Kanak-kanak kacukan Malaysia-Rusia, Dhuhaa Sophea Stumbrys atau nama manjanya Sophea yang pernah tular sekitar beberapa tahun lalu sebagai bayi tercantik di dunia.
Kini, Sophea telah pun berusia enam tahun. Makin cantik dan bijak!
Dhuhaa Sophea Stumbrys.
Manakala adiknya, Amiraa Al Imaan Stumbrys yang berusia empat tahun mewarisi kecantikan dan kebijaksanaan kakaknya itu.
Amiraa Al Imaan Stumbrys.
Sophea dan Amiraa merupakan anak kepada pasangan, Siti Safuraa Hamzah dan Asadullah Stumbrys.
Ibu mereka berasal dari Besut, Terengganu manakala bapa pula dari Rusia. Mereka sekeluarga kini menetap di Stockholm, Sweden.
Menurut Safuraa, 38, sudah enam tahun mereka sekeluarga menetap di perantauan.
Ads
Walau bergelar suri rumah, Safuraa tetap merasa bahagia kerana dapat menguruskan keluarga termasuk melihat dua puteri comelnya itu membesarkan depan mata.
CABARAN MENDIDIK DI PERANTAUAN “Didikan diberikan sepenuhnya buat Sophea dan Amiraa.
“Pada masa sama, kami terapkan ilmu agama di rumah biar seimbang dunia akhirat memandangkan kami menetap di negara yang majoritinya bukan Muslim.
Pastinya ia sangat mencabar,” kongsi Safura kepada Nona.
Ads
Pun begitu, Safuraa menjadikan ibu bapanya sebagai inspirasi yang berjaya mendidik anak-anak seramai 9 orang.
“Mereka mengutamakan tanggungjawab dan nilai kekeluargaan agar kami tak berpecah belah.
“Mereka juga mendidik kami saling menghormati dan tak mudah lupa diri. InshaAllah saya juga impikan perkara sama terhadap anak-anak.
Ads
“Di sini, kanak-kanak ibarat raja. Ibu bapa tidak boleh terlalu tegas dalam mendidik. Tiada istilah ‘jentik’ untuk mengajar.
“Silap haribulan, pihak jabatan kebajikan kanak-kanak akan masuk campur,” jelasnya.
Namun menurut Safuraa, Sophea dan Amiraa membesar dengan baik selain makin bijak dan cergas.
RANCANG MENETAP DI MALAYSIA Safuraa dan suami sememangnya ada perancangan untuk pulang menetap di Malaysia namun masih lagi dalam perbincangan.
“InsyaAllah suatu hari nanti kami akan pulang menetap di Malaysia pula.”
Kredit Foto: Instagram @ctsafuraa_
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila sebut sahaja nama Shalin Zulkifli secara automatik pasti terbayangkan kehebatan wanita ini beraksi dalam acara sukan tenpin boling. Gelaran juara demi juara yang diraih oleh wanita ini benar-benar menyuntik inspirasi lebih-lebih lagi kepada atlet wanita negara.
Digelar Ratu Tenpin Boling memang selayaknya lantaran wanita yang dilahirkan di Kota London ini pernah menjuarai Kejohanan Dunia 2003 di Malaysia, 2007 di Mexico dan 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Jasa dan bakti wanita yang kini berusia 42 tahun ini mengharumkan nama negara bukan calang-calang. Shalin banyak menghabiskan masa remaja di gelanggang boling bagi memastikan prestasinya kekal berada di tahap terbaik dan mula bermain boling sejak usianya 9 tahun lagi.
Pemegang Ijazah Sains Sukan ini juga telah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali iaitu di tahun 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002. Bukan itu sahaja malah Shalin mempunyai kerjaya cemerlang dengan mengumpul 74 pingat di peringkat senior.
Walau bagaimanapun baru-baru ini Ratu Tenpin Boling ini telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada mewakili Malaysia secara rasmi. Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok mengesahkan perkara ini seperti yang dilaporkan oleah BERNAMA.
Semoga Shalin terus cemerlang dalam kerjaya yang bakal diceburinya selepas persaraan ini dan membantu anak bangsa untuk terus gah di gelanggang tenpin boling negara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sudah setahun sunyi mengisi langit. Lapangan terbang lengang dan pesawat tersadai lesu di hangar. Industri penerbangan hambar sejak wabak COVID-19 menular. Ketika meninjau angkasa, perhatian serta-merta tertumpu pada aktiviti Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia, Aireen Omar.
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia kini berdepan cabaran paling besar dalam sejarah. Sejak kebanyakan negara melaksanakan sekatan perjalanan serta menutup pintu masuk antarabangsa, industri pelancongan dan penerbangan lumpuh sama sekali.
Bagaimana ikon pemimpin wanita yang pernah mengangkat martabat golongan Hawa dalam industri aviasi ini berdepan cabaran paling besar dalam sejarah?
Sampai bilakah armada pesawat AirAsia akan ‘direhatkan’? Mampukah syarikat AirAsia Group terus bertahan dengan pendapatan yang menjunam, prestasi merosot dan keuntungan menyusut?
Ditambah lagi berita menyedihkan, ramai anak kapal dan kakitangan syarikat itu terpaksa diberhentikan bagi menampung kos rugi. Gaji pihak pengurusan juga dipotong selain pelbagai lagi penstrukturan semula syarikat yang terpaksa dilakukan. AirAsia bagai ‘menanti masa’ untuk ditutup.
OPTIMIS
Di sebalik kerugian besar AirAsia, pihak pengurusannya tangkas mengambil langkah dengan mempercepatkan inisiatif digital syarikat yang telah mula dilaksanakan seawal tahun 2018 lagi. Bayangkan pada Oktober lepas, AirAsia Digital di bawah arahan Aireen Omar bekerjasama dengan Google untuk melancarkan Redbeat Academy, bagi mengembangkan perniagaan digital Kumpulan AirAsia.
“Pada mulanya, akademi ini ditubuhkan untuk kakitangan AirAsia (Allstars) untuk mempelajari kemahiran baharu melalui bengkel teknologi seperti Kecerdasan Buatan, Pembelajaran Mesin, Perisian Kejuruteraan, Keselamatan Siber, Big Data dan Infrastruktur serta lain-lain. Kini Redbeat Academy turut dibuka untuk orang awam.”
Pernah diiktiraf sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tahunan Asia Pasifik 2017 di Anugerah Tahunan Aviation 100, kini Aireen Omar menggalas portfolio berbeza sebagai Presiden AirAsia Digital. Beliau bertanggungjawab merangka strategi digital, mempromosikan inovasi baru dan merancakkan kolaborasi di antara bisnes-bisnes AirAsia.
Pasaran penerbangan yang merudum turut mendesak wanita lulusan Masters dari New York University (NYU) itu melancarkan inisiatif baru, seperti mentransformasikan AirAsia Group sebagai syarikat berplatformkan data dan cloud.
Beliau juga merintis perniagaan berasaskan digital seperti BigLife, BigPay, Teleport dan Santan, selain menukar airasia.com lebih dari sekadar sebuah platform penerbangan.
Produk BigPay umpamanya merupakan satu sistem pembayaran yang membolehkan pengguna membuat transaksi tanpa tunai. Pembayaran bil juga boleh dilakukan melalui aplikasi ini, selain mampu menawarkan pinjaman kepada PKS, usahawan dan individu melalui Lesen Kredit Komuniti.
Merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik, Aireen yang berasal dari Petaling Jaya juga adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Beliau juga sangat rapat dengan anak-anak buahnya yang semakin meningkat dewasa.
Aireen memulakan kerjaya pertamanya di AirAsia Berhad pada bulan Januari 2006, sebagai Pengarah Kewangan Korporat. Dari situ, portfolionya semakin berkembang di jabatan-jabatan lain seperti Perbendaharaan, Perolehan Minyak dan Perhubungan Pelabur.
Beliau seterusnya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia dari tahun 2012 hingga 2017, seterusnya sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Digital, Transformation and Corporate Services) pada tahun 2018 dan terkini Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia sejak tahun 2019.
Sumber: AirAsia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahun 2018 merupakan comeback buat wanita yang memegang watak sebagai Linda Martopo dalam filem KL Menjerit ini. Memilih bernaung di sebuah syarikat pengurusan, Laugh Out Loud (LOL) membuktikan Liza Hanim begitu serius dalam merencana perjalanan seninya.
“Langkah saya tidak akan terhenti selepas berada di pentas GV4 dan saya mahu meneruskan kehangatan dan terus berada dalam industri. Telah banyak yang saya rancang sepanjang tahun ini dan saya akan keluar dengan single terbaharu.
Saya dalam rangka promosi single ini dan saya tidak terhenti pada satu single sahaja dan berharap dapat melahirkan beberapa buah lagu lagi pada tahun ini. Saya juga telah merancang untuk turut serta dengan beberapa program TV,” ungkap wanita tinggi lampai ini.
Melihat keyakinan penyanyi yang berusia 38 tahun ini mengatur langkah terbit rasa ingin tahu tentang pandangan penyanyi lagu Gelisah Mimpi ini tentang persaingan dengan penyanyi baru dan lebih muda.
“Saya tidak rasa penglibatan semula ini memberi saingan kepada penyanyi baru dan lebih muda. Kehadiran saya bersama-sama penyanyi lama yang lain adalah untuk memeriahkan kembali industri seni.
Kami semua sudah mempunyai tapak dan berpeluang untuk memperkenalkan semula diri masing-masing atas platform GV ini. Gabungan penyanyi lama dan baru adalah suatu perkara yang sihat dalam industri dan bukan untuk bersaing di antara satu sama lain,” terangnya dengan jujur.
Peredaran masa membuat segala-galanya berubah termasuk dunia hiburan. Menyingkap perasaan Juara Bintang Penghibur HMI (1999) ini tentang persediaannya untuk mengharungi semula dunia glamor lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan kini, tuturnya sambil tersenyum, “Secara jujurnya saya sudah bersedia untuk kembali. Apabila saya sudah bersedia, hendak atau tak hendak apa juga rintangan memang kena tempuh.
Dalam era keyboard warrior dan pembuli siber ini saya mengambil semuanya secara positif. Bila peminat lebih dekat maka lebih cepat mereka memberi semangat kerana penyanyi dan peminat perlu jalan seiring bersama. Jika saya mengeluarkan album atau single bukan menyanyi untuk diri sendiri tetapi untuk peminat-peminat dan mereka yang menghargai seni suara.
Apa juga kata-kata peminat saya mengambilnya secara positif. Segala komen yang dilemparkan kalau baik saya terima dan kalau sebaliknya saya tidak ambil serius. Sakit sebenarnya kalau membaca satu per satu tetapi saya hanya mengambil inti patinya sahaja. Orang boleh berkata apa sahaja tetapi kita yang menanggung segala-galanya.
Alhamdulillah dalam masa sebulan saya terlibat di GV4, jumlah pengikut di laman Instagram telah meningkat dua kali ganda. Selama ini tak pernah ada haters sekarang saya sudah mempunyai haters. Ini menunjukkan saya sudah berada dalam perhatian. Saya anggap ia suatu perkembangan yang sihat dalam memantapkan lagi perjalanan seni yang telah diaturkan,” terang Liza Hanim yang sudah mempunyai 85 ribu pengikut di laman Instagram (ketika artikel ini ditulis).
“Dahulu sebelum terlibat dengan GV4 masa saya lebih tertumpu kepada anak-anak di rumah. Selepas bekerja saya akan balik rumah dengan segera untuk berjumpa mereka.
Namun sejak akhir-akhir ini tengah malam pun masih belum balik. Ada masa yang terpaksa outstation dan perubahan masa ini turut memberi kesan kepada anak-anak. Anak saya yang tiga orang itu sudah faham dan saya boleh terangkan segala-galanya.
Jika mereka ingin bercakap dengan saya boleh buat Whatsapp Call atau video call. Cuma yang bongsu sahaja yang masih tercari-cari kalau saya tidak ada di rumah. Bila berjumpa dia akan melekat sepanjang masa dan bercerita macam-macam tentang apa sahaja bagai sudah lama tidak berjumpa,” ujar ibu kepada Marsya Qistina, 14 tahun, Marissa Qalreen, 8 tahun, Mohamed Salahuddin, 6, dan Mohamed Ibrahim, 3 tahun ini.
Sebagai seorang ibu pasti mempunyai harapan yang tinggi terhadap anak-anak. Liza Hanim begitu terbuka apabila bercerita tentang keempat-empat orang anak-anaknya. “Apa yang saya doakan hari-hari adalah mereka berjaya dalam apa juga bidang yang dipilih. Itu sahaja harapan saya. Kita bukan jenis ibu bapa yang memaksa anak-anak mengikut telunjuk kita. I hope I am not that kind of mother. Of course education is very important.
Ada sesetengah anak-anak kalau kita push dia boleh cemerlang tapi anak sesetengah anak kalau kita push dia akan jatuh. Kita kena tengok juga kemampuan anak-anak sendiri. As long as kita tahu pencapaian dia sebelum ini. Apa yang saya cakap pada anak-anak you just give me better result. Itu sahaja.
Tetapi saya gembira anak-anak paling rapat dengan saya. Apa-apa pun mereka akan datang beritahu. Saya rasa bahagia apabila anak-anak menganggap kita seperti kawan-kawan mereka. Siapakah yang mengikut jejak langkah boleh menyanyi? Boleh dikatakan keempat-empat anak-anak saya menunjukkan kecenderungan menyanyi.
Marsha sering masuk pertandingan nyanyian di sekolah. Sekolah pun akan menghantar dia jika terdapat sebarang pertandingan nyanyian. Yang nombor dua pula menunjukkan minat menari. Nombor tiga pun boleh nampak kebolehannya menyanyi,” terang isteri kepada anggota kumpulan Indigo, Mohd Shahrin Mohd Samsudin atau Shah ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Marisha Friska Halauwet membuktikan wanita mampu berjaya sebagai doktor pakar bedah dan penyanyi terkenal, inspirasi wanita moden dalam dua dunia berbeza.