
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat ke Majlis Menghadap Perpisahan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Mahmoud Hussein Saeed Qattan, dan Duta Besar Qatar ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Fahad Mohammed Kafoud, di Istana Negara pada 19 Oktober 2022.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Seri Ahmad Fadil bin Shamsuddin, majlis menghadap perpisahan itu diadakan susulan kedua-dua duta besar berkenaan akan menamatkan penempatan mereka di Malaysia dalam masa terdekat, pada tahun ini.
Dalam kedua-dua sesi menghadap yang berlangsung secara berasingan bermula pada 11 pagi itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua duta besar berkenaan atas peranan mereka dalam memperkukuh dan mempertingkatkan hubungan serta kerjasama dua hala antara negara masing-masing dengan Malaysia ke tahap lebih komprehensif.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kedua-dua negara itu adalah sahabat yang penting dan akrab dengan Malaysia malah turut menzahirkan rasa suka cita dengan jalinan hubungan diplomatik serta dua hala yang kukuh di pelbagai peringkat khususnya, dalam aspek ekonomi.
Tuan Yang Terutama Mahmoud Hussein Saeed Qattan memulakan perkhidmatannya pada April 2017 dan akan berakhir pada 21 Oktober 2022 ini manakala Tuan Yang Terutama Fahad Mohammed Kafoud menamatkan penempatannya pada 4 November ini sejak mula berkhidmat di Malaysia pada November 2018.
Sumber: Istana Negara
Peminat Keju Patut Nikmati Rasa Mengagumkan RACLETTE, Ini Sebabnya!

Jika satu-satunya keju cair yang anda pernah cuba ialah ketika menikmati piza atau roti bakar, ini bermakna banyak lagi yang perlu anda tahu mengenai keju cair ini. Tetapi apabila ia berkaitan dengan keju cair, tidak semua keju sama. Sesetengahnya mencair lebih baik daripada yang lain, membolehkan teksturnya terurai, dan membangkitkan rasa serta cita rasa.
Cef Pierre Gay, seorang artisan dan pakar keju yang berasal dari Perancis bukan sahaja mahir tentang keju tetapi juga merupakan seorang guru dan pakar mengenai keju telah berkongsi pengetahuannya mengenai keju Eropah pada parti Raclette bersama pihak media. Majlis yang dianjurkan bersama oleh Organisasi Tenusu Antara Perancis (CNIEL) dan Kesatuan Eropah (EU) bertujuan untuk mempromosikan kelebihan dan kehalusan keju Eropah.
“Raclette merupakan konsep baharu di Malaysia dan bagi negara yang sangat sukakan keju, ini adalah pengalaman yang pastinya rakyat Malaysia tidak mahu ketinggalan,” jelas Cef Pierre Gay. “Raclette merupakan keju yang diperbuat daripada susu lembu dan dipanggang atau dicairkan di bawah haba sehingga cair, sedikit ranggup dan biasanya diparut ke atas kentang, sayur-sayuran rangup atau daging kering.”
Dengan misi untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai kepelbagaian jenis keju Eropah dan cara terbaik untuk menikmatinya, Cef Pierre Gay memberi pandangan mengenai dunia keju Eropah pada Parti Raclette baru-baru ini di Cocott’ KL.
Cef menggunakan keju Raclette yang dicairkan dalam mesin Raclette yang besar, kemudian dilapis di atas daging kering dan lain-lain makanan sampingan yang semestinya menggembirakan para tetamu. “Keju Raclette adalah keju cair yang terbaik dan keju utama yang digunakan dalam raclette dan fondue. Mempunyai bau yang kuat tetapi sedap, tahap pH Raclette memberikan titik cair yang sempurna menghasilkan cecair yang berserabut tetapi masih mengekalkan bentuk yang sama,” katanya.
Rakan-rakan media dan tetamu juga berpeluang mencairkan keju dan menikmati keju Brie, Reblochon, Fourme D’Ambert, Comte, Saint Nectaire, Gouda dan Scamorza di atas mesin Raclette bersama dengan sayur-sayuran mentah dan juga yang telah dimasak seperti hirisan lada Benggala, cendawan butang, tomato, jagung, hirisan bawang, nanas, kentang bakar, lobak merah dan kacang pis yang dimasak, hirisan buah pear, epal hijau dan anggur tanpa biji, bersama beberapa jenis daging seperti kambing, daging lembu, ayam dan sosej salai. Hidangan juga disertakan dengan roti baguette, hirisan seperti bawang kecil, timun, dan rempah seperti garam, lada hitam dan kepingan cili.
Dari sejuk ke panas, manis hingga pedas dan dari pembuka selera hingga pencuci mulut, kebanyakan resipi keju hanya memerlukan beberapa bahan tambahan untuk menjadikannya hebat. Dengan kawalan kualiti dan peraturan yang ketat di Eropah, keju Eropah sentiasa berkualiti tinggi, dan merupakan produk keju terbaik yang sentiasa tersedia untuk pengguna di Malaysia.
Raclette yang merupakan konsep baharu di Malaysia adalah cara terbaik untuk menikmati keju Eropah dan boleh dilakukan dengan mudah di rumah untuk dinikmati bersama rakan-rakan dan keluarga, memberikan hidangan keju tradisional yang segar dan menyeronokkan. Rancang Parti Raclette anda sendiri dan bersedia untuk cair dengan keju Eropah yang terbaik di dunia!
YDP AGONG Gesa Rakyat Tak Ambil Sikap Sambil Lewa Perintah Kawalan Pergerakan

Umum mengetahui kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada hari ini 18 Mac hingga 31 Mac 2020. Perintah tersebut dilakukan selepas jumlah jangkitan di Malaysia terus meningkat dengan 117 kes baharu menjadikan jumlah positif Covid-19 mencecah 790 sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
Merujuk kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia, daripada jumlah kes tersebut 60 dilaporkan telah sembuh. Dengan dua kematian dicatatkan semalam menjadikan kadar kematian di negara ini ialah sebanyak 0.3 peratus. Pada hari ini juga jumlah kematian di seluruh dunia ialah sebanyak 7,904 kes dengan Itali mencatatkan kadar kematian 7.94 peratus.
Kes kematian akibat wabak Covid-19 di Sepanyol dan Amerika Syarikat pula dilaporkan naik mendadak. Sepanyol mencatatkan 491 kematian berbanding 288 kes pada sebelumnya. Manakala Amerika Syarikat pula sebanyak 108 kematian berbanding 62 kes sebelum itu. Ini menjadikan jumlah kes jangkitan di seluruh dunia mencecah 197,575 kes.
Sehubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menggesa rakyat agar tidak mengambil sikap mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan terhadap rakyat Malaysia.
Pada hari ini juga KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua diberi sembah taklimat berkenaan operasi pemantauan, pengumpulan dan perkongsian maklumat berkenaan wabak COVID-19.
Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Dato’ Seri Dr. Adham Baba, Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Foto: Instagram Istana Negara
Sesak Nafas, Jantung Degup Kencang, Kaki & Tangan Berpeluh, LINDA ONN Diserang Panic Attack!

Gerun bila dapat tahu DJ popular, Linda Onn diserang panic attack ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini. Siapa sangka, perasaan positif Linda untuk mematuhi PKP yang bermula 18 Mac lalu dan dilanjutkan sehingga 14 April 2020 bertukar tragedi apabila dia berdepan situasi cemas terhadap dirinya sendiri. Dari hari pertama hingga hari ketujuh menjalani kuarantin di rumah, Linda dilihat aktif berkongsi aktiviti hariannya di media sosial.
Setiap hari ada sahaja yang ingin dilakukan selebriti ini untuk menghilangkan rasa bosan di rumah. Selain sibuk di dapur, Linda juga ligat mempromosikan perniagaan makanan miliknya My Moms Chicken Rice, percubaan menghasilkan hand sanitizer di samping meluangkan masa bersama anak tersayang, Ungku Zara yang berusia dua tahun. Bagaimana pun, memasuki hari kelapan PKP dia mula merasakan perubahan terhadap dirinya.
Kongsi Linda, “Kalau perasan sejak Day 1 hingga Day 7, setiap hari Linda upload aktiviti Linda kuarantin di rumah. Niat hati nak update setiap hari. Tapi Day 8 hingga Day 13, Linda tak update apa-apa. Sebab Linda kena Panic Disorder. Maknanya lebih intense dari anxiety. Jantung berdegup laju. Tangan dan kaki sejuk berpeluh. Sesak nafas. Perut bergelodak. Mabuk. Takut. Nervous. Loss control. Akhirnya dada Linda sakit sangat.
So Linda pergi jumpa psychiatrist dan terangkan satu persatu. Semua yang Linda terangkan ada dalam buku ‘Panic Disorder’ doktor tu. Doktor kata semua itu simptom panic disorder.”
Menurut Linda lagi, perubahan yang dirasakan kian memuncak sebaik dia pulang dari Singapura. “Rasanya Linda kena panic attack sebab disuruh kuarantin lepas balik
Singapore. Then tiba-tiba selsema. Waktu ini dah fikir bukan-bukan. Bila dah start panic mulalah kita rasa sakit itu, sakit ini. Then ada orang suggest itu dan ini. Whatsapp yang masuk semua cerita pasal ni. Nak keluar rumah tak boleh. Nak cerita kat Zara, dia tak faham lagi. Fikiran pun jadi celaru. Nak nak musim Covid-19 ni.
Semua sebab-sebab di atas buat Linda fikir terlalu banyak, jadi risau gelisah. Hanya tenang sewaktu solat dan baca Quran je. Sejak dari tu, Linda tak dengar atau tengok satu berita pun. Linda tak nak ambil tahu. So no FB, no IG, no news, no whatsapp and no TV,” ujarnya.
Walau sudah melakukan bermacam-macam usaha untuk tidak terlalu memikirkan tentang wabak yang sedang melanda namun minda Linda masih bercelaru. “Dan panic attack ni boleh serang bila-bila masa je tak payah ada benda trigger. So hari ni, setelah seminggu Linda bergelut dengan panic disorder, barulah Linda dapat bernafas sikit. Mungkin fikiran dah lebih positif.
Tapi dada masih sakit sebab jantung kerja keras waktu kejadian. Dan hari ni juga hari pertama Linda kembali ke udara di radio. Otak ni dah divert ke kerja, tak fikir sangat pasal perkara bukan-bukan dan sejak malam tadi Linda dengar Youtube, guided meditation for panic or anxiety attack. Dia ajar breathing technique dan macam mana nak tenangkan diri.”
Dalam keadaan semasa yang memaksa masyarakat duduk di rumah untuk mengelak daripada jangkitan Covid-19, tidak dinafikan terdapat segelintir daripada mereka yang mudah diserang simptom seperti dialami Linda Onn akibat terlalu risau dan memikirkan sesuatu perkara. Jika perubahan seperti ini turut dirasai anda, segeralah bertemu pakar dan cuba menghilangkan kegusaran dengan melakukan perkara yang boleh membuat anda berasa tenang.
Buat Linda Onn, semoga anda kuat menjalani hari-hari mendatang dan diberikan kesembuhan segera.