
Pelakon jelita Sari Yanti, yang juga isteri kepada pelakon, penyampai radio dan pelawak popular Jep Sepahtu baru-baru ini berkongsikan wajah terkini anak-anak mereka menerusi hantaran di Instagramnya sekaligus mencuri perhatian warga maya yang ternyata teruja melihat kelima-lima anak mereka berdua yang kian membesar, dan semuanya comel-comel belaka.
Yang turut menarik perhatian adalah kepsyen ditulis Sari Yanti yang turut mendoakan mereka yang belum punya anak akan dikurniakan zuriat dan cahaya mata suatu hari nanti, selain mengharapkan anak-anak mereka membesar menjadi anak yang soleh dan solehah.
Mengintai di ruangan komen, doa tulus Sari Yanti tersebut nyata disambut baik oleh para peminatnya yang masing-masing turut berkongsi pengalaman serta harapan mereka untuk punya anak dan keluarga besar seperti Sari dan Jep. Tidak kurang juga rata-rata mendoakan agar keluarga Sari dan Jep bahagia sentiasa dan di dalam lindungannya.
Untuk rekod, Jep mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Sari Yanti atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari pada 25 Februari 2017. Sehingga kini mereka dikurniakan 5 orang anak iaitu Barr Al Aliy, Baasit Al Haq, Dariya Inara, Muhamad Khidir dan Abu Bakr.
Jep juga turut memberikan respon dan membalas komen di ruangan tersebut dengan menulis Amin Ya Rabbal Alamin.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Kahwin Di Tapak Istana Uthmaniyyah Kurun Ke-19, Presiden TURKI Jadi Saksi Wedding MESUT OZIL!

Wow, terpegun tengok majlis perkahwinan bintang bola sepak terkenal Jerman dan Arsenal, Mesut Ozil yang berlangsung baru-baru ini! Dari status pengantin perempuan, lokasi majlis perkahwinan sehinggalah saksi penyatuan dua jiwa tersebut semuanya mencuri tumpuan ramai.
Mana tidaknya, Presiden Turki… Recep Tayyip Erdogan sanggup turun padang menjadi ‘pengapit’ pasangan romantis tersebut. Memang eksklusif dan bukan calang-calang orang dapat keistimewaan berkenaan.
Bukan itu saja… wanita yang berjaya menambat hati pemain bola sepak berusia 30 tahun itu juga merupakan bekas Ratu Cantik Turki bernama Anime Gulse. Meskipun baru berusia 26 tahun tapi terserlah kematangan wanita cantik ini. Patutlah Ozil tertawan.
Bercerita tentang lokasi majlis, ia sememangnya meninggalkan memori indah kepada kedua-dua pasangan. Anime yang anggun mengenakan persalinan gaun putih salju tidak mampu menyembunyikan perasaan teruja sepanjang berada di sisi suami tercinta.

Bahkan, lokasi perkahwinan yang dipilih bukan hanya hotel mewah berkelas dunia yang mencecah puluhan ribu ringgit semalam… tetapi juga Four Seasons Hotel yang terletak di Selat Bosphorus ini sebenarnya Istana Uthmaniyyah abad ke-19 yang dibaikpulih dan dijadikan hotel penginapan eksklusif.
Four Seasons Hotel di Bosphorus ini turut terkenal dengan kemewahan teres atas air dan pemandangan mengagumkan serta klasik. Sesuai juga untuk dijadikan tempat berbulan madu. Untung empunya badan bersuamikan lelaki kaya dan ternama.
Menyentuh penglibatan Ozil dalam arena bola sepak, Ozil dikhabarkan bersara daripada aksi peringkat antarabangsa, ekoran kritikan berbaur perkauman. Selepas 92 penampilan untuk Jerman, termasuk selaku perancang utama negara itu ketika menjulang Piala Dunia 2014… Ozil bersara daripada skuad kebangsaan Julai lalu ekoran gelombang xenopobia dan serangan perkauman ke atasnya sebelum dan selepas pasukan Jerman tumbang awal pada Piala Dunia 2018.
Banteras Perogol Dalam Rumah, Mangsa Mesti Celik Mata & Bersuara Demi Masa Depan

Saban kali menatap laporan berita tentang kes haruan makan anak, terasa geramnya bagai mahu meletup kepala. Rasa marah meluap-luap memikirkan bagaimana harga kepercayaan keluarga menjadi semurah ini.
September lalu, rakyat Malaysia telah dikejutkan kes seorang bapa yang didakwa dengan 623 pertuduhan rogol dan liwat terhadap anak kandungnya yang berumur 15 tahun.
Meskipun Mahkamah telah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kelakuan kejinya, namun jenayah sumbang mahram atau inses jelas lebih terkutuk daripada jenayah rogol.
Terus mengejutkan masyarakat, seorang lelaki berpangkat bapa saudara merogol anak saudara kandungnya yang yatim piatu di Alor Setar manakala dalam satu kes lain di Serian, dua beradik menjadi hamba seks bapa, datuk dan bapa saudara mereka tanpa belas kasihan.

Menyedari bahawa kes seperti ini kian tenat di negara kita, Nona tertarik untuk menghadiri sesi Wacana Sinar Harian berjudul ‘Perogol Dalam Rumah!’ yang diadakan pada 28 November lepas.
Program sekitar dua jam tersebut membawakan empat orang ahli panel iaitu Pakar Motivasi, Prof Datuk Dr. Muhaya Mohamad; Pengarah Kempen Stop #PerogolDalamRumah, Abjda Dato’ Zulkifli; Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim; dan Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang UIA, Dr. Mazlena Mohamad Hussain.
Selain membincangkan perihal akta dan perundangan, Nona tertarik mendengar penerangan Abjda Dato’ Zulkifli tentang maksud sumbang mahram.
“Istilah sumbang mahram adalah label yang terlalu lembut bagi seorang perogol. Masyarakat sepatutnya dididik untuk menggunakan istilah ‘rogol’ bagi menggambarkan perbuatan keji perogol yang tinggal sebumbung dengan mangsa.
Rogol adalah penyakit yang menular dalam masyarakat hari ini. Untuk membanterasnya daripada awal, kita kena didik anak kita sejak kecil untuk tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, apa yang boleh dipegang dan apa yang tak boleh disentuh oleh ahli keluarga lelaki khasnya.
Terdapat dua jenis perogol dalam dunia ini. Perogol yang lahir dengan masalah mental dan perogol yang melakukan jenayah dalam keadaan mental yang sihat,” katanya lagi.

Proses Hukuman
Bagi Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada cara mereka sendiri dalam menyiasat kes-kes membabitkan pesalah rogol.
“Katakanlah ada lelaki ini dituduh kerana merogol, apa akan jadi seterusnya? Adakah polis akan terus tangkap?
Ada cara sistematik yang dipraktikkan. Polis akan menyiasat yang mana mangsa ini akan dibawa ke hospital terlebih dahulu untuk ujian klinikal. Di situ akan diketahui sama ada terdapat kesan koyakan atau kemasukan dan sebagainya sebelum suspek ini dikesan lalu ditangkap.

Kemudian, suspek akan dihantar untuk jalani ujian forensik dan setelah disabit salah kerana jenayah itu, suspek akan dipenjarakan.
Di sini, pesalah perogol terutama perogol kanak-kanak, saya boleh katakan adalah kasta paling bawah dalam kategori mereka yang dipenjarakan berbanding jenayah-jenayah lain.”
Tingkat Kesedaran
Menurut Dr. Mazlena Mohamad Hussain pula, ramai mangsa rogol tidak tahu ‘cara bertindak’ selepas mereka menjadi mangsa rogol.
“Kadang-kadang masyarakat kita tak diajar untuk mengendali diri sendiri apabila sudah dirogol, sebab kita tak tahu hak kita.
Kadang kala mangsa sangat malu dan dia nak bersihkan diri dia, tetapi tanpa sedar dalam membersihkan diri sebenarnya dia juga mencuci segala bukti yang ada.”

Justeru itu beliau menasihatkan agar mangsa menyimpan segala bukti yang ada bagi memastikan pelaku tidak terlepas. “Sebab dalam mahkamah semua perlukan bukti yang kukuh.
Masyarakat juga perlu diajar mengenai perkara ini, dan keluarga juga perlu mengajar anak-anak mereka tak perlu berkias dalam bercerita mengenai perkara ini,” katanya.
Kesan Psikologi
Pakar motivasi, Prof Datuk Dr. Muhaya Mohamad mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu ghairah berkongsi perkara negatif ini di media sosial, apatah lagi anak-anak kecil turut terdedah dengan perkara negatif tersebut.
“Setiap kanak-kanak dirogol, ada juga yang tidak dirogol tapi sayang sebab kita tidak memandang ‘anak-anak’ ini. Kita lebih fokus kepada mereka yang menjadi mangsa.
Namun, dalam tidak sedar, anak-anak ini turut menjadi mangsa, bukan rogol fizikal tetapi rogol fikiran seperti pendedahan dan pemikiran negatif berkaitan dengan isu ini.

Perkara-perkara ini secara tidak langsung memudaratkan anak-anak tersebut, Oleh sebab itu, kita yang dewasa kena berjaga-jaga,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menekankan pentingnya konsep ‘memaafkan’ sekiranya mangsa rogol ingin meneruskan kehidupan mereka.
“Apa yang jadi sudah terjadi, kita tidak boleh ubah masa lampau kita dan jalan yang ada hanya ke depan. Sebab itu, kita perlu memaafkan apa yang terjadi, ‘let it go’. Selagi kita tidak melepaskan,lagi susah kita nak ‘move on’.
Namun ia tidak bermakna kita ‘merelakan’ apa yang terjadi, kita kena percaya pada ALLAH SWT, ‘believe in the system’. Perbaiki diri supaya jadi lebih baik,” katanya.
Kembali Pada Agama
Sumbang mahram dari segi syarak pula memberi maksud perbuatan zina yang dilakukan oleh seorang yang ada pertalian darah atau nasab (keturunan) dengan mangsa atau hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan di mana perkahwinan antara mereka adalah tidak sah di sisi agama, undang-undang dan adat resam sesuatu budaya tersebut.
Apa yang dimaksudkan dengan mahram atau pertalian darah dan nasab tersebut, disebut di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nisa’: 23)
Di dalam Islam, hukum jenayah sumbang mahram adalah haram dan salah satu daripada dosa besar. Kerana itulah Ibnu Hajar al-Haithami di dalam kitab az-Zawajir berkata: “Zina yang paling keji adalah berzina dengan muhrim (ahli keluarga).” Kejinya itu kerana seseorang yang sepatutnya melindungi ahli keluarganya telah mengambil langkah menganiaya ahli keluarganya sendiri.
Mangsa di dalam hal ini jika dipaksa serta teraniaya tidak dikenakan hukuman. Manakala pelaku yang melakukan secara sukarela wajib dijatuhkan hukuman hudud seperti kesalahan zina di atas perbuatannya itu.
Jumhur ulamak mengatakan bahawa hukuman terhadap jenayah sumbang mahram adalah hukuman ke atas jenayah zina. Hukumannya adalah 100 kali sebatan jika sekiranya pelakunya masih lagi belum pernah merasai persetubuhan dari nikah yang sah. Jika sudah merasai persetubuhan dari nikah yang sah, hukumannya adalah rejam sehingga mati. Norzalina Mohd Alias/Foto Rosli Talib.
Kerana Telekung Yang Bersih & Cantik, Wanita Jadi Lebih KHUSYUK TUNAIKAN SOLAT. Bukankah Allah SWT Menyukai Kecantikan?

Solat merupakan kewajipan bagi setiap umat Islam untuk menunaikannya. Seawal usia 9 tahun kanak-kanak perlu dilatih menunaikan solat dengan sempurna.
Sebagai wanita kita diwajibkan menutup aurat dengan sempurna ketika mengerjakan solat. Telekung merupakan salah satu cara ‘berpakaian’ ketika bersolat.
Terpulang kepada wanita untuk memilih telekung mengikut jenama, potongan, fabrik dan hiasan asalkan memenuhi ciri-ciri menutup aurat dengan sempurna.
Lambakan jenama telekung yang berada di pasaran telah memberi ‘kuasa’ kepada wanita untuk memilih yang terbaik mengikut kelas yang tersendiri.
Namun, telekung bukan sahaja menjadi pilihan untuk bersolat malah sering dipilih sebagai bingkisan dulang hantaran pengantin dan cenderahati.
Kini telekung telah mula beransur dengan generik polos putih semata. Kemeriahan warna dan diperindah dengan sulaman sudah semakin popular.
Penggunaan fabrik yang lembut juga turut menjadi salah satu elemen pemilihan telekung buat wanita.
Pasangan suami isteri, Ahmad Aiman Che Ghani, 34, dan Areej Torla, 34, melalui syarikatnya Tea Prima International Sdn. Bhd telah membawa kelainan dengan menawarkan pelbagai koleksi telekung eksklusif dengan perincian sulaman indah.
Telekung TEA ini mengetengahkan seni sulaman tangan yang dijahit sempurna. Walaupun mengambil masa yang lama untuk disiapkan namun, hasilnya begitu halus, dijahit rapat, rapi dan cantik.
Ia turut menggunakan fabrik rosella premium kerana keselesaannya, lembut, tidak panas dan tidak mudah renyuk.
Sifat fabrik yang berat membuatkan telekung jatuh cantik pada pemakainya. Telekung TEA ini turut menggunakan sutera satin yang sejuk dan kain kapas. Ini pula antara koleksi telekung TEA pilihan Nona.
Tip Penjagaan Telekung
(a) Elak mesin basuh
Jika anda mempunyai telekung yang bersulam indah lebih-lebih lagi sulaman tangan perlu dipelihara dengan baik. Sebaik-baiknya jangan membasuh telekung dengan mesin basuh untuk mengelakkan telekung dan sulaman rosak. Cukup sekadar hanya rendam dengan sabun yang lembut.
(b) Hindar berus telekung
Jika sudah merendam telekung untuk membersihkannya tidak memberus dengan kuat. Gonyoh lembut dengan tangan bagi mengelakkan sulaman terbuka atau terburas.
(c) Katakan tidak pada peluntur
Sayangnya kalau menggunakan peluntur pada telekung yang cantik dan bersulam. Habis rosak seni sulaman apatah lagi menggunakan sulaman tangan. Guna sabun mandi atau pencuci yang lembut jika terdapat sebarang kotoran yang degil.
(d) Cuci seminggu sekali
Telekung sering dipakai setelah mengambil wuduk. Kita tidak digalakkan mengelap air wuduk kerana terdapat keberkatan pada titisannya. Sudah pasti telekung terutama di kawasan muka akan lembap. Oleh itu untuk mengelakkan terbitnya tahi lalat pada telekung bersihkan telekung sekurang-kurangnya sekali seminggu.
(e) Gosok telekung berlapikkan kain
Jika hanya menggunakan seterika biasa yang tidak mempunyai laras suhu yang baik, ketika menggosok telekung lebih baik letak kain lembut di atasnya, kemudian baharu digosok. Kain telekung terpelihara dan sulaman juga cantik terletak. Hamizatul Maizan Mohamed