Allah adalah sebaik-baik perancang. Biarpun Nurul Adlinna Mohd Bakri mempunyai kelulusan Kejuruteraan Mekanikal tetapi takdir Tuhan telah membawa anak kelahiran Rawang, Selangor ini jauh menempa kejayaan dalam bidang keusahawanan.
Tidak menyangka dunia perniagaan membuka pintu rezeki yang luas buat dirinya, wanita berfikiran optimis ini bagaimana pun enggan mensia-siakan ilmu kejuruteraan yang diperoleh begitu sahaja. Sebaliknya memanfaatkan pengetahuan tersebut untuk kegunaan firma perniagaan yang diusahakan hari ini.
Ternyata gabungan minat berniaga sejak kecil dan kecintaan wanita berusia 37 tahun ini terhadap dunia kecantikan serta inovasi menjadi kelebihan untuk beliau berdiri teguh dan berdaya saing dalam industri. Hasilnya, Nurul Adlinna atau mesra disapa Kak Lin kini pencetus revolusi bidang kecantikan menerusi jenama Bartech Beautee.
“Kalau ikutkan bidang kejuruteraan dengan kecantikan ini memang jauh sangat. Tapi sebab naluri seorang wanita yang suka benda cantik, saya tertarik untuk ambil jurusan beautician masa masih belajar dulu.
Tambahan pula, saya ialah orang yang sukakan inovasi dan akan innovate sesuatu benda itu jadi benda baharu. Misalnya kalau orang buat produk, saya juga hasilkan tapi dengan cara dan kreativiti sendiri,” ujarnya memulakan bicara.
PENGALAMAN BARTECH BEAUTEE
Jelas Pengasas Bartech Beautee ini, beliau mendapat pendedahan awal mengenai bidang perniagaan daripada bapa tersayang yang juga usahawan automatif dan mempunyai latar belakang kejuruteraan.
“Sebelum ada bisnes sendiri, saya mula bantu ayah di syarikatnya yang menguruskan trading and supply barang-barang kereta kepada pembekal kenderaan di Perodua, Naza, Honda, Proton dan banyak lagi. Kami juga ada kilang sendiri untuk buat auto parts kereta.
Semasa masih belajar di universiti, saya pernah kerja separuh masa di kedai serbaneka untuk kumpul duit. Habis saja belajar, saya kerja sebagai beautician. Kemudian jadi ejen insuran dan pelaburan. Dari situ saya belajar cara berkomunikasi dengan klien dan budaya orang berniaga.
Tak lama lepas itu, ayah minta saya kerja balik dengannya. Sambil kerja di syarikat ayah dan semangat berkobar-kobar nak berniaga, saya dalam masa sama jadi reseller barangan pakaian, fesyen dan kosmetik termasuklah food and beverages (F&B). Asalnya sekadar suka-suka saja sebab nak dapat extra income,” dedah Kak Lin yang memiliki pengalaman berniaga selama 15 tahun.
BARTECH BEAUTEE PRODUK VIRAL
Mengulas mengenai Bartech Beautee, jenama ini secara rasminya berada di pasaran pada tahun 2023. “Pada tahun 2019, suami saya menjalankan bisnes kecergasan yang dinamakan Bartech Fitness. Waktu itu, saya urus bahagian jualan dan operasi. Nak dijadikan cerita, satu hari suami beli energy bar berperisa dan saya makan.
Disebabkan saya suka inovasi, saya buat R&D cara hasilkan energy bar versi sendiri. Tak terfikir nak jual pun. Selepas dua ke tiga kali R&D barulah jadi seperti yang saya inginkan dan tak sangka laris terjual beribu-ribu unit setiap hari.
Nama Bartech itu sebenarnya berasal daripada ‘Bar’ yang merujuk ‘Energy Bar’ ciptaan kami. Manakala ‘Tech’ pula singkatan daripada perkataan ‘Technology’ sebab saya dan suami masing-masing dari bidang engineering. Memandangkan masa itu tak ada idea lagi nak letak nama apa untuk bisnes kecantikan saya, maka lahirlah jenama Bartech Beautee.”
Tambah Kak Lin lagi, idea menghasilkan produk kecantikan berkenaan tercetus selepas anak perempuannya berusia 13 tahun berdepan insiden di sekolah.
“Selepas PKP tahun 2022, saya dan anak perempuan sulung ada sesi meet and greet dengan guru dan ibu bapa di sekolah. Dulu kami duduk di Kajang dan kemudian pindah ke Rawang. Jadi, anak saya kena tempuh persekitaran baru dan tak ada kawan lagi.
Sampai saja di sekolah, kawan-kawan baru ini pelik tengok beza kulit anak dengan saya. Mereka cakap, “Kenapa kau hitam? Mak kau tak hitam pun.” Tak sangka, anak saya ambil serius kata-kata itu dan berubah kelakuan daripada seorang yang ceria dan suka berkawan terus jadi pendiam dan suka menyendiri.
Sejak peristiwa itu dia mula hantar link produk-produk supplemen kecantikan yang dijual di TikTok dekat saya sebab nak cantik. Sampaikan mahu berniaga online sebab nak duit beli produk tersebut. Bila tengok keadaan anak yang terdesak macam itu, saya pergi jumpa seorang chemist yang saya kenal waktu jual produk mak saya dulu untuk buat produk kecantikan khas buat anak.
Kami hasilkan dengan beberapa bahan untuk dapatkan formulasi terbaik. Lepas saya pakai dan dijamin selamat, baru saya beri dekat anak. Hampir sebulan dia pakai barulah nampak kesan dan kawan-kawan mula perasan perubahan kulit anak saya makin cerah,” telusnya panjang lebar.
Ads
Bermula dengan hanya untuk kegunaan anak, Kak Lin akhirnya mengambil keputusan memasarkan produk tersebut ekoran permintaan tinggi daripada pelajar dan guru di sekolah.
CABARAN
Dek sambutan hangat yang diterima, Kak Lin selaku Chief Business Officer (CBO) ligat merancang strategi pemasaran dengan mengaktifkan akaun di TikTok kerana berpandangan pasti ada generasi sebaya anak-anaknya yang berdepan masalah sama.
Percaturan ibu kepada empat cahaya mata ini nyata membuahkan hasil apabila produk Bartech Beautee mendapat tempat di hati pengguna dalam tempoh singkat.
“Bila dah viral, ketika itulah kami berdepan macam-macam cabaran. Salah satunya kecaman netizen yang terlalu negatif hinggakan ada yang kata produk kami ini tak selamat. Bagi saya, inilah asam garam dunia perniagaan. Satu proses yang terpaksa kami lalui sebelum produk kami berkembang.
Jujurnya, saya melihat komen sedemikian dari sudut positif untuk kami lebih improved. Kecaman daripada mereka kami ambil dan hormat. Secara tak langsung buka ruang dan peluang untuk kami perbaiki sebelum jadi lebih baik. Itulah salah satu cabaran besar bila saya masuk dalam industri ini. Walau baru setahun tapi rasa macam dah 10 tahun,” ucapnya sambil tertawa.
Ditanya sama ada produk Bartech Beautee menjadi mangsa eksploitasi dan tiruan pihak tidak bertanggungjawab, ini jawapan jujur Kak Lin. “Sudah tentu, lagi-lagi saat kami belum buat trademark. Jadi senang sangat untuk mereka tiru. Saya sedar bila produk ditiru, ia sedikit sebanyak membantu menaikkan lagi jenama kami. Ibarat macam free publicity.
Maksudnya, brand trust itu dah ada bila orang mula meniru. Kalau jenama kita sendu, mana mungkin orang nak tiru. Alhamdulillah, sekarang kami dah registered Bartech Beautee dan ada trademark. Kalau ada yang meniru lagi selepas ini, kami boleh atasi secara profesional.”
Setakat ini terdapat dua rangkaian produk Bartech Beautee di pasaran iaitu Whitening Gel 20 mililiter (ml) untuk kegunaan wajah dan Whitening Cream 20 gram serta 100 gram bagi kegunaan pencerahan wajah dan badan.
JUALAN
Ads
Sungguhpun menerima permintaan memberangsangkan daripada pelanggan pada awal perniagaan namun demi mengurangkan risiko kerugian, usahawan berjiwa cekal ini nekad mengambil tempahan secara pra pesanan atau pre order.
“Kami bermula dengan jualan di TikTok dan tak sangka dalam tempoh tiga bulan saja dah cecah RM1 juta! Memang terperanjat sebab kami letak sasaran RM1 juta dalam masa setahun. Itu pun kami ragu-ragu sama ada dapat capai sasaran tersebut atau tidak. Tapi Allah adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki.
Dari satu juta pertama itu kami susun strategi dan pasang impian. Bukan saya saja tapi satu team bertungkus-lumus dan bersengkang mata untuk capai target tersebut. Sekarang kami boleh achieved sampai tujuh ke lapan angka. Alhamdulillah.
Tak sangka Bartech Beautee melonjak dengan sangat drastik. Lebih utama, saya dapat bantu team kejar impian mereka. Apabila ada perancangan yang rapi dan delegate task kepada team dengan baik, saya percaya kami boleh capai jualan sampai 10 angka.”
Tidak sekadar mempromosikan Bartech Beautee di platform TikTok dan mempunyai puluhan ribu entiti niaga menerusi sistem Affiliate Marketing, Kak Lin turut memperluas jualan dengan menggunakan platform e-dagang seperti Shopee.
“Tak dinafikan, timbul rasa bimbang kalau saya selaku pemilik tak mampu lagi pertahankan bisnes ini satu hari nanti. Iyalah, produk kami naik dengan begitu cepat. Tak mustahil boleh jatuh dalam sekelip mata.
It’s not easy to sustain. Apatah lagi produk viral. InshaAllah, kami merancang misi yang besar untuk tahun 2025-2026 kelak,” ulas peneraju Bartech Beautee berkenaan yang disokong oleh 12 orang kakitangan.
PENGORBANAN
Di sebalik kesenangan dan kejayaan yang dinikmati hari ini, ada kisah duka yang tersimpan kemas di sanubari Kak Lin. Tidak bermaksud mahu membangga diri jauh sekali meraih simpati, isteri kepada Shaharuddin Abdul Karim ini tegas menekankan bahawa perkongsian yang dibuat adalah demi memberi iktibar dan menyuntik inspirasi.
Bergenang air mata figura hebat ini tatkala diaju persoalan mengenai detik terendah dalam hidup yang pernah dialami. Sambil menahan sebak, Kak Lin membuka rahsia.
Ads
“Betul, tak mudah untuk sampai ke tahap sekarang. Impian saya sebenarnya mahu jadi suri rumah yang uruskan keluarga dan berniaga kecil-kecilan saja. Saya pernah cakap dengan suami, kalau saya aktif bisnes ada benda yang terpaksa saya korbankan iaitu masa.
Jadi usahawan memang penat. Tambahan pula saya menghidap asma sejak usia lima tahun. Boleh dikatakan inhaler itulah best friend yang saya bawa ke mana saja. Masa buat live pun, asyik dengan pam inhaler sebab cepat rasa penat.
Saya mudah diserang asma bila tak cukup rehat. Kalau tidur, saya rasa macam ruginya. Banyak benda boleh buat. Tapi fikirkan tanggungjawab sebagai majikan untuk jaga staf, saya kuatkan semangat. Apa yang saya dapat sekarang ini pun berkat doa suami, anak-anak dan orang sekeliling.”
Puas menahan tangis, air mata Kak Lin akhirnya jatuh berjuraian apabila mengenang kegagalan rumah tangga dek kerana kesibukan membina empayar niaga.
“Ini merupakan perkahwinan kedua saya. Dalam perkahwinan dulu saya rasa sangat sengsara dengar kata-kata cemuhan orang terdekat yang memperkecil kemampuan saya untuk jadi usahawan berjaya. Kata mereka, saya hanya boleh jadi pekerja terbaik tapi bukan usahawan berjaya sebab saya tak pandai berniaga.
Tiada sekelumit pun rasa benci atau dendam. Saya ambil kata-kata itu sebagai satu perkara positif dan buktikan mereka silap. Kesenangan yang kita tunjuk kepada orang hari ini bukan sebab hendak riak tapi itu sebenarnya satu kepuasan. Mujur saya ada team yang sentiasa menyokong dan suami yang setia menjadi tulang belakang. Bagi saya, success is the best revenge!”
INSPIRASI
Dalam keterujaan memajukan syarikat dan membantu pekerja serta anak didik di bawah jagaannya mendapat kehidupan lebih baik, Kak Lin sentiasa meletakkan Allah SWT di kedudukan teratas untuk menggapai matlamat tersebut.
“Saya sudah ada semua yang saya mahukan dalam hidup. Sekarang adalah masa untuk saya bagi manfaat kepada orang lain pula. Kerja yang kita buat ini ialah ibadah. Berdosa kalau saya abaikan pekerja. Untuk itu, saya akan pastikan mereka dapat hidup lebih baik daripada saya.
Kepada wanita sama ada ibu berkerjaya atau pun tidak dan mereka yang bergelar ibu tunggal, bangkitlah sebab saya juga pernah jadi single mom. Hendak berjaya dalam hidup, kita kena fokus dan jelas dengan apa yang kita nak buat.
Kita juga kena ada energy. Jangan bersedih terlalu lama takut-takut nanti kemurungan. Tak perlu salahkan orang lain. Kita mampu kawal emosi dan diri kita sendiri. Kalau stress, nak menangis dalam bilik air, pergi karaoke atau menari, buatlah!
Bila dah lega, kembali dengan misi. Mana yang boleh datangkan manfaat kepada kita, teruskan buat yang terbaik. Akhir sekali, tawakal dan berdoa. Apa saja yang kita buat kena bersungguh-sungguh ibarat seperti esok kita mati,” pesannya bersungguh-sungguh.
Semoga segala kebaikan dan jerit-perih Kak Lin mengusahakan perniagaan dengan niat untuk membantu lebih ramai orang keluar daripada kepompong kesusahan mendapat keberkatan serta perkenan dari-Nya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cantiknya dia! Kalau tengok penampilan Kavita Kaur Sidhu pasti ramai tidak menyangka umur sebenar jelitawan ini yang bakal mencecah usia 51 tahun pada November nanti. Iyalah, bukan hanya tinggi lampai Kavita juga dikurniakan raut wajah cantik menawan.
Cita rasa dan pesona Kavita dalam berfesyen sentiasa menjadi perhatian. Mana tidaknya, apa saja busana yang digayakan personaliti ini nampak terletak cantik sempurna! Memang persis supermodel.
Tambahan pula Kavita memiliki peribadi yang mesra dan membuatkan dia disenangi ramai. Tidak kira dalam kalangan rakan artis, media mahupun peminat.
Bersandarkan pakej lengkap yang ada pada diri di samping cita rasa Kavita dalam fesyen, ikon fesyen ini sering diundang ke majlis-majlis fesyen berjenama mewah. Difahamkan Kavita mula menakluki industri peragaan fesyen di Eropah sewaktu baru berusia 18 tahun!
Pada 6 Januari lalu, Kavita dan suami tercinta yang juga jejaka kacak kelahiran Itali iaitu Roberto Guiati menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-6.
Roberto berkhidmat dalam industri gas dan minyak selain bergelar pemilik Zenzero Group yang mengusahakan tiga buah restoran iaitu Zenzero Restaurant & Wine Bar, Luce Osteria Contemporanea dan Roberto’s 1020.
Sementara itu, Kavita yang sinonim dengan kerjaya peragaan turut mengembangkan bakat sebagai pelakon, penerbit filem, pereka fesyen dan usahawan. Antara filem yang pernah dibintangi figura ini termasuklah Layar Lara dan Pontianak Harum Sundal Malam.
Mempunyai sebilangan besar kenalan berbangsa Melayu, Kavita disifatkan seorang wanita yang cukup menghormati budaya dan adat masyarakat Melayu. Malah, dia juga dilihat gemar mengenakan persalinan tradisi seperti baju kurung.
Mendiang bapa Kavita pernah berkhidmat sebagai pensyarah radiologi di Universiti Malaya dan merupakan antara individu yang bertanggungjawab mewujudkan Jabatan Pengimejan di Hospital Pantai pada tahun 1985.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan menyalahkan TikTok, bukan juga menidakkan trend berhibur zaman ini. Namun tidak manis kiranya golongan wanita, khususnya yang sudah berstatus isteri dan ibu, dilihat menari-nari untuk tontonan maya.
Itulah teguran Ustaz Mohd Zul Amirul terhadap sifat malu yang makin terhakis dalam rumah tangga. Beliau yang juga Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia itu turut berkongsi panjang lebar tentang sifat-sifat malu yang perlu ada antara suami isteri.
“Apakah yang dimaksudkan dengan malu tersebut? Bukankah perkahwinan itu menghalalkan hubungan suami isteri untuk bersama? Isteri ibarat pakaian buat suami dan begitu juga sebaliknya?”
Ya benar, perkahwinan itu menghalalkan hubungan suami isteri. Perkahwinan bukan hanya bertujuan hal itu sahaja, tapi ia melibatkan seluruh aspek kehidupan kita dalam rumah tangga.
Rahsia Malu
Apabila setiap pasangan malu pada Allah SWT, maka mereka akan malu untuk meninggalkan perintah Allah SWT dan malu untuk melanggar larangan Allah SWT.
Jika tiada sifat ini, kita akan lihat seorang suami itu tak malu pun dengan isteri yang mengejutkannya bangun solat Subuh, namun dia tidak mengendahkan isterinya itu dan meninggalkan solat subuh tanpa rasa malu.
Begitu juga isteri, tidak mengendahkan nasihat suami agar menutup aurat dengan baik kerana isterinya tidak malu pada Allah SWT yang menyebabkan dia tidak merasa malu juga mengabaikan nasihat suaminya demi kebaikan dirinya. Bahkan tidak malu berkongsi tarian maksiatnya di TikTok.
Ustaz Mohd Zul Amirul Izwan
Dengan adanya sifat malu pada Allah SWT, seorang suami akan menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik. Dari itu suami akan berasa malu dengan isterinya jika dia gagal menjalankan kewajipannya dengan baik.
Jika tidak malu, suami tersebut pasti buat-buat tak tahu sahaja dengan kewajipannya sebagai ketua keluarga. Tiada rasa malu minta duit isteri untuk memenuhi kehendak nafsunya, duit gaji sendiri digunakan untuk beli nombor ekor, guna untuk berjoli dengan kawan-kawan dan sebagainya.
Sebab apa? Sebab tak malu pada Allah SWT dan tidak malu pada isterinya.
Cerita Dalam Kain
Allah menghalalkan persetubuhan, namun mengharamkan liwat. Jangan terkejut jika saya sebutkan ramai mana isteri yang mengadu diliwat oleh suami. Isteri dipaksa untuk memenuhi keinginan suami yang hilang sifat malu pada isterinya itu sehingga melanggar suatu larangan yang dilaknat oleh Allah SWT.
Ada juga kes, isteri yang minta diliwat oleh suami. Dan masing-masing tidak berasa malu untuk melakukan hal itu.
Ada juga keadaan yang mana pasangan ini merekodkan video hubungan intim mereka. Alasannya untuk simpanan dan kenangan bersama. Apakah yang ada dalam kepala mereka sebenarnya ini? Tidakkah mereka sedar, bahawa risiko untuk rakaman itu ‘terbocor’ sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Bagaimana pula sekiranya mereka ditakdirkan bercerai dan saling bermusuhan suatu hari nanti?
Ini adalah kerana masing-masing suami isteri membuang sifat malu pada diri mereka.
Contoh dekat, tentang hilangnya sifat malu pasangan suami isteri dalam hal ini ialah baru-baru ini ada viral tentang seorang pemilik Facebook dan Instagram menaikkan video intimnya bersama suami bagi mempromosikan produknya. Na’uzubillah min zalik.
Malu antara suami isteri akan membentuk adab yang baik dalam perhubungan pasangan tersebut. Suami jaga adab dengan isteri dan isteri pun jaga adab dengan suami.
Ada masa isteri masak kurang kena dengan selera suami, suami tak marah sebab malu dengan isteri kerana isteri penat-penat pun tetap masak untuk suami. Apa sangatlah nak dibandingkan dengan masakan hari tersebut.
Ada masa suami terlebih masa keluar dengan kawan-kawan, isteri tidaklah mengamuk melampau-lampau sebab malu dengan suami kerana suami selama ini banyak kerja lebih masa untuk keluarga.
Ada masa emosi isteri tak stabil, membebelnya jadi lebih, senyumannya jadi kurang, suami tetap bersabar dengan isteri dan isteri juga jaga perkataannya dengan suami kerana masing-masing menjaga adab.
Bila bergaduh, suami malu nak mengungkit, isteri malu nak mengungkit sebab masing-masing memberi, masing-masing ada kelebihan, masing-masing ada kekurangan dan sebagainya.
Akhirnya, antara kepentingan sifat malu antara suami isteri ialah masing-masing akan menjaga aib dan maruah pasangan masing-masing.
Jaga Maruah
Malu nak cerita pada orang lain tentang aib pasangan, lebih-lebih lagi nak update status tentang aib pasangan di media sosial.
Jika tidak ada rasa malu, itu yang dia tak kisah cerita pasal aib suami dia pada orang, cerita pasal aib isteri dia pada orang dan selalu update status yang mengaibkan pasangan masing-masing.
Dengan malu juga menjadikan suami isteri itu menjaga maruah masing-masing. Suami tak menggatal dengan perempuan lain, isteri juga tidak melayan lelaki lain sama ada di tempat kerja mahupun dalam media sosial.
Justeru itu, wahai para suami dan wahai para isteri peliharalah sifat malu. Malu itu menyuburkan keimanan. Keimanan itu membenihkan ketaqwaan. Ketaqwaam itu menumbuhkan sakinah, mawaddah dan sa’adah dalamm rumah tangga. InshaaAllah.
“Rasa malu itu tidaklah mendatangkan, kecuali kebaikan” (HR Bukhari dan Muslim)
Kredit: Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hidup berpasangan banyak dugaannya. Ada suami yang rajin mencari rezeki, ada juga yang terlalu pemalas dan bergantung hidup pada isteri.
Tapi ada satu kisah benar yang berlaku pada Ustaz Muhammad Amirul Akmal, seorang pengamal undang-undang syariah ini menarik perhatian Nona.
Seorang mualaf Kristian datang mengadu tidak tahan menanggung hidup suaminya, selalu mengamuk dan menyakiti dirinya. Lebih menyedihkan, dia pernah terfikir untuk kembali ke agama asal.
Maka demi mempertahankan akidah wanita tersebut, solusi yang diberikan ustaz ini cukup membuka mata masyarakat. Ini ceritanya.
Kisah ini berlaku beberapa tahun yang lalu ketika saya masih menjalani latihan industri di Mahkamah Syariah. Suatu hari ketika bertugas di kaunter khidmat pelanggan, datang sepasang suami isteri di hadapan saya.
Isteri tersebut merupakan seorang mualaf (dulu beragama Kristian), mereka duduk di hadapan saya. Si suami pun mula bercerita masalah mereka, katanya dia suruh saya nasihatkan isterinya yang nak bercerai dengan dia. Saya pun mendengar dan cuba untuk menasihati mereka supaya tidak bercerai.
Namun begitu, tak sedap hati ini memandang wajah si isteri tersebut yang berlinangan air mata seolah-olah menangung beban dan emosi terlalu lama dan tiada siapa yang mampu membantu beliau.
Is there anything wrong with her husband, something doesn’t add on in their story? Seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan oleh isteri kerana kehadiran suaminya di situ.
Saya pun menyuruh si suami tersebut keluar dahulu supaya saya boleh menasihati isterinya baik-baik kerana si suami tadi agak menganggu saya dalam proses konsultasi tersebut. Selepas suami keluar, saya pun katakan kepada isteri tadi, “Ada apa yang Puan sembunyikan sebenarnya, yang betul-betul menjadi alasan untuk Puan bercerai?”
PENYESALAN
Dengan air mata berlinangan dan suara sedu-sedan yang tertahan, dia pun mula bercerita.
“Ustaz, saya ni mualaf ustaz, Saya masuk Islam kerana ketenangan dan keindahan agama ini, tapi Ustaz kenapa kehidupan saya lagi merana? Kalau begini lebih baik saya pulang ke agama asal saya sahaja,” ujar beliau kepada saya.
Saya membiarkan beliau menangis air mata bercucuran membasahi pipi beliau agar terubat segala kesedihan di hatinya. Saya pun mengambil tisu dan memberikan sedikit air kepada beliau.
Selepas berfikir secara rasional, saya pun menjawab pertanyaan beliau.
“Puan, Islam itu tidak salah Puan, yang salah itu penganutnya yang jahil dan tidak mengamalkan prinsip Islam yang sewajarnya. Islam tidak pernah menzalimi hambanya akan tetapi hambanya yang saling menzalimi di antara satu sama lain.
Puan perlu tabah dan sabar kerana Allah tidak akan uji kita jika kita tidak mampu menanggungnya. Allah itu Maha Adil. Dia tak akan menguji hamba-Nya berlebihan.”
Puan tadi tekun mendengar seraya membalas. “Ustaz, saya tertekan dengan tanggung jawab nak bayar sewa rumah, bil-bil utiliti, dengan dia mengamuk nak ambil duit saya. Tertekan saya ustaz. Tertekan saya dengan perilaku suami saya tu.
Sebab tu saya tekad ajak beliau datang hari ni ke Mahkamah sebab saya nak bercerai. Saya dah tak tahan. Apa perlu saya buat? Ustaz boleh ke bantu saya?”
TUNTUT FASAKH
Saya pun menyarankan beliau memfailkan tuntutan fasakh dengan bantuan peguam JBG atas alasan di bawah Seksyen 53 (1)(b) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor yang menyatakan bahawa;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
Saya juga menyuruh beliau ke JBG dengan membawa segala bukti yang ada serta bukti pendapatan beliau kerana JBG hanya melihat kes yang ada merit sahaja sebelum menerima sesuatu kes tersebut.
Pada bulan seterusnya saya melihat beliau hadir ke Mahkamah untuk tuntutan fasakh dengan wajah yang sudah tidak lagi sedih malahan kuat dan beliau mampu mengukir senyuman.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada saya. Dan saya pun berlalu pergi kerana selesai tugas saya menyampaikan dan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
DHARAR SYARIE
Oleh itu, pesanan saya kepada sang isteri jika suami sudah seperti biawak hidup hingga menyebabkan dharar syarie dan menyebabkan hidup anda menderita akibat lazim menyakiti atau menganiayai anda, mohonlah penceraian secara fasakh kerana anda perlu merasa gembira dan bahagia, bukanlah hidup dalam kesengsaraan mahupun penderitaan yang panjang sehingga terkorban kesihatan diri dan jiwa anda.
Kepada mereka yang belum berkahwin, jangan hanya seronok bercinta sahaja. Sebelum berkahwin banyakkan istikharah, banyakkan menyemak latar belakang bakal pasangan anda. Agar kelak anda tidak terjatuh dalam penderitaan yang berpanjangan.
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.