Siapa sangka walaupun pada mulanya tidak meminati bidang akademik namun Najwa Latif kini sedang berusaha meraih gelaran tertinggi dalam bidang pendidikan. Bakal bergelar Doktor apabila tamat pengajian kelak, penyanyi lagu Kosong ini begitu teruja dengan ‘rezeki’ yang diperolehnya ini.
Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif kini sedang menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Najwa Latif kini menjawat jawatan sebagai pensyarah, sebelum ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Antarabangsa Unitar (UNITAR) pada 2017. Najwa Latif kemudian meneruskan pendidikan tinggi dalam jurusan sama di Universiti Malaya (UM) di peringkat Sarjana.
Wanita yang berusia 26 tahun ini menzahirkan rasa syukur dalam masa yang sama teruja membayangkan ‘gelaran’ yang bakal disandangnya kelak walaupun pengajiannya baru bermula seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.
“Tempoh pengajian dijangka dalam tiga hingga enam tahun. Jauh lagi perjalanan nak dapat gelaran itu namun saya rasa dapat bergelar doktor adalah pencapaian luar biasa untuk saya yang pernah tak minat akademik.
Saya percaya semakin kita belajar, semakin kita sedar betapa sedikitnya ilmu yang kita tahu. Ilmu itu sangat luas dan takkan pernah ada penghujung.
Walaupun habis PhD nanti, saya rasa saya masih akan nak terus belajar dan belajar lagi. Semua ini untuk kepuasan diri dan memajukan diri sebagai pendidik serta individu.
Saya bersyukur dapat peluang sambung belajar lagi masih terlalu seronok. Tapi ini permulaan baharu untuk terus memperbaiki diri dalam subjek yang sangat saya cintai, TESL,” tutur Najwa Latif.
Foto: Instagram @njwalatif
Menurut Najwa Latif masih dalam proses untuk menentukan penyelidikan apa mahu dikaji bagi tesisnya nanti. Semoga kejayaan Najwa Latif ini menyuntik inspirasi kepada wanita lain untuk mencapai sesuatu tanpa kenal istilah putus asa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum dengan kejayaan penyanyi Black Hanifah menaik taraf kehidupan. Bukan berasal dari keluarga kaya, pelantun lagu Teman Pengganti ini berusaha keras meraih kesenangan hidup sehinggalah berjaya mengumpul beberapa aset demi masa depan. Tahniah!
Baru-baru ini, nama Black kembali menjadi bualan apabila dia membuka sebuah villa peranginan di Pulau Langkawi, Kedah yang dikenali sebagai Rindu D’Villa. Khabar gembira itu dikongsikan Black sendiri di Instagram miliknya sejak Disember lepas dengan menunjukkan setiap perkembangan pembinaan villa berkenaan.
Lebih manis, dia menamakan villa itu sempena nama puteri kesayangan iaitu RIndu Dayyana. Rindu D’Villa dibina berkonsepkan Bali yang terletak di Cow Hill, Kedawang, Langkawi mengambil masa kira-kira tiga bulan.
Jelas pemilik nama Hanifah Md Hanafiah ini, idea pembinaan villa tercetus sejak Oktober tahun lalu ketika negara melalui fasa peralihan ke endemik Covid-19. Apa yang mengagumkan ialah, Rindu D’Villa dibina Black sendiri dan dibantu empat pekerja yang dibawa dari Kuala Lumpur.
Dia yang kini berusia 36 tahun berkata Rindu D’Villa sudah bersedia menerima kunjungan tetamu dan tempahan sudah mula dibuka pada bulan Mac.
Difahamkan, Black juga tidak menolak kemungkinan bakal menambah villa di sekitar lokasi tersebut pada masa depan kerana menganggap ia satu pelaburan yang baik untuk masa depan keluarga.
Saban tahun, pasti ada aset baru yang dimiliki anak seni ini. Januari tahun lalu misalnya, Black berkongsi proses ubah suai kediaman dua tingkat miliknya yang serba moden dan eksklusif.
Pada tahun 2019, dia dilaporkan menghadiahkan ibu bapanya banglo dan tiga chalet iaitu D’Sawah Chalet di Kupang, Baling, Kedah yang harganya dianggarkan mencecah RM200,000!
Black menjelaskan kediaman itu dibina atas tanah milik bapanya selepas mereka berhasrat menetap di kampung.
Black berkahwin dengan Naquia Yasirah Mohd Khairi pada 13 September 2013 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Khaleef Dayyan dan Rindu Dayyana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pertama kali bersua muka dengan wajah jelita persis kakak kesayangannya Rozita Che Wan ini telah membuat mata tidak berhenti memandang. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui beliau mempunyai lima orang anak yang masih kecil. Memiliki tubuh langsing bak anak dara membuatkan Datin Rohaiza Che Wan atau mesra di sapa Datin Jaja ini pasti menjadi idola setiap wanita.
Memiliki anugerah bertubuh tinggi membuatkan penampilan Datin Jaja pasti mencuri tumpuan di setiap majlis yang dihadirinya. Sudah lah berwajah cantik sikap ramah-tamahnya menambat hati sesiapa sahaja yang mendampinginya malah tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya.
“Sebenarnya saya tidak mempunyai rahsia kecantikan yang khusus. Namun, apa yang boleh saya kongsi adalah amalan ketika berpantang selepas melahirkan anak. Saya jenis seorang yang kuat berpantang selepas melahirkan anak. Lebih-lebih lagi apabila jarak umur anak-anak saya sangat rapat. Oleh itu penjagaan amalan berpantang sangat penting.
Saya mahu kelihatan cantik dan bertenaga seperti mak. Saya patuh semua pantang larang yang mak ajar ketika berpantang. Pemakanan sangat penting ketika berpantang, saya cuma amalkan makan nasi panas dan halba serta ulam. Di samping itu saya juga banyak makan pegaga untuk memperbanyakkan aliran susu sebab saya menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun. Mungkin menyusukan anak ini merupakan ‘perancang keluarga’ saya sementelah saya tidak mengamalkan apa-apa jenis perancang keluarga.
Jika ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa dengan mempunyai anak-anak yang masih kecil, bagi saya tiada sebarang cabaran. Ini kerana apabila umur mereka rapat rutin harian saya tidak berubah. Sejak melahirkan anak pertama sehingga anak kelima saya sudah terbiasa untuk bangun malam menyusukan anak atau menukar lampin mereka. Bagi saya cabaran datang apabila kita sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan sudah terbiasa tidak bangun malam untuk menyusukan anak tetapi tiba-tiba mempunyai anak baru lahir. Ketika itu rutin harian sudah lari dan pasti menimbulkan masalah.
Jika diizinkan Allah SWT saya mahu mendapat seorang anak lagi dan kalau boleh kali ini saya mahu anak lelaki untuk menjadi kawan kepada Fareez,” tutur ibu kepada Nur Fa’iqah Faiza Muhammad Faizal, 9 tahun, Nur Fa’izah Faiza Muhammad Faizal, 7 tahun, Muhammad Fareez Faiza Muhammad Faizal, 5 tahun, Nur Fareeqah Faiza Muhammad Faizal, 4 tahun dan Nur Fareeda Faiza Muhammad Faizal 2 tahun, ini.
*Kredit gambar: Instagram @jcw_81
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sakinah Alfakhri atau Yna Sakinah, jurusolek profesional yang cukup dikenali di kalangan artis mahupun selebriti. Tahun lalu berita gembira tentang kehamilan anak pertamanya turut dikongsi di Instagram. Namun perkhabaran gembira itu hanya dikongsi oleh Yna setelah kandungannya memasuki usia lima bulan.
Bukan sekadar meluahkan keterujaannya yang bakal menimang cahayamata, apa yang paling menyentuh hati ialah bagaimana dia dan suami melalui detik-detik sukar untuk mendapatkan zuriat. Lebih-lebih lagi Yna disahkan mengalami rahim terbalik. Segala ikhtiar dilakukan, akhirnya doa mereka dimakbulkan.
LIMA TAHUN MENANTI ZURIAT
“Alhamdulillah hampir lima tahun saya dan suami menunggu. Inilah detik paling membahagiakan kami. Sebenarnya tahun pertama perkahwinan kami merancang untuk lakukan natural planning. Masuk tahun kedua kononnya dah ready sampailah masuk tahun ketiga kami dah mula tersedar. Hati saya mula terdetik “Eh tak ada rezeki lagi..”
Bohonglah kalau kata saya tak menangis, tak tertekan. Mujurlah suami seorang yang tenang. Kami mula berikhtiar. Namun saya faham perasaan suami yang terpaksa mencuba dan menanti dalam keadaan tanda tanya serta bimbang. Saya bersyukur kerana keluarga kami tak pernah bertanya malah mendesak untuk dapatkan zuriat.
Cuma rasa bimbang dan keinginan untuk memiliki zuriat tu sangat tinggi termasuk bagaimana rasanya menjadi seorang ibu, sakit bersalin dan macam-macam lagi. Masuk tahun keempat saya dah tak banyak fikir tentang hamil. Suami kerap bagi tazkirah agar saya lebih bersabar dan redha. Saya percaya terlalu tertekan dan badan penat juga antara punca.
Atas nasihat sahabat-sahabat, saya pergi buat pemeriksaan kesuburan. Alhamdulillah kami tiada masalah kesuburan namun saya disahkan mengalami Retroverted Uterus atau rahim terbalik. Namun menurut doktor saya masih boleh mengandung walaupun tanpa rawatan IUI atau IVF. Sedikit sebanyak ia melegakan perasaan saya. Ada suplemen dan cara tertentu yang perlu diamalkan. Sesetengah orang yang nak cepat mungkin akan terus buat IUI atau IVF. Tapi saya ambil keputusan untuk ikut prosedur normal.”
IKHTIAR PELBAGAI CARA
“Untuk kesuburan doktor bagi tempoh 60 hari untuk saya dan suami amalkan suplemen seperti minyak ikan, kalsium, magnesium, multivitamin, asid folik dan ubat hormon. Hubungan kelamin juga penting seeloknya 3 kali seminggu namun untuk kes saya (rahim terbalik) ada caranya.
Lepas tu kami checkup lagi dengan doktor dan disahkan sihat. Doktor sarankan kami buat IUI tapi saya kata nak ikhtiar cara lain dulu. Kalau tak ada rezeki juga barulah saya proceed dengan IUI. Alhamdulillah saya disahkan hamil pada November 2018.
Saya turut ikhtiar cara rawatan Islam antaranya mengamalkan makanan dan minuman dengan surah-surah yang boleh saya amalkan termasuk mandian bunga yang dibacakan surah Ruqyah. Seterusnya saya amalkan minum air zam-zam.
Saya juga ada tukang urut peribadi yang memang pandai mengurut. Katanya urat saya bengkak dan bersimpul. Patutlah badan saya banyak angin dan mudah migrain. Tambah lagi wajah, tangan dan kaki juga pucat. Darah jadi tak lancar. Katanya dalaman tak cantik sebab tak dijaga dengan baik. Dalaman pun sejuk dan tak bagus untuk kesuburan.
Sebulan tiga kali saya mengurut. Kemudian jadi sebulan sekali. Ringannya badan…saya disuruh amalkan jamu. Mulanya saya cuba makan jamu yang diberi tapi tak serasi. Saya berhenti dan tukar kepada jamu Mutyara Beauty kerana kebetulan Tya Arifin bagi saya untuk cuba. Sedap sangat.
Saya amalkan 1 sudu pagi dan 1 sudu malam. Kesannya, hari pertama haid dari warna hitam dan berketul jadi merah dan cair. Senggugut pun makin kurang. Kitaran haid semakin teratur, keputihan makin kurang. Saya rasa lebih bertenaga.
Saya turut amalkan pemakanan dan gaya hidup sihat. Lama-lama saya makin tenang sampailah disahkan hamil. Kesimpulannya, sebelum buat IUI atau IVF dalaman kita perlu sihat dulu.”
JANGAN PUTUS ASA
“Rezeki datang ketika kita mula redha di samping solat, doa, usaha dan tawakal. Amalkan juga sedekah kerana Allah SWT akan memberikan kita rezeki dengan pelbagai cara. Zuriat adalah rezeki paling nikmat.
Dahulukan memberi kepada keluarga. Berehatlah secukupnya bagi yang terlalu kuat bekerja, luangkan masa bersama pasangan. Suami isteri perlu saling bekerjasama, bukan sebelah pihak saja.
Buat pasangan yang masih menanti semoga dengan izinNya segera dikurniakan zuriat, tepat pada waktunya. Sabar, usaha dan tawakal itu paling utama. Jangan putus asa. Apa pun semua berbalik kepada rezeki Allah SWT.”
Kredit Foto: Instagram Yna Sakinah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Muabellaz menerima Anugerah Tokoh Belia dalam Program Dari Akar Umbi Ke Jaguh Dunia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai usahawan kosmetik dan ikon belia yang berjaya membina empayar perniagaan dari Kedah.