Air Tangan Datuk Seri Siti Nurhaliza buat suami sempena ulang tahun ke-16 perkahwinan

Hari ini, genap 16 tahun penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa disatukan sebagai suami isteri. Diam tak diam, sudah 16 tahun penyanyi kesayangan Malaysia ini bergelar isteri dan bahagia dikurniakan dua orang cahayamata sebagai penyeri rumahtangga.
Tahun ini, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih untuk meraikan ulang tahun perkahwinannya dengan cara tersendiri. Beliau memuat naik video beberapa jenis masakan air tangannya untuk dinikmati bersama suami tersayang sempena ulang tahun perkahwinan mereka. Antara lauk pauk yang disediakan sendiri olehnya termasuklah ikan asam goreng, ketam goreng, asam pedas dan sambal udang petai.


“Ikan asam goreng, ketam, asam pedas ikan jenahak, sambal udang petai masakan untuk ulang tahun perkahwinan, Alhamdulillah,” katanya menerusi perkongsian di Instagram Story.


Siti turut berkongsi sebuah video yang memaparkan koleksi gambar bersama suami tersayang ketika di awal perkahwinan sehinggalah mereka dikurniakan dua orang cahaya mata sebagai penyejuk jiwa, penyeri rumah tangga.


Untuk rekod, pasangan ini telah mendirikan rumahtangga pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Manakala majlis persandingan telah diadakan pada 28 Ogos di Dewan Pameran KL Convention Centre dan turut dibuka kepada peminatnya. Satu lagi majlis resepsi perkahwinannya telah diadakan di kampung Siti Nurhaliza di Kuala Lipis, Pahang.


Kisah cinta Siti Nurhaliza dan Datuk K dikatakan bermula sejak konsert solo pertama penyanyi itu di Royal Albert Hall London pada bulan April , 2005.


Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah, 4 dan Muhammad Afwa.

Happy Anniversary Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid!

Foto: Koleksi Instagram @CTDK

IKLAN
Share