sebab dia sendiri pun reda dengan takdir yang menimpa. Kami serahkan semua kepada Yang Maha Esa,” jawab Hafiz.
Selain Hafiz, ibu Murni juga merupakan individu yang paling banyak menghulurkan bantuan. “Ibu saya banyak membantu menguruskan diri saya. Dialah yang bersusah payah menjaga saya siang dan malam, begitu juga adik-beradik lain yang kerap membelikan pelbagai suplemen untuk dicuba.
Hafiz pula banyak menumpukan masa untuk menjaga Athirah. Maklumlah, sewaktu saya sakit, dia masih sangat kecil dan memerlukan perhatian serta kasih sayang ibu bapa.
Timbul juga rasa sedih kerana tidak dapat menjaganya sebaik ibu-ibu sihat yang lain,” tutur Murni yang kini hanya bekerja secara sambilan sebagai Yakult Lady.
Tersentuh hati apabila Murni bercerita, Hafiz juga ada masanya akan membantu mengelap tubuh dan membuat urutan untuk melegakan kesakitan yang ditanggung. Sedikit sebanyak meringankan deritanya yang tidak lagi selincah dahulu.
Selepas pembedahan, Murni terpaksa melalui beberapa siri kemoterapi dan rawatan radioterapi. Dalam tempoh memeritkan ini, dia sukar untuk makan kerana asyik muntah sehingga berlarutan selama dua hari.
Terpaksa melalui enam pusingan kemoterapi (dua minggu sekali) dan 21 pusingan radioterapi pastinya satu kenangan pahit yang sukar dipadamkan daripada ingatan.
“Sakit waktu rawatan kemoterapi tu Tuhan sajalah yang tahu. Bukan saja muntah, tapi saya hilang selera makan, lidah rasa kosong, tekak payau dan rasa panas yang amat. Habis segala rambut dan bulu-bulu gugur masa jalani rawatan pertama,” kongsinya.
Pernah terjadi, kulit yang dibedah sukar bercantum sehingga menyukarkan pergerakan hariannya. Murni juga terpaksa menjaga pergerakannya sebaik mungkin kerana kesan pembedahan masih terasa sehingga ke hari ini.
“Sampai sekarang saya masih berjaga-jaga. Masih ada lagi rasa sejuk dan kebas di bahagian dada. Paling menyakitkan adalah sewaktu sesi radioterapi, masih teringat sakitnya bagai terbakar kulit. Panas sangat!” katanya terus-terang.
Enam tahun berlalu. Berkat kesabaran dan semangat yang kuat untuk sembuh, kini Murni disahkan bebas kanser. Ucapan syukur tak lepas-lepas dari bibirnya. Bagaikan orang mati hidup semula, begitulah perasaan Murni sekarang.
“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi kesembuhan kepada saya. Kanser mengajar saya banyak perkara dan salah satunya agar lebih menghargai suami, ibu bapa serta ahli keluarga dengan sebaik mungkin. Mereka sentiasa ada walaupun pada waktu paling teruk saya. Perhatian mereka terlalu berharga.
Saya juga tekad mahu berbakti pada masyarakat. Kini saya aktif menyertai Friends of Positive Image yang dianjurkan oleh Yayasan Budi Penyayang bagi menyeru kepada pesakit-pesakit kanser serta ahli keluarga mereka supaya sama-sama menyertai kelab ini.
Kelab Friends of Positive Image ini juga mengadakan pelbagai aktiviti untuk pesakit kanser, contohnya dengan membantu keluarga pesakit dan mendapatkan kerja untuk menyara kehidupan mereka.
Saya sendiri berusaha melibatkan diri dalam setiap mesyuarat dan aktiviti yang dijalankan. Semoga pengalaman dan semangat ini sedikit sebanyak dapat membantu pesakit lain melalui tempoh-tempoh getir dalam hidup mereka,” azam Murni yang turut menyatakan penghargaannya kepada Yayasan Budi Penyayang kerana pernah memberi bantuan berupa coli payudara silikon atau coli mastektomi untuk kegunaan hariannya.
“Saya juga giat mengamalkan gaya hidup sihat secara sederhana. Pemakanan yang betul turut diutamakan kerana banyak penyakit kronik pada zaman sekarang bermula dengan gaya diet yang tidak betul. Yang penting makan makanan seimbang, elakkan makanan berlemak dan banyakkan pengambilan buah-buahan dan sayuran segar,” akhirinya. Norzalina Mohd Alias
Aduh, Hilang Selera Makan! Ketahui Masalah Pemakanan Pesakit Kanser & Cuba 3 RESIPI SIHAT Ini Untuk Mereka

Penghidap kanser, terutamanya mereka yang baru didiagnosis sering bertanya, “Apakah makanan yang patut dimakan? Makanan apa pula yang mesti dijauhi? Bagaimana cara memasak makanan tersebut?”
Apakah kaitan di antara diet dan kesihatan? Banyak kajian telah dijalankan untuk melihat kaitan ini dan pakar-pakar percaya bahawa makanan tertentu boleh meningkatkan risiko kanser terhadap seseorang. Contohnya makanan yang diubah suai secara genetik (GMO), daging proses, minuman bergas, tepung dan gula halus serta banyak lagi.
Namun bagi mereka yang telah menghidap kanser, lazimnya sering berdepan masalah pemakanan yang serius. Selera makan pesakit akan terjejas akibat kesan sampingan kemoterapi atau pembedahan. Mereka enggan makan walaupun sebenarnya ia amat penting untuk mempercepatkan proses penyembuhan.
Dengan memahami masalah pemakanan yang mereka alami dapat membantu kita sebagai penjaga untuk menyediakan makanan yang sesuai. Semak juga 3 resipi sihat ini khusus buat pesakit kanser yang dijaga.
(a) Selera makan terjejas serta penurunan berat badan
Tak mengapa jika sikit asalkan kerap. Pesakit atau penjaga pesakit perlu memastikan agar makanan kerap diambil untuk bekalan sepanjang hari. Sediakan juga snek berkhasiat yang mudah dibawa jika anda mempunyai temu janji di klinik atau pusat rawatan.
(b) Loya tekak, mual atau muntah
Cuba ambil halia, air lemon, limau nipis atau makanan masam. Elakkan makanan yang kuat baunya untuk mengatasi simptom di atas. Anda juga boleh mengamalkan makanan berasaskan cecair seperti bubur atau jus untuk mengawal muntah.
(c) Sakit mulut, ulser dan masalah menelan
Pilih makanan yang lembut, mudah dikunyah dan ditelan. Makanan yang dimakan dengan sos atau berkuah juga sesuai pada masa ini. Hadkan makanan pedas, rangup atau berasid dalam diet anda bagi mencegah iritasi tekak dan mulut. Potong makanan pejal kepada saiz kecil.
(d) Kekeringan mulut atau air liur pekat
Cuba makanan yang mudah ditelan atau yang dimakan bersama kuah, sos atau dressing, puri yang dimasak, bubur dan sup. Elakkan makanan yang keras, pedas, masam dan masin. Segelintir pesakit suka menghisap ais dan buah-buahan beku pada masa ini untuk merangsang pengeluaran air liur.
(e) Perubahan rasa dan bau
Ambil makanan dan minuman yang masam serta tambah gula untuk memaniskan makanan masin, pahit atau masam. Makan dengan sudu plastik, bukan sudu besi bagi menghindari bau.
(f) Sembelit
Makan makanan berfiber tinggi seperti bijirin penuh, sayur-sayuran dan buah-buahan untuk mengurangkan sembelit. Tingkatkan juga pengambilan cecair melalui sup dan jus.
(g) Cirit-birit
Elakkan makanan berfiber tinggi, berminyak dan pedas. Pilih yang berlaktosa rendah atau bebas laktosa seperti soya atau nasi jika anda menghadapi masalah intoleran laktosa akibat rawatan kanser.
(h) Sel darah putih rendah dan imun sistem yang lemah
Pesakit yang melalui transplan sumsum tulang dan mereka yang mengalami masalah sistem imun akibat rawatan dinasihatkan agar berhati-hati soal keselamatan makanan. Pilih makanan yang dimasak, dipasteurkan dan bersih untuk menghindari pencemaran atau jangkitan. Elakkan makanan mentah.
Sewaktu ini, pengambilan makanan yang bernutrisi tinggi amat penting untuk melawan kanser dan membolehkan pesakit bertenaga untuk melalui kesan sampingan akibat rawatan yang dijalani.
Jus Strawberi
Bahan-bahan:
- 200gm tembikai (kulit dan biji dibuang, dipotong kiub)
- 80gm strawberi (dibasuh dan dibelah dua)
- Kiub ais
- 1/4 sudu kecil garam
Cara membuat:
Basuh semua buah-buahan dengan bersih dan masukkan ke dalam pengisar jus. Kemudian masukkan ke dalam gelas tinggi dan bubuh secubit garam. Letakkan ais dan hidang.
Salad Kentang
Bahan-bahan:
- 1 biji kentang (direbus dengan kulit, dikupas dan dilenyekkan)
- 1/4 cawan daun saderi (dicencang)
- 1/4 cawan bawang besar (dicencang)
- 1 biji telur rebus
- 1/2 biji tomato (dipotong dadu)
- 1/4 cawan plain yogurt
- 1/4 cawan mayones
- 1/4 sudu kecil lada sulah
- 1/4 sudu kecil garam
Cara membuat:
Stimkan daun saderi, bawang dan tomato selama 3 minit. Kemudian dalam mangkuk besar, campurkan kentang dan sayuran stim tadi kecuali telur. Akhir sekali masukkan telur rebus yang dihiris dan sejukkan dalam peti ais. Sedia untuk dihidang.
Chicken Wrap
Bahan-bahan:
- 200gm dada ayam
- 3 keping tortilla wraps
- 180gm capsicum (dibasuh dan dihiris)
- 80gm daun salad Romaine
- 75gm tomato ceri (dihiris)
- 2 sudu kecil minyak zaitun
- 3 keping keju cheddar
- 1/2 sudu kecil garam
- 1/2 sudu kecil lada hitam
- Mayones/basil pesto
Cara membuat:
Perap dada ayam dengan garam dan lada hitam selama 10 minit. Sambil itu panaskan oven 200 darjah Celsius. Tuangkan minyak zaitun ke dalam kuali dan goreng ayam selama 5 minit atau hingga masak. Kemudian tunggu sejuk dan hiris nipis. Sapukan mayones atau basil pesto pada sebelah permukaan tortilla wraps, susun hirisan ayam, capsicum, daun salad, tomato ceri dan keju cheddar. Gulung dengan cermat dan bakar selama 10 minit atau hingga keju cair. Hidangkan panas-panas. Norzalina Mohd Alias
4 Cancer Survivors Ini Dedah Pengalaman Perit Hidap BARAH PAYUDARA. Tapi Tengok Perubahan Mereka Sekarang!

Setiap individu mempunyai kisah tersendiri bagaimana mereka mula mengesan kehadiran barah dalam tubuh mereka. Apatah lagi barah payudara merupakan penyakit yang amat digeruni oleh kaum wanita.
Wanita yang disahkan menghidap barah payudara seharusnya bangun menjadi wanita yang cekal dalam usaha melawan penyakit yang menjadi mimpi buruk mereka.
Empat wanita muda yang berdepan penyakit barah payudara ini mempunyai kisah yang boleh dijadikan panduan kita agar bersedia dari segi mental sekiranya diuji dengan situasi yang sama.
Chung Yih Pei, Faraedayu Zulkifley, Hibatullah Abdul Rahman dan Dachaini Karuppiah merupakan cancer survivor yang wajar dijadikan contoh untuk wanita lain.
BUANG SIKAP MURUNG
Chung Yih Pei, 37, Guru Sekolah Menengah
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Perkara pertama yang membuatkan saya mengesyaki sesuatu apabila tersentuh payudara kanan terdapat ketulan. Saya berkongsi cerita dengan ibu dan beliau menasihati saya menjalani pemeriksaan di hospital.
Hasil pemeriksaan, doktor mendapati payudara kanan saya sudah penuh dengan ketulan. Pada masa yang sama, saya membuat semakan mammogram, ultrasound dan biopsy.
Selepas tiga hari, doktor mengesahkan saya menghidap barah payudara. Saya terus mencari doktor pakar untuk membuat semakan yang kedua dan didapati memang sah wujudnya barah dalam payudara kanan saya.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Sebaik disahkan menghidap barah, saya menjadi sangat sedih dan murung. Saya bersyukur kerana mempunyai kawan baik yang sedia mendengar luahan rasa saya.
Kaum keluarga saya juga menemani saya pada ketika itu. Saya merujuk kes kepada pakar bedah payudara di UMMC dan membuat temujanji untuk pembedahan. Pada ketika itu, UMMC mempunyai kumpulan kaunseling daripada jururawat dan doktor.
Mereka menasihati saya bahawa barah saya masih di tahap awal dan peratusan untuk sembuh adalah sangat tinggi. Pada ketika itu, saya pulihkan keyakinan saya dan berfikiran positif. Saya juga bekerjasama dengan doktor sepanjang rawatan saya.
Rawatan yang dilakukan?
Kemoterapi sebanyak enam kali, radioterapi sebanyak 21 kali dan sekarang saya menjalani rawatan terapi hormon melalui pengambilan ubat tamoxifen sepanjang 10 tahun.
Selain itu, setiap tiga bulan saya akan bertemu dengan pakar bedah dan pakar onkologi untuk pemeriksaan berkala. Setiap tahun, saya perlu membuat sekali ujian ultrasound dan MRI pada payudara saya.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Nasihat saya kepada semua wanita, mereka perlu membuat pemeriksaan payudara kendiri semasa mandi. Kalau didapati terdapat ketulan atau apa-apa yang tidak kena pada payudara, rujuklah kepada mana-mana doktor di klinik yang berdekatan.
Kalau didapati ada yang bermasalah, mereka perlu menjalani pemeriksaan melalui mammogram atau ultrasound atas rujukan doktor pakar. Barah payudara banyak menimpa pada golongan wanita muda kini. Jadi semua wanita perlu sentiasa berwaspada akan perubahan payudara sendiri.
Wanita yang berumur lebih daripada 40 tahun, segeralah buat mammogram. Pengesanan awal lebih baik sebelum ia merebak dan membahayakan kesihatan.
AKTIF DAN BERSEMANGAT
Faraedayu Zulfikley, 34, Setiausaha
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Saya merupakan seorang wanita yang amat mementingkan penampilan diri. Setiap kali selepas mandi, saya akan mengambil masa untuk melihat sebarang perubahan dari segi penampilan.
Tapi suatu hari, saya dapati terdapat bengkak atau benjolan di payudara kiri. Pada mulanya saya ingat ia kesan dari muscle pain akibat senaman tetapi selepas seminggu ia menjadi ketulan keras.
Saya segera mendapatkan nasihat daripada Dr. Harjit Kaur, doktor pakar payudara. Pada mulanya doktor mendapati ia mungkin kesan biasa selepas habis datang bulan. Tetapi hasil pemeriksaan biopsy mendapati saya menghidap barah payudara tahap kedua.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Apabila Dr. Harjit menggunakan terma perubatan Carcinoma (nama saintifik barah) dan menerangkan apa yang perlu dilakukan, saya masih agar kabur dan tidak dapat menerima hakikat.
Hampir setengah jam saya menangis dan nasib baik ketika itu saya ditemani oleh rakan baik. Selepas keluar dari hospital, saya cuba menenangkan perasaan dengan membeli-belah. Tetapi bila sampai sahaja di rumah, saya mula mencari maklumat mengenai barah ini di Internet.
Rawatan yang dilakukan?
Saya menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi seperti disarankan oleh doktor. Saya menjalani kemoterapi sebanyak enam pusingan. Antara kesan sampingan termasuklah letih, lesu, muntah-muntah dan keguguran rambut.
Saya pernah merasa bagaimana menjadi botak! Kini, saya meneruskan rawatan dengan pengambilan pil sebiji setiap hari. Saya menjalani radioterapi untuk 30 kali di mana saya perlu diradiasi setiap hari untuk mematikan sel-sel barah yang masih aktif.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Saya berharap wanita lebih peka terhadap perubahan pada badan dan menjaga pemakanan dan amalkan gaya hidup yang sihat. Sentiasa lakukan pemeriksaan payu dara sendiri dan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
KELUARGA BERI DORONGAN
Hibatullah Abdul Rahman, 27, Pelajar
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Saya mengesan benjolan di payudara sejak 2011. Setiap kali menjalani pemeriksaan kesihatan, pakar radiologi hanya mengatakan ia cuma cyst.
Pada Februari 2015, saya mengalami masalah darah keluar dari puting payudara. Sekali lagi saya rujuk kes ke radiologi dan ia dikatakan normal untuk wanita yang menyusukan anak, sedangkan saya ketika itu belum berumah tangga.
Kemudian kes saya dirujuk kepada pakar bedah payudara dan ujian ultrabunyi mendapati saya menghidap barah payudara tahap dua.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Pada hari saya mendapat keputusan ujian, saya ditemani oleh ibu dan kakak. Apabila Dr. Harjit menerangkan tentang proses rawatan, saya mahu kekal positif dan meneruskan langkah seterusnya menjalani rawatan yang disyorkan.
Saya juga mahu cekal untuk ibu saya kerana ketika itu ayah baru sahaja meninggal dunia kira-kira sebulan.
Rawatan yang dilakukan?
Saya melalui enam proses kemoterapi, mastectomy, 15 kali radioterapi dan 17 kali herceptin. Pada pertengahan rawatan herceptin, keputusan saya berubah menjadi ER+, PR- and HeR2+. Pesakit dengan HeR2+ perlu melalui proses herceptin.
Buat masa ini, saya masih mengambil ubat-ubatan dikenali sebagai Tamoxifen sehari sekali bagi mencegah sel barah. Ia merupakan sejenis dadah hormon estrogen yang disarankan untuk pesakit estrogen positif.
Tidak dinafikan sepanjang proses kemoterapi, saya melalui pelbagai perubahan antaranya termasuklah kehilangan rambut, hilang selera makan, rasa loya, penambahan berat badan dan sering sakit kepala.
Antara perkara paling memberi kesan pada saya ialah bila saya berhadapan dengan situasi chemo brain dimana saya menghadapi masalah untuk fokus dan menjadi pelupa.
Dalam keadaan begini, support system begitu memainkan peranan. Pembedahan, terapi radiasi dan herceptin antara rawatan yang telah dilalui. Malah, saya ambil keputusan membuang payudara kiri tetapi ia tidak membuatkan saya rasa kekurangan. Saya jadi lebih positif dan anggap ia sebahagian dari aturan perjalanan hidup.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Sebaiknya, lakukan pemeriksaan sendiri payudara sekali sebulan. Saya rasa masa terbaik untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara ketika mandi.
Selain itu, lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk mengesan sebarang simptom. Jika merasa sebarang perubahan terhadap payudara, dapatkan pandangan pakar.
PENJAGAAN EMOSI PENTING
Dachaini Karuppiah, 32, Pelatih Program Soft Skills
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Saya mula mengesan ‘kelainan’ pada payudara saya kira-kira 10 tahun yang lalu. Ketika itu, saya melakukan pemeriksaan sendiri payudara dan mendapati terdapat benjolan di bahagian bawah ketiak.
Saya mendapatkan pandangan daripada doktor di klinik dan selepas beberapa siri ujian dijalankan, keputusannya menunjukkan negatif terhadap kehadiran sel barah. Malah, ia disahkan sebagai fibroid biasa sahaja.
Tetapi saya ambil keputusan untuk membuangnya kerana rasa kurang selesa. Semasa pembedahan, doktor mengesan sesuatu dan merujuk ke patologi. Dua minggu kemudian, saya diarahkan ke hospital setelah ujian mendapati ia merupakan sel barah.
Ia merupakan barah tahap satu tetapi ia merebak dengan cepat sehingga ke tahap ketiga. Saya dicadangkan menjalani pembedahan mastectomy dan rawatan kemoterapi sebanyak 8 pusingan. Ia perlu dilakukan supaya sel tidak merebak ke bahagian payudara yang lain pula.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Tidak dinafikan ketika pertama kali berdepan dengan keadaan itu, ia merupakan saat paling getir dalam hidup saya. Ketika berada di bilik doktor, saya ditemani oleh ibu bapa.
Bayangkan bagaimana perasaan saya ketika doktor mengungkapkan perkataan ‘Maaf, anda menghidap barah. Baca buku ini untuk anda memahami mengenai penyakit ini.’
Ketika itu, keadaan penuh emosi, marah, kecewa, sakit dan segala perkara negatif muncul dalam kotak fikiran. Malah saya bertindak keterlaluan terhadap keluarga dan rakan-rakan. Apa yang saya impikan dalam hidup bagaikan hancur dalam sekelip mata.
Terdetik juga rasa tidak percaya dan mengapa saya perlu berhadapan dengan situasi tersebut sedangkan saya dan keluarga amat mementingkan gaya hidup yang sihat. Malah saya juga tidak merokok dan minum minuman keras.
Pernah satu ketika saya menjauhkan diri dari semua orang dan mudah berasa kecil hati dengan individu di sekeliling. Kadangkala saya hanya berharap ia hanyalah mimpi buruk yang bakal berlalu apabila terjaga keesokan harinya.
Tapi Melihat kesan parut, jarum dan segala yang berkaitan dengan perubatan membuatkan saya trauma dan mudah merasa murung ketika itu.
Rawatan yang dilakukan?
Saya terpaksa melalui dua surgeri, mastectomy dan 8 pusingan kemoterapi agresif. Setiap rawatan pasti mempunyai kesan sampingan dan ia sememangnya amat menguji kekuatan fizikal dan mental.
Mana tidaknya, saya terpaksa berada di hospital setiap dua minggu untuk menjalani ujian darah, kemoterapi dan pelbagai ubat-ubatan yang perlu dimakan. Sudah pastinya selepas setiap kali rawatan, tubuh akan menjadi lemah dan sistem imunisasi badan menjadi lemah.
Ada ketikanya saya berhadapan dengan masalah tidak lalu makan, rasa mual, muntah, sakit anggota badan dan sakit kepala yang teruk. Masalah keguguran rambut juga secara tidak langsung berlaku dan saya pernah sampai ke tahap kepala botak, tiada bulu mata dan bulu kening!
Keadaan ini berubah setelah sistem imunisasi badan bertambah baik dan ia mengambil masa untuk melalui proses tersebut. Kini, saya sudah bebas dari pengambilan sebarang ubat-ubatan dan pelan rawatan. Namun begitu, saya masih meneruskan rawatan berupa beberapa siri ujian dan rawatan susulan seperti disarankan oleh pakar.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Sejak dahulu lagi, kesedaran awal mengenai barah payudara belum begitu dipraktikkan di kalangan wanita terutamanya wanita muda masa kini.
Saya percaya, penting untuk wanita tidak mengira umur untuk memahami konsep ujian mammogram, ultrabunyi dan sebagainya supaya pengesanan awal tanda-tanda kanser dapat dilakukan.
Selain itu, penting untuk setiap wanita membuat pemeriksaan sendiri payudara kerana ia adalah langkah awal untuk mengesan tanda-tanda awal yang berlaku terhadap payudara.
Walaupun Kementerian Kesihatan telah banyak menguar-uarkan kempen ini, namun kesedaran wanita terhadap kepentingannya masih belum dicapai secara meluas. Rosmah Idayu Abu Samah