Siapa sangka selebriti awet muda ini rupanya alah nasi semasa mengandungkan anak pertama. Untung juga kerana ‘alah’ ini menjadikan Amy Mastura ‘maintain’ sehingga sekarang.
Sememangnya ramai wanita yang kagum dengan awet muda yang dimiliki oleh selebriti Amy Mastura ini. Wajah ‘tak makan usia’ itu sering menjadi bualan peminatnya.
Bukan itu sahaja, bahkan penyanyi dan pelakon ini ‘dicemburui’ kerana ‘maintain’ walaupun sudah berusia 51 tahun.
Foto: Instagram @amymasturalerr
Sekian lama berteka-teki, akhirnya Amy Mastura berkongsi ‘rahsia’ seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro. Sejak mengandungkan anak pertama Amy Mastura rupanya alah nasi dan dah mula tak makan nasi.
“Sejujurnya saya memang kurang makan nasi. Semasa mengandung Adriana, saya alah dengan bau nasi dan sejak itu keinginan untuk makan nasi dah hilang.
“Entah kenapa saya tak suka dengan bau nasi. Namun saya masih makan nasi tapi kuantitinya tak banyak sangat. Kalau makan pun dua tiga sudu sekadar nak campur dengan lauk.
Ads
“Kalau tiada nasi pun tiada masalah bagi saya dan digantikan dengan apa-apa pun okay. Tapi rasa manis kena ada. Saya amat menggemari kek coklat dan mujurlah tiada penyakit diabetis,” katanya.
Foto: Instagram @amymasturalerr
Amy Mastura mula dikenali sejak kejuaraannya dalam sebuah pertandingan nyanyian, Asia Bagus pada tahun 1993. Dia juga memenangi anugerah Penyanyi Wanita Popular (ABPBH) dan Pelakon Wanita Terbaik (FFM).
Bagi yang mengenali Amy, tentu tahu bagaimana karakter wanita kecil molek yang ramah dan lucu. Namun, tak banyak kisah peribadi di kongsi bersama peminat.
Ads
Foto: Instagram @amymasturalerr
“Saya menceburi bidang seni atas dasar minat. Kejuaraan di Jepun itu pun tidak disangka. Walaupun bermula sebagai seorang penyanyi, saya masih terima jika lebih dikenali sebagai pelakon kerana kedua-duanya adalah minat saya.
Sedari awal lagi, saya langsung tidak mempunyai persediaan dan sehingga kini, saya hanya follow the flow,” ujar Amy ketika ditanya bagaimana dia terus relevan dalam bidang seni.
Foto: Instagram @amymasturalerr
Berkongsi kisah bersama anak-anak, Amy Mastura jadikan anak sebagai ‘mentor’ untuk penjagaan kecantikan! Bila anak dara sudah mula menginjak remaja, mulalah macam-macam rejimen kecantikan dipraktikkan. Bukan Mamanya berkongsi rahsia cantik dengan si anak, tetapi sebaliknya.
Ads
“Saya tidak ada rutin kecantikan langsung. Sekarang ni saya pula yang minta tip dari Adalia apa yang terbaik untuk kulit. Krim muka dia lebih banyak dari apa yang saya ada!
Foto: Instagram @amymasturalerr
Saya sendiri tidak mengamalkan apa-apa petua. Dulu sewaktu dalam berpantang, saya cuma ikutkan apa yang diajar. Berpantang sepenuhnya secara tradisional pun tidak, cara moden pun tidak. It’s a mix of everything.
Cuma saya jenis yang tidak suka minum ais. Bukan pantang tapi saya sendiri tak terasa untuk menikmati air ais setiap masa. Mungkin itu juga membantu saya menjaga badan,” katanya.
Kuasa solekan bukan untuk mengubah wajah tetapi adalah untuk memperindah wajah. Sebenarnya solekan berfungsi sebagai pembentukan wajah. Setiap bentuk wajah yang berbeza memerlukan teknik pembentukan wajah tertentu bagi menutupi setiap kekurangan.
Garis-garis pada alis, mata, hidung dan bibir perlu disentuh untuk mendapatkan bentuk wajah yang diingini. Namun, teknik tertentu perlu dipelajari dan warna juga memainkan peranan dalam memperindah wajah seseorang.
Trik Untuk Dicuba
Wajah yang bersolek tetapi nampak seperti tidak bersolek adalah gaya solekan yang menjadi trend kini. Tampil asli dan semula jadi. Bagi gaya solekan begini guna span bedak asas yang dilembapkan dengan sedikit air.
Tekan hujung span dengan bedak asas mengikut tona kulit dan tekap di wajah yang sudah dibersihkan. Jangan menyapu bedak asas di wajah kerana solekan tampak tidak sempurna.
Bagi pembentukan wajah boleh memilih bedak asas yang sedikit gelap dan sapu di bahagian yang mahu ditonjolkan seperti garis-garis pada alis, mata, hidung dan bibir. Kemudian sapu bedak debu dengan berus khusus agar solekan tampil sempurna dan sekata.
Solekan mata adalah perkara utama dalam solekan. Mata boleh berubah bentuk hanya dengan kuasa solekan. Bagi mendapat efek mata yang lebih besar boleh mencuba pengalit mata selain daripada rona hitam. Pilihan rona seperti hijau, biru atau coklat memberikan efek mata yang berbeza.
Pakai pembayang mata yang berona terang di bahagian tulang kening untuk memberi kesan mata yang lebih galak. Jangan lupa pakai penyamar noda di bawah mata untuk menyembunyikan lingkaran hitam bawah mata.
Solekan kening juga penting dalam memperindah wajah seseorang. Teknik yang betul untuk melukis kening tanpa mencukur adalah rapi kening menggunakan berus terlebih dahulu.
Kemudian lukis kening menggunakan pensel kening mengikut bentuk yang sesuai dengan wajah. Tebal atau nipis boleh mengikut keinginan masing-masing. Kemudian boleh letak gam di bahagian bawah kening yang tebal dan biarkan seketika. Sapu bedak asas di bahagian yang digam tadi berhati-hati. Akhir sekali berus kening dengan menggunakan maskara kening. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Produk minuman berasaskan kolagen sememangnya menjadi pilihan wanita masa kini yang ingin kelihatan cantik bukan sahaja dari segi luaran malah dalaman. Sudah agak lama tidak mendengar perkembangan produk ini, Aura White Global Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan produk baharu, Aurawhite Dazzle Glopeptide, produk minuman kolagen dengan inovasi formulasi terkini dan premium.
Menurut pengasas Aurawhite, Datin Furyna Azmeer, ciptaan ‘all in one formula’ ini menjanjikan sensasi baharu dengan rasa laici beri dan memberi sokongan penuh untuk kecantikan dalaman dan luaran.
“Ini merupakan keluaran keenam dan kami telah berada di pasaran selama 11 tahun. Kali ini kami keluarkan produk baharu dengan kandungan berbeza terutamanya kelopak ros yang baik untuk kecantikan kulit,” ulasnya pada sidang media baru-baru ini
Selain memperkenalkan produk terbaharu, jenama yang popular di kalangan rakyat Malaysia ini masih mengekalkan selebriti popular, Ayda Jebat sebagai duta jenama.
Ketika ditanya bagaimana hubungan kerjasama antara Aurawhite dan Ayda Jebat dapat terjalin dalam jangka masa yang lama, jelas Furyna, Ayda Jebat merupakan selebriti yang mudah memberikan kerjasama.
“Kami memilih untuk mengekalkan Ayda Jebat sebagai duta Aurawhite sejak 2014, bermakna sudah sembilan tahun Ayda bersama Aurawhite. Sangat senang berurusan dengan Ayda, malah sifatnya yang mengutamakan keluarga membuatkan saya cukup tersentuh dan masih mahu dia menjadi sebahagian daripada Aurawhite,” jelasnya lagi.
Manakala Ayda Jebat pula berterima kasih terhadap jenama tersebut kerana masih mengekalkan dirinya sebagai duta.
“Alhamdulillah, saya jatuh cinta dengan produk ini. Aurawhite bukanlah satu-satunya jenama yang saya pegang dalam tempoh yang lama. Kadang-kadang terfikir juga, bilakah kontrak akan berakhir kerana kadang-kadang terfikir pihak penaja tak mahu ke tukar dengan orang lain.
Saya anggap ia sebagai rezeki. Alhamdulillah dari zaman bujang sampai dah nak masuk anak kedua,” ujar pelantun Pencuri Hati ini.
Selamat untuk diamalkan wanita hamil, kata Furyna, produk minuman kolagen miliknya menggunakan bahan semulajadi dan tiada sebarang kesan sampingan.
“Untuk wanita hamil, disarankan amalkan produk selepas kandungan berusia empat bulan. Kami menggunakan bahan semulajadi, jadi ia selamat untuk semua,” katanya ringkas.
Pembeli bertuah juga berpeluang memenangi hadiah percutian ke Korea yang ditaja oleh Aurawhite.
“Kami mahu perluaskan kempen pelancaran untuk pengguna setia dengan menawarkan peluang percutian ke Korea. Selepas Perintah Kawalan Pergerakan, inilah kempen pertama kami bagi menghargai pengguna,” ulasnya.
Terdahulu, Aura White yang terkenal dengan tagline Shake Shake Uolls melancarkan produk minuman kolagen dengan inovasi formulasi terkini iaitu Aurawhite Dazzle Glopeptide yang bahan aktifnya lebih tinggi dan premium.
Kolagen peptida adalah kolagen yang dihidrolisis dimana ia lebih halus dari kolagen biasa dan memberikan penyerapan lebih cepat untuk tubuh badan.
Ia dapat membantu untuk memberikan pencerahan kulit lebih cepat, melembapkan kulit, memudarkan parut, mengurangkan jerawat dan jeragat, mengatasi masalah penuaan, menganjalkan kulit dan juga sangat baik untuk kuku, rambut dan juga tumit kaki.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wanita dikatakan sebagai perhiasan dan pelengkap dalam sesebuah kehidupan. Kerana itu kaum wanita disarankan agar sentiasa tampil cantik, kemas, bersih serta berbau wangi. Namun semuanya dilakukan mestilah semata-mata untuk suami.
Inilah kelebihan kepada kaum wanita. Memperkemaskan diri, bersih dengan harum-haruman dan ia dilakukan untuk suami, dianggap sebagai suatu ibadah. Melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan, pahala ganjarannya. Begitu mudah untuk wanita memperoleh pahala. Dan sebaliknya jika ia dilakukan bukan untuk suami, dan suami tidak menghalang, suami pula yang akan menanggung dosa tersebut.
Tetapi apabila disebut tentang penampilan, sepatutnya ia bukan hanya ditujukan kepada kaum wanita. Bahkan, lelaki juga disarankan agar sentiasa kemas, bersih dan wangi ketika di rumah. Namun apa yang berlaku, ramai lelaki yang tidak mempedulikan penampilan diri ketika di rumah atau ketika bersama isteri.
Di luar rumah, merekalah lelaki paling kacak dan begitu berkarisma. Tapi ketika di rumah penampilannya tak ubah seperti ‘pakcik-pakcik’. Saban hari dengan baju-T Pagoda lusuh dan kain pelekat atau seluar pendek lusuh tanpa berbaju. Rambut kusut masai dan badan berbau tengik kerana malas hendak membersihkan diri.
Dalam hal ini mungkin ada yang akan berkata, isterilah yang bertanggungjawab dalam menonjolkan imej suami. Memang betul! Tetapi jika penampilan di rumah pun perlu ditentukan oleh isteri, alahai … .
Kenyataannya, seperti mana lelaki yang sentiasa ingin melihat wanita atau isterinya cantik, demikian jugalah halnya dengan wanita. Mereka juga mempunyai citarasa. Sentiasa ingin melihat suaminya kemas, bersih dan wangi.
Kebersihan
Soal penampilan dan kebersihan diri adalah tuntutan agama. Ia adalah ibadah jika dilakukan dengan ikhlas dan bukan menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Tidak kira kepada kaum wanita atau pun lelaki. Soal penampilan mungkin tidak menjadi masalah. Kerana ia mudah difahami kerana ia boleh dilihat dengan mata kasar. Tetapi dalam soal kebersihan, ia terbahagi kepada dua. Bersih zahir dan bersih batin.
Kebersihan batin boleh dilakukan dengan membersihkan hati dari akhlak-akhlak yang keji, seperti sombong, riak, hasad, cinta keduniaan dan lain-lain. Juga dapat dilakukan dengan mengisi jiwa kita dengan budi pekerti yang terpuji, seperti tawaduk, mempunyai rasa malu, ikhlas, dermawan dan sebagainya.
Salah satu jalan untuk menyelamatkan diri kita dari akhlak-akhlak yang buruk agar memperoleh akhlak mulia telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin Juzuk yang ke 11.
Mungkin ada yang berkata, kebersihan batin saja yang boleh dilihat dengan mata kasar atau pun melalui deria bau. Sebenarnya kebersihan batin juga boleh dilihat dengan semua pancaindera. Ini kerana mereka yang bersih batinnya, di wajahnya akan terpancar ketulusan dan ketenangan. Kehadiran mereka sentiasa disenangi.
Kebersihan Zahir
Kebersihan zahir pula dapat diperoleh dengan meninggalkan segala yang bertentangan dengan agama dan menjalankan segala sesuatu yang sesuai dengan tuntutan syariat Islam. Barang siapa menghiasi anggota lahiriahnya dengan beramal soleh serta memperbaiki jiwanya dengan akhlak mulia, maka sempurnalah kebersihannya. Jika masih tidak mencapai kesempurnaan itu, tetapi masih berusaha menjalankan kebersihan itu, ia pun masih mendapatkan bahagian kesempurnaan. Sesuai dengan berapa banyak akhlak keji yang ia hindari dan berapa banyak amal soleh yang ia dilaksanakan .
Termasuk dalam kategori kebersihan zahir iaitu menghilangkan segala kotoran di dalam tubuh, bersuci dari hadas dan najis, menghilangkan bulu yang ada di ketiak, mencukur kumis serta memotong kuku. Makruh melambatkan membersihkan hal-hal yang tersebut hingga empat puluh hari. Kebersihan zahir yang lain iaitu menghilangkan kotoran yang ada di celah-celah dan lubang yang ada pada tubuh kita, membersihkan kotoran di mata, membuang kotoran yang ada di dalam hidung serta membersihkan gigi terutama ketika hendak menunaikan ibadah .
Selalu membersihkan pakaian yang kotor dan jangan menggunakan air secara berlebihan. Beberapa hal yang berhubung dengan kebersihan adalah meminyak janggut dan menyisirnya, juga sunat merapikan setiap rambut yang dipelihara. Disunatkan bercelak sebagaimana yang telah dilakukan Rasulullah SAW.
Wangi-Wangian
Gunakan pula wangi-wangian khususnya ketika hendak mendirikan solat Jumaat dan ketika menghadiri suatu majlis. Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat suka menggunakan wangi-wangian, sampai kilauan minyak yang ada di kepala beliau terlihat dengan jelas. Hal itu ia lakukan agar umatnya dapat memakai wangi-wangian, tubuh beliau sudah harum bahkan ada sebahagian sahabat mengumpulkan keringat beliau untuk dijadikan wangi-wangian.
Aisyah berkata yang bermaksud,
“sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isterinya baginda meminyaki bagian lain tubuh Rasulullah s.a.w. ( Hadis Riwayat Ibnu Majah ).
Disunatkan bagi kaum lelaki menggunakan wangi-wangian, tetapi sebaliknya kaum wanita dilarang menggunakan kecuali ketika bersama dengan suaminya.
Berusaha
Kita dituntut memperbaharui wuduk setiap kali mengerjakan solat fardu. Berusaha untuk sentiasa suci dan berwuduk ketika berhadas, kerana wuduk adalah senjata mukmin. Apabila senjata sudah ada di tangan, musuh pun tidak akan berani mendekati kita.
Kekerapan mengambil wuduk akan membersihkan beberapa anggota badan. Di mana setiap mukmin pasti akan terhindar daripada kekotoran. Selain daripada itu, air wuduk yang membasahi wajah mampu menjadikan seseorang itu sentiasa berseri. Sehingga ada yang berkata, walau pun wajahnya tidak cantik, tetapi manisnya tetap ada.
Kita dituntut menunaikan solat dua rakaat setelah berwuduk. Jika tidak mampu, hendaklah bersuci dari hadas ketika memasuki masjid, membaca Al-Quran, berzikir dan lain-lain. Semasa berwuduk atau mandi, janganlah hanya melaksanakan yang fardu saja, sebaiknya tunaikan pula sunnah-sunnah dan adab-adabnya, sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW.
Sesungguhnya, cantik, bersih dan wangi bukan hanya sebagai memenuhi sunnah Rasulullah SAW, tetapi juga akan menambahkan lagi kasih sayang dan keakraban pasangan suami isteri.ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!