
Kisah Abang Minyak Hitam Jalanan dan Dicky Yau yang tular di media sosial akhirnya mendapat pengiktirafan rasmi. Dua lelaki itu kini diiktiraf sebagai Sahabat Perpaduan MADANI selepas kisah menyentuh hati rakyat Malaysia itu mencetuskan inspirasi di seluruh negara.
Kementerian Perpaduan Negara hari ini memberikan pengiktirafan khas Sahabat Perpaduan MADANI kepada Mohd Yusof Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’ dan Dicky Yau atas nilai kemanusiaan, keikhlasan serta semangat perpaduan.
Tular satu video baru-baru ini memaparkan seorang mekanik dikenali sebagai ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’ membantu pemilik motosikal, Dicky Yau sehingga menyentuh hati rakyat Malaysia.
Rantai motosikalnya putus dan bahagian sproket rosak ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Namun, baki wang dalam akaunnya hanya RM176, manakala kos pembaikan mencecah RM145. Menyedari kesulitan yang dihadapi pelanggannya, ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’ enggan menerima bayaran dan membantu secara ikhlas.
Dicky Yau yang bekerja sebagai pekerja restoran, kelihatan sebak dengan kebaikan tersebut sehingga menitiskan air mata. Tidak berhenti di situ, beliau berusaha mengadakan sesi LIVE di platform TikTok dan berjaya mengumpul gift yang banyak. Gift tersebut diniatkan untuk diberi kepada Mohd Yusof sebagai balasan kebaikan mekanik tersebut membantunya namun dipulangkan semula sebagai infak.
Dalam sesi 3 Pagi Era, Dicky turut mendedahkan bahawa dia sudah lapan tahun merantau ke Kuala Lumpur dan merupakan seorang bapa tunggal kepada seorang anak.
“Bahagian yang susah itu jangan ditunjukkan, simpan sendiri,” tuturnya sayu.
Kisah Dicky benar-benar meruntun hati warganet. Rata-rata memahami kesukaran yang dihadapinya, selain memuji ketulusan hati Mohd Yusof.
Kisah ini meledak di media sosial sekaligus membuktikan kebaikan sebegini melangkaui batas kaum dan fahaman masing-masing.
Pengiktirafan Sahabat Perpaduan MADANI
Pejabat Timbalan Menteri Perpaduan Negara menerusi kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu disampaikan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj sebagai tanda penghargaan terhadap insan biasa yang melakukan perkara luar biasa demi masyarakat.

Yunes, Yusof & Dicky
Tiga nama, tiga latar berbeza, tapi satu cerita yang sama tentang manusia dan perpaduan.
Semuanya bermula bila En. Yusof, atau lebih dikenali sebagai ‘(abang) minyak hitam jalanan’, tular kerana keikhlasannya membantu saudara Dicky tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dari situ, kita nampak satu perkara. kebaikan itu masih hidup dalam masyarakat kita.
Tambah Ahli Parlimen Segamat itu lagi, beliau berharap kisah ini menjadi inspirasi buat masyarakat agar terus percaya pada kebaikan dan menjaga perpaduan.
Perbuatan itu bukan sahaja mencerminkan nilai ihsan, malah memperlihatkan perpaduan sebenar hidup melalui tindakan kecil yang lahir daripada hati yang ikhlas.
Perpaduan Bukan Sekadar Slogan
Sementara itu, Yuneswaran dalam kenyataan sama berkata kisah Mohd Yusof dan Dicky membuktikan perpaduan tidak terhad kepada slogan, ucapan atau dasar semata-mata.
Beliau berkata perpaduan sebaliknya dapat diterjemahkan melalui sikap saling membantu tanpa mengira latar belakang, kaum, agama atau status sosial.


“Apa yang ditunjukkan oleh Mohd Yusof dan saudara Dicky adalah cerminan Malaysia yang kita cintai, sebuah negara yang dibina atas nilai hormat, belas ihsan dan kebersamaan,” katanya.
Inspirasi Buat Rakyat Malaysia
Pejabat Timbalan Menteri Perpaduan Negara berharap kisah ini menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyemai budaya saling membantu, menghormati dan menjaga keharmonian masyarakat majmuk.
Dalam semangat Malaysia MADANI, setiap perbuatan baik yang menyatukan masyarakat perlu diraikan, diiktiraf dan dijadikan teladan agar nilai perpaduan terus hidup dalam kehidupan seharian rakyat.
Kisah Abang Minyak Hitam Jalanan ini jelas membuktikan bahawa tindakan kecil mampu memberi impak besar kepada masyarakat. Ia bukan sahaja menyentuh hati, malah mengingatkan kita bahawa nilai kemanusiaan masih utuh dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan.
Lebih penting, kisah ini mengajar bahawa keikhlasan tidak memerlukan ganjaran, dan perpaduan tidak memerlukan pentas besar untuk dibuktikan. Cukup dengan satu tindakan jujur seperti yang dilakukan oleh ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’, ia sudah cukup untuk menyatukan hati ramai.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/tenang-meniti-50-an-atilia-haron-menopaus-tidur-awal-tanpa-gangguan/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





