
Dua tahun lalu bekas isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon, Jeff Bezos iaitu MacKenzie Bezos telah mendapat perhatian seluruh dunia apabila menjadi billionaire selepas suami yang telah dikahwini selama 25 tahun menceraikannya.
Kini seluruh dunia tertumpu kepada Melinda Gates yang baharu sahaja mengumumkan dalam proses mengakhiri perkahwinan yang dibina selama 27 tahun. Pasangan ini yang mempunyai tiga orang anak ini memiliki kekayaan bersama dianggarkan mencecah AS$130 bilion (RM540 bilion). Kalau dibahagi dua sahaja pun sudah cukup menjadikan Melinda antara wanita terkaya dunia.
Sebelum ini pasangan ini digambarkan cukup bahagia tinggal dalam sebuah rumah mewah bernilai AS$124 juta yang dinamakan sebagai Xanadu 2.0 di Medina, Washington. Ketika pelancaran buku nukilan Melinda iaitu The Moment of Life, wanita yang meniti usia 57 tahun ini mengakui dia dan Bill tetap mencari masa untuk melakukan kerja rumah bersama-sama termasuk urusan mencuci pinggan.
Pasangan ini juga cukup menyayangi anak mereka dan melindungi dengan penuh kasih dan sayang. Mungkin selepas ini pasangan ini akan tetap menjaga anak-anak mereka sebagaimana masih bergelar suami isteri sebagaimana mereka meneruskan kerjasama di Yayasan Bill & Melinda Gates.
Yayasan ini adalah badan amal gergasi yang membiayai program kesihatan global, kesaksamaan gender, pendidikan dan pelbagai kegiatan amal lain. Menerusi yayasan ini Bill dan Melinda Gates sanggup membelanjakan USD45 bilion semata-mata bagi menjayakan pertubuhan amal mereka iaitu Bill & Melinda Gates Foundation. Sehingga kini, Bill & Melinda Gates Foundation mempunyai pembiayaan sehingga USD50.7 bilion.
Melinda Gates berkahwin denga suaminya pada tahun 1994 ketika bekerja di sebuah firma teknologi bersama-sama. Menjalin cinta selama tujuh tahun, Melinda mengakui tertarik dengan kepintaran Bill.
Setiap anak Bill dan Melinda dikhabarkan bakal mewarisi USD10 juta daripada USD98.1 bilion nilai kekayaan ibu bapa mereka. Adakah Melinda akan mengikut jejak langkah Mackenzie yang menderma pembahagian harta sepencariannya selepas penceraian tersebut?
Kredit foto: Instagram Melinda & Bill Gates
Perkahwinan Cecah Jutaan Ringgit Anak Billionaire Rusia Ini Khabarnya Hanya Bertahan 6 Bulan Saja

Dua tahun lalu anak gadis kepada seorang Billionaire dari Rusia ini telah mencipta sejarah ketika mengadakan acara gilang-gemilang majlis perkahwinannya. Bayangkan sebuah majlis perkahwinan yang mencecah jutaan ringgit dengan wedding dress saja bernilai RM800 ribu pasti menjadi buah mulut.
Ramai yang memuji keberuntungan gadis ini dapat menikmati sebuah majlis yang sangat dicemburui oleh gadis lain yang sebaya dengannya. Namun, itu adalah anggapan orang luar yang hanya melihat keindahan hidupnya. Khabarnya, Irina Chigirinskaya, gadis muda yang berkahwin ketika berusia 18 tahun itu berkahwin semata-mata untuk memenuhi keinginan orang tuanya.
Setelah enam bulan melayari bahtera perkahwinan khabarnya hubungan anak billionaire Rusia ini sudah retak menanti belah. Irina Chigirinskaya sudah merancang untuk memfailkan perceraian bersama suami yang tidak dicintainya, Moris Mirelli.
Mengimbau perkahwinan gemilang pasangan ini yang diadakan di sebuah kelab golf, Agalarov Golf And Country Club milik seorang teman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Perkahwinan tersebut juga mendapat liputan pelbagai media antarabangsa dan 1,500 tetamu dijemput untuk memeriahkan majlis yang bukan calang-calang hebatnya bahkan terlalu mewah.
Kalau tengok dekorasinya, memang perkahwinan tersebut menjadi idaman setiap wanita di atas muka bumi ni! Mana tidaknya, kek perkahwinan enam tingkat dihias dengan bunga segar, baju perkahwinan yang direka khas dan tetamu yang hadir juga dihiburkan oleh persembahan artis-artis Rusia yang terkenal. Macam konsert pun ada tau.
Menurut sumber, Irina merupakan anak perempuan billionaire pembinaan Alexander Chigirinsky, 55 yang juga rakan kepada pemilik Chelsea FC, Roman Abramovich. Manakala suaminya, Moris merupakan anak bekas Timbalan Gabenor di Rusia.
Tidak mengejutkan jika keseluruhan perkahwinan dianggarkan sekitar $1.6 juta, iaitu lebih daripada RM6 juta. Wedding dress Irina direka khas oleh pereka Zuhair Murad, yang bernilai $219,000, lebih RM800 ribu! Wow, mewahnya!
Irina juga dilaporkan sudah biasa hidup dalam kemewahan sejak dari kecil dan pernah mendapat hadiah jam tangan Rolex ketika baru berusia 10 tahun. Bagi Irina, hadiah jam tangan yang mahal dan terbang menggunakan jet peribadi merupakan perkara biasa baginya.
Mesti seronok kalau dapat jadi anak jutawan bukan? Apa saja keinginan mesti dapat. Kereta mewah, rumah mewah, beg mewah dan macam-macam lagi. Apa-apa pun, kita harus sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Baru hidup sentiasa bahagia.
Sumber: instagram, harpersbazaar, dailymail. Co dan woman.forumdaily.com
Dengan Tuhan Pun Nak Berkira? Sharing Ustaz Ini Pasal Zakat Mesti Buat Kita Insaf!

Iman manusia itu hakikatnya selalu turun naik. Berbolak-balik. Tidak tetap tempatnya. Iman yang rapuh membuat kita berkejar-kejar mencari kekayaan. Malah demi nafsu mahu memegang duit berkepuk-kepuk, kita lupa mencari keberkatan dalam rezeki.
Cinta dunia melebihi segala-galanya. Terutama sekali berkait rezeki, harta dan wang ringgit. Kita hanya tahu menerima tapi lupa memberi. Lupa bahawa dalam setiap rezeki kita, ada rezeki orang lain juga.
Perkongsian Ustaz Ahmad Sharizal Mohd Saffian dari Pusat Pungutan Zakat MAIWP ini memang banyak pengajarannya. Sama-samalah kita muhasabah diri dan renung semula rezeki yang Allah bagi!
========================================
Kata orang pandai, ‘Jalan kebenaran tidak ada dua, tidak ada lima, tidak ada tujuh, tapi jalan kebenaran itu hanya ada satu. Ada yang telah menemuinya, ada yang tersasar darinya dan ada ramai juga yang menjauhinya.’
Sebenarnya saya suka mengimbas pengorbanan para rasul dalam usaha menyelamatkan manusia daripada kejahilan, memang terserlah banyaknya ujian dan rintangan.
Lihatlah bagaimana susah dan pahitnya mengajak manusia pada jalan yang satu. Dan yang satu itu pula ada dua cabang jalan yang penting untuk lulus iaitu Jalan A dan Jalan B.
- Jalan A ialah hubungannya dengan Allah atau hablimminallah.
- Jalan B ialah hubungannya dengan manusia atau hablimminannas.
Adakah kita perlu lulus satu jalan saja? Jawapannya ialah kena lulus kedua-duanya. Lulus satu saja bermakna gagal keduanya. A dan B kena lulus cemerlang untuk kita memiliki sijil takwa.
Allah SWT telah menjelaskan kepentingan dua jalan tersebut dalam firman-Nya,
Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali dengan hablimminallah (hubungan dengan Allah) dan hablimminannas (hubungan dengan manusia), dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui batas. (Ali ‘Imran : 112)
Dan di antara kedua-dua jalan di atas, jalan B nampaknya lebih sukar daripada jalan A.
Sekadar berkongsi pengalaman di Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), kami telah bersepakat untuk mengambil pendekatan hikmah dan sederhana dalam menyebarkan produk Tuhan yang bernama zakat ini dengan masyarakat.
Dalam usaha kami untuk menjelaskan tentang keuntungan-keuntungan yang bakal dinikmati oleh para pembayar zakat, banyak cabaran dan pengalaman yang pernah dilalui.
(a) Selalu Kata Tak Mampu
Sebahagian mereka pernah berkata dengan nada bergurau,
“Ustaz, kami ni solat di masjid setiap waktu, tapi kalau nak keluar zakat tu Ustaz, masih belum layak lagilah.”
“Macam mana tahu tak layak Tuan?”
“Kami belum ada rumah sendiri lagi, belum ada kereta sendiri dan masih menyewa rumah lagi, kami ada sedekah juga Ustaz. Cukuplah, kan?”
Saya pandang mereka dan jawab, “Tahu tak, zakat itu perlu diberi pada orang yang wajib terima, dan ada syarat lain yang mesti kita tahu, serta dosanya sama seperti tinggal rukun Islam yang lain?”
Ada sebahagian mereka tunduk dan tidak kurang juga yang meninggalkan kami.
Betul apa yang kami katakan, ‘jalan yang ke dua hablimminannas (hubungan dengan manusia) nampaknya lebih sukar daripada jalan pertama hablimminallah (hubungan dengan Allah).’
(b) Sengaja Membayar Lebih
Tapi masyaAllah, ternyata ada juga yang belum tempoh dan wajib zakat padanya terus bertanya kepada kami, nampak betul kesungguhan dan kekuatan jiwa mereka atas perintah rukun Islam ketiga ini.
Maka kami amat terharu dengan segelintir hamba Allah ini, malah mereka apabila kami kira dan taksir zakat mereka sebanyak RM10,000, mereka terus ke PPZ-MAIWP dengan membayar RM20,000.
Kami kata, “Tuan dah terlebih bayar ni.”
Tapi jawabnya, “Tidak Ustaz. Saya takut masih ada yang dulu-dulu, yang pernah saya terlepas pandang.”
Hebat benar iman mereka pada Allah. Maka teringat kami kata-kata dari Imam Ibn Ataillah,
Sebahagian tanda mati nya hati adalah jika tidak berasa sedih (susah) kerana tertinggalnya suatu amal kebaikan (kewajiban) juga tidak menyesal jika terjadi sesuatu pelanggaran dosa.
(c) Berasa Diri Sendiri Pun Susah
“Nak keluarkan duit, lepas tu bagi pada orang lain pula? Eh, saya sendiri pun susah!”
Kata-kata ini pernah keluar dari mulut seseorang ketika kami hanya berniat menerangkan perintah rukun ketiga ini. Itu belum apa-apa lagi, belum kira dan taksir semua hartanya, sedangkan perniagaan dan hartanya diketahui umum oleh masyarakat sekeliling.
Benarlah, pokok iman dan pokok hikmah suatu yang akan tumbuh seperti mana benih yang tumbuh di dalam tanah. Iman dan hikmah atas perintah Allah tak subur dalam jiwanya.
Nabi Allah Isa AS pernah bertanya kepada sahabatnya, “Di manakah tumbuhnya benih?” Mereka menjawab, “Di dalam tanah.” Kemudian Nabi Isa AS bersabda:
Begitu jugalah hikmah, ia tidak tumbuh melainkan di dalam hati seperti mana benih yang tumbuh dalam tanah.
Harta Cuma Pinjaman
Walaupun zakat yang diperintahkan terdapat padanya syarat dan rukun, sebenarnya hikmah yang besar ialah ‘amanah harta’ yang telah Allah kurniakan pada hamba-Nya.
Mengapalah hati kita tak dapat merasakan hikmah tersebut? Hati kita bertukar jadi batukah? Hati yang Allah kurniakan sepatutnya secara fitrah akan merasakan takut terbuat dosa. Pelik dan ajaib? Risau dan cemas harta berkurang dan tak cukup? Takut berkongsi kesenangan dengan orang lain?
Lihat dan renung ayat Allah dengan hati,
“Dan bahawasanya Dia yang memberikan kekayaan dan memberikan kecukupan.” (Surah An- Najm: 48)
Lihatlah bagaimana Allah telah mengatur setiap urusan hamba-Nya apatah lagi mereka yang telah melaksanakan perintah zakat dalam menyucikan harta mereka. Renung sejenak ayat-ayat Allah ini,
“Jika kalian meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya Allah melipat gandakan (pembalasannya) kepada kalian dan mengampuni kalian. Dan Allah Maha Pembalas Jasa lagi Maha Penyantun.” (Surah At-Taghabun: 17)
Penggunaan kata-kata ‘memberikan pinjaman’ dalam banyak ayat merupakan kemurahan Allah, sebab insan itu terkadang merasa memiliki barang dan harta yang ada padanya sehingga ia merasa sangat berat untuk menzakatkan hartanya di jalan Allah.
Makna ‘memberikan pinjaman’ bererti bahawa sesungguhnya Allah akan mengembalikan harta seorang hamba yang dikeluarkan di jalan-Nya, sehingga si hamba tidak perlu merasa khuatir harta yang dikeluarkannya akan hilang begitu saja.
Malulah kita atas setiap pemberian Allah! Kita sering merasakan kita ialah tuan empunya segala-galanya, tetapi ingat ia tidak kekal selamanya pada kita bahkan diri kita sendiri pun adalah kepunyaan Allah Yang Maha Baik, yang tidak pernah melupakan kita dari sejak kita lahir hinggalah nanti kita dibangkitkan di hadapan Allah.
Tunaikanlah semua hak Allah, hak pada diri dan orang lain, hak pada harta dan kekayaan yang telah diberi amanah untuk kita menjaganya. Tak rugi sebenarnya, semuanya akan dihitung dan dikira oleh Allah. Lihatlah dalam hatimu sebuah janji Allah melalui lidah Nabi SAW,
Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Tidaklah seorang hamba memasuki waktu pagi pada setiap harinya, kecuali ada dua malaikat yang turun. Salah satunya memohon, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi dermawan yang menginfakkan (zakat) hartanya.’ Dan satu lagi memohon, ‘Ya Allah, musnahkanlah harta si bakhil.” (HR. Bukhary 5/270 Muslim 1678).
Jangan Jadi Tuan, Puan Besar Bila Balik Ke Kampung, Rumah Ibu Bapa BUKAN HOTEL Nak Minta Apa Saja!

Salah satu aktiviti wajib menjelang cuti sekolah ini, tentu sekali pulang ke kampung halaman. Anak-anak bersorak riang, mungkin rindu sangat nak jumpa tok dan nenek tersayang. Kita pula rindukan masakan mak serta suasana kebun abah yang tengah lebat berbuah.
Tapi dalam keterujaan itu, kita tak sedar yang keluarga kita pulang ke kampung seperti Tuan atau Puan Besar. Mentang-mentanglah ibu bapa kita rindukan anak cucunya, kita pun ambil kesempatan request masak itu ini dan guna segala barangan macam hak milik sendiri.
Kerana teringinkan masakan mak, ada yang beli bahan mentah sebanyak-banyaknya dan longgokkan di dapur. Lalu demi memenuhi hajat anak, terbongkok-bongkoklah si ibu tua membuat persiapan dan memasak untuk santapan keluarga kita.
Harapkan menantu atau anak perempuan menolong, masing-masing sibuk mendukung anak kecil. Tak sampai hati nak suruh, jadi mak jugalah yang siapkan semua. Belah dan kukur kelapa, giling cili dan macam-macam seorang diri.
Lepas makan, berlonggok-longgok pinggan mangkuk di singki. Anak lelaki dah bersila kekenyangan, minta kopi pula nak minum depan TV. Yang perempuan awal-awal masuk bilik mahu tidurkan anak. Cucu-cucu yang besar dah hadap smartphone.
Mak kita faham. Maka mak jugalah yang kemas dan cuci semua pinggan mangkuk tu. Walaupun penat memasak masih berbekas, tapi tak apalah. Sesekali jumpa anak cucu… Itu kata mak sambil tersenyum.
Begitu juga halnya apabila ada tetamu. Nenek dan atuk yang tinggal sendirian dan sedang berpuasa sunat itu jugalah yang kena bangkit ke dapur menghidangkan air. Mereka jugalah yang melayani tamu.
Padahal anak cucu dan menantu ada di situ, atau memerap dalam bilik tanpa mahu ambil tahu. Alasannya mereka tidak kenal pun siapa tetamu itu.
Turut menjadi mangsa selain mak yang terpaksa memasak dan membersihkan segala kekotoran yang membebankan ialah adik-beradik kita yang menetap di kampung atau cucu-cucu lain yang ringan tulang.
Setiap kali kita dan keluarga kita balik kampung, orang-orang yang sama itulah juga yang menjadi mangsa. Si Tuan dan Puan Besar bersama anak-anaknya akan terus ber-huhu haha macam bercuti di hotel.
Bila balik kampung, cukup-cukuplah berperangai seperti ini. Dah tahu ibu bapa kita gembira, janganlah ambil kesempatan pula. Tak cukup memasak, mereka terpaksa pula jadi tukang cuci membersihkan timbunan tuala, selimut dan tilam yang hancing gara-gara anak kita yang kencing malam.
Ada seorang nenek pernah mengadu sikap cucu-cucunya yang sangat pemalas. Sepanjang 5 hari di kampung, kesemua 13 cucunya hanya memerap di bilik, terbongkang depan tv atau keluar meronda menggunakan motosikal atuknya.
Ironinya, golongan yang selalu menjadi Tuan dan Puan Besar ini bukan orang biasa-biasa. Ada yang bergaji besar, bergelar guru agama bahkan ada yang jadi guru besar pun. Sampai hati perlakukan mak macam tu!
Ya, inilah realiti dan tabiat buruk orang kita sejak zaman berzaman. Kita tak sedar perbuatan kita membebankan ibu bapa.
Pulangnya kita ke kampung untuk bercuti dan menjenguk orang tua. Mengapa sampai terpaksa mereka bayar kepulangan kita dengan tugas berat semata-mata untuk menggembirakan anak cucunya?
Beranikanlah diri menukar sesuatu yang salah tetapi telah menjadi lazim kepada sesuatu yang lebih baik. Cuba kita ubah kebiasaan lama itu. Apabila kita pulang ke kampung, kita selaku anak dan cucu pula yang berusaha menggembirakan mak atau nenek kita itu sebaik-baiknya.
Jika betul-betul berhajatkan air tangan mereka sekalipun, cuba siapkan bahan-bahannya. Biar kita yang menggaul dan memasaknya dan mak hanya sekadar melakukan sentuhan terakhir sahaja.
Jika seorang anak mungkin masih boleh tahan lagi. Tapi jika ada 10 orang anak dan masing-masing pulang bersama pasangan dan anak-anak?
Mulakan sesuatu yang betul walaupun pelik. Balik ke kampung DAN BERKHIDMATLAH UNTUK MEREKA bukan mengharap khidmat mereka pula terhadap kita. Barulah kehadiran kita sekeluarga akan benar-benar membahagiakan mereka. Norzalina Mohd Alias
Sumber: Warga Prihatin