Jelas terpancar sinar kegembiraan pada raut wajah milik penyanyi era 90an, Arni Nazira apabila anak sulungnya, Puteri Aleeya Antasha berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Ibu dana anak sama-sama cantik!
Lebih membanggakan selain menerima Diploma in Event Management, Puteri Aleeya yang kini berusia 22 tahun turut menjadi penerima Anugerah Akademik di atas kecemerlangannya memperoleh Dean’s List pada setiap semester.
Untuk info, Puteri Aleeya merupakan anak sulung kepada Arni Nazira dan Dato’ Awie. Pasangan ini berkahwin pada tahun 1998 namun bercerai pada tahun 2006.
Menerusi satu video ringkas di Instagram, Arni Nazira yang terkenal dengan lagu berjudul ‘Cinta Antara Benua’ menitipkan rasa syukur dan bangganya sebagai ibu.
“Alhamdulillah dan tahniah Kakak Putri atas konvokesyen tempoh hari. Syukur pada Yang Esa berkat usaha dan ketekunan, Kakak berjaya beroleh ‘Anugerah Akademik’ bagi Diploma in Event Management.
Ads
“Mummy & Daddy doakan moga Kakak dan adik-adik terus berjaya dalam semua bidang yang diceburi.Mudah-mudahan Kakak dan adik-adik terus cemerlang di dunia serta akhirat.
“Insya Allah, Allah sentiasa pelihara dan limpahi rahmatNYA buat Kakak dan anak-anak Mummy.Syukur Ya Allah di atas segala kurnia.”
Sewaktu dihubungi Majalah NONA, Arni berkongsi perasaan sebenar serta momen-momen ketika bertemu anaknya itu di Majlis Konvokesyen MSU ke-30 yang berlangsung pada awal Disember 2022.
Ads
“Saya sampai lewat sikit, lebih kurang dalam tengah hari. Ketika itu majlis konvokesyen pun sudah selesai. Saya dengan anak-anak yang lain ucap tahniah kepada Kakak dan berikannya hadiah serta bunga. Nampak Kakak happy sangat dapat jumpa adik-adiknya.
“Syukur alhamdulillah akhirnya Kakak berjaya menamatkan pengajian selama dua tahun setelah mengharungi pelbagai cabaran.
“Walaupun menjadi pelajar yang sangat aktif di kampus namun Kakak juga seorang yang study hard. Tak pernah sekali pun Kakak mengeluh atau mengadu stress atau penat belajar.
Arni bersama dua puteri kesayangannya iaitu Puteri Aleefa Antasha (kiri) dan Puteri Aleeya Antasha.
“Gembira, bangga bercampur sebak kerana impiannya selama ini nak sambung belajar tercapai. Bila berjaya tamatkan pengajian dengan cemerlang itu yang membuatkan saya bertambah sebak. Kakak memang seorang anak yang kuat semangat.”
Menurut Arni yang kini berusia 44 tahun, Puteri Aleeya seorang anak yang baik, mendengar kata serta menghormati orang lain.
Ads
Arni mengharapkan agar Puteri Aleeya terus komited untuk menimba ilmu setinggi yang boleh. Sebagai ibu dia sentiasa ada dan mendoakan kejayaan anak-anaknya.
“Semoga impiannya untuk menuntut ilmu setinggi yang boleh akan tercapai. Sebagai ibu saya sentiasa mendoakan yang terbaik demi masa depannya termasuk anak-anak yang lain juga. Saya mahu lihat mereka berjaya dan Allah SWT permudahkan segala urusan anak-anak.
Pesan Arni buat Puteri Aleeya: –
“Bila dah berjaya dan ada kerjaya hebat suatu hari nanti, diharapkan Kakak kekalkan sikap merendah diri, jaga solat, jaga akhlak dan taat perintah Allah SWT. Semoga kakak berjaya dunia akhirat serta memberi manfaat kepada orang lain. Paling utama letakkan agama di hadapan barulah kejayaan lain menyusul, InsyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penghidap autisme dari Filipina, Karla Majam diumumkan sebagai Miss UniWorld 2023 dalam Pertandingan Miss UniWorld yang diadakan baru-baru ini di sebuah hotel di ibu kota.
Kredit foto: Instagram @criticalbeautyph
Gadis berusia 17 tahun itu yang berasal dari Santa Rosa, Laguna itu juga turut mencipta rekod sebagai wanita pertama dari Filipina yang memenangi gelaran Miss Uniworld. Karla disarungkan dengan mahkota bergemerlapan Ratu Kilimanjaro selepas panel juri sebulat suara menobatkannya dengan gelaran tersebut.
Pertandingan ini menyaksikan 25 peserta mewakili negara masing-masing berentap bagi merangkul gelaran Miss UniWorld. Dalam pusingan akhir Top 5, Majam berdepan saingan sengit daripada empat rakan pencabarnya dari Turkiye, Jerman, Latvia dan Georgia.
Bagaimanapun ketika sesi soal jawab yang menguji topik isu semasa dan komunikasi peserta, Majam yang juga penghidap autisme ternyata menonjol, memperlihatkan kebijaksanaannya menjawab soalan dengan begitu tenang sekaligus memberi kesan di hati penonton, terutama sekali juri.
Misi pertandingan Miss UniWorld diadakan bagi meningkatkan keunggulan pertandingan ratu dunia itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Walau pun memiliki sedikit ketidakupayaan berbanding peserta-peserta lain, kejelitaan, keanggunan, kepintaran dan ketabahannya sepanjang menyertai pertandingan ini ternyata menambat hati juri sekaligus memutuskan Majam paling layak dipakaikan mahkota Ratu Kilimanjaro. Pada malam itu, Majam menerima hadiah serta wang tunai bernilai RM460,000.
Kredit foto: Instagram @drewfranciscow
“Saya amat berbesar hati menyandang gelaran Miss UniWorld 2023 dan memakai mahkota Ratu Kilimanjaro. Kemenangan ini bukan setakat pencapaian peribadi tetapi lebih besar maknanya. Ia juga menjadi satu janji untuk mengangkat martabat Miss UniWorld dan menawarkan khidmat dalam usaha membawa perubahan positif,” jelasnya menerusi sumber Mstar.
Tahun lalu, Niousha Roohbaksh dari Iran diumumkan sebagai pemenang. “Walaupun didiagnosis secara klinikal menghidap autisme, perjalanan hebat Karla menepis halangan sekaligus membuktikan impian boleh menjadi kenyataan tak kira apa jua dugaan yang mendatang,” kata organisasi Miss Uniworld Filipina dalam satu kenyataan yang disiarkan di Instagram.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mulanya, Nona sendiri tidak percaya wanita korporat yang merupakan ibu kepada salah seorang Finalis Hero Remaja 2017, Muhammad Nuraiman Rayyan Erwazri ini bakal melewati usia 40an. Dari susuk tubuh dan penampilan diri Dato’ Marina Hashim, sedikit pun tidak dimamah usia.
Bahkan, dalam lingkungan usia sebegini dia sudah menerima pengiktirafan tertinggi dan berjaya dalam bidang yang diceburi sehingga dianugerahkan gelaran ‘Dato’. Memang Nona salute cara Dato’ Marina menjaga keterampilan diri dan kariernya.
Tidak sekadar terpesona dengan kecantikan yang dimiliki, Dato’ Marina juga sebenarnya pemilik kepada syarikat MZN Resources. Sebuah perniagaan yang menguruskan perkhidmatan logistik, pembinaan dan pembekal peralatan industri yang berpangkalan di Selangor.
EMPAYAR MZN RESOURCES
Menurut Rayyan, perusahaan ibunya itu turut bekerjasama rapat dengan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Bercerita lanjut tentang perniagaan tersebut, jejaka yang berasal dari Kuala Lumpur ini mengakui ada nilai sentimental yang tersirat dalam MZN Resources.
“Mummy bina syarikat ini atas usahanya sendiri dan atas rasa sayang terhadap anak-anak, dia menamakan syarikat dengan singkatan nama kami enam adik-beradik. M mewakili nama saya dan abang, Muhammad Nuraiman Danish, Z untuk Sheikh Muhammad Zarif dan Zara Hannah sementara N pula diambil sempena nama kakak, Nurin Qistina dan Nurin Amalin.
Masuk tahun ini sudah hampir 10 tahun mummy bekerja sendiri. Dulu, dia pernah berkhidmat dengan MINDEF sebagai kontraktor. Selepas berhenti kerja di sana, mummy ambil keputusan untuk bina syarikat MZN. Memandangkan bebanan kerja kian banyak dan syarikat makin kukuh, dia jarang balik ke rumah sebab selalu ke luar negara.
Pun begitu, mummy tak pernah lupa bertanya khabar dan ambil tahu tentang anak-anak walaupun hanya menerusi telefon. Dia juga tak paksa kami untuk terus bekerja di syarikat selepas tamat pengajian. Bagi mummy, dia sokong apa jua pekerjaan anak-anak sebab dia tahu kerja yang dilakukan sekarang sangat mencabar. Tak mungkin anak-anak dapat usahakan MZN tanpa minat mendalam seperti mummy,” terangnya bersungguh.
PEKA TERHADAP PENJAGAAN DIRI
Cuba menyelongkar rejim kecantikan yang dipraktikkan Dato’ Marina, Rayyan menyifatkan ibunya seorang wanita yang cukup mementingkan soal penjagaan diri. Tambahnya, kecenderungan Dato’ Marina terhadap penampilan diri kian menebal sejak kebelakangan ini.
“Memang mummy sangat jaga bab kecantikan diri. Dari apa yang saya nampak, seawal jam 6 pagi lagi make up artist sudah datang ke rumah untuk mekap dan buat rambut mummy. Selesai saja semuanya, mummy akan bergegas ke tempat kerja. Cuma baru-baru ini dia lebih fokus tentang berat badan dan akan nikmati makan malam pada lewat petang.
Sudahnya, kami semua kena ikut mummy dinner pukul 6 petang. Selain itu, dia juga akan buat aktiviti cross fit di rumah dengan personel trainer. Mummy bukan saja cantik dan sihat secara luaran tapi juga dalaman.
Meskipun sibuk bekerja, dia tetap didik dan besarkan kami adik-beradik sama seperti orang lain. Malah, banyak ajar saya tentang erti hidup, berdikari, adab ketika bercakap dengan orang yang lebih tua dan beri ruang kebebasan kepada anak-anak yang dalam masa sama tetap mengawasi gerak-geri kami. Dialah ibu, rakan karib dan insan teristimewa dalam hidup saya,” puji Rayyan sambil bersyukur kerana dikurniakan ibu sehebat Dato’ Marina.SUZIANAABUDAUD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bulan Syawal adalah bulan sangat yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan tersebut adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal yang wajar diraikan dengan rasa penuh kesyukuran.
Apatah lagi apabila dapat berkumpul bersama keluarga, ia merupakan momen yang menjadi kenangan sepanjang hayat .Kebahagiaan jelas tergambar di saat masing-masing mula berkongsi pengalaman yang sentiasa segar dalam kotak ingatan.
Bagi pasangan kembar, Nik Aidil Maria Datuk Haji Nik Sapeia dan Nik Aidil Marina Datuk Haji Nik Sapeia, Aidilfitri merupakan momen indah dalam lipatan kisah hidup mereka memandangkan pasangan kembar ini dilahirkan pada tanggal 1 Syawal.
“Sudah tentu setiap kali tibanya Syawal ia merupakan tarikh yang istimewa di hati kami. Kebetulan kami dilahirkan pada pagi 1 Syawal. Jadi, setiap tahun semasa kecil setiap kali tibanya 1 syawal kami akan menyambut harijadi kami mengikut kalendar Islaim. Dalam erti kata lain, kami menyambut tarikh lahir buat kali kedua selain dari tarikh lahir sebenar kami,” ujar Nik Aidil Maria mewakili kembarnya yang mengiyakan perbualan bersama penulis.
Tambah Nik Marina pula, lebih istimewa bapa tersayang, Datuk Haji Nik Sapeia Nik Yusoff mengabadikan perkataan Aidil pada nama mereka bagi menunjukkan sinonim kelahiran pasangan kembar ini di pagi sambutan 1 Syawal.
“Bayangkan semasa kecil kami sering berpakaian sedondon dan menyambut kedatangan 1 Syawal dengan meriah apatah lagi kami dilahirkan pada tanggal satu Syawal, di mana setiap umah Islam menyambut kemenangan setelah selesai melakukan ibadat berpuasa selama sebulan.
Semasa zaman kanak-kanak, kami sering berpakaian sedondon cuma berlainan warna sahaja. Tetapi apabila semakin meningkat remaja, kami sudah mempunyai sense of fashion tersendiri dan sudah tidak menyambut hari jadi di pagi Syawal,” ujar Nik Marina sambil mengimbas keistimewaan tarikh satu Syawal bagi diri mereka.
Walaupun memori itu sudah lebih 10 tahun berlalu, zaman kanak-kanak menjadi saat terindah dan tidak mungkin dilupakan kerana tradisi yang dilakukan ketika itu sudah ditelan zaman.
Memandangkan pasangan kembar ini sudah mempunyai keluarga masing-masing, pastinya ketibaan Syawal amat dinanti-nantikan bagi membolehkan keluarga besar ini berkumpul dan meraikan Syawal dalam suasana yang harmoni dan penuh keberkatan.
Bagi Nik Marina, kebiasannya apabila menjelang satu Syawal, semua ahli keluarga akan berkumpul lebih awal bagi menyambut kedatangan bulan Syawal yang mulia. Tambah Marina lagi, seperti keluarga lain, kediaman keluarga yang terletak di Pasir Tumboh, Kota Bharu menjadi lokasi untuk kaum keluarga dan sahabat handai berkumpul dan menziarahi antara satu sama lain.
“Setiap keluarga pastinya mempunyai cara tersendiri menyambut kedatangan bulan kemenangan bagi umat Islam. Menyentuh tradisi keluarga, selepas selesai menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, kami sekeluarga akan berkumpul dan sesi bermaaf-maafan mula mengambil tempat. Saat begini pastinya terbit rasa syahdu apabila masing-masing saling meminta dan memberi kemaafan. Tetapi ia adalah momen yang menyentuh hati dan memberi kesan di hati masing-masing. Selepas itu, barulah kami sekeluarga akan menziarahi pusara datuk dan nenek yang telah kembali ke Rahmatullah,” ujar Nik Marina yang sering menerima kehadiran tetamu di kediamannya dari pagi sehingga ke lewat malam.
Bagi Nik Maria, ibu tunggal kepada dua cahayamata pula berkata, saban tahun dia dan dua permata hatinya akan menyambut Syawal di Kota Bharu Kelantan. Pulang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang empat hari sebelum Aidilfitri sudah menjadi rutin tiga beranak ini setiap kali tibanya Syawal. Tambah Maria lagi, tidak sah sambutan Aidilfitri jika tidak dapat berkumpul bersama keluarga besarnya di Kelantan tambahan pula kemeriahan Aidilfitri lebih terasa apabila berada di samping keluarga tersayang.
KEMERIAHAN LEBARAN
Tidak sah memperkatakan tentang keistimewaan Syawal tanpa menyentuh juadah kegemaran yang menjadi pilihan di musim perayaan. Bagi pasangan kembar ini, selera masing-masing terhadap juadah tradisional amat menyerlah apabila kedua-duanya sepakat memilih menu Kuzi Ayam sebagai menu kegemaran mereka.
“Juadah kegemaran kami semasa hari raya sudah semestinya kuzi ayam. Saya masih ingat keenakan menu kuzi ayam yang dimasak oleh arwah nenek dan mak. Lebih berselera apabila menu kuzi ayam dijamah bersama ketupat tawar dan dicicah bersama air gula Melaka. Alhamdullilah saya sempat belajar dari mak cara membuat Kuzi Ayam resepi turun temurun arwah nenek dan berjaya mendapat rasa yang sama,” ujar Nik Maria yang gemar memasak.
Bagi kembarnya yang turut menggemari menu yang sama menambah kebiasannya dia lebih gemar menyediakan sendiri aneka kek dan biskut untuk dinikmati oleh para tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Saya dan Maria mempunyai tugasan masing-masing apabila tiba musim raya. Kebiasaannya dia akan memasak hidangan seperti nasi dagang dan kuzi. Semasa zaman kanak-kanak saya sering fikir tidak perlu belajar memasak tetapi apabila sudah berkeluarga, saya perlu mempelajari pelbagai menu hasil air tangan ibu kerana ia merupakan warisan turun-temurun yang paling bernilai. Memang benar kata pepatah masakan ibu adalah masakan terbaik di dunia. Jadi, saya dan Maria mahu menambahkan lagi ‘ilmu memasak’ terutamanya resipi keluarga agar ianya tidak pupus dan dilupakan begitu sahaja,” ujar Marina lanjut.
Tidak sah jika tidak mengajukan persoalan mengenai sambutan Aidilfitri bagi pasangan kembar seiras ini tanpa menyentuh mengenai fesyen yang digemari oleh kedua-duanya. Melihat dari segi penampilan, kedua-duanya tidak banyak berbeza antara satu sama lain dan penulis pasti sense of fashion kedua-duanya juga tidak jauh berbeza. Namun begitu, telahan penulis ternyata meleset memandangkan Maria mahupun Marina mempunyai citarasa fesyen yang agak berbeza.
“Walaupun kami dilahirkan sebagai pasangan kembar, pilihan gaya berfesyen sedikit berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh, Marina lebih gemarkan gaya yang ringkas dan elegan manakala maria lebih gemar mengikut fesyen terkini. Namun begitu, berbalik kepada fesyen semasa menyambut Aidilfitri, kami sepakat memilih gaya yang lebih elegan namun masih sopan dan tidak terlalu sarat dengan perhiasan jemeki. Maklumlah, jika terlalu sarat bergaya pastinya menyukarkan kami melayan para tetamu yang berkunjung ke rumah. Yang penting, pemilhan pakaian biarlah selesa dan sopan serta anggun,” ujar Nik Maria mewakili kembarnya.
Ditanya pula mengenai pengalaman Aidilfitri yang menjadi memori indah dalam diri mereka, Nik Marina yang pernah menyambut ramadan dan Aidilfitri di perantauan berkongsi momen meraikan hari istimewa jauh dari keluarga tersayang.
“Saya pernah berjauhan dengan keluarga ketika saya mengikut suami bertugas di utara Jepun selama 2 tahun Memang terasa sedih ketika menyambut bulan puasa dan berhari raya di negara orang. Perasaan rindu kepada ayah dan ibu sukar digambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula, rindu hendak menjamah hidangan istimewa seperti nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya. Tetapi ia merupakan pengalaman yang berharga bagi diri saya dan keluarga,” ujar Nik Marina.
Manakala bagi Nik Maria pula sejak dari kecil hingga kini tidak pernah berjauhan meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan kenangan ketika hamil anak kedua membuktikan hubungan kekeluargaan mengatasi segalanya.
“Sambutan Aidilfitri pada 2012 merupakan Syawal yang berbeza bagi diri saya tetapi melakar kenangan indah dalam sejarah kami sekeluarga. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan anak kedua saya Maira Qaireen Sapeia yang dilahirkan pada 3 Syawal 2011. Saya terharu kerana semua ahli keluarga sanggup meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur semata-mata untuk menemani saya. Ia merupakan pengorbanan Syawal yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Bagi saya mahupun Marina menganggap keluarga adalah segala-galanya bagi kami dan tiada galang gantinya,” ujar Nik Maria seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wah, beruntungnya Elisya Sandha dikurniakan seorang ibu mentua yang baik dan sanggup menjaganya selepas melahirkan anak. Tak dinafikan, masih ada dalam kalangan ibu mentua yang berbuat perkara sama terhadap menantu seperti Sheila Rusly ...