Penyanyi Amerika kelahiran Hong Kong yang cukup popluar suatu ketika dahulu, Coco Lee meninggal dunia pada usia 48 tahun pada Rabu.
Dalam satu catatan di media sosial, kakaknya Nancy Lee berkata, penyanyi popular itu yang mengalami masalah kemurungan, menghembuskan nafas terakhir selepas tiga hari berada dalam keadaan koma.
“Dengan kesedihan yang mendalam, kami di sini untuk menyampaikan berita paling menyedihkan. Coco bertarung dengan masalah kemurungan selama beberapa tahun tetapi keadaannya merosot secara drastik sejak beberapa bulan lalu.
“Walaupun Coco mendapatkan bantuan profesional dan melakukan yang terbaik untuk melawan kemurungan, malangnya dia tidak berjaya.
“Pada 2 Julai, dia cuba membunuh diri di rumah dan dihantar ke hospital. Walaupun pasukan perubatan berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan, Coco meninggal dunia pada 5 Julai 2023,” tulis Nancy.
Ads
Kerjaya Lee bermula di negara kelahirannya, Hong Kong, sebelum berkembang ke Taiwan. Beliau antara bintang pop Asia terawal mencipta nama di Amerika Syarikat apabila singlenya, “Do You Want My Love” berjaya memasuki carta muzik AS.
Lee juga dipilih Walt Disney Pictures untuk menyanyikan salah satu versi lagu tema filem Mulan, “Reflection”, selain turut menjadi pelakon suara watak Fa Mulan versi Mandarin.
Ads
Pada Anugerah Akademi ke 72, Lee dijemput mempersembahkan salah satu calon kategori Lagu Asal Terbaik, “A Love Before Time” yang dipetik daripada filem Crouching Tiger, Hidden Dragon.
#Sekiranya anda atau kenalan anda berhadapan dengan masalah kemurungan atau ketidakstabilan emosi, hubungi Befrienders.
Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun (MHLW) akan menawarkan imbuhan kewangan tambahan kepada ibu bapa yang melahirkan anak bagi mengatasi kadar kelahiran rendah dalam kalangan penduduk, lapor akhbar Japan Today semalam.
Sebelum ini, ibu bapa baharu di Jepun akan menerima Geran Bersalin dan Penjagaan Anak sebanyak 420,000 yen (RM13,517) selepas kelahiran anak mereka.
Bagaimanapun, kementerian tersebut merancang meningkatkan jumlah bantuan kepada 500,000 yen (RM16,091) semasa mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri, Fumio Kishida mengenai cadangan itu minggu lepas.
Bantuan itu dijangka akan diluluskan dan berkuatkuasa untuk tahun fiskal 2023 yang bermula pada musim bunga. Geran itu dibiayai melalui sistem insurans perubatan awam Jepun.
Bagaimanapun, penambahan dalam bantuan itu didakwa tidak akan memberikan kesan yang jelas terhadap insentif tersebut ekoran baki wang yang dijangka tinggal selepas bersalin.
Menurut akhbar Maniachi Shimbun, purata kos untuk melahirkan seorang anak di seluruh Jepun adalah kira-kira 473,000 yen (RM15,222).
Walaupun kenaikan bayaran berlaku, ibu bapa akan melihat jumlah baki bantuan 30,000 yen (RM965) selepas mereka keluar dari hospital.
Mereka mendapati wang yang diberi tidak akan mampu menampung jumlah kos untuk membesarkan anak sehingga dewasa.
Isu utama dalam ketidakyakinan ibu bapa adalah keupayaan mereka untuk menampung dan mengekalkan kebahagiaan keluarga sambil mengimbangi kehidupan bekerja dan peribadi ketika anak membesar.
Kegusaran itu menjadi faktor kepada kadar kelahiran yang rendah termasuk perbelanjaan untuk melahirkan anak. – Agensi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya sungguh tak terhingga. Perkongsian wanita bernama Bibi Nurul Asyikin Adnan ini cukup membuktikan kecekalan hatinya, walaupun cabaran dikurniakan anak cerebral palsy begitu hebat.
Melihat foto anak syurga bernama Adam, 7 tahun, cukup memilukan hati kami. Kata ibunya yang kini berusia 34 tahun, Adam suka belajar dan mahu ke sekolah, tapi hasrat itu terbantut. Kenapa ya? Ikuti perkongsian wanita asal Pulau Pinang ini kepada Nona.
=========================
Nama anak saya Muhammad Nur Zafran, tapi sejak dalam kandungan lagi saya selalu panggil nama dia Adam. Adam penghidap cerebral palsy dan umurnya 7 tahun.
Semasa hamil, kandungan saya sihat cuma saya pula ada masalah anemia dan kerap jatuh. Masa hampir melahirkan iaitu sekitar pukul 5.00 pagi, saya terasa kontraksi yang kerap dan suami pun cepat-cepat bersiap untuk bawa saya ke Hospital Sg. Buloh.
Jam 6.50 pagi, kami tiba di hospital. Sebaik tubuh saya dibaringkan atas katil, air ketuban pun pecah. Masa tu baru pukul 7.50 pagi dan bukaan saya cuma 5 sm. Kena tunggu lagi. Selalunya kalau ikut kelahiran sebelum ni, bila ketuban pecah confirm bukan sakit lagi dah, tapi terus teran.
Tapi yang ni tak rasa pun. Cuma mengeras dan kontraksi pun tak kuat sangat. Dari pukul 8.00 pagi sampai 12.00 tengah hari, saya kira dah ramai doktor pelatih yang datang dan seluk. Tetap sama, 5 sm.
Sampailah tiga orang doktor pakar datang dan salah seorangnya tanya, kenapa doktor bertugas tak paksa bukaan rahim? Bila dia seluk, mukanya terus berubah. ‘Baby dah berak’, katanya.
Saya terus dikejarkan ke bilik pembedahan kerana bila CTG, jantung baby dah lemah. Bila masuk epidural saya terus tak sedar waktu dibedah… walaupun masih terasa tajamnya pisau yang menghiris lapisan demi lapisan kulit perut ni.
16 Ogos 2011, saya selamat lahirkan Adam. Tapi dia keluar tanpa suara. Senyap. Macam-macam saya dengar doktor dan jururawat lakukan, CPR serta sebagainya. Akhirnya baru dengar suara tangisan yang maha lemah.
Doktor cakap anak saya lemas dalam perut dan dah berak. Mungkin termakan najis. Oksigen pula kurang sampai ke otak. Jadi dijangkakan akan ada masalah.
Walaupun ramai yang menuduh salah pihak tertentu sebab saya tak dibedah lebih awal, tapi saya tak percaya semua tu. Saya percaya ini takdir Allah SWT. Mungkin ada sebab dan hikmah yang Dia nak beri kepada kami, seorang anak syurga.
RENUNGAN BERMAKNA
Bertuah kalau ada anak yang bijak dan petah berkata. Tapi Adam tak pandai semua tu. Dia cuma pandai sebut ‘Buu…’ atau ‘Yam…’ macam bayi. Tapi pandangannya dah cukup untuk menceritakan segalanya. Ya, dari segi fizikal, Adam tak mampu. Tapi dia faham cakap orang dan ada rasa marah. Kadang bila Adam tengok kakak, abang dan adiknya main berlari-lari… Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu erti renungannya.
Saya tahu Adam mesti nak cakap, kenapa aku tak boleh berjalan? Padahal tahun ni Adam sepatutnya sekolah, tapi Adam tak sanggup nak tengok ke pintu, tak nak duduk bermain. Saya tahu hati Adam, dia nak sekolah sebab Adam bukan budak bodoh. Cuma tak mampu uruskan diri je.
Bila saya pangku Adam dan bukakan buku, Adam suka. Adam akan tengok gambar-gambar dan dengar saya cerita. Sambil pandang muka saya, Adam akan ketuk-ketuk kaki dia. Ketuk sampai mengamuk, mungkin bertanya kenapa kaki Adam ni ibu? Allahu, mengalir air mata saya.
Dalam redup mata Adam, pelbagai kata-kata nak diucapkan. Kalaulah dari dulu saya selalu ke fisio, buat urutan, mungkin Adam dah boleh berjalan walau tak selaju orang lain.
JATUH DITIMPA TANGGA
Dari saat Adam lahir sampailah umurnya 5-6 bulan, kami selalu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan. Dalam tempoh tu, satu persatu masalah datang. Antaranya kekurangan duit.
Anak-anak sulung (kembar) nak bersekolah. Kami suami isteri terpaksa ikat perut untuk bayar yuran, beli segala kelengkapan sekolah macam baju, kasut dan beg, untuk dua orang. Waktu tu pula, kami baru berpindah dan masih perlu berulang-alik ke hospital.
Tanpa kereta, bayangkan susahnya nak bawa Adam buat rawatan. Takkan nak pinjam kereta orang selalu? Kalau dapat pinjam, kami kena usahakan belanja isi minyak dan tol. Pernah satu hari, susu Adam habis. Duit dalam tangan saya ada RM50 je.
Jadi sebagai ibu, saya cuma fikir susu anak sebab Adam bukan makan macam budak biasa. Kalau tak ada susu, badannya akan lemah. Ibu mana yang sanggup tengok anak kelaparan? Berkorbanlah guna duit tu untuk beli susu dia.
Masuk tahun 2016, kami berpindah sekali lagi ke Klang. Saya cuma dapat bawa Adam ke klinik desa menaiki motosikal. Masa tu Adam meronta-ronta tak mahu naik motor. Mungkin dia rasa kurang selesa.
Tahun 2017, Adam kena serangan sawan. Mujurlah masa tu bapa mertua ada di rumah dan kami terpaksa pinjam keretanya untuk kejarkan Adam ke hospital. Nasib baik umur Adam masih panjang.
Kos minyak dan tol saja bagi kami yang kurang kemampuan ni, memang tinggi. Dalam anggaran RM35-40 pergi dan balik. Kalau kereta meragam lagi parah, kami kena sewa kereta yang sekurang-kurangnya RM80 sehari.
Saya pening memikirkan masalah kewangan yang dihadapi. Selepas suami diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan, dia cuma bekerja kebun dengan bapa saudaranya. Kerja sendiri ni, upahnya tak menentu. Dalam sebulan, kadang-kadang adalah 2-3 kali bekerja. Pergi ke Perak atau Negeri Sembilan, ada kerja adalah duit. Bila tak kerja, kami terpaksalah berlapar.
Itu pun saya tetap dahulukan susu Adam. Dengan anggaran pendapatan suami lebih kurang RM500-700, saya mohon bantuan zakat dan alhamdulilah diluluskan. Sekarang pun saya dalam proses mohon bantuan JKM dan insyaAllah saya akan mulakan kerja sebagai dropshipper di Facebook.
Saya tahu tiada ubat yang dapat merawat pesakit cerebral palsy seperti Adam. Yang ada hanyalah rawatan terapi, urutan dan kalau ada ubat pun, mungkin untuk melembutkan atau melicinkan pergerakan sendi-sendi tulang, paha, tangan atau ubat mencegah sawan. Paling penting di rumah kami ni, wajib ada ubat demam. Sebabnya bila badan Adam mula panas, saya akan lekas suapkan ubat demam supaya sawannya tak menyerang.
Jumlah belanja ni saja, termasuk susu, lampin pakai buang, Nestum dan sebagainya dalam anggaran RM400-500 sebulan. Hari-hari saya panjatkan doa, kalaulah dapat sumbangan dan bantuan masyarakat, saya teringin nak belikan kerusi roda khas serta barangan terapi untuk sensori dia. Saya kesian dengan Adam. Kakinya mungkin lenguh dan kebas di atas kerusi biasa.
Harapan saya tentulah nak tengok anak syurga saya boleh berdikari. Boleh uruskan diri walaupun hanya pergi ke bilik air dan membersihkan diri. Saya sedar kami tak mampu dari segi wang ringgit, jadi saya harap sesiapa di luar sana tak mempertikaikan usaha ibu yang mempunyai anak istimewa ni. Bukan saya tak sayang anak tapi saya tak mampu! Saya juga nak tengok dia sihat dan boleh bagi rawatan sepatutnya untuk dia.
Saya dan keluarga sungguh-sungguh nak mohon bantuan untuk Adam. Tak kisahlah dalam apa bentuk sekali pun untuk menampung kos perbelanjaannya yang di luar kemampuan kami. Sambil itu suami juga sedang berusaha mendapatkan kerja tetap.
=========================
Begitulah harapan dan hajat wanita ini yang menggunung tinggi untuk menggembirakan anak tersayang. Semoga kisah Adam menjadi iktibar dan mendapat ehsan orang ramai untuk memberikan bantuan. Sebarang bantuan boleh disalurkan kepada:
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anda peminat pancaragam? Ini berita baik yang rugi jika dilepaskan. Ahli Pancaragam Sekolah Tun Fatimah akan bekerjasama dengan Orkestra Tradisional Malaysia untuk sebuah konsert satu malam yang diberi judul ‘A Night With The Stars’.
Antara acara yang telah ditetapkan untuk malam 27 April 2018 itu adalah persembahan artis seperti Amy Search, Jaclyn Victor, Fauziah Latiff, Dina Nadzir dan juga Anding Indrawani.
Objektif utama persembahan ini ialah untuk mengumpul dana TFBB membeli kelengkapan baru dan juga props untuk pasukan colour guards mereka. Kutipan dari persembahan ini juga akan digunakan untuk penyertaan TFBB dalam pertandingan Grand Prix Marching Band tahun ini di Jakarta.
Ia juga adalah untuk meraikan kejayaan cemerlang Sekolah Tun Fatimah sebagai Sekolah Berasrama Penuh yang memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia terbaik untuk tahun 2017.
TFBB yang dianggotai seramai 58 orang pelajar ini berlatih hanya selama tiga bulan untuk membuat persembahan ini di bawah pimpinan jurulatih TFBB, Esty Farrah Musa, yang juga merupakan bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah.
Menurut Esty, “Kami berasa amat bangga diberi peluang untuk membuat persembahan di Istana Budaya, tempat terunggul di Malaysia untuk melakukan persembahan teater dan persembahan antarabangsa.”
Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Dato’ Muhamed Juhari bin Shaarani berkata, pihak Istana Budaya merasa amat berbesar hati dan mengalu-alukan kerjasama di antara TFBB dan OTM yang memaparkan peralatan muzik tradisional Malaysia.
“Kami berharap untuk meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai peralatan muzik tradisional, serta bagaimana gabungan di antara peralatan tersebut dengan peralatan muzik moden akan menghasilkan satu campuran yang unik dan berharap ia akan menjadi suatu pengalaman muzik yang sangat unik.”
Pada persembahan tersebut, ‘A Night with the Stars’ akan menampilkan lagu-lagu klasik di samping lagu-lagu terkini. Sebagai Sekolah Berasrama Penuh yang terbaik, anggota TFBB perlu mengimbangi tuntutan akademik dengan latihan pancaragam mereka dengan baik.
Mujurlah sebagai salah satu tradisi Sekolah Tun Fatimah yang telah lama wujud, perkara ini diurus dengan baik oleh anggota pancaragam tersebut dengan sokongan padu yang diberikan oleh para guru terutamanya Pengetua Cemerlang, Puan Hajah Kamisah Aziz.
Trivia TFBB
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!