Pagi 8 Ogos 2020, dunia kewartawanan negara suram dengan berita pemergian veteran Datuk Abd Jalil Ali. Kehilangan yang cukup terasa, bagai hilangnya seorang bapa dalam industri media Malaysia.
Sedari sejak berpuluh tahun dulu, karya penulisan arwah sangat dikagumi. Baik di dada akhbar, buku, majalah, Facebook atau sebagainya, sikap rendah hati dan ramahnya begitu terkenang.
Orangnya suka mengusik, berjenaka dan memberi nasihat. Ramai pengamal media mengenali arwah sebagai seorang yang cool biarpun di dalamnya taufan bergelora. Itulah karakter Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian kami, arwah Datuk Abd Jalil Ali, 66 tahun.
Berita pemergian tersebut telah disahkan sendiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dalam Twitter beliau.
Menurutnya, setakat jam 7.08 pagi, jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan akan dibawa ke rumahnya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
“Semoga sahabatku Datuk Abd Jalil Ali damai di sana. Dunia kewartawanan sudah kehilangan sebuah bintang,” katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya.
PULANG
Datuk Abd Jalil yang berpengalaman lebih 47 tahun dalam bidang penulisan dan kewartawanan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.
Arwah juga merupakan Profesor Adjung di Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah. Selain menjadi kolumnis di Sinar Harian, beliau adalah penulis buku terbitan anak syarikat Karangkraf.
Di antara buku-bukunya yang menjadi koleksi ramai adalah Kopi O Tanpa Gula, Teh Tarik Kurang Manis, Asam Garam Gula & Kopi serta Cendol Pulut Santan Lebih.
Nona tertarik berkongsi beberapa kenangan bekas rakan sekerja arwah yang turut sama-sama menangisi pemergian Datuk Abd Jalil Ali ke rahmatullah. Terlalu banyak kenangan yang tercipta dan doa-doa buat arwah yang dikongsikan di Facebook, tanda begitu hebatnya lelaki berambut putih serta berkaca mata ini sewaktu hayatnya.
Didoakan semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.
==============
“Boss Jalil, boss yang plg disayangi dan disanjungi most of staff lama Karangkraf. Yg kelakar, yg sporting, yg byk cerita best, yg suka melawak tp still tegas. Selamat tinggal boss… Terima kasih.” Izwaashura Sadali
“Beliau tidak pernah meletakkan jurang pangkat dan jawatan; apabila selalu join kami sarapan di kafe sambil bersembang, bergurau.. Itulah boss kami. Tak pernah tak senyum tak gelak kalau bercerita. Sayang dan hormat bos! Kini, beliau tiada lagi..
Al Fatihah. Pergi mu tiada pengganti…” Eizan Ariffin
“Dia bos yang tak bossy. Dia tak pernah minta report dan dia tak pernah mereport orang. Tak pernah mengadu domba. Bos yang sangat telus, tulus dan genuine. Dia buat semua orang selesa berbicara. Sedikit sebanyak saya meniru caranya bila menguruskan staf. Sangat percaya kepada kemampuan orang lain. Sangat tabah biarpun ada kala kepalanya dipijak. Sosok itu kini tiada. Sosok seorang ‘ayah’, ‘penglipur lara’ dan ‘angel’ untuk semua. Al Fatihah buat Datuk Abd. Jalil Ali. Moga rohnya dicucuri Rahmat.” Liza Ali
“Allahyarham seorang sahabat / abang / ketua dan rakan sekerja yg sgt baik, sentiasa menyenangkan hati semua orang, cool, suka bergurau, suka mengusik, penuh ceria dan disayangi ramai. Selamat pulang ke alam abadi, ke pangkuan Tuhan Yang Maha Esa Abang Jalil. You will be greatly missed..!” Mona Din
“Satu perkhabaran menyedihkan …. bekas bos saya di Karangkraf dulu, Datuk Abd. Jalil Ali telah pergi utk selama-lamanya ….. banyak ilmu yg dikongsikan sewaktu bekerja dulu mahupun setelah tidak lagi berkhidmat di Utusan, namun arwah tidak lokek dengan ilmu pengetahuannya mengenai media …… semoga beliau ditempatkan bersama org2 yg beriman.” Faizal Salleh
“Innalillahiwainnailahirojiun… Ketua, Mentor, Sifu yang sangat dihormati & disayangi. Datuk Abd. Jalil Ali, seorang lagi ‘permata’ dunia kewartawanan telah pergi menghadap Ilahi… “ Ida Abd Aziz
“Pagi ini saya dikejutkan berita pemergian bekas Bos saya yg merupakan Ketua Pengarang, Datuk Jalil Ali. Beliau bukan sekadar bos tetapi ‘sifu’ saya dan abang tempat saya belajar dan mengadu masalah.” Norman Radzuan
“Al-Fatihah untuk mentor kesayangan saya. Jasa dan budi Datuk Abd. Jalil Ali dalam dunia kewartawan tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Semoga syurga tempatmu..” Lailatun Khalilah Nasir
“Salam takziah buat keluarga Allahyarham Dato’ Abd. Jalil Ali Nota: Gambar kenangan tahun lepas Dato singgah meja saya sebelum ke biliknya. ‘Nah bunga untuk hang. Ni kak pah punya aku petik… Hehehe.’ Perginya seorang karyawan, guru, sahabat dan pemimpin yang amat kami sayangi.” Ruzy Adila Idris
“Dia boss saya, kawan saya, guru saya, idola saya. Saya cuba untuk jadi seperti dia, tapi tak mampu. Sekadar sama pada baju. Dia terlalu hebat untuk saya tiru. Hari ini, hambaMu yang hebat ini telah kembali ke pangkuanMu ya Allah. Ampunilah dosanya jika ada, atas jasa, tunjuk ajar dan kebaikannya kepada kami semua. Aku bersaksi dengan seorang boss yang sangat baik.” Muhamad Mat Yakim
“Punya rasa namun tak mampu berbicara. Hanya Allah yang tahu rasa kehilangan ini. Dia ibarat seorang ayah, yang tiada pengganti. Terlalu banyak momen indah untuk dititipkan. Biarlah ia abadi dalam lubuk jiwa yang paling dalam. Selamat jalan Datuk Abd. Jalil Ali. Pemergianmu ditangisi seluruh warga media. Kelak kami akan menyusul…” Hasliza AR Kamaludin
“Arwah dulu banyak kali menegur ketika terserempak saya masih di pejabat selepas jam 12 malam. ‘Liza, pergi balik. Sambung kerja pukul 8.30 pagi nanti. Sudah lewat, balik.’ Setiap ilmu dan nasihat boss saya masih pegang ketat, erat, padat. Al-fatihah boss, selamat pulang dan berehat.” Norliza Ismail
“Tiada lagi kelibat boss Jalil. Berselisih kat lobby, makan semeja kat kafe, kat surau, kat mana-mana di opis tu. Tiada lagi sapaan… ‘Sedap kau nyanyi ek Yama’ sapaan yang buat aku tersipu. Orang hebat akan disayangi, forever!” Yama Watanabe
Sumber: Facebook