Sentiasa berpijak di bumi nyata, Muabellaz atau nama penuhnya Nur Nabilah Zulyadaini tak lupa asal-usul dirinya sebagai anak seorang nelayan dan pernah hidup susah.
Sentiasa terbuka berkongsi keperitan hidup dengan jutaan followers, Bellaz juga sering mengimbas kembali momen sebelum berjaya agar tidak hanyut dengan kesenangan yang dinikmatinya hari ini.
Berusia 33 tahun, penerima Ikon Belia Negeri Kedah 2018 itu cukup tersohor di media sosial. Bagi peminat dunia kosmetik dan kecantikan, nama make-up artist dan pempengaruh tersebut sememangnya tidak asing lagi, Perjalanan karier Bellaz yang merupakan anak jati Tanjung Dawai, Kedah itu juga mencipta fenomena tersendiri sekaligus menitip inspirasi kepada golongan wanita muda di serata Malaysia.
Seorang yang mesra dan menyenangkan, Bellaz seringkali memberikan komitmen tinggi terhadap setiap pekerjaannya. Karakter wanita ini di depan dan di belakang kamera tiada berbeza, sekaligus menciptakan suasana santai, sama seperti melihatnya LIVE di platform Facebook dan TikTok. Lebih mencuit hati, kepetahan Bellaz berkomunikasi dengan loghat utara yang pekat membuatkan personaliti influencer ini terasa rapat bagai kenalan lama.
Bellaz mula serius mendalami dunia solekan sejak hamil anak pertama kira-kira 14 tahun yang lalu. Bermula dengan sesi LIVE tutorial mekap di Facebook menggunakan akaun Make Up by Bellaz, namanya kian meningkat naik sehingga mengumpul lebih 3 juta followers organik, masing-masing di platform media sosial Facebook dan TikTok serta 2.5 juta followers di Instagram.
Populariti ini turut mendorong pelbagai jenama kosmetik tempatan untuk melantiknya sebagai duta, bahkan Bellaz sendiri menubuhkan empayar syarikat Bellaz Beauty yang menjual barangan mekap dan makanan lazat seperti karipap dan aneka desserts. Tidak cukup dengan itu, fenomena Muabellaz semakin membahang setiap kali mereka turun padang membuka gerai di tapak pesta, bayangkan peminat datang berpusu-pusu semata-mata mahu bertemunya!
“Saya menceburi media sosial ni sejak tahun 2010. Masa tu tak mahir lagi, masih belajar-belajar buat account dan post semua. Seingat saya, content pertama yang dibuat adalah demo mekap, diikuti sharing aktiviti harian seperti memasak, suasana kampung, minum apa hari ni, mekap apa hari ni. Yang rakam pula semestinya suami saya.
Saya perasan video-video content yang dimuat naik mula mencanak ketika hamil anak kedua, Aidil Mikhail. Suami saya naik hairan, dari mana saya dapat tenaga untuk buat LIVE sampai pukul 1 pagi? Sebenarnya mula dari situlah banyak orang mula follow saya. Mungkin juga sebab mereka suka tengok tutorial yang ditunjukkan, contohnya cara lukis kening sebab tak ramai yang tahu caranya. Satu lagi faktor, mungkin kerana celoteh-celoteh saya dalam loghat Kedah,” akui Bellaz tanpa berselindung.
Berjiwa dermawan dan tak culas bayar zakat perniagaan setiap tahun, Bellaz dan suami rupanya ikhlas dan bukan sekadar buat content…
Ads
Turut dikenali sebagai Ratu LIVE kerana kerap bersiaran langsung sepanjang malam, kata Bellaz, dia jarang ke udara pada waktu siang kerana sibuk menguruskan bisnes, keluarga dan rumah tangga. Tatkala ditanya tentang content yang mana paling mendapat views tertinggi, wanita jelita ini kelihatan berfikir sejenak.
“Rasanya sewaktu saya buat LIVE mekap sempena sambutan anniversary perkahwinan dengan suami dan waktu hari jadi saya, saya request nak mekapkan dia. Video suka-suka saja isteri mekapkan suami dan suami pun mengikutlah sebab hari jadi isteri. Dia macam reda, ‘Hah, birthday hang hari ni aku ikutkan je…’ Tup-tup tinggi views! Memang tak sangka,” cerita Bellaz sambil tertawa.
Sambung wanita berusia 32 tahun itu, dia bersyukur kerana kehadirannya sebagai pempengaruh diterima baik. Segala kejayaan adalah berkat rezeki-Nya, doa orang sekeliling dan sokongan followers yang tidak berbelah bahagi. “Saya hanya bergantung kepada rezeki Allah. Saya buat video yang orang suka, beri manfaat dan bagi semangat positif kepada orang sekeliling.
Dengan cara itu mereka akan ingat Muabellaz dan Nur Nabilah Zulyadaini ni selalu. Saya tahu dah ramai yang buat LIVE mekap sekarang, sampai kadang-kadang saya terfikir, ‘Isy, bagaimana kalau followers jemu tengok muka saya?’
Tapi alhamdulillah berkat rezeki anak-anak juga, masih ramai yang suka tengok video content saya. Terutamanya kalau melibatkan anak-anak macam Wara dan keletah mereka,” cerita Bellaz yang mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati, Anuar Ahmad sejak tahun 2012. Pasangan bahagia ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Iris Alisya, Aidil Mikhail, Ean Yusof dan Nur Aisywara Nealofa.
Terus mengumpul jutaan followers di media sosial, kini Bellaz mengembangkan ‘content’ yang dihasilkan melangkaui sekadar ilmu solekan. Beliau banyak menyuntik motivasi melalui perkongsian realiti hidupnya dari seorang anak nelayan, kisah jatuh bangun perniagaan, kehidupan tenang di kampung, momen anak-anak membesar, amal kebajikan yang dilakukan serta pelbagai aktiviti seharian.
Ads
Anak Nelayan
“Abah saya seorang nelayan sahaja. Kerja siang malam cari rezeki nak bahagiakan anak-anak dia. Dia tak makan tak apa asal anak dia dapat makan. Abah beritahu dia tak pernah lupa doakan anak dia. Walaupun berjauhan dia sentiasa doakan saya sentiasa dilindungi dan dimurahkan rezeki,” ujar Bellaz yang memiliki darah campuran Melayu-Turki.
Lantaran kemiskinan dan keadaan rumah kampung yang serba kekurangan, Bellaz pernah berhasrat untuk menghubungi penerbit program ‘Bersamamu’ untuk berkongsi kehidupan yang dilalui.
“Betul, macam nak panggil mereka datang tengok rumah saya! Sofa takde, peti ais takde. Hidup kami memang serba susah, kalau dapat api (elektrik) pun satu rahmat. Apabila abah masuk pulau (menangkap ikan), dalam dua minggu baru balik rumah. Waktu dua minggu itulah kami sekeluarga betul-betul struggle. Sekolah pun saya jarang pergi sebab masalah duit, siang saya kerja jemur ikan bilis, malam pula kerja kedai makan,” kongsi Bellaz.
Sentiasa berpijak di bumi nyata, Muabellaz atau nama penuhnya Nur Nabilah Zulyadaini tak lupa asal-usul dirinya sebagai anak seorang nelayan dan pernah hidup susah.
Masih teringat kenangan team Majalah Nona bertandang ke kediaman Bellaz sewaktu bulan Ramadan 2023 yang lalu. Rumah banglo dua tingkat miliknya berlatarkan sawah bendang dengan pemandangan Gunung Keriang yang tersergam indah.
Ads
Tidak sukar membayangkan mengapa Pengasas Bellaz Beauty itu enggan berpindah ke bandar raya. Kampung ini ada jiwa di dalamnya, jauh daripada hiruk-pikuk kota dan hingar-bingar dunia. Bellaz lebih puas membesarkan anak-anak di sini. “Saya seronok duduk kampung. Pahit manis, pengalaman hidup saya di sini. Bila dekat dengan famili saya rasa lebih selesa. Malah anak-anak pun saya ‘lepaskan’ mereka bermain, pergilah main selut, sauk ikan, lari-lari atas batas… biar mereka nikmati alam kanak-kanak macam saya ‘berlemuih’ dulu,
Saya ni tengok jer macam ni (gelak-gelak) tapi sebenarnya garang. Garang dan tegas yang bertempat. Sebelum anak nak keluar main, pastikan dulu kerja rumah dah siap kalau tak mahu dicubit. Anak-anak boleh dapat apa yang mereka nak, tapi tidaklah selalu kerana saya ajar mereka erti kesusahan untuk mendapatkan sesuatu. Saya tak ajar mereka bermewah-mewah malah selalu kongsi kesusahan hidup saya dulu.
Dulu saya selalu ponteng sekolah. Kesusahan hidup masa tu sampai ke tahap terpaksa menjaga adik-adik seramai tiga orang ketika mak dalam pantang selepas bersalin. Sayalah yang memasak dan jaga adik-adik. Cikgu-cikgu pun faham, mereka pernah datang tengok situasi saya di rumah bila saya selalu tidak hadir ke sekolah.
Saya bertuah kerana ramai cikgu yang prihatin dan berpakat untuk membiaya persekolahan saya. Memang sedih kalau diingatkan, banyak sangat pahit manisnya. Mereka bagi saya belanja duit makan dan tambang bas sekolah. Hari-hari mesti pergi pejabat guru dan ambil duit belanja. Sehari RM3 sampai saya melangkah ke Tingkatan 5.
Sebenarnya orang yang suka gelak-gelak ni banyak memendam. Sebab tu saya suka alam, supaya saya ingat siapa diri saya. Kadang-kadang bila saya tidur dalam aircond sejuk, teringat nikmat-nikmat yang Allah bagi, dulu susah tapi sekarang alhamdulillah. Saya tanya diri saya, nikmat apa lagi saya nak? Semua dapat. Sampai menitik air mata sendiri,” kongsinya.
Meskipun hanya memiliki kelulusan SPM, Bellaz menolak stigma bahawa seorang pempengaruh tidak perlu belajar tinggi untuk berjaya. Jawab Bellaz, “Hang terkenal macam mana pun tetap kena belajar. Tiada istilah buat LIVE sampai tak mahu ke sekolah. Inilah yang saya tekankan pada anak muda termasuk anak-anak sendiri, bakat yang ada perlu digilap dengan ilmu untuk berjaya. InsyaAllah orang akan hormat kita.”
Impian Bellaz untuk mengubah nasib keluarga pastinya tidak tercapai tanpa bantuan tulang belakang yang kuat. Kejayaan Bellaz selama ini disokong oleh suami tercinta, ibu bapa, mertua dan adik-beradik yang senantiasa menolaknya ke depan. “Mereka banyak bagi bantuan, motivasi dan sokongan moral tanpa berbelah bahagi. Contohnya bila dikecam netizen, merekalah yang tenangkan keadaan dan nasihat supaya jangan baca komen yang bukan-bukan. Begitu juga kalau saya terpaksa keluar bekerja, mereka juga yang jagakan anak-anak saya.”
Merancang supaya legasi bisnesnya dapat diwariskan kepada anak-anak, Bellaz sejak awal lagi sudah merancang strategi kewangannya sebaik mungkin. Untuk perniagaan, dia mahu sentiasa diingati sebagai usahawan berjaya. “Kita menangis kena menangis. Menangislah sepuas-puasnya tapi jangan lama-lama. Hidup hanya sekali, jadikan ia sebaik mungkin untuk diri kita dan orang sekeliling.”
Iktibar dari Mahkamah Syariah. Tak semua percintaan seindah telenovela atau berakhir sebahagia Puteri Disney. Nona berkongsi pendedahan Peguam Syarie dari Tetuan Khairul Fahmi & Associates, Tuan Fahmi Ramli tentang hakikat bersuamikan ‘duda’.
Ada satu kiriman daripada seseorang wanita yang minta saya kongsikan pada wanita lain yang memerlukan. Kisahnya pada saya agak menarik dan mungkin boleh jadi tauladan.
Pastinya, isu ini bukanlah ada pada semua lelaki cumanya berharap agar ada pertimbangan kepada wanita sebelum membuat keputusan.
Kisahnya adalah Siti (bukan nama sebenar) bekerja sebagai kakitangan awam di Lembah Klang. Ada seorang lelaki yang ingin melamarnya untuk dijadikan isteri. Namun, lelaki tersebut bukanlah anak teruna sebaliknya seorang duda anak 3.
Peguam Syarie, Fahmi Ramli
Siti tak kisah dan melihat sikap tanggungjawab lelaki tersebut kepada anak-anaknya dimana lelaki tersebut sering beritahu Siti yang dia baru lepas hubungi anak-anak, sering bawak anak berjalan ketika cuti panjang dan tak gagal beri nafkah anak walaupun anak-anak berada bersama bekas isteri.
Jadi, Siti pun menerima lamaran setelah berkali-kali diajak dan langsung perkahwinan secepat mungkin. Katanya bercinta selepas nikah. Keluarga Siti pun ikutkan saja tanpa melengah-melengahkan.
Selepas kahwin, barulah terdedah true colour suaminya. Nafkah untuk Siti tidak ada. Rumah kelamin pun menetap di rumah milik Siti. Suami hanya bayar bil eletrik sahaja. Barang-barang dapur, pakaian dan kosmetik Siti semuanya ditanggung sendiri. Bila disoal tentang nafkah, asyik cakap tiada. Bahkan dimarahi kerana asyik cakap tentang duit.
Siti jadi hairan sebab rasanya suami yang dianggap bertanggungjawab tersebut tak sama selepas nikah. Jadi Siti mula mencari bekas isteri untuk menyiasat sama ada suaminya banyak berikan kepada anak-anak sehingga tiada peruntukan kepada Siti.
Bekas isteri sangat baik dan ramah kepada Siti. Barulah Siti tahu rupanya nafkah anak yang diberi mengikut perintah Mahkamah tidaklah tinggi mana. Bahkan mungkin tidak cukup. RM200 sahaja sebulan untuk setiap seorang anak. Jadi, hanya RM600 sahaja nafkah anak. Bekas isteri pun berkata, dulu bercerai pun secara fasakh kerana suami gagal beri nafkah.
Akhirnya, Siti pun faham. Dan kini Siti menyesal kerana tersalah langkah. Bukan tidak terima jodoh ketentuan, tapi terlalu gelojoh sebelum membuat keputusan terbaik.
Nasihat perundangan
Perkahwinan ini adalah ketentuan. Itu betul. Tapi, kita juga sebenarnya berhak untuk mengenal terlebih dahulu siapa bakal imam kita. Tidak salah memilih duda. Ini bukan isu duda atau teruna. Tetapi isu tanggungjawab.
Pada kebiasaan, seorang lelaki Duda, dia akan ada tanggungjawab:
(1) Nafkah Anak
Biasanya seorang lelaki yang pernah bercerai akan ada anak. Dan pastinya, nafkah anak masih perlu ditanggung oleh lelaki tersebut. Dan pada kebiasaan juga, seorang lelaki ini telah diperintahkan oleh Mahkamah untuk menanggung nafkah anak.
Sebagai wanita yang bakal berkahwin dengan duda, anda berhak tahu berapa jumlah yang diperintahkan tersebut. Siasat terlebih dahulu. Jika perintah nafkah anak hanya RM200 sebulan, percayalah, antara dua. Sama ada gajinya memang sedikit ataupun kedekut.
Tapi kalau RM500 ke atas untuk seorang anak, insya Allah, mungkin pendapatannya stabil atau bertanggungjawab pada anaknya.
(2) Nafkah Eddah & Mutaah
Pada kebiasaan juga, seorang duda yang bercerai juga akan ada perintah atau saman nafkah eddah dan mutaah yang telah atau bakal dihadapi. Ini merupakan hak bekas isteri yang ada dalam Islam.
Ada keadaan yang nafkah eddah dan mutaah tersebut mungkin tidak tinggi, tapi pastinya perlu ada pembayaran dibuat oleh lelaki tersebut.
(3) Hak Jagaan Anak
Isu hak jagaan anak juga selalu timbul bila satu pasangan bercerai. Ada yang mungkin faham dan boleh bertolak ansur tentang hak jagaan, melawat dan bermalam. Namun, tak kurang banyaknya juga pergaduhan tentang hak jagaan.
Pastinya sebagai bakal isteri, mungkin anda tidak mahu sebarang isu timbul. Cuma, pastinya akan libatkan anda juga bila dah berkahwin nanti. Ada yang boleh terima anak tiri, dan ada juga yang tak boleh terima.
(4) Hutang dengan bekas isteri
Ada juga duda yang dalam perkahwinan terdahulu mempunyai hutang dalam perkahwinan terdahulu. Contohnya, pernah meminjam duit bekas isteri, menggadai barang kemas dan lain-lain perkara yang disifatkan meminjam tapi tidak menjelaskan hutang kepada bekas isteri.
(5) Harta Sepencarian
Jangan ingat semua harta yang si lelaki tersebut tunjuk kepada anda, anda dapat rasakan memang dia berharta. Akhirnya lepas kahwin baru anda dapat tahu, ada satu kes yang belum selesai antara suami anda dan bekas isterinya yang menuntut harta-harta tersebut sebagai harta sepencarian.
Bahkan, ada juga harta yang digunakan tersebut adalah milik bekas isteri yang tidak dipulangkan. Bila sebut tentang harta sepencarian, pasti, setiap harta yang dimiliki dalam tempoh perkahwinan tersebut pasti ada sebahagiannya milik bekas isteri. Cumanya, nilai tersebut mungkin tidak banyak bergantung kepada takat sumbangan.
Ada duda yang sudah tiada apa-apa harta kerana semuanya sudah diisytiharkan harta sepencarian dan dijual untuk dibahagikan mengikut bahagian kepada bekas isteri.
Kesimpulan
Sekali lagi saya katakan, isu ini bukan bermaksud kahwin dengan lelaki duda ini teruk, cuma ada risiko yang seorang wanita perlu hadapi sebelum berkahwin.
Sebaiknya, wanita ini perlu siasat terlebih dahulu. Bahkan, ahli keluarga juga perlu mengambil tahu secara mendalam kisah perceraian lalu. Ada yang menyesal kerana baru tahu lelakinya panas baran dan memukul isteri kerana tidak siasat perceraian lalu disebabkan fasakh mendatangkan kemudharatan kepada isteri terdahulu.
Kita semua diberi pilihan. Mempunyai hak untuk menilai sebelum membuat keputusan. Selebihnya, berserah kepada Allah.
Tak semua Duda tu terlajak laris. Faham ke faham?
Kagum dengan semangat tak pernah putus asa yang ada dalam diri Mila Jirin. Meskipun perniagaan pakej perkahwinan yang diusahakan selama bertahun-tahun terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, dia tetap cekal mengharungi ujian dengan melakukan pelbagai inisiatif. Memang ‘kecil-kecil cili padi’ Mila ni, ada sahaja peluang depan mata terus ‘sambar’ dan dimanfaatkan sebaik mungkin.
Pasrah dengan ketidaktentuan ekonomi ketika ini, Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin bagaimana pun enggan mengalah tempuh cabaran sebagai seorang usahawan. Sesukar mana pun ujian yang datang, kebajikan para pekerja sentiasa menjadi keutamaan dirinya dan suami. Untung staf dapat majikan bertimbang rasa macam Mila!
Disifatkan seorang wanita berjiwa cekal, Mila yang gemar berkongsi kata-kata positif di media sosial mendedahkan situasi yang dialami mereka baru-baru ini. Dalam perkongsian terkininya, Mila bersyukur perniagaan Nasi Arab Bizmilla semakin mendapat permintaan.
Dalam kesibukan menyiapkan tempahan daripada pelanggan, Mila mesra menyambut panggilan Nona. Ujarnya, “Idea nasi arab ini datangnya dari suami saya, Isz Mustapha. Saat perniagaan kami yang melibatkan industri perkahwinan dan katering majlis terkesan, suami saya mendapat ilham dari Allah untuk melaksanakan menu Nasi Arab Resipi Dapur Bawah Tanah ini. Bab memasak, cef Bizmilla Catering yang akan uruskan sementara saya pula bantu mereka dalam soal pengurusan.
Setakat ini kami menawarkan dua pilihan nasi arab iaitu Nasi Arab Bizmilla Kambing dan Nasi Arab Bizmilla Ayam. Alhamdulillah kami bermula dengan 200 pax dan sehingga hari kelima kami berjaya menjual 1,000 pax sehari.”
Tanpa berselindung mendedahkan situasi syarikat yang berdepan masalah kewangan kepada umum, Mila bagaimana pun optimis mencari penyelesaian bagi membantu para pekerjanya. Namun pendedahan Mila mengenai keadaan dirinya dan suami yang tidak menerima gaji selama hampir setahun ini mengejutkan ramai pihak.
“Sebagai pengurusan tertinggi di Bizmilla, saya dan suami memang dah tak ambil director allowance for almost one year. Sebab kita mendahulukan para pekerja. We want to make sure semua mereka ada gaji. Alhamdulillah hampir setahun iaitu dari Mac hingga hari ini, semua para pekerja saya masih diberi full basic salary. Ada elaun yang terpaksa kami kurangkan termasuk elaun perjalanan dan makanan contohnya.
Apa-apa pun, selebihnya dengan bantuan subsidi upah… alhamdulillah kami dapat manage our team. This is our responsibility. Saya enggan melepaskan mereka kerana bagi saya, selagi mana Allah kurnia kudrat, ilham dan idea baru untuk mencari pendapatan syarikat, kami akan berusaha sehabis mungkin untuk para pekerja dalam waktu-waktu sukar ini.”
Murni sungguh hati pasangan suami isteri ini yang sentiasa meletakkan kebajikan pekerja mereka sebagai keutamaan. Bukan senang dapat majikan baik macam Mila dan suami.
Mila yang mempunyai tiga cawangan di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Johor Bahru berkata dia sangat bersyukur kerana memiliki pekerja yang memahami. “Saya ada staf lebih 100 orang dan mereka sangat supportive. Pada mulanya, bila saya ajak mereka buat benda baru untuk tambah pendapatan… ada yang tak boleh terima.
Tapi lepas saya motivate dan terangkan kepada mereka tentang situasi syarikat, akhirnya mereka faham. Sebagai majikan saya perlu jelaskan kepada mereka apa back up plan dan kesukaran syarikat. Bila mereka juga sehaluan, senang untuk kami guide mereka dan sebagainya.
Handle business during PKP memerlukan kesabaran dan kreativiti. Perlu membuat banyak perancangan untuk memastikan perniagaan dapat bernafas. Selain itu, perlu bersedia menceburkan diri dalam bidang yang baharu yang bersesuaian dengan situasi PKP ini.”
Tidak lagi aktif dalam dunia nyanyian, Mila mendedahkan dia pernah dikritik individu tidak bertanggungjawab yang kurang senang melihat perniagaannya hari ini. Enggan menyimpan dendam, ibu kepada seorang cahaya mata ini menyifatkan perkara yang berlaku tersebut adalah asam garam buat dirinya sebagai usahawan.
“Saya ikhlas berniaga kerana Allah. Ini ikhtiar yang kami lakukan dalam kesinambungan kami untuk memastikan para pekerja kami kekal punya pekerjaan dan gaji. Saya memang dah lama tak menyanyi. Bukan sebab tak laku tapi sebab Allah tak izinkan.
Jadi manusia penuh dengan kasih sayang bantu-membantu sesama kita. Tak boleh bantu sahabat-sahabat kita secara wang ringgit, bantu secara kudrat. Andai kudrat pun tak mampu, bantu secara sokongan moral. Saya bersyukur walaupun tak laku dalam dunia seni saya yakin perancangan Allah Maha Hebat. Ada sebab musabab ia berlaku. Hampir setahun Allah uji kami insan-insan yang berniaga. Tapi kami tak akan pernah putus harap sebab kami yakin perancangan Allah Maha Hebat.”
Selain perniagaan Nasi Arab BIZMILLA, difahamkan salah satu cabang bisnes Mila iaitu CakesMilla turut semakin mendapat sambutan luar biasa penggemar manisan. Idea menguruskan bisnes ini tercetus sejak April lalu yang kini telah pun mempunyai sebuah lori untuk memudahkan proses penghantaran.
“Alhamdulillah, bisnes CakesMilla ini juga ilham yang Allah hadirkan di saat perniagaan saya terkesan pada April 2020 yang lalu. Kami membuka Cakesmilla menggunakan team chef pastri Bizmilla. Alhamdulillah sambutan yang diterima pun sangat menggalakkan.”
Nona tumpang bangga dan terinspirasi dengan kegigihan Mila menguruskan empayar. Ternyata, bukan mudah untuk berjaya tapi Mila membuktikan kejayaan dapat digapai jika tidak berputus asa dan percaya akan rezeki yang dikurniakan Allah. Moga terus sukses!
Kredit foto : Instagram Mila Jirin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan ketika berusia 19 tahun, Nurulain Syahirah Mat Hasmuni yang kini mencecah usia 31 tahun kian matang bersama pengalaman. Bidang kecantikan menjadi pilihan usahawan cantik ini dalam membangunkan empayar perniagaan miliknya. Mesra disapa sebagai Syahirah, wanita berstatus isteri dan ibu ini bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga berniaga.
“Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana. Sejak kecil saya memang sudah diajar tentang perniagaan. Mak ayah berniaga pakaian. Saya juga bermula dengan berniaga pakaian selama dua tahun. Saya kumpul duit dan bila ada sedikit modal saya jadi ejen jual produk kosmetik. Ketika itu saya masih belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu.
“Pada 2014 saya keluarkan produk kesihatan sendiri iaitu suplemen untuk kulit. Tahun 2020 saya berkahwin dan selepas itu saya focus kepada produk penjagaan kulit. Pada 2021 barulah saya keluarkan RISSA Skin. Sekarang sudah mencecah tiga tahun jenama ini di pasaran.
“Mungkin kerana saya datang daripada keluarga usahawan dan sejak kecil sudah didedahkan dengan selok belok perniagaan maka business is the best for me. Saya pula seorang yang berdikari dan tidak suka bekerja dengan orang. Dengan berniaga saya boleh uruskan masa sendiri dengan lebih fleksibel. Saya boleh rancang dan tentukan sendiri apa yang saya ingin lakukan dengan tenang,” ujar penerima Nona Superwoman Award 2024 kategori Best Halal Skincare ini.
“Detik paling mencabar sepanjang 12 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan ialah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Banyak cabaran yang harus ditempuhi. Selama ini kita sudah biasa dengan offline tetapi setelah COVID-19 melanda segalanya mula berubah. Sambutan terhadap offline semakin kurang kerana semuanya bergantung kepada online.
“Saya lancarkan RISSA Skin pun di studio. Kami kumpulkan semua ejen secara maya dan buat sesi live. Realitinya ketika itu mereka di rumah sahaja tetapi kita buat live di studio maka nampaklah semua ejen melalui panggilan video. Agak struggle jugalah waktu itu namun saya tidak putus asa. Selepas PKP semuanya sudah bertukar kepada online. Saya juga sentiasa belajar untuk mantapkan lagi kemahiran online.”
RISSA Skin adalah salah satu produ terawal yang bermula dengan online semasaq PKP. RISSA Skin dihasilkan khusus buat wanita yang ingin kelihatan cantik. RISSA Skin turut mempunyai pelbagai rangkaian produk suplemen untuk golongan remaja dan produk penjagaan wajah untuk yang sudah berusia.
“Saya bermula dengan menjual suplemen. Apabila sudah berkahwin, terjebak pula dengan produk kecantikan kerana suami adalah usahawan produk penjagaan wajah. Berbekalkan pengalaman saya dan suami maka tercetuslah RISSA Skin. Alhamdulillah dapat bertahan sampai ke hari ini.”
Tambah Syahirah lagi, dalam perniagaan detik jatuh bangun itu adalah lumrah. Pasti akan ada suara-suara sumbang dan persepsi negatif yang boleh melemahkan semangat seseorang.
“Mesti kita akan rasa down lebih-lebih lagi kalua kata-kata sinis itu datang daripada orang-orang terdekat atau yang kita kenal. Kalau tidak kenal, tiada masalah sangat sebab boleh diabaikan sahaja. Cara saya, down sekejap sahaja tak boleh lama-lama. Kalau down lama-lama tiada siapa pun boleh bantu. Ingat semula kata-kata mereka dan jadikannya pembakar semangat. Buktikan apa yang mereka katakana itu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.”
KEISTIMEWAAN
Sebagai pengasas, pastinya Syahirah mahu memberikan produk yang terbaik buat para pelanggannya.
“RISSA Skin menggunakan teknologi terbaharu di Malaysia iaitu ampoule. Sekarang ini di Malaysia tidak banyak produk penjagaan wajah yang boleh keluarkan ampoule. Kami sendiri pernah melawat kilang dan mesin yang menghasilkan ampoule. Memang tidak sama dengan item-item lain. Penyerapannya dua ke tiga kali lebih berkesan daripada produk-produk yang lain.
“RISSA Skin turut berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memiliki pengesahan ujian makmal daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk semua rangkaian produk RISSA Skin termasuklah suplemen. Kita sudah hantar semuanya ke ujian makmal SIRIM untuk membuktikan produk-produk tersebut selamat digunakan dan halal. Produl RISSA Skin diproses di kilang berstatus halal. Ia boleh digunakan tanpa was-was.”
Sepanjang tiga tahun berada di pasaran, apa yang paling membanggakan Syahirah daripada pencapaian ialah RISSA Skin berjaya menjadi salah satu top brand di platform TikTok. Terdahulu,RISSA Skin perlu bersaing dengan jenama-jenama besar yang ada di platform tersebut.
“Kami berkembang pantas di TikTok. Dalam tempoh tiga bulan sahaja kami berjaya meraih jualan sebanyak satu juta. Hanya berniaga di beg kuning dan alhamdulillah kekal sampai sekarang. Selain di Malaysia, RISSA Skin turut mendapat sambutan yang sangat baik di Brunei dan Singapura. Akan datang Indonesia pula.
“Saya berpegang kepada prinsip, apa jua yang dilakukan mesti sampai jadi. Jika diimbau semula, kami bermula pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika itu agak struggle kerana tidak semua percaya kepada produk online sebelum ini. Jadi, kami try and error, cuba lagi dan lagi sampailah ke tahap sekarang. Usah pernah berputus asa.”
Dikurniakan suami yang berpengalamann lebih 10 tahun dalam dunia perniagaan memberi kelebihan kepada Syahirah untuk menjadi seorang usahawan yang terbaik.
“Suami adalah sumber inspirasi dan kekuatan saya. Beliau ada pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang penjagaan kulit. Segalanya saya serah kepada suami. Kami juga sering bertukar-tukar idea dan berbincang mengenai perancangan perniagaan. Dalam syarikat kami ada tanggungjawab masing-masing. Saya menjaga bahagian pemasaran manakala suami menjaga bahagian pengurusan, tempahan stok dan lain-lain.”
Dalam bidang perniagaan, Syahirah amat mengagumi Bonda Rozita kerana baginya usahawan terkenal itu seorang yang berbeza. Apa yang dikaguminya ialah dia bangga dengan Bonda Rozita yang sukses sebagai usahawan kosmetik dan kini bergelar pengusaha resort pula. Syahirah sangat bangga dengan Bonda Rozita yang dianggap sebagai seorang usahawan Bumiputera yang berani, bijak, berjaya dan kaya.
Mengakiri perbualan, Syahirah menitipkan nasihat ringkas buat wanita yang ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
“Ia bukanlah semudah yang disangka. Banyak liku-liku yang yang perlu dihadapi. Paling penting mental kena kuat sebab dalam perniagaan macam-macam perkara boleh berlaku termasuklah kecaman. Jadi diri sendiri, jangan fikir apa orang cakap. Sebab jatuh bangun kita, diri sendiri juga yang kena bangkit. Bekerjalah dalam keadaan seronok dan ikhlas tanpa rasa terpaksa.
“Dalam hidup ini kita tak boleh mudah berputus asa. Apa pun ujian mahupun cabaran yang berlaku teruslah melakukan yang terbaik. Orang boleh menghukum dan bercakap macam-macam tetapi kita tahu diri kita bagaimana. Jadi, buat yang terbaik untuk sesuatu perkara yang kita suka.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.