Anak imigran dan tak selesai pengajian, kini Lucy Guo tersenarai sebagai antara wanita termuda dalam senarai America’s Richest Self-Made Women pada usia 30 tahun!
Luar biasa kisah wanita kelahiran Amerika berdarah Cina ini. Beliau membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya datang daripada latar belakang akademik yang sempurna. Walaupun tak selesai pengajian, Lucy kini berjaya mencipta empayar teknologi dan bergelar bilionair hasil usaha sendiri.
Lucy Guo dilahirkan pada 14 Oktober 1994 di Fremont, California. Gadis usia 30 ini merupakan anak kepada pasangan imigran dari China yang bekerja sebagai jurutera elektrik.
Sejak kecil, Lucy menunjukkan minat mendalam dalam bidang teknologi, mula belajar pengaturcaraan seawal darjah dua. Ketika remaja, beliau menjana pendapatan dengan mencipta bot untuk permainan dalam talian seperti Neopets dan menjual aset dalam permainan tersebut.
Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Komputer di Carnegie Mellon University, namun memilih untuk berhenti pada tahun 2014 selepas menerima Thiel Fellowship, yang memberikan dana sebanyak $100,000 kepada belia untuk mengejar projek keusahawanan.
Kerjaya awal Lucy merangkumi latihan industri di Facebook dan peranan sebagai pereka wanita pertama di Snapchat, di mana beliau membantu membangunkan ciri Snap Maps.
Ads
Kemudian, beliau menyertai Quora dan bertemu dengan Alexandr Wang. Pada tahun 2016, mereka bersama-sama menubuhkan Scale AI, syarikat yang menyediakan data berlabel untuk aplikasi kecerdasan buatan.
Lucy bertanggungjawab dalam operasi dan reka bentuk produk. Namun, pada tahun 2018, beliau meninggalkan syarikat tersebut selepas perbezaan pendapat dengan Wang, tetapi mengekalkan pegangan saham hampir 5%, yang kini bernilai lebih $1.2 bilion atau RM5.88 bilion.
Anak imigran dan tak selesai pengajian, kini Lucy Guo tersenarai sebagai antara wanita termuda dalam senarai America’s Richest Self-Made Women pada usia 30 tahun!
Selepas meninggalkan Scale AI, Lucy menubuhkan Backend Capital pada tahun 2019, sebuah firma modal teroka yang memberi tumpuan kepada pelaburan dalam syarikat permulaan teknologi.
Pada tahun 2022, beliau melancarkan Passes, sebuah platform yang membolehkan pencipta kandungan berhubung dengan peminat mereka melalui langganan berbayar. Passes berjaya menarik pelaburan sebanyak $40 juta dalam pusingan pembiayaan Siri A pada tahun 2024.
Berdasarkan Forbes, kehidupan peribadi Lucy mencerminkan gabungan kerja keras dan keseronokan. Beliau menetap di Los Angeles dan dikenali dengan gaya hidup aktif, termasuk rutin senaman harian di Barry’s Bootcamp dan minat dalam muzik, seperti menghadiri festival Coachella.
Beliau juga dikenali sebagai seorang yang berdisiplin, sering berkongsi pencapaian senamannya di media sosial.
Dengan kekayaan dianggarkan sebanyak $1.25 bilion pada tahun 2025, Lucy Guo menjadi wanita termuda yang mencapai status bilionair hasil usaha sendiri, mengatasi Taylor Swift. Kisahnya menjadi inspirasi kepada ramai, terutama wanita muda yang bercita-cita dalam bidang teknologi dan keusahawanan.
Kemenangan qariah Malaysia, Nor Farhatul Fairuzah Panut dalam pertandingan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) pada Sabtu lalu nyata satu kejayaan membanggakan bagi seluruh rakyat Malaysia. Pencapaian luar biasa yang diraih Farha itu bukan saja mencipta sejarah selaku peserta termuda yang menyertai majlis berkenaan… bahkan dia juga merupakan qariah termuda yang memenangi pertandingan berkelas antarabangsa tersebut pada usia 19 tahun.
Memungut kutipan markah tertinggi 87.05 peratus dalam MTHQA, Farha tidak sekadar berjaya mengatasi markah 86.67 peratus ketika menjuarai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan, Mac lalu. Sebaliknya, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini juga menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah masing-masing 84.88 peratus dan 80.46 peratus.
Berpeluang menemu bual Farha sebelum pertandingan berlangsung, anak bongsu ini mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Ada saja masa terluang, dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya. “Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.
Mendengar pengakuan anak tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin yang juga ibu kepada Farha lantas membongkar rahsia tentang kelakuan anak kesayangannya. “Dekat sekolah dia selalu telefon saya dan beritahu nak balik rumah sebab nak tarannum. Bila saya minta dia tarannum je dekat sekolah, dia tak mahu. Katanya rasa macam tak puas… tak lepas. Memang dia nak balik rumah juga.
Jadi, dah sampai je rumah dia akan tarannum puas-puas. Sambil buat kerja pun dia akan tarannum dan hafal surah dengan lenggok lagu yang dia suka. Sampai sekarang, bila semua adik-beradik balik rumah… mereka akan berkumpul dan mengaji bersama-sama.”
MashaAllah, bagusnya didikan Hajah Jaliah dan Allahyarham Haji Panut Haji Markum! Kelima-lima anak mereka bagai sudah sebati dengan Al-Quran dan telah diasuh mencintai kitab suci sejak kecil. Hasilnya, kesemua adik-beradik Farha aktif menyertai pelbagai pertandingan tilawah Al-Quran dan salah seorang kakaknya, Nor Faizah Panut merupakan naib juara Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan yang lalu.
Kongsi Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah.
Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.
Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya.
Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.”
Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70, 000, piala iringan dan wang tunai RM40, 000. Turut mencipta rekod cemerlang ialah Qari Malaysia iaitu Abdul Khair Jalil yang menjadi Johan Qari dalam pertandingan sama. Moga kejayaan mereka berdua dapat menggalakkan lebih ramai generasi muda mendalami Al-Quran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidak ramai gadis seusianya mampu menggalas tanggungjawab yang besar dan berdepan dengan kritikan saban hari daripada pelbagai pihak. Biarpun punya pilihan kerjaya yang lebih sepadan dengan usianya, namun gadis yang dilahirkan pada 29 Disember 1987, Dyana Sofya Mohd Daud selesa dan komited terhadap kerjaya politik yang diceburi. Beliau bukan hanya seorang gadis yang memiliki rupa paras cantik, malah seorang yang berilmu. Maka, tidak hairanlah anak jati Perak ini berjaya menawan hati sebilangan masyarakat di negara ini.
Latar belakang pendidikan
Saya merupakan salah seorang pelajar di Sekolah Menengah Taman Melawati, Kuala Lumpur. Selepas tamat persekolahan di Tingkatan Lima, saya menyambung pengajian Pra Ijazah Undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Kemudian, saya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di universiti yang sama.
Karier dan pengalaman
Sejurus selepas tamat pengajian, saya telah menjadi pelatih dalam kamar di sebuah firma guaman di Bukit Bintang selama 9 bulan. Itu adalah kerjaya pertama saya selepas graduasi sekitar pada tahun 2010. Sejak dari kecil saya telah didedahkan dengan dunia politik dan kerana minat, saya menjadi Setiausaha Politik bagi Ahli Parlimen di Gelang Patah. Sepanjang memegang jawatan tersebut, saya bertindak untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat tempatan, membuat usul dan menasihati wakil rakyat tempatan berkaitan kebajikan rakyat. Dalam masa yang sama, saya juga adalah peguam di firma guaman Cyberjaya dari tahun 2012 hingga penghujung 2013.
Kekuatan anda terletak pada …
My passion and determination! Kalau buat sesuatu perlu ada keazaman yang kuat. In my profession, the challenge memang sangat mencabar. Bila-bila pun boleh give up. Tambahan pula, ahli politik perempuan di negara ini tidak ramai. Jadi saya perlu fikirkan kenapa saya memilih ‘jalan’ ini. Tujuannya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. That is what keeps me going. Dengan adanya sokongan dan dorongan daripada orang sekeliling, saya percaya saya mampu merealisasikan impian yang didambakan selama ini.
Filsuf kecantikan?
Sebenarnya saya seorang yang ringkas. Untuk solekan harian, saya hanya mengenakan solekan asas seperti bedak, maskara, eye brow dan lipstik merah sahaja. Bagi memastikan kesihatan tubuh pula, saya mengambil supplemen B Complex dan menikmati khasiat ulam-ulaman. Sedari kecil lagi, ibu saya menggalakkan pengambilan ulam-ulaman. Hendak dapatkan tubuh badan yang sihat dan langsing perlukan disiplin dan keazaman yang kuat. Jadi saya akan pastikan untuk lakukan senaman setiap dua hari sekali.
Cara anda menghargai diri
Shopping, food and eat chocolate all the time! Kebiasaannya saya gemar membeli baju dan buku tiap 2 ke 3 bulan sekali. Terbaru, saya sudah membeli 4 buah buku, tulisan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman. Walaupun jadual saya padat dengan pelbagai program, namun saya akan pastikan untuk mengisi masa yang terluang biarpun hanya dalam tempoh yang singkat untuk beriadah bersama keluarga. Kalau terpaksa bertugas di luar negeri atau negara pula, saya akan pastikan masa yang ada dimanfaatkan untuk diri sebaiknya dengan bercuti sambil bekerja mahupun membeli-belah.
Definisi kecantikan?
Kecantikan datang dari dalam. Misalnya seperti cara kita berfikir, percakapan dan pelakuan. Apabila personaliti seseorang itu baik dan disenangi, pastinya ia menjadi daya tarikan. Bagi saya, orang yang pandai itu adalah seksi, terutamanya apabila mereka pandai berkata-kata. When you’re beautiful inside, kecantikan itu akan terpancar ke luar. Kecantikan juga boleh datang daripada senyuman. Senyuman yang ikhlas mampu menyerlahkan kecantikan seseorang. Paling penting, it must come from your heart.
5 pelajaran berharga menceburi politik
Pertama, sentiasa kuat fizikal, mental dan emosi atau dalam erti kata lain bersedia menghadapi apa jua cabaran. Kita tidak dapat duga apa yang bakal berlaku. Oleh itu, perlu ada perancangan yang teliti.
Kedua, tahu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan situasi.
Ketiga, bersifat terbuka untuk berdepan dengan kritikan daripada pelbagai pihak.
Keempat, pengurusan waktu. Saya suka buat dua tiga kerja dalam satu-satu masa. Jadi, saya perlu bijak menguruskan masa yang ada dan saya percaya pengurusan waktu yang baik dapat memberi kejayaan dan mencapai potensi maksima.
Dan kelima, perlu ada rasa hormat. Bukan hanya hormat pada individu bahkan pada pandangan yang dikemukakan juga samada baik mahupun buruk sebab semua orang berhak untuk bersuara.
Jika anda seorang lelaki, siapakah anda?
Saya tidak mampu menjadi seperti lelaki terhebat yang ada di muka bumi ini. Seperti ungkapan Oscar Wilde, “Be yourself. Everyone else is already taken”. Tapi saya amat mengagumi tokoh negarawan yang juga Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman, a true Malaysian. Karisma yang dimiliki beliau, berpendirian teguh dan semangat kekitaan yang ditonjolkan melambangkan seorang pemimpin berkaliber. Walaupun mempunyai tanggungjawab yang berat dan kerjaya yang serious, Tunku adalah seorang yang periang dan cintakan kehidupan.
Tip fesyen
Keselesaan itu penting. Ikut kesesuaian dan mood untuk berfesyen. Yang penting, kena sesuai dengan bentuk badan. Adakalanya, saya gemarkan gaya grungy dengan memakai jeans, t-shirt and sneakers. Kadang kala juga saya suka untuk bergaya feminin dengan memakai gaun klasik dan kasut tumit tinggi. Pendek kata, saya suka melihat fesyen yang dipakai Kate Middleton. Cukup anggun dan menawan.
Pada pandangan anda, siapakah perempuan yang patut dikatakan sebagai strong woman?
My mother. She has gone through so much. Biarpun terlibat dalam dunia politik sejak berpuluh tahun dahulu dan mempunyai anak yang berlainan ideologi politik, tetapi beliau tenang menghadapi cabaran dan kritikan. Ibu saya seorang yang berkarisma, easy to talk to, open minded and supportive. Beliau yang mengajar dan menyokong saya untuk terlibat dalam bidang politik. Cara beliau menjaga kami empat beradik dengan kesibukan dan pancaroba dunia politik membuatkan saya kagum. Beliau merupakan satu inspirasi kepada saya.
Gambarkan diri anda pada masa hadapan
Seorang wanita yang dapat memberi inspirasi kepada orang muda terutama wanita untuk ambil bahagian dalam pembangunan negara bangsa. Saya juga berharap pada masa depan, saya dapat berada dalam satu gerakan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu-padu, mempunyai semangat perpaduan yang tinggi dan mengungguli carta negara paling gembira dan bahagia yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
3 kata yang menggambarkan keperibadian anda
Determined, positive and eager to learn.
Dyana Sofea pernah menghiasi ruangan Generasi Y Majalah Nona pada Oktober 2014. Meskipun tidak bertanding untuk mana-mana kerusi Dun dan Parlimen pada PRU lepas, namun ahli politik muda ini tetap setia berkhidmat untuk rakyat dan aktif turun padang membela nasib semua lapisan masyarakat termasuk kaum wanita. Selamat maju jaya, Dyana!
Sumber foto: Instagram Dyana Sofya
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama anak jati Sarawak, Dayang Nur’ Maisarah Abang Abdul Razak kini menjadi sebutan ramai sekaligus mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Tokoh Belia Harapan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M baru-baru ini.
Dayang Nur’ Maisarah menerima anugerah berprestij itu bersama barisan penerima yang juga bukan calang-calang antaranya Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; usahawan dan pencipta kandungan terkenal Khairul Aming; pelakon Ardini Angeline Tan; dan CEO Wau Animation Sdn Bhd Usamah Zaid Yasin.
Dayang Nur’ Maisarah menamatkan pengajian dalam bidang Perundangan Islam di Universiti Melaka dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang di Universiti Islam Selangor (UIS).
Kini pada usia 27 tahun selain bergelar isteri, Dayang Nur’ Maisarah punya kerjaya hebat sebagai Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) kepada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam).
Satu kelebihan buat Dayang Nur’ Maisarah apabila menggalas peranan tersebut yang membolehkannya mendekati masyarakat khususnya golongan belia.
Perjalanan kerjaya Dayang Nur’ Maisarah tidak pernah sunyi daripada pencapaian yang membanggakan. Beliau aktif mengetuai pelbagai aktiviti memperkasa belia Islam dan menjadi inspirasi kepada generasi muda.
Antara pengiktirafan yang pernah diterima oleh Dayang Nur’ Maisarah ialah Anugerah Maal Hijrah Kategori Belia (2023) oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Kebangsaan (2021) daripada mantan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Mahiaddin Yassin; Anugerah Ikon Varsiti (Above and Beyond) Youth Award (2021); Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Negeri Sarawak (2020); dan Anugerah Ikon Belia Sarawak (2019).
Bagi Dayang Nur’ Maisarah, anugerah berprestij itu bukan sekadar pengiktirafan peribadi sebaliknya amanah besar untuk terus berperanan sebagai duta kecil generasi muda.
“Saya bukan hanya memikul amanah sebagai seorang belia, tetapi juga sebagai anak Sarawak yang menerima penghormatan ini. Harapan saya bukan untuk berhenti di sini, tetapi terus bangkit dan menjadi benih yang baik ke mana sahaja dihantar, tetap memberi manfaat kepada orang di sekeliling,” katanya pada sidang media Anugerah Maulidur Rasul SAW 2025.
Dayang Nur’ Maisarah turut menegaskan usia muda harus dimanfaatkan sepenuhnya kerana ia tidak akan berulang.
“Saya berpegang dengan kata-kata, hidup biarlah berjasa. Kalau hidup sekadar hidup, kerja di hutan juga hidup. Maka setiap hela nafas mesti memberi manfaat kepada orang lain.”
Beliau turut menyeru belia agar bangkit menjadi agen perubahan demi masa depan negara.
“Gunakan kekuatan yang ada, ambil panduan daripada pengalaman orang tua. Jadilah penyumbang kepada perubahan. Walau sekecil-kecil perubahan, ia mampu memberi impak besar. Matlamat kita ialah melahirkan khairul ummah, sebaik-baik umat.”
Dayang Nur’ Maisarah aktif memperjuangkan suara generasi muda di Sarawak, mempromosikan perpaduan dan menggalakkan penglibatan belia dalam pembangunan negara melalui pelbagai platform termasuk media sosial.
Sumber: TVS
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.