Anggun Dalam Persalinan Tradisi, Rakyat Terpesona Kejelitaan TENGKU PERMAISURI NORASHIKIN!

Kejelitaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sememangnya memukau pandangan. Sejak bergelar Pembaca Berita sehingga ke saat ini, ramai yang mengagumi kecantikan baginda. Tambahan pula, Tengku Permaisuri Selangor seorang wanita yang penuh dengan sifat kelembutan dan tidak lekang mengukir senyuman kepada rakyat.

Terbaru, penampilan baginda ketika menghadiri satu majlis rasmi kembali mencuri perhatian ramai. Bertempat di Istana Alam Shah, Klang… DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menyantuni lawatan ahli-ahli Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Wanita Permata Selangor. Seperti yang dilaporkan menerusi laman media sosial rasmi Selangor Royal Official, majlis tersebut berlangsung sekitar empat hari lalu iaitu pada tanggal 27 Februari 2020.

Anggun menyarung persalinan tradisi rona putih bercorak bunga-bungaan hijau, kemunculan Tengku Permaisuri Selangor nyata dinanti-nantikan ahli PERKIM yang turut mengenakan pakaian rasmi mereka dari rona senada. Ceria menyambut lawatan mereka ke Istana Alam Shah, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin kelihatan tidak putus-putus menguntum senyuman dan beramah mesra bersama mereka.

Memilih gaya minimalis dengan menggayakan aksesori subang mutiara dan sebentuk cincin di jari manis, kejelitaan baginda bagaimana pun tetap menyerlah. Malah, rata-rata rakyat yang melihat penampilan baginda mengakui terpikat dengan kesederhanaan Tengku Permaisuri Norashikin dalam menjaga penampilan. Nampak tidak keterlaluan, namun cukup manis dipandang.

Bahkan ruangan komen media sosial Selangor Royal Official turut dihujani dengan kata-kata pujian daripada rakyat yang menyenangi peribadi Tengku Permaisuri Selangor.

Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan menyampaikan cenderahati kepada ahli PERKIM selain meraikan mereka dalam majlis santapan tengahari. Pastinya momen bersua muka bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin meninggalkan kenangan manis buat seluruh ahli PERKIM terlibat.

 

Sumber: Selangor Royal Official

IKLAN
Share