
Melihat penampilan, gaya hidup dan raut wajahnya pasti ramai yang menyangka Victoria Beckham seorang figura yang sukar didekati dan terlalu asyik dengan kemewahan. Hakikatnya, di sebalik simbahan dunia glamor dan populariti Victoria sebagai selebriti, usahawan, ikon fesyen dan isteri kepada lagenda pemain bola sepak… ibu kepada empat anak ini mempunyai peribadi yang cukup ‘mahal’.
Selain hebat menguruskan keluarga dan dalam keghairahan menghasilkan rekaan terkini menerusi label miliknya, Victoria Beckham … bekas penyanyi kumpulan Spice Girls ini juga rupa-rupanya sudah empat tahun berturut-turut menjadi duta kepada badan amal kebajikan dunia, UN Aids. Tak sangka dengan kehidupan yang dikecapi Victoria, dia masih sudi membantu mangsa dan pesakit Aids. Sampaikan sanggup turun padang bertemu dengan mereka sendiri.

Tersentuh tengok jiwa murni buah hati kesayangan David Beckham ini.
“Lebih 6000 wanita muda dan dewasa dijangkiti wabak HIV setiap minggu. Disebabkan situasi ini saya menyokong UN AIDS dalam usaha mereka memperkasakan golongan wanita supaya tahu hak kesihatan mereka.
Sudah 4 tahun saya menjadi duta UN AIDS dan setiap tahun saya rasa sangat terharu dengan galakan, semangat dan harapan daripada mereka semua termasuk wanita, lelaki dan kanak-kanak yang saya temui.”
Jiwa murni Victoria bagaikan sudah sebati dengan kerja-kerja amal. Pertengahan Mac tahun lalu dia berangkat ke Kenya mewakili Sport Relief iaitu pertubuhan amal di United Kingdom yang mengetengahkan sukan dan hiburan bagi tujuan mendapat dana untuk disalurkan kepada rakyat di negara-negara miskin. Di sana, Victoria berpeluang beramah mesra dengan masyarakat Nairobi dan mengajar mereka teknik seni mempertahankan diri.
Biarpun aktif dengan misi kemanusiaan, wanita hebat ini baru sahaja melancarkan koleksi sukan Reebok X Victoria Beckham pada penghujung Januari lepas. Koleksi istimewa tersebut turut dilengkapi seleksi top, legging, kasut sukan dan topi yang sesuai digayakan tatkala bersantai mahupun ketika bersukan.
DS Norazlina Awang Had & Suami Rai Anniversary Ke-24, Pilih Bali Sebagai Destinasi Percutian Romantik

Pada 23 Julai 2022 yang lalu genaplah usia perkahwinan Datin Seri Norazlina Tan Sri Awang Had dan suami, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang ke 24 tahun. Masha-Allah, dah lebih dua dekad bahtera rumahtangga yang dibina.

Tiga cahayamata yang kian meningkat dewasa menjadi pelengkap kebahagiaan pasangan serasi ini. Setelah mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga dan perniagaan, DS Norazlina dilihat semakin bahagia dan ceria dengan kehidupan sekarang.
Sokongan suami tercinta antara pencetus semangat DS Norazlina dalam merealisasikan impiannya untuk bergelar isteri, ibu serta usahawan berjaya. Tanpa sokongan suami dan anak-anak mana mungkin wanita berusia 47 tahun ini berada di tahap sekarang.
Berkongsi di akaun Instagramnya baru-baru ini, DS Norazlina telah memuat naik beberapa gambar sambutan ulangtahun perkahwinannya yang ke-24 di Bali, Indonesia. Memilih Ubud sebagai destinasi percutian, mereka sekeluarga kelihatan sungguh bahagia tatkala meraikan detik itu bersama.
Walau sederhana namun momen istimewa itu cukup bermakna dan romantik buat DS Norazlina dan suami. Ini membuktikan, walaupun sudah lama berkahwin hubungan mereka masih kekal bahagia seperti dahulu.
“Jadi di sini kita adalah DHDH6 (ini nama keluarga kami yang diberikan oleh mentua saya) apabila jam menunjukkan tengah malam tadi, 24 tahun berlalu. Tiada apa yang lebih bererti melainkan memiliki 3 cahaya mata. COVID memberi perspektif berbeza untuk kami meraikan ulang tahun perkahwinan kali ini. Ia memberi makna yang berbeza kepada ikatan dan kebersamaan keluarga! Anak-anak menjadi sebab kita kekal bersatu. Ini adalah percutian bulan madu keluarga! Syukur, Alhamdulillah!”
DS Norazlina turut menyatakan, lagi lama usia perkahwinan lagi bertambah rasa sayang buat suami. Antara rahsia bahagia rumahtangga pasangan ini ialah sabar, hormat dan bertanggungjawab.
“Inilah kita selepas 24 tahun! Dekat-dekat suku abad ni ha.. lagi lama lagi “comot” kita sayang! Suka lumpur bukan?? Semoga ada banyak lagi tahun yang menakjubkan akan datang! Amin”
Semoga DS Norazlina kekal bahagia selamanya bersama suami dan anak-anak tersayang.
Untuk rekod, DS Norazlina merupakan pengasas LAWABANA SDN BHD yang menguruskan perniagaan ROOMAKU dan THE TEPEN CAFE. Ternyata, beliau seorang wanita yang mampu berdiri di atas kaki sendiri.
Memetik kata-katanya ketika pernah ditemu bual oleh NONA: –
“Satu benda yang saya belajar. Kita tidak akan ada masa kalau kita tak buat masa. Kalau lihat pada rutin harian saya sekarang memang tiada henti. Tak mudah untuk menjadi seorang wanita, isteri, ibu, anak dan usahawan.”
DS Norazlina merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur manakala keluarganya berasal dari Kedah dan Pulau Pinang. Beliau menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing untuk Diploma Reka Bentuk Grafik. Kemudian beiau melanjutkan pula pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Auckland University of Technology di New Zealand jurusan Reka Bentuk Grafik.
Sebelum terlibat dalam dunia penyiaran, Datin Seri Norazlina memulakan kariernya sebagai pereka grafik bebas dan pengarah seni di pelbagai agensi reka bentuk serta pengiklanan.
Kredit Foto: Instagram @norazlinawanghad
Wanita, Sila Rebut Amalan Ini Ketika Haid Di Bulan Ramadan

Islam sememangnya agama yang indah. Islam diturunkan bagi menyempurnakan akhlak manusia serta mengatur tujuan hidup dalam Islam supaya menjadi lebih harmonis dan damai. Sekaligus memperlihatkan bagaimana Islam mengangkat darjat wanita di mana Allah SWT dalam al-Quran menjelaskan, kedudukan wanita dalam Islam sama dengan lelaki.
Apabila datang haid, terdapat segelintir wanita merasakan ia sebagai ‘ gangguan’ untuk melakukan amal ibadat terutamanya ketika berada di bulan Ramadan. Haid merupakan mekanisme biologi yang terjadi pada tubuh wanita. Keluarnya darah kotor menjadi penghalang bagi kaum hawa untuk melaksanakan ibadah seperti solat dan membaca Al-Quran. Namun begitu, wanita sememangnya mempunyai kedudukan istimewa di dalam Islam.
Para ulama mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu bolehkah seorang wanita yang dalam keadaan haid itu membaca al-Quran ? Menurut Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadan, Amalan Wanita Haid di Bulan Ramadan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, memperincikan perkara tersebut.
- Haram. Inilah pendapat jumhur fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Qur’an.”
Riwayat al-Tirmizi (131)
Hadith ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.
2. Harus. Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Qur’an bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.
Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca al-Qur’an, dibimbangi hafazan al-Qur’an mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.
Inilah juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Zahiryyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Tsaur. Antara ulama’ masa kini yang berpegang dengan keharusannya adalah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaymeen, Syeikh al-Azhar Ali Tantawi. Lihat Tawdhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, Syeikh Abdullah al-Bassam (1/461)
Antara Kenyataan Mereka
- Syeikh al-Dusuqi al-Maliki berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an dalam keadaan adanya darah sekalipun telah berlaku janabah sebelum itu.” Lihat Hasyiyah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir (1/284)
- Syeikh Salih Abd al-Sami’ al-Abi berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an tanpa menyentuh Qur’an.” Lihat Jawahir al-Iklil (1/32)
- Imam Al-Mardawi al-Hanbali berkata : “Ditegah wanta haid daripada membaca al-Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah” Lihat al-Insaf (1/347)
Malah, dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga, dibolehkan untuk membaca al-Qur’an sebagaimana fatwa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah : “Membaca al-Qur’an bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Qur’an dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi, jika dia yakin bahawa dia tidak melupakan bacaan al-Qur’an tersebut, maka tidak perlu dia membacanya.” Lihat Majmu’ al-Fatawa, Syeikh Ibn Taimiyyah, 1/636).
Secara tuntasnya membaca al-Quran dalam bentuk zikir-zikir dan juga doa tidaklah termasuk dalam perkara yang dilarang ke atas orang perempuan yang datang haid. Ini seperti membaca doa menaiki kenderaan, mengucapkan istirja’ ketika mendengar musibah, membaca doa-doa yang ma’tsur daripada al-Quran sebagai zikir seperti pembacaan zikir-zikir pagi dan petang, dan seumpamanya.
Namun begitu, antara amalan yang boleh dilakukan oleh wanitayang datang haid di dalam bulan Ramadan ialah:
1.Banyakkan Sedekah
Seperti yang diketahui, amalan sedekah di dalam bulan Ramadhan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah S.W.T. Dalam isu sedekah, tidak disyaratkan bagi seseorang itu akan suci dari sebarang hadas. Justeru, seseorang wanita meskipun berada dalam keadaan haid masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah ini di dalam bulan Ramadhan dengan kadar yang termampu.
2.Perbanyakkan Doa dan Zikir
Bagi orang perempuan yang haid, mereka digalakkan untuk membaca doa-doa dan juga zikir-zikir semasa berada di dalam bulan Ramadhan. Antaranya adalah seperti yang dianjurkan dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.Anha beliau berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa ? Maka kata Nabi S.A.W: ‘’Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’’.
3.Memberi Makan Kepada Orang Berbuka
Boleh juga bagi orang yang dalam keadaan haid untuk memberikan makanan kepada mereka yang berbuka puasa. Hal ini antara perkara yang mendatangkan pahala yang besar kepada pelakunya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.
Riwayat Al-Tirmizi (807)
Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.
Surah Al-An’aam (160)
Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Meskipun terdapat beberapa ibadah yang tidak boleh dilakukan oleh perempuan yang berada dalam keadaan haid, ini sama sekali tidak menafikan peluang mereka untuk merebut dan meraih ganjaran yang besar di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Bahkan terdapat banyak amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam keadaan haid seperti beberapa contoh yang telah disebutkan di atas. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Dulu Jurutera Kini YouTuber Berjaya, CHE NOM Nafi Pendapatan RM360 Ribu Sebulan Seperti Ditular!

Nama Che Nom bukan lagi asing dalam kalangan YouTuber popular tanah air. Sinonim dengan pelbagai video masakan menarik dan menyelerakan, Che Nom atau nama sebenarnya Norma Bakar bijak menggunakan teknologi digital masa kini dalam menerbitkan video kreatif yang memenuhi ‘selera’ warga maya.
Meniti usia 41 tahun, anak kelahiran Kedah ini mencipta pengaruh tersendiri apabila kebanyakan video masakan yang dikongsikan meraih sehingga jutaan tontonan.
Sehingga ke hari ini, Che Nom mempunyai hampir 2 juta subscribers di YouTube dan menerima Gold Play Button pada tahun 2021. Luar biasa!



Pada tahun 2022, Che Nom menerusi Instagram mendedahkan pencapaian pihaknya menerima 10 juta tontonan dengan 38 juta minit tontonan keseluruhan.
Tidak hairanlah, personaliti dunia kulinari ini pernah tersenarai sebagai calon kategori YouTuber popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2021.
Khabarnya Che Nom mula menceburi YouTube pada tahun 2012 selepas berhenti kerjaya jurutera di sebuah syarikat rangkaian telekomunikasi selepas 13 tahun bertugas di sana. Keputusan itu diambil kerana dia mahu menjadi YouTuber sepenuh masa.
Berkongsi aneka resipi hidangan dengan langkah yang mudah dan berkesan, Che Nom dikatakan meminati bidang masakan sejak zaman universiti dan serius berkecimpung dalam dunia tersebut selepas kelahiran anak kedua.



Baru-baru ini kenyataan di platform media sosial yang mendedahkan pendapatan purata seorang YouTuber mencecah sehingga RM360,000 sebulan nyata menarik perhatian individu hebat ini.
“0.01 peratus saja YouTubers yang boleh dapat income macam ni, kalau operate sebagai company, kena ada sekurang-kurangnya tujuh video seminggu dan purata views 300,000 ke atas setiap video.
Yang sebenarnya purata income YouTubers di bawah paras kemiskinan. Bila ekonomi merosot, syarikat akan kurangkan iklan, RPM jatuh, CPM jatuh, jadi pendapatan Youtubers secara tak langsung akan berkurang.
Tahun ni semua jatuh mendadak, CEO Youtube, Susan Wojcicki pening kepala kot sampai letak jawatan.
Nak hasilkan satu video perlukan tiga hingga empat hari, research resipi, masak dan shooting, voice over dan editing, final editing, render dan upload.
Semua ni nak kena hire orang, kalau buat sendiri memang tergolek dog, semua ini kos. Hidup tak ada life, Sabtu dan Ahad kalau tak kerja video tak siap, bak kata Syahmi Shazli 24 jam memikirkan content, Mr Beast pon tidur kat opis aja.”



Che Nom memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran Matematik dan berkahwin dengan Syed Ridzuan serta dikurniakan tiga cahaya mata.
Suaminya merupakan orang kuat dalam pembikinan video masakan Che Nom yang menjadi jurugambar dan penyunting.