
Musim Raja Buah kembali, cuma kali ini tiadalah nikmat kendurian atau makan secara terbuka di tepi jalan. Baunya yang harum sudah memanggil-manggil, penggemar durian tentu dah tak sabar nak menjamah isi durian yang lemak manis.
Satu suasana yang menarik dan tidak terdapat di mana-mana negara lain selain Malaysia, adalah kecintaan rakyat kita terhadap buah tempatan ini.
Nona tertarik dengan perkongsian isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad tentang ilmu makan durian.
Ibu kepada enam orang anak ini tidak lokek berkongsi petua menghilangkan bau durian yang melekat di tangan.
“Kalau makan durian mesti tangan berbau durian, payah nak hilang. Saya kongsikan petua bagaimana nak hilangkan bau durian…”
“Ambil pangsa durian, letakkan air di dalam dan cuci tangan menggunakan air itu. Kemudian untuk menghapuskan baunya dengan lebih berkesan lagi, cuci tangan dengan menggunakan air lemon atau sabun aroma limau.”
Jadi pada yang berhajat nak makan durian dengan famili, sekarang tak perlu risau dengan bau tangan yang kuat. Ikut je petua tu. Datin Seri Masdiana ni hebat tau, tengoklah teknik beliau kopek sendiri buah ni.
TIP LAIN
Bau durian yang kuat juga boleh melekat di dalam kereta apabila dibawa pulang. Tak kira apa pun cara yang dipilih untuk menyimpan durian; sama ada dalam bekas kedap udara, beg Ziploc atau plastik cling wrap, bau durian tetap ‘meraung’ di mana-mana.
Tip mudah hilangkan bau durian:
(1) Bancuh secawan kopi dan letakkan di atas meja dapur atau di ruang makan. Hasilnya bau durian yang kuat akan berkurangan dalam masa yang singkat.
(2) Pastikan buah durian dibawa pulang dengan tangkainya sekali. Caranya, patahkan tangkai durian dan belah sedikit di bahagian tengah. Selitkan tangkai pada jejaring hawa dingin di dalam kereta seperti anda meletakkan car freshener.
(3) Letakkan beberapa keping roti putih di atas meja dan biarkan beberapa hari. Roti dikatakan dapat menyerap bau-bauan yang tidak enak dengan berkesan.
(4) Selepas makan durian jangan buang pangsanya. Simpan satu pangsa, isikan air dan berkumur dengan air tu kerana ia boleh menghilangkan bau mulut. Ada juga yang akan minum air dari pangsanya kerana dikatakan dapat menghalang sakit tekak akibat terlalu banyak makan durian.
Kedengarannya memang tidak saintifik, tetapi petua ini sudah bergenerasi diamalkan orang dan ada yang percaya ia mujarab.
Selamat mencuba!
Keluar Dari Comfort Zone & Sertai Medan ‘Pertarungan’ Make Up Artist FABULOUS MUA!

Buat julung kalinya, majalah Nona terbitan Nu Ideaktiv Sdn Bhd bakal menganjurkan sebuah program realiti digital pertama pencarian makeup artist iaitu Nona Fabulous MUA 2019 dengan kolaborasi jenama kosmetik Farmasi Color Cosmetics (FCC).
Nona Fabulous MUA 2019 dilancarkan secara rasminya 9 Ogos lalu di Sogo i-City Shah Alam bagi mencungkil pelapis makeup artist dan mengangkat bakat mereka ke tahap tertinggi. Selain menonjolkan kemahiran menyolek, kemahiran interpersonal juga menjadi taruhan peserta dalam menambat hati juri dan penonton yang disolek.
Acara perasmian disempurnakan oleh Editor Pengurusan Nona & Mingguan Wanita, Kiffy Razak dan Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail. Selaku jenama media gaya hidup wanita yang menyuntik inspirasi, Nona merupakan platform terbaik untuk meniti kerjaya bergelar makeup artist.
“Dalam program realiti ini, pelbagai elemen kejutan dan tugasan mencabar menanti peserta. Terdapat juga episod penyingkiran bagi memastikan hanya yang layak sahaja melangkah ke final,” ujar Kiffy Razak.
Majlis pelancaran Nona Fabulous MUA 2019 turut mendapat sokongan make up artist berpengalaman antaranya Sheila Mohamad, Aim Azam, Ayang Kamell dan Vee Mohamad. Tidak ketinggalan, FCC turut membawakan barisan makeup artist dan beauty influencer muda seiring dengan kehendak generasi masa kini.
Anda yang berminat dan sudah berkecimpung dalam dunia solekan secara online dan sebagainya… dijemput hadir ke sesi ujibakat Nona Fabulous MUA pada 14 dan 15 September ini di Performing Arts Theatre, MSU Shah Alam bermula jam 10 pagi hingga 5 petang. Para peserta boleh mendapatkan borang pendaftaran melalui majalah Nona edisi September 2019 dan membawa portfolio solekan atau hasil kerja sewaktu audition berlangsung. Sertakan juga resit pembelian produk FCC!
Buat makluman, program realiti digital 6 episod ini bakal bersiaran di platform digital YouTube Majalah Nona dan Facebook Majalah Nona mulai 1 November 2019 jam 8 malam. Antara panel juri yang bakal mengadili sentuhan magis peserta ialah Nurul Shukor, Sheila Mohamad, Datin Saidatulnisa, Deqsha, Didie Alias dan Nabila Razali.
Menariknya, pemenang bakal membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai, penginapan hotel, barangan kemas dan set eksklusif penjagaan diri.
Bagi peserta yang ingin mendapatkan tiket fast lane, mereka boleh memuat naik video kreatif bersama produk FCC (Farmasi Color Cosmetics) dan majalah Nona di Instagram dengan #fabulousmua dan #fabulousmuanonaxfcc serta tag juga @majalahnona dan @farmasicosmeticsmy. Pastikan akaun anda dalam tetapan PUBLIC.
Nantikan program realiti digital pertama Nona Fabulous MUA 2019 yang penuh cabaran, drama dan kontroversi ini. Semak hashtag rasmi #fabulousmua dan #fabulousmuanonaxfcc serta follow akaun Instagram rasmi @majalahnona untuk perkembangan terkini.
Gedung IKEA Terbesar Di Asia Tenggara, 10 Sebab IKEA TEBRAU Wajib Dikunjungi Hujung Minggu Ini!

Nak tahu apa yang istimewa sepanjang opening week ini?
Sepanjang hari pembukaan dan hujung minggu, para pelanggan boleh menikmati pelbagai tawaran terhad dan aktiviti di gedung untuk seisi keluarga seperti cat muka, badut pembuat belon dan pemberian belon percuma, penampilan maskot dan banyak lagi.
Malah, pada hari pembukaan, pengunjung boleh mendapatkan tawaran harga istimewa untuk beberapa produk antaranya termasuklah bingkai katil BRUSALI bersaiz queen dan meja tepi katil BRUSALI pada harga yang cukup menarik.
Manakala sepanjang minggu pembukaan pula iaitu dari 16 hingga 26 November, dapatkan LERBERG shelf unit pada potongan harga sehingga 50 peratus. Begitu juga jam thermometer KLOCKIS.
Dengan lebih 8,000 kemasan kediaman rekaan Sweden yang bermutu dan mampu dimiliki, pilihan makanan yang enak turut tersedia di rangkaian restoran, bistro dan kedai khas makanan Sweden, serta Smaland, iaitu kawasan permainan untuk kanak-kanak yang diawasi. Bersandarkan fasiliti dan promosi hebat ini, IKEA Tebrau pastinya akan menjadi pilihan seisi keluarga untuk dikunjungi.
Mempunyai pasukan pekerja seramai lebih 300 orang, IKEA bersedia menerima kunjungan lebih 1.8 juta orang pelanggan yang tinggal dalam jarak sejauh 60 minit dari gedung IKEA.
IKEA Tebrau terletak berhampiran dengan outlet terkemuka lain kini menjadi sebahagian daripada destinasi peruncitan yang rancak dan meningkatkan lagi imej Tebrau sebagai lokasi yang hebat untuk menjamu selera, membeli-belah dan bersantai. Selain itu, IKEA Tebrau turut menyediakan perkhidmatan tambahan untuk kemudahan para pelanggan. Ini termasuk pengambilan dan penghantaran ke rumah, pemasangan perabot, IKEA Gift Card, pelan pembayaran ansuran 0%, syarat pemulangan dalam masa 100 hari, WIFI percuma dan kemudahan Aplikasi IKEA Store App dan banyak lagi.
Untuk memberi keselesaan kepada pengunjung, IKEA Tebrau menyediakan 1,771 petak letak kereta. Bagi memudahkan perjalanan ke gedung, pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan percuma dari Larkin Sentral dan Muzium Keretapi Tanah Melayu Berhad Johor Bahru.
Bagi anda penggemar hidangan Sweden terutamanya hidangan signature dish Ikea seperti Sweedish Meatball, stor IKEA terbesar di Asia Tenggara ini wajib dikunjungi hujung minggu ini. Dengar khabar, pada hari perasmian sahaja restoran dan bistro IKEA sudah padat dengan pengunjung. Jadi, jangan lupa mengunjungi IKEA Tebrau hujung minggu ini!ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
“Biarlah Allah Sempurnakan Takdir Yang Tertulis Untuk Saya” Luahan Pesakit Positif COVID-19

Setiap tangisan akan berhujung dengan senyuman. Ketakutan akan berakhir dengan rasa aman dan kegelisahan akan ada kedamaian… semuanya pasti dengan izin Allah SWT.
Janganlah kita merasa terhimpit walau sejengkal pun kerana keadaan pasti akan berubah, baik atau sebaliknya, hanya Dia yang tentukan.
Kisah pilu yang diceritakan oleh Puan Ida, seorang pesakit positif COVID-19 dan kini masih dirawat di Hospital Sungai Buloh jelas menguji keimanan seorang manusia. Semoga wanita hebat ini kembali sembuh dan tidak serik berdoa untuk kesembuhan mereka.
Ini kisah saya menghadapi dugaan COVID-19. Penghujung jalan kisah ini, saya hanya serahkan kepada-Nya…
Saya Ida, berusia 36 tahun. Kini bertugas sebagai setiausaha di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya. Telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2006 dan kami dikurniakan lima cahaya mata, berusia lingkungan setahun hingga 13 tahun.
Suami saya Adi, juga berusia 36 tahun dan dia baru sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam, sebelum kini berniaga sepenuh masa. Kami sekarang menetap bersama ibu saya dan 2 orang anak saudara berumur 19 dan 14 tahun.
Suami mula terlibat dengan aktiviti dakwah dan tabligh sejak tahun 2010. Alhamdulillah sejak itu, kehidupan kami sedikit demi sedikit mula berubah. Dari segi cara hidup, ibadat, keyakinan diri mengikut kesesuaian kehendak agama dan sunnah Nabi Muhammad SAW…. InsyaAllah. Itulah sedikit sebanyak kisah latar belakang saya dan keluarga.
Musibah
Secara umum mengetahui salah satu kluster besar yang terlibat dengan isu ini adalah daripada perhimpunan tabliqh Ijtimak Jord Qudama dan Ulama Malaysia di Masjid Jamek Sri Petaling pada 28 Februari hingga 2 Mac 2020. Suami saya salah seorang yang telah hadir pada ijtimak tersebut.
Selang beberapa hari pulang, sekitar tanggal 7 Mac, suami saya mula menunjukkan simptom demam panas dan sakit-sakit sendi. Saya sangka hanya demam biasa, cukup diberi Panadol saja. Tapi selepas tu dia mula batuk, sakit tekak, hilang deria bau dan rasa, malah tiba-tiba hilang selera makan.
Memandangkan keadaannya terus berlarutan, pada 10 Mac saya telah membawa suami ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan. Doktor menjalankan prosedur biasa dan ambil darah suami. Berdasarkan keputusan darah, doktor memberitahu, “Nampak macam denggi,” dan suami diminta untuk lakukan ujian darah pada hari berikutnya.
Pada malam tersebut saya pula demam dan sakit-sakit badan. Saya ambil Panadol dan keesokannya, demam saya hilang. Saya pergi ke pejabat macam biasa tapi separuh hari sebab nak bawa suami untuk repeat blood test. Waktu itu, saya tiba-tiba mula batuk dan sakit tekak. Terasa sangat sakit yang teruk sehingga suara menjadi serak.
Saya bawa suami ke klinik kesihatan pada waktu petang dan masa doktor review keputusan blood test suami, dimaklumkan keputusan darah semakin baik dan mungkin hanya terkena demam virus.
Pada masa yang sama suami bertanya kepada doktor, adakah benar sesiapa yang terlibat dengan ijtimak di Sri Petaling perlu ke hospital untuk menjalani saringan COVID-19? Doktor jawab ‘Ya’ dan atas nasihatnya, kami ke Hospital Putrajaya untuk melakukan prosedur tersebut. Saya bawa bersama keputusan blood test suami.
Tiba di hospital, doktor bertanya serba sedikit pada suami dan melihat keputusan blood test yang kami bawa. Katanya, “Likely not COVID-19.” Doktor nasihatkan suami supaya memaklumkan pada kawan-kawan lain yang terlibat dengan ijtimak tersebut jangan panik dan sekiranya ada simptom pergilah ke klinik kesihatan terdekat untuk dapatkan rawatan.
Kami pun pulang dengan perasaan tenang. Kesihatan suami juga sudah semakin baik daripada sebelumnya. Malam tersebut saya pula kembali demam menggigil dan lebih teruk dari malam sebelumnya.
Esoknya saya maklumkan boss, saya mohon cuti kerana tak sihat. Pada 13 Mac, saya masih demam, batuk dan suara saya sudah tiada, hilang deria bau dan rasa. Saya terus ke klinik kesihatan untuk dapatkan rawatan tetapi diminta untuk terus ke hospital kerana suami saya terlibat dengan ijtimak.
Terus terang memang saya agak geram dan rasa nak marah pada waktu itu. Perasaan bercampur baur dengan badan tak sihat, rasa macam kena tolak-tolak. Allahuakbar, sampai suami saya kata, “Sabarlah, jangan marah. Kita taat je…” Astarghfirullah.
Sampai di hospital, doktor ambil sampel darah. Masa doktor review keputusan blood test tu, dia mintak saya dan suami buat ujian COVID-19 (swab test) sebagai langkah berjaga-jaga.
Selepas tu doktor beritahu, “Kuarantin untuk orang yang buat test ni adalah 3 hari sampai keluar keputusan.” Dalam tempoh 3 hari ni, pihak hospital akan hubungi untuk maklumkan keputusan sama ada positif atau negatif. Kalau tak terima panggilan, keputusannya adalah negatif…” Doktor juga beri saya cuti sakit selama 3 hari sesuai dengan waktu kuarantin.
3 hari berlalu tanpa ada panggilan daripada pihak hospital. Saya beranggapan keputusan kami negatif dan keadaan kesihatan kami bertambah baik, tidak nampak develops symptom.
16 Mac, saya pergi ke pejabat seperti biasa. Waktu tu saya masih ada sedikit batuk dan suara masih belum pulih sepenuhnya.
17 Mac, setibanya di pejabat saya terima WhatsApp daripada bos, “Kepada pegawai yang kurang sihat diberi cuti tanpa rekod sehingga Jumaat.” Saya terus balik ke rumah, tanpa berfikir ape pun ketika itu, selain rasa syukur…. alhamdulillah.
Tanggal 18 Mac 2020, jam menunjukkan lebih kurang 1.40 tengah hari, saya menerima panggilan daripada doktor di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya. Waktu itu hati rasa berdebar dan berharap, “Ya Allah, janganlah ada berita yang tak baik…”
Positif COVID-19
Namun apa yang semua orang elakkan rupa-rupanya Allah rezekikan pada saya dan suami. Astagfirullah…. Setelah 6 hari baru saya dimaklumkan keputusan saya dan suami positif. Air mata tak boleh ditahan lagi. Allahuakbar, saya maklumkan pada doktor, mintak bagi saya masa untuk bertenang dan saya nak solat.
Waktu tu, macam-macam perkara bermain di fikiran. Macam mana dengan orang lain yang saya dah jumpa. Saya ke pejabat, keluarga besar saya, ipar duai, anak-anak dan ibu bapa mertua saya yang datang bertandang ke rumah. Adik saya sekeluarga daripada Ipoh datang ke rumah juga.
Allahuakbar, itulah perkara yang paling dirisaukan masa tu. Takut sayalah jadi punca orang lain dapat virus ni. Malam tu jugak saya dan suami dihantar ke Hospital Sungai Buloh, anak-anak bersama Ibu saya di rumah.
Namun saya sangat bersyukur, alhamdulillah selama saya dan suami demam, anak-anak dan ibu saya tak terkesan. Mereka semua sihat walaupun anak bongsu saya masih menyusu badan. Sesuai dengan prosedur KKM semua yang ada direct contact dengan kami perlu buat swab test.
Alhamdulillah, Maha Baiknya Allah. Semua mereka negatif. Bos, rakan-rakan di pejabat dan keluarga saya semua Allah pelihara daripada virus ni. Syukur alhamdulillah, itu saja sudah membuatkan saya kembali tenang.
Suasana Hospital
Dalam fasa ujian ini, suami saya lebih tenang dan sentiasa cuba menenangkan semua pihak. Suami beritahu saya, “Apa yang terjadi, ini semua dengan kehendak Allah. Walaupun kita dah berusaha pergi klinik, hospital dan ikut semua nasihat doktor tapi ini kehendak Allah.
Kita hanya mampu berusaha tapi keputusannya tetap apa yang Allah kehendaki,” kata-kata dia buat saya sedar yang saya kena redha dengan ujian ini. Suami bagi tahu lagi, “Umi, yakinlah apa sahaja yang Allah takdirkan terjadi pasti akan terjadi dan apa sahaja yang Allah takdirkan tidak terjadi pasti tidak akan terjadi.”
Kepada anak-anak yang ditinggalkan, saya minta mereka jaga diri dan kesihatan. Walaupn saya dan suami tiada di rumah, rutin harian terutamanya amalan agama mesti dihidupkan seperti biasa. Sebelum arahan masjid dan surau ditutup, menjadi amalan suami dan anak-anak lelaki saya akan solat 5 waktu berjemaah di surau tetapi kerana perintah PKP tersebut, rumahlah yang menjadi surau kami.
Laungkan azan menjelang waktu solat dan solatlah secara berjemaah. Bacaan Al-Quran dan hadis (taklim) perlu berjalan seperti biasa. Saya pesan kepada anak sulung saya, memandangkan dia lelaki yang paling besar ada di rumah, dia perlu jaga keluarga dan ambil tanggungjawab ini sementara kami di hospital.
Alhamdulillah selama di hospital ini, saya dan suami sihat dan semakin baik. Selera makan pun dah bertambah. Setiap 2 hari akan buat swab test, sehinggalah test negatif, baru boleh discaj. Memandangkan tiada rawatan yang spesifik untuk virus ni, doktor hanya beri rawatan Vitamin C dan ubat kumur.
Barisan frontliners di sini, masyaAllah… Syabas dan tahniah untuk mereka semua. Sentiasa sabar, tenang dan profesional walaupun wabak ini masih baru dan arahan kepada mereka juga sentiasa bertukar mengikut keadaan. Tapi mereka sentiasa positif dan bersemangat menggalas tanggungjawab. Kepada mereka, semoga bakti yang dicurahkan akan Allah terima sebagai amalan soleh dan dibalas dengan sebaik-baik balasan… Aamin.
Saya harus terus positif dan bersemangat berjuang dalam keadan ini. Cuma pada waktu mula-mula dapat tahu saya positif COVID-19, memang rasa sangat down. Keadaan sekeliling buat saya tertekan. Saya terfikir anak-anak yang nak ditinggalkan, stigma masyarakat khasnya di tempat kerja.
Saya rasa seperti penjenayah yang sengaja mendedahkan orang lain dalam situasi yang bahaya, padahal saya tak tahu pun yang saya positif. Keputusan pun hanya diketahui selepas 6 hari ujian dilakukan.
Suami ambil inisiatif untuk buat voice note, cerita serba sedikit tentang kronologi kes kami dan apabila mereka dah dengar, Allah mudahkan mereka faham akan situasi sebenarnya. Selepas tu, alhamdulillah mereka semua mula mendoakan dan memberi kata-kata semangat untuk saya terus kuat dalam menghadapi ujian ini.
Alhamdulillah setakat hari ini, Allah hadiahkan ketenangan dan ringankan beban perasaan saya. Allah angkat keluh-kesah saya dan ganti dengan ketenangan jiwa. Cantik sekali aturan-Nya. Selama saya dan suami di sini, sentiasa ada rakan-rakan yang membantu menghantarkan pelbagai makanan untuk ibu dan anak-anak di rumah. Hampir setiap hari pasti ada sahaja makanan di luar rumah. Hebat Allah, benarlah janji-janji Allah.
Apa pun keadaan kita sekarang, bersyukurlah. Baik atau tidak, Allah tak pernah zalim pada hamba-Nya. Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Itulah paling utama. Betulkan amalan kita kerana bersama-sama amalan agama itu ada janji-janji Allah. Kita ikut semua nasihat doktor dengan baik dan yakinlah yang menyembuhkan itu hanya Allah. Kepada masyarakat di luar sana yang Allah selamatkan daripad ujian ini, bersyukurlah. Doakan kebaikan kepada semua.
Saya sentiasa pujuk hati untuk redha, inilah yang terbaik untuk saya di sisi Allah. Saya selalu cakap pada diri sendiri “Biarlah Allah sempurnakan takdir yang Dia dah tulis untuk saya…” Alhamdulillah satu persatu kebaikan Allah zahirkan bila mana yakin kita itu betul.
Semoga Allah selamatkan saya, keluarga, seluruh rakyat Malaysia dan umat seluruh alam daripada azab-Nya. Semoga dengan ujian ini kita semua lebih dekat dengan Allah, lebih yakin dengan janji-janji-Nya. Semoga Allah bebaskan saya daripada virus ini dan saya dapat pulang kepangkuan keluarga secepat mungkin… Aamin.