Beg tangan merupakan asas gaya setiap wanita berkerjaya. Selain berfungsi menyimpan purse, smartphone dan mekap, di dalamnya juga mungkin terisi barangan berkaitan kerja seperti laptop, tablet atau kertas kerja.
Tapi tahukah anda bahawa pemilihan beg juga boleh menentukan kredibiliti dan gaya kerja seseorang?
Office bag lambang semangat dalam kerjaya. Pilih beg yang tepat bukan kerana keindahannya semata-mata tapi sesuai dengan cita-cita dan impian yang diburu. Kali ini Nona menelusuri jenis-jenis beg serta saiznya, dan terpulang anda untuk memilih mana satu yang paling tepat dengan lapangan kerja masing-masing.
Ketika bertamu ke acara pembukaan butik baru Lancel di Pavilion Kuala Lumpur, beberapa koleksi sempena Spring Summer 2020 dipertontonkan kepada media. Antara yang menarik perhatian adalah Ninon (RM2,450 – RM3,200) rekaan terbaik buat wanita berkerjaya yang mementingkan praktikaliti serta gaya sofistikated.
OFFICE BAG PILIHAN NONA
(a) Beg Bahu
Beg jenis ini merujuk kepada semua jenis rekaan yang boleh digayakan dengan menyangkutnya ke bahu. Kebiasaan beg jenis ini memiliki satu atau dua tali.
Tip Nona: Kepanjangan tali beg harus disesuaikan dengan ketinggian anda. Bagi wanita rendah, pastikan tali tidak terlalu labuh atau melepasi paras pinggang.
Karakter Pemakai: Beg bahu dengan warna-warna gelap atau neutral melambangkan sifat pemakainya yang mampu multitasking. Sementara warna-warna pastel menceritakan watak pemakainya yang sukakan kelainan.
(b) Beg Satchel
Ia adalah beg jenis kulit yang hadir dengan bahagian bawah berbentuk leper dan memiliki dua tali pemegang.
Tip Nona: Memandangkan beg satchel tidak berstruktur, elakkan mengisi barangan bersegi yang besar atau berat. Contohnya beg dompet oversized.
Karakter: Pemakainya seorang yang klasik dan selalu bersedia untuk sebarang kemungkinan. Pemilik beg satchel juga biasanya seorang yang membawa pelbagai jenis barang dalam begnya.
(c) Beg Clutch
Clutch biasanya tidak bertali dan hanya selesa untuk dipegang. Ia boleh dikategorikan kepada santai dan juga glamor. Rekaan untuk gaya santai lebih bersahaja dan kosong tanpa sebarang perincian manakala untuk majlis glamor ia hadir dengan tatahan batuan ataupun juraian manik.
Tip Nona: Sesuai untuk acara semi formal atau jemputan rasmi selepas waktu pejabat. Isikan keperluan penting seperti kad pengenalan, kad-kad utama dan kad nama anda sahaja, selain smartphone.
Karakter: Seorang yang fashionable dan up-to-date. Dalam kerjaya, pemakai beg clutch didorong sifat teliti dan seni yang tinggi walaupun dia tampil dengan gaya ringkas.
(d) Beg Tote
Beg jenis ini hadir dengan tali pendek dan biasanya terbuka tanpa zip. Ia bersaiz besar kerana fungsinya untuk membawa banyak barang.
Tip Nona: Jika anda bertubuh kecil, pilih beg tote yang bersaiz sederhana. Beg yang bersaiz terlalu besar boleh ‘menenggelamkan’ anda.
Karakter: Seorang yang serba boleh serta mementingkan keseimbangan kerjaya dan kehidupan peribadi.
(e) Beg Hobo
Beg stail ini mempunyai satu sahaja tali dan disangkut pada bahu. Ia sesuai dengan anda yang sukakan gaya bohemian.
Tip Nona: Elakkan mengisi barangan yang terlalu banyak dalam beg hobo anda. Isikan barangan seperti kunci dalam beg kecil supaya lebih mudah dicapai memandangkan rekaan beg ini yang agak dalam.
Karakter: Jelas seorang yang agak relaks, tapi tegas membuat keputusan.
(f) Beg Messenger
Beg berbentuk petak ini hadir bertali panjang dan boleh disandang atau dipakai silang pada badan.
Tip Nona: Sebenarnya tidak perlu membawa sehingga dua beg (beg messenger dan beg satchel contohnya). Anda boleh memasukkan dompet dan segala barang keperluan lain dalam beg ini bersama laptop atau tablet yang dibawa.
Karakter: Sentiasa bersiap sedia dan rajin. Pemakai beg ini biasanya merupakan orang penting dalam kumpulan dan selalu menjadi ‘orang harapan’.
PANDUAN MEMILIH BEG
STAIL ON-THE-GO
Sebagai wanita bekerja, pilih beg yang paling versatil dan multifungsi. Beg yang dicadangkan adalah jenis tote. Namun dalam memilih rekaannya, biarlah kena pada lokasi yang dituju.
PEJABAT
Untuk ke pejabat, pilih tote bag yang diperbuat daripada kulit kerana versi ini lebih nampak serius dan mahal. Jangan lupa untuk menyimpan satu jenis clutch di dalam beg anda, ia sebagai penyelamat jika anda perlu mengakhiri mesyuarat ataupun perjumpaan anda boleh membimbit beg clutch tersebut.
HUJUNG MINGGU
Gaya ideal beg untuk hujung minggu adalah yang diperbuat daripada jenis kanvas dan juga fabrik jenis ringan. Pilih rona yang lebih menarik dan ceria, sesuaikan dengan busana yang anda sarungkan.