Bagaikan sekejap saja masa berlalu. Pejam celik, puteri kesayangan Datin Atikah Suhaime iaitu Lyla Mulan Teh sudah pun menginjak usia empat bulan. Usai tempoh berpantang dan keadaan permata hati yang kian membesar sihat, Datin Atikah dan Datuk Lokman Teh berbesar hati mengadakan majlis kesyukuran buat zuriat sulung mereka baru-baru ini.
Difahamkan majlis indah serba meriah tersebut diadakan di The Istana Ballroom, Singapura. Menerusi perkongsian bintang Volkwagen Kuning ini di media sosial, kelihatan seisi keluarga mereka teruja dan bahagia menyambut kehadiran Lyla Mulan Teh di negara kelahiran aktres berkenaan pada 5 Julai lepas.
Wajah terkini Lyla yang comel dan gebu pastinya membuatkan sesiapa saja ‘cair’ melihatnya. Pada majlis itu, Datin Atikah tampil anggun dalam persalinan jubah rona mint green dan lengkap bertudung. Penampilan tersebut meraih perhatian peminat dan warga maya yang tertawan dengan pesona ibu ini.
Bahkan sepanjang majlis berlangsung Datin Atikah sentiasa menguntum senyuman. Menyerlahkan perasaan bahagia yang sedang dinikmatinya ketika ini sejak menggalas tugas sebagai seorang ibu.
Apatah lagi dengan adanya suami tercinta yang setia berada di sisi. Lagi bertambah seri wajah Datin Atikah!
Pada majlis itu juga kelihatan ibu bapa aktres berusia 34 tahun berkenaan serta ahli keluarga terdekat.
Meskipun berstatus VIP namun majlis kesyukuran Datin Atikah dan Datuk Lokman diadakan secara sederhana tetapi meriah. Malah tiada pelamin serba gah dan mewah mahupun dekorasi eksklusif buat ibu dan anak.
Pun begitu, Datin Atikah Suhaime meluahkan rasa gembira dapat berkumpul dengan keluarga tersayang di negara kelahirannya.
“I’m so happy today. Thank you, all my Singapore family, for attending Lyla Mulan Teh’s majlis kesyukuran.”
Datin Atikah Suhaime dan Datuk Lokman Teh menimang cahaya mata sulung mereka ini pada 8 Mac lalu.
Sejak mendirikan rumah tangga, tak dinafikan populariti Datin Atikah Suhaime melonjak naik dan menarik perhatian khususnya di media sosial. Lebih-lebih lagi apabila dia sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan bergelar Datuk.
Tidak pernah mendabik dada dengan pangkat yang ada, keperibadian figura cantik ini dipuji kerana mesra melayan peminat dan merendah diri.
Datin Atikah melangsungkan pernikahan dengan Datuk Lokman Teh pada 21 Januari 2024.
This website uses cookies.