
Dedah anak sulung hidap penyakit Gastroperesis, kini Raja Ema gigih cari rezeki jual acar dan menyanyi!
Reda menerima takdir diuji dengan penyakit anak sulung, selebriti popular era 80-an dan 90-an, Raja Ema selesa berada di rumah untuk memantau kesihatan anaknya.
Baru-baru ini, Putera Ammar disahkan menghidap Gastroperesis atau usus lumpuh sehingga berat badannya susut secara mendadak. Ketika dihubungi Majalah Nona, beliau berkongsi keadaan terbaharu mereka sekeluarga.
“Mohon maaf saya agak sibuk sekarang. Mungkin orang ingat saya duduk rumah tak buat apa-apa sedangkan sebenarnya sayalah yang terpaling sibuk,” mesra mukadimah Raja Ema disambut derai tawanya.
Mengakui berdepan cabaran besar apabila anak sakit, Raja Ema atau nama penuhnya Raja Ema Raja Ibrahim reda menerima ketentuan takdir.
“Waktu mula-mula berjumpa pakar, dia didiagnos penyakit functional dyspepsia. Tapi keadaan semakin memburuk, dia semakin kurus macam orang kebuluran.
Lepas jalani ujian Gastric Emptying Test
di UMSC, pakar akhirnya sahkan anak saya hidap penyakit Gastroperesis. Sejak itu keadaan dia bertambah pulih cuma masalah dalaman perut tu masih belum ada penawarnya.Keadaan dia dah semakin baik cuma saya kena pantau makan tepat pada waktu dan pastikan dia tak skip makan. Sejak dia alami penyakit ini tiga tahun lepas, dia perlu habiskan tiga jam untuk habiskan satu hidangan.
Makan pagi tiga jam, makan tengah hari tiga jam dan begitu juga makan malam. Biasanya malam dia akan penat atau malas nak makan, tahu-tahu dah tertidur dengan perut kosong. Itu yang membuatkan dia sakit.”
Tambah Raja Ema lagi, anaknya yang dulu mempunyai selera makan besar hingga berat badan pernah mencecah 90kg, kini tinggal 50kg akibat kesukaran untuk menghadam makanan secara normal.
Gastroperesis merupakan penyakit penghadaman dimana otot-otot perut gagal berfungsi secara normal, menyebabkan kelewatan pergerakan makanan ke usus. Apabila perut lumpuh, makanan tidak boleh bergerak ke mana-mana, sekaligus mendatangkan risiko perut terpaksa ditebuk.
“Dulu-dulu kita kurang pengetahuan pasal penyakit dalam perut. Rupanya kalau perut tak berfungsi dengan baik, dia akan jadi anxiety dan depression sebab hormon gembira kita, iaitu serotonin dan dopamine dihasilkan dalam perut,” terang Raja Ema panjang lebar.
LIGAT BERNIAGA
Tidak hanya sibuk menjaga anak di rumah, Raja Ema juga ligat berniaga acar buah yang diusahakan sejak enam tahun lepas.
“Buat acar ni remeh. Kena pergi beli barang, potong-potong buah, semua saya buat sendiri. Sebab saya tahu, peminat nak beli pun hasil air tangan Raja Ema bukan upah orang.
Saya akui, acar ni bukanlah makanan yang glamor. Ia bukanlah popular macam sambal. Tapi saya sendiri tekad nak memperkenalkan balik acar-acar warisan kita supaya tak ditelan zaman.
Kalau di Korea mereka ada kimchi, tapi di Malaysia kita ada acar yang sangat sedap.
Bayangkan dulu sekitar tahun 2020, acar hanya dibeli oleh orang sebaya saya atau lebih tua lagi. Acar ni sebenarnya bukanlah sekadar hidangan penyeri nasi briyani atau nasi tomato semata.
Acar saya special kerana menggunakan buah-buahan kering premium. Macam buah nenas kering, aprikot, kiwi dan pic kering. Bahkan ada juga acar ikan masin. Rasanya masam-masam manis, berbeza dengan sambal yang lebih kepada rasa bawang dan cili.
Acar ni bukan sambal yang lebih pada rasa bawang dan cili, ia lebih pada rasa masam-masam manis dengan resipi tersendiri,” cerita Raja Ema dalam nada ceria.
Tak hanya sibuk menjual acar, kini Raja Ema juga ligat menerima tawaran menyanyi. Ibu dua anak itu pernah mencipta kejutan apabila merangkul trofi Aktres Pembantu Filem Popular ABPBH36. Jom dengar suara Raja Ema dalam interview ini…
“Alhamdulillah saya terima banyak tawaran menyanyi. Terharu sebab ramai yang masih minta saya nyanyikan lagu-lagu popular saya setiap kali buat Live di TikTok. Selain itu saya jadi testimoni untuk Jamu Jelita. Mereka selalu jemput saya jadi jurucakap untuk program Wow Shop.
Dalam keadaan sekarang, saya selesa berniaga dari rumah sambil terima tawaran menyanyi. Bila menyanyi, ia tak mengambil masa yang lama dan saya masih boleh jaga anak dan buat acar.”
Mengakhiri bicara, Raja Ema mengakui beliau kini agak kurang fokus pada kecantikan. “Pada usia 57, saya lebih titik beratkan jaga kesihatan, buat Intermittent Fasting, kurangkan gula dan makan makanan seimbang.
Apa pun bersederhana, tidaklah terlalu ekstrem. Saya lebih prefer amalkan produk makanan kesihatan berbanding ubat-ubatan. Sebab dalam sejarah keluarga saya ada masalah jantung, even arwah bonda saya pun ada kencing manis.
Saya elak bergantung pada ubat-ubatan kerana takut buah pinggang rosak,” akhiri Raja Ema.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/badan-terlalu-besar-struggle-naik-perodua-viva-ikon-kurus-200kg-buktikan-beli-kereta-mewah/
This website uses cookies.