Rezeki tak pernah salah alamat. Begitulah takdir penyumbang pingat emas pertama untuk Filipina di Sukan Olimpik Tokyo 2020, atlet angkat berat wanita bernama Hidilyn Francisco Diaz ini bakal meraih pelbagai hadiah lumayan sekembalinya ke tanah air nanti.
Rezeki tak pernah salah alamat. Begitulah takdir penyumbang pingat emas pertama untuk Filipina di Sukan Olimpik Tokyo 2020, atlet angkat berat wanita bernama Hidilyn Diaz ini bakal meraih pelbagai hadiah lumayan sekembalinya ke tanah air tak lama lagi.
Berusia 30 tahun dan bertugas sebagai anggota Tentera Udara Filipina, kemenangan Diaz melalui acara angkat berat wanita kategori 55 kilogram (kg) dengan catatan keseluruhan 224kg yang dilakukannya juga mencatat rekod baharu Olimpik.
Foto: Stadium Astro
Kejayaan tersebut cukup membuatkan kerajaan dan warga Filipina tersenyum bangga. Diaz merupakan anggota Tentera Udara Filipina dan anak kepada pengayuh beca dari sebuah kampung berhampiran pelabuhan Zamboanga, di selatan Mindanao.
Sebagai ganjaran, Diaz bakal menerima wang sebanyak 35.5 juta Peso (RM2.98 juta) tajaan kerajaan Filipina, kerajaan tempatan Zamboanga dan ahli perniagaan di sana.
Bukan itu sahaja, anak kepada pengayuh beca tersebut juga bakal menerima seunit kondominium bernilai 14 juta Peso (RM1.18 juta), satu lot tanah, rumah dan hadiah mewah sampingan lain.
Ads
Bersama ibu bapa Hidilyn Diaz
Memetik laporan portal Rappler pihak Air Asia Filipina turut menaja penerbangan percuma sepanjang hayat kepada Diaz sebagai penghargaan atas pencapaiannya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Menerusi penerbangan percuma berkenaan Diaz berpeluang mengunjungi lebih 140 destinasi yang dihubungkan Air Asia antaranya Asia, Australia, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.
BERLATIH DI MELAKA
Kejayaan ini tidak hadir dengan mudah. Diaz terpaksa melalui pelbagai dugaan menjelang Tokyo 2020. Antaranya terkandas di Malaysia berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19.
Ads
Lebih menarik, Diaz difahamkan mula menetap sementara di Malaysia sejak Februari. Beliau telah menjalani latihan di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Kampung Kesang, Jasin, Melaka.
Ads
Ini disebabkan jurulatihnya, Gao Kaiwen dari China berpendapat adalah lebih baik beliau berlatih di Malaysia bagi memberikan tumpuan sepenuhnya untuk layak ke temasya sukan terbabit.
Bahkan, atlet wanita berkenaan juga menerima suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia.
Disebabkan gimnasium di Kuala Lumpur ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka Diaz dan pasukan berpindah pula ke rumah salah seorang pegawai persatuan angkat berat Malaysia di Jasin.
Pada awalnya beliau berlatih di gimnasium berhampiran, tetapi selepas larangan pergerakan diperketatkan lalu peralatan latihan terpaksa disusun di tempat letak kereta atau garaj rumah tersebut.
Memetik laporan Astro Arena, Diaz menzahirkan penghargaan buat mereka terlibat terutamanya kepada pemilik kediaman yang menyediakan tempat tinggal.
“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana menghantar saya ke Malaysia untuk berlatih dengan baik.
Saya berterima kasih kepada orang di Jasin, Melaka yang memberikan saya tempat tinggal dan ‘gimnasium’ (garaj dijadikan tempat latihan) ketika saya berada dalam kegusaran tidak tahu untuk ke mana.” Hidilyn Diaz
Semoga semangat dipamerkan Diaz menyuntik inspirasi agar kita tidak mudah putus asa walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dalam memburu impian.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Allah sebaik-baik perancang. Itu yang Nona dapat dirumuskan apabila seringkali mendengar rintihan dan luahan pasangan suami isteri yang kecewa kerana masih belum dikurniakan cahaya mata walaupun sudah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga. Bukan tidak ada sebarang usaha yang dilakukan untuk mendapatkan anak, ke sana ke sini mencari ikhtiar dan mendapatkan rawatan.
Itu lah yang dilalui oleh Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina, 38 yang masih belum dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh,33 sejak 7 tahun lalu. Mizz Nina percaya bahawa tidak semestinya tidak dikurniakan zuriat, seseorang itu tidak boleh menikmati kebahagiaan. Tambahan pula, Nina dikurniakan dengan suami yang sangat romantik, penyayang dan menerima dirinya seadanya.
Walau bagaimanapun, Mizz Nina dan Noh tidak pernah berputus asa untuk menimang cahaya mata sehingga pernah melakukan rawatan In Vitro Fertilization (IVF) dan sebelum itu mereka juga pernah cuba menjalani kaedah Intra Uterine Insemination (IUI) sejak beberapa tahun lalu. Pengalaman melalui dua kaedah rawatan ini diceritakan sendiri oleh Nina dalam satu video khas yang dimuat naik di laman youtube miliknya sekitar Mac lalu.
Masa berdua digunakan sepenuhnya oleh pasangan romantis ini dengan bergiat aktif dalam misi kemanusiaan. Sebelum ini mereka pernah menjejakkan kaki ke bumi Palastin dan terbaharu Nina bersama Noh akan berangkat ke Turki pada 26 Ogos dalam misi kemanusian tersebut sempena Aidiladha. Masa belum ada anak ini lah Nina boleh meluangkan masa bersama suami dan masih boleh berada dalam mood honeymoon lagi.
Ternyata kemesraan yang dipancarkan oleh sweet couple ini menjadi inspirasi untuk pasangan suami isteri lain untuk sentiasa menghargai pasangan masing-masing walau apapun kekurangannya. Lebih-lebih lagi tentang penghijrahan luar biasa Nina dan apabila mereka bersama-sama berubah menjadi muslim yang lebih baik. Kalau tengok Mizz Nina yang dulu dan Mizz Nina sekarang memang jauh berbeza sekali. Jelas, apa yang dikejar dalam kehidupannya sekarang hanyalah kebahagiaan mencari akhirat.
Kisah percintaan mereka juga pernah menjadi viral sebelum ini apabila Noh pernah berkongsi pengalaman yang pada ketika itu hanya mempunyai RM8,000 genap di dalam akaunnya untuk meminang isterinya itu walaupun Nina berasal daripada keluarga yang hebat dan kaya. Terbukti di sini cinta tidak mengenal harta dan darjat serta buatlah semua perkara dengan niat yang baik dan InsyaAllah akan bantu.
Puncuk pangkalnya, kita harus sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah dan sentiasa berfikiran positif. Tak apalah Mizz Nina, InsyaAllah akan ada suatu hari nanti impian kamu untuk menjadi seorang ibu akan tercapai. Nona doakan yang baik-baik saja untuk Mizz Nina dan Noh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jika mungkin wanita lain seusia Datuk Nicol David kini ‘struggle’ membesarkan anak-anak, pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia oleh The World Games ini pula fokus pada generasi pelapisnya. Baru saja menginjak usia 39, bekas ratu skuasy Malaysia terus menyuntik inspirasi sebagai Ketua Jurulatih di Pertubuhan Nicol David (NDO).
“Ini adalah hari jadi paling istimewa untuk saya. Saya bangga dan bersyukur dengan perjalanan baru ini, dapat berbakti dan memberi semula pada kanak-kanak di negara tercinta.
Selepas bertahun-tahun menyambut hari jadi, yang saya ingat hanyalah memenangi kejohanan demi kejohanan serta semua pencapaian terbaik saya dalam sukan (skuasy).
Tapi hari ini sungguh berbeza. Saya teruja melihat wajah-wajah bahagia ‘Little Legends’ saya!” Datuk Nicol Ann David
Dari senyuman dan renung anak matanya, terlihat begitu besar makna tersirat di sebalik usaha yang dijalankan. Bayangkan seorang atlet dunia hebat yang pernah merangkul gelaran Terbuka British pada tahun 2005, 2006 dan 2008 serta gelaran Terbuka Dunia pada tahun 2005,2006, 2008, 2009 dan 2010, sudah tentulah beliau mahu meninggalkan legasi selepas ketiadaannya kelak.
Memasuki fasa kehidupan baru selepas tiga tahun mengumumkan persaraan, Datuk Nicol David kini tampil dengan usaha untuk melahirkan seorang lagi juara dalam sukan skuasy seperti yang pernah dikecapinya ketika bergelar pemain.
Legenda skuasy negara itu bersama bekas pemain Colombia, Mariana de Reyes selaku pengasas bersama menubuhkan Pertubuhan Nicol David dengan fokus melatih kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun yang berminat untuk menceburi sukan berkenaan.
NDO dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Jun.
NDO adalah pertubuhan bukan kerajaan dengan objektif utamanya adalah memperkasakan kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan menerusi sukan dan pendidikan.
Selain menjalani latihan skuasy, NDO turut mengadakan kelas bahasa Inggeris yang dijalankan menerusi kerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat di sini.
Program NDO akan bermula pada 13 Jun ini dengan membabitkan murid-murid daripada empat sekolah di Lembah Klang iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sri Petaling 1 dan 2 serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Bukit Jalil.
Kata beliau ibu bapa hanya perlu membayar serendah RM20 sebulan untuk mendaftarkan anak-anak mereka bagi menyertai program anjuran NDO.
“Saya percaya dengan memberikan peluang ini kepada kanak-kanak di Malaysia, ia mampu untuk mengubah masa depan mereka.
Saya berharap mereka mampu mencapai impian dan menjadi generasi yang memberi insipirasi kepada diri sendiri, keluarga dan komuniti.” Datuk Nicol Ann David
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kanser prostat memberi kesan besar kepada pesakit dan keluarga. Ketahui realiti, rawatan terkini serta panduan praktikal untuk penjaga pesakit kanser prostat.