AIS Bukan Penyebab Kanser Rahim, Masalah Haid & Ketumbuhan, Dengar Penjelasan DR IMELDA BALCHIN Ini!

Tak dinafikan masyarakat di negara ini cukup risau kalau hendak ambil minuman berais. Mana tidaknya, macam-macam dakwaan negatif timbul terutamanya bila melibatkan kesihatan wanita. Lebih-lebih lagi yang sedang menyusukan anak dan sedang mengalami menstruasi. Bila minum air berais, ada yang mengatakan ia boleh menjejaskan kesihatan anak yang masih menyusu dan ‘menyekat’ kitaran haid seseorang.

Terpanggil untuk menjelaskan perkara tersebut, Prof Dr Imelda Balchin yang merupakan Profesor Sakit Puan di Universiti Malaya berkongsi info berikut di laman Facebook miliknya.

“Tak payah bimbang kalau anda nak minum air ais semasa waktu datangnya haid. Air ais tidak menyebabkan darah beku dan air ais tidak menyebabkan kanser rahim. Malas bergerak, kehidupan tidak cergas, obesity, pemakanan yang tidak sihat, diabetes dan tekanan darah tinggi yang meningkatkan risiko kanser rahim.”

Tambahnya lagi, “Pilihlah buah-buahan segar yang kaya vitamin dan serat untuk makanan snek petang anda, bukan biskut manis cicah Milo manis. Tambahan gula dalam minuman anda itu sangat berbahaya untuk kesihatan anda, tidak kira minuman itu panas atau sejuk. Jangan salahkan ais.”

Sambil berkongsi info bergambar yang memaparkan kadar penyakit kanser rahim di seluruh dunia, Prof Dr Imelda berkata penduduk di negara sejuk dilihat lebih terdedah menghidap penyakit tersebut meskipun kurang gemar menikmati minuman berais.

“Rakyat negara sejuk yang tak suka minum ais (sebab negara sejuk, mereka lebih suka minum teh panas dan kopi panas), terdapat lebih banyak pula kejadian kanser rahim daripada rakyat negara panas (sebab negara panas, rakyat lebih suka minum cendol ais, teh ais, kopi ais).

Risiko mereka di negara barat adalah lebih tinggi kerana masalah obesiti. Jangan salahkan ais. Kalau anda nak minum air ais, minum sajalah. Tetapi elaklah minum air ais yang tinggi kandungan gula berproses. Air kosong ais lah yang terbaik.”

Prof Dr Imelda pun aktif bersukan

Dalam pada itu, untuk memastikan masyarakat khususnya kaum wanita mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat… Prof Dr Imelda menyarankan agar melakukan aktiviti bersenam dengan kerap sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

“Bersenam mengurangkan risiko kanser. Bersenam boleh mengimbangkan hormone badan anda dan menguruskan haid yang tidak teratur. Bersenam juga mempercepatkan pergerakan usus dan inilah cara detox yang terbaik untuk usus anda.

Walaupun anda kurus, anda tiada alasan, dan anda mesti bersenam juga untuk kesihatan jangka masa panjang. Tujuan bersenam ialah untuk kesihatan, bukan untuk kurus saja. Teruskan bersenam walaupun anda kurus. Kehidupan cergas itu lebih baik untuk kesihatan usus dan boleh melindungi anda dari kanser usus.

Bersenam tu boleh buat dengan percuma saja. Tak payah pun beli produk overclaim mengarut,” jelasnya.

Jadi, lepas ni bolehlah minum air ais tanpa rasa bersalah. Cuma ingat, jangan ambil keterlaluan sebab apa-apa makanan yang diambil secara keterlaluan pun akan mendatang mudarat kepada kesihatan. Moga bermanfaat!

 

Sumber: Facebook Prof Dr Imelda Balchin

 

 

IKLAN
Share