
Kate Middleton mencuri perhatian dunia dengan membuat penampilan sulungnya sebagai Puteri Wales di samping menyarung tiara rasminya! Kate dilihat memakai tiara pertamanya selepas 3 tahun untuk sebuah acara makan malam di Istana Buckingham. Jamuan itu diadakan sebagai sebahagian daripada rangka lawatan negara pertama pemerintahan Raja Charles III, yang mengalu-alukan kehadiran Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, ke U.K.
Pada makan malam yang penuh elegan itu, Puteri Kate memakai gaun putih yang direka oleh pereka Jenny Packham beserta tiara kegemarannya iaitu tiara Queen Mary’s Lover’s Knot.
Dengan gabungan mutiara dan berlian yang disusun indah, tiara itu juga merupakan tiara kegemaran mendiang ibu mertuanya, Puteri Diana. Menurut Court Jeweller, tiara yang menakjubkan itu berusia lebih daripada satu abad dan pada asalnya ditauliahkan daripada tukang emas Garrard oleh Ratu Mary sama ada pada tahun 1913 atau 1914. Ia adalah replika tiara yang dimiliki oleh nenek Mary, Puteri Augusta dari Hesse, Duchess.
Kate juga dilihat memakai anting-anting yang sebelum ini dimiliki Puteri Diana dan gelang dari kotak barang kemas Ratu Elizabeth.
Pada 10 September yang lepas, Catherine Middleton akhirnya bergelar seorang puteri dan mewarisi gelaran Lady Diana iaitu Puteri Wales (Princess of Wales) dan gelaran ini digunakan untuk isteri pewaris takhta British. Pemegang terakhir gelaran tersebut ialah mendiang Diana yang pada tahun 1997. Status Princess of Wales yang menjadi milik Kate ini adalah kali kedua diguna pakai selepas kemangkatan mendiang Puteri Diana pada 1997.
Kredit foto: Getty Images
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
#FABULOUSMUA Bermodalkan RM15, Kini NIK ASWAT Designer & Makeup Artist Popular Di Kedah!

Umurnya baru mencecah 24 tahun tetapi kejayaan yang diraih Nik Aswat cukup membanggakan! Mana tidaknya, ketika rakan seusia baru melangkah ke alam pekerjaan dan masih tercari-cari kerjaya yang bersesuaian, Nik Aswat sudah pun membina legasi sendiri. Siap ada butik dan studio mekap yang menjadi buruan kebanyakan bakal pengantin di Kulim, Kedah. Hebat! Pendek kata, kalau musim kahwin… lambat je ‘serbu’ butik Nik Aswat, memang melepaslah.
Tidak keterlaluan jika penulis mengatakan pencapaian Nik Aswat atau nama sebenarnya Syahril Aswat Rosly setanding pencapaian mereka yang berpengalaman dalam bidang solekan dan perniagaan. Walau masih muda namun kematangan Nik Aswat jelas terserlah. Tambahan pula anak kelahiran Pulau Mutiara ini kreatif orangnya. Pantang nampak peluang, cepat-cepat dia rebut!
Mengenali perwatakan Nik Aswat sejak sesi ujibakat Fabulous Mua pertengahan September lalu, kehadirannya di samping dua rakan karib iaitu Albin dan Manda nyata mencuri tumpuan. Lebih bertuah, ketiga-tiga mereka yang menyertai ujibakat ini terpilih hingga berjaya menjadi finalis Top 9.
Kongsi Nik Aswat, “Sebenarnya saya student civil engineering tapi rezeki saya sekarang saya buat mekap. Tahun ini ialah tahun pertama saya buat baju. Selama ini memang dah start buat dah. Saya mula dengan buat baju untuk family dulu. Kemudian, slowly saya ambil tempahan pelanggan yang minta buat baju kahwin, baju raya dan sebagainya pada Februari lepas. Selain itu, saya pun buat aksesori. Dulu saya pernah jual gelang dan macam-macam lagi. Kiranya, memang saya minat berniaga.”
Mengakui sudah mula berniaga sejak berusia lapan tahun, Nik Aswat sambil ketawa berkata ia merupakan satu perkara yang di luar jangkaannya waktu itu. “Dari darjah dua saya dah mula berniaga. Pada mulanya saya rasa apa yang saya buat ni, macam tak normal. Sebab budak-budak sebaya saya waktu tu masih sibuk lagi bermain. Tak terfikir pun benda lain. Tapi saya, sibuk hendak berniaga dekat taman permainan.
Ikutkan mak saya tak sokong pun saya berniaga masa tu. Lepas tengok saya beria-ia sangat beli barang untuk niaga, hendak atau tidak… dia juga yang buat semua. Saya hanya menjual saja. Dari tak sokong, lama-lama mak akur dan support. Paling seronok, semua duit hasil jualan dapat dekat saya.”
Ujar anak sulung daripada empat beradik ini lagi, “Keluarga saya memang tak ada background bisnes. Tak tahulah macam mana saya boleh terlibat. Mungkin sebab minat. Lagipun saya ni degil sedikit. Masuk darjah empat dan lima pun saya masih jual barang dekat kawan-kawan. Otak tu ligat je hendak berniaga. Walaupun masih kecil tapi saya cepat matang dan mungkin Allah dah ‘tulis’ yang rezeki saya ni senang dapat duit. Masa sekolah menengah, saya dah kurang aktif bisnes sebab hendak fokus belajar. Alhamdulillah terpilih jadi top student. Habis je SPM, saya sambung belajar civil engineering di IPT.
Lepas ayah saya meninggal, kami sekeluarga pindah ke Simpang Ampat. Masa pindah ke sana saya baru 19 tahun dan agak susah juga waktu tu sebab ayah baru meninggal. Duit untuk belajar pun cukup-cukup saja. Saya pula jenis yang kalau rasa stres, saya suka pergi shopping mall. Duit yang ada dekat saya masa tu cuma RM15 je. Hendak dijadikan cerita, tengah window shopping… saya ternampak kedai jual gelang. Saya tak tahu kenapa saya beli gelang. Mungkin Allah hendak ‘buka’ jalan rezeki untuk saya masa tu. Mulanya tak ada niat pun hendak berniaga.
Malam tu saya upload gambar pakai gelang tadi di Instagram. Memang gelang yang saya pakai tengah trend dan kebetulan ada kawan-kawan yang hendak beli. Dari situlah saya serius balik berniaga dan sepanjang belajar, saya guna duit sendiri hasil jualan gelang dan ada juga sebahagiannya duit bantuan lain yang saya terima. Tak sangka, dari hanya jual suka-suka… saya yang masih belajar waktu tu dah boleh dapat pulangan lumayan. Sampai pernah beberapa kali rasa hendak berhenti belajar.”
Diasuh sejak kecil agar berdikari terutamanya jika mahu beli sesuatu, Nik Aswat tanpa selindung mengakui keluarganya bukanlah berasal dari golongan berada. Sebaliknya, kesenangan yang dinikmati sekarang adalah hasil usaha kerasnya berniaga selama ini. Sehinggalah sekitar dua tahun lalu, dia akhirnya terpanggil untuk mendalami dunia solekan selepas dipelawa seorang rakan yang juga designer.



“Tahun pertama lepas belajar mekap, saya tak ambil pelanggan langsung. Saya aktif masuk pertandingan je sebab saya nak bina nama dulu dan buat solekan serta buat baju sebagai hobi. Hanya selepas menang beberapa pertandingan, baru saya beranikan diri ambil pelanggan. First customer yang saya ambil ialah setahun selepas tu, tahun 2018 dengan mekap yang biasa-biasa je. Kemudian, saya ikut mekap untuk artis di Jom Heboh, fashion show Rizman Ruzaini, Shanel Harun, International Ipoh Fashion Week dan banyak lagi.
Empat tahun bergelumang dalam bisnes, saya kaji apa lagi pembaharuan yang perlu saya buat sebab saya nak ada bisnes yang boleh bertahan dalam jangka masa panjang. Jadi saya decide untuk buat bisnes baju. Syukur alhamdulillah, saya dah buka butik dan ada studio milik saya sendiri iaitu Nik Aswat. Semua urusan mekap atau photoshoot dijalankan di situ. Butik mekap dan baju di Kulim ini bukan saja untuk wedding, apa-apa acara pun boleh sebenarnya.
Sepanjang bergelar make up artist dan usahawan, dah tujuh kali berturut-turut saya menang pertandingan mereka baju. Dari proses design, jahit… segala-galanya saya buat sendiri sebab saya seorang yang sangat cerewet. Kalau hari ini saya jahit dan nampak ada yang tak kena di mata saya, esok saya akan tetas dan jahit balik. Pada saya, kesempurnaan sangat penting,” akhiri Nik Aswat yang memenangi Spectacular Design Dress Malaysia’s Makeup Artist (MMA) 2019 dan The Most Favourite Social Media MMA 2019 baru-baru ini.
Saksikan Nik Aswat dan lapan lagi peserta yang bertanding dalam Fabulous MUA Nona x FCC bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian makeup artist pertama di Malaysia ini. Fabulous MUA Nona x FCC bakal bersiaran menerusi platform digital Majalah Nona. Antaranya di Youtube, Facebook dan laman web rasmi Majalah Nona bermula 1 November ini, jam 8 malam. Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy manakala Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak selaku juri tetap.
Nama RYUJI SATO ‘Trending’, Peminat Bola Sepak ‘Gali’ Info Pengadil Dari Jepun Ini

Tak puas hati! Itu luahan peminat bola sepak Malaysia yang kecewa dengan mutu pengadilan Ryuji Sato selaku pengadil dalam pelawanan Malaysia menentang Vietnam, malam tadi.
Seperti berdendam dengan skuad Harimau Malaya, pengadil dari Jepun ini dilaporkan berat sebelah apabila membuat beberapa keputusan tak masuk akal hingga menyebabkan Malaysia tewas 0-3 pada perlawanan ketiga kumpulan A Piala AFF di Stadium National My Dinh, Hanoi, Vietnam.
Ini selepas pengadil berkenaan menghadiahkan sepakan penalti penuh kontroversi yang menyebabkan skuad kendalian Kim Pan Gon ketinggalan 0-2 pada minit 64.
Dikatakan tindakan Ryuji Sato itu berkemungkinan kerana Azam Azmi Murad menendang muka pemain Vietnam apabila berada di luar luar padang menyebabkan pengadil melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan negara dan menghadiahkan sepakan penalti untuk tuan rumah.
Namun lebih mengejutkan ia bukanlah kali pertama Ryuji Sato ‘berpihak’ kepada Vietnam. Bahkan senario sama turut berlaku ketika Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) Jun tahun lalu apabila pengadil berkenaan menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam ketika perlawanan berbaki 10 minit sebelum wisel penamat ditiup.
Sebaik saja pelawanan Malaysia dan Vietnam tamat malam tadi, media sosial milik Ryuji Sato ‘diserbu’ peminat bola sepak tanah air mengkritik sikap pengadil tersebut yang dilihat berat sebelah dan kerap membuat keputusan luar biasa.


Selain itu, komen di Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dipenuhi dengan kritikan terhadap Sato yang menjadi punca Malaysia terpaksa melalui laluan berliku untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya pada saingan Piala AFF 2022.
Pada perlawanan terbabit Malaysia tewas 0-3 kepada Vietnam menerusi jaringan yang disumbangkan Nguyen Tien Linh (29′),Que Ngoc Hai (penalti pada minit 64) dan Nguyen Hoang Duc pada minit ke-83.
Bergelar Timbalan Menteri & Ibu 5 Anak, DATUK MAS ERMIEYATI Buka Peluang Wanita Ceburi Bisnes & Politik!

Beliau bukan hanya menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri bahkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin ini juga sebenarnya ibu kepada lima orang anak. Meskipun ada anak kecil namun semangat beliau untuk menaik taraf kehidupan usahawan khususnya dalam kalangan wanita cukup berkobar-kobar.
Menyelami kehidupan wanita masa kini yang serba mencabar apatah lagi bertindak sebagai ibu yang menguruskan keluarga, Datuk Mas Ermieyati atau mesra di sapa Datuk Emy sedaya-upaya mengembangkan potensi wanita untuk menjana pendapatan mereka. Beliau yang merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengambil kelebihan tugas tersebut untuk memartabatkan lagi kredibiliti golongan wanita.
Kagum dan teruja melihat penglibatan ramai kaum hawa menjadi usahawan berjaya dan bergelar jutawan seperti sekarang, Datuk Emy menerusi kementeriannya merancang lebih banyak program keusahawanan baharu demi membuka peluang kepada lebih ramai wanita untuk menceburi bidang perniagaan.
“Sempena sambutan Hari Wanita 2021 yang jatuh pada 8 Mac 2021, adalah menjadi impian setiap wanita untuk terus memperkasakan dan mendaya upayakan wanita yang lain untuk terus berjaya dan melangkah dalam mendepani cabaran masa hadapan dengan mengambil kira norma baharu.
Setiap wanita perlu terus bangkit dan mempertingkatkan sosioekonomi kita, supaya kita dapat terus menyumbang kepada keluarga, komuniti dan negara.
Dari sudut keusahawanan, sebab itu saya dan Kementerian yang saya dokongi akan meneruskan agenda memperkasakan keusahawanan wanita dengan menterjemahkan perjuangan ini melalui penubuhan Jawatankuasa Induk Keusahawanan Wanita (JIKW) dan Jawatankuasa Teknikal Keusahawanan Wanita (JTKW) di peringkat Kementerian khusus untuk koperasi/komuniti usahawan wanita dari pelbagai latar belakang sektor perniagaan termasuklah kategori penjaja kecil (informal).
Besar harapan kami di Kementerian untuk melihat peratusan penglibatan usahawan dalam kalangan wanita dapat terus dipertingkatkan. Usahawan wanita yang sedia ada akan kita gembleng usaha untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
Saya tidak mahu golongan wanita ketinggalan atau terpinggir dalam agenda ini kerana agenda ini adalah untuk kita yang bergelar wanita. Dari wanita kepada wanita! In shaa allah.”
Selain itu, Datuk Emy ketika dihubungi Nona turut memaklumkan usaha memperhebat kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Bagi meningkatkan penyertaan kumpulan sasar terutamanya WANITA dalam agenda keusahawanan dan koperasi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersama-sama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menjalinkan kerjasama strategik melalui penawaran 13 program khusus melalui agensi-agensi berkaitan terutamanya dalam mendepani cabaran perniagaan khususnya bagi mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.”
Dalam pada itu, Datuk Emy melahirkan hasrat agar lebih banyak penglibatan kaum wanita dalam arena politik negara.
Kredit foto: Instagram Datuk Mas Ermieyati