Tidak dinafikan pesona dan aura dramatis ini masih memikat hingga sekarang. Meskipun anak-anak sudah meningkat dewasa dan ada yang sudah mendirikan rumah tangga, kejelitaan milik Tengku Sariza Tengku Muzani atau lebih mesra dengan panggilan Kuza masih kekal menyerlah. Disifatkan seorang wanita berjiwa sederhana, Kuza ketika dihubungi Nona terbuka berkongsi perkembangan terbaharunya buat tatapan peminat.
Biarpun penularan wabak Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan industri seni tanah air namun rezeki Kuza dalam bidang ini tidak putus-putus. Satu demi satu tawaran berlakon diterimanya. Alhamdulillah! Kuza turut menjalani penggambaran drama Ustazah Robotik untuk siaran di Al-Hijrah.
Tidak bergantung kepada kerjaya seni semata-mata, Kuza kini berusaha mendalami selok-belok dunia perniagaan. Ditanya aktiviti ketika berdepan situasi Covid-19, figura ini mendedahkan dia lebih selesa duduk di rumah jika tiada keperluan untuk berada di luar.
“Saya pun sama macam semua. Kalau tak ada kerja, saya lebih memilih tinggal di rumah. Kurangkan bercampur di tempat ramai orang dan aktiviti di luar. Kita tak boleh pentingkan diri sebab kena fikir di rumah ada anak-anak. Kalau kita dijangkiti balik rumah nanti, anak-anak juga yang kena. Jadi sebelum pergi mana-mana fikir dahulu mereka yang ada di rumah.”
November lepas, Kuza selamat menerima menantu apabila anak perempuannya iaitu Puteri Nazihah mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan. Bahkan, Mac lalu pula anak lelaki Kuza selesai mengikat tali pertunangan. Maknanya dapat menantu lagilah lepas ni.
Bagi peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan Kuza, pasti mengagumi personaliti dan wajah cantiknya. Walau meniti usia 48 tahun Kuza masih anggun dan cantik dalam kelas tersendiri. Ditanya bagaimana dia memelihara kurniaan Allah itu, tiada apa yang mampu diucapkan selain mensyukuri nikmat yang diberi kepadanya.
Ads
“Sebenarnya tak ada apa-apa rahsia tampil awet muda pun. Saya bersyukur, alhamdulillah Allah bagi saya tubuh badan yang sihat. Jadi amanah bagi saya untuk menjaga. Saya selalunya berhenti makan sebelum kenyang.
Malam pula kalau boleh elakkan dari makan yang berat. Sekadar alas perut. Kalau ada masa, senaman jangan lupa. Ini bukan untuk kurus je tapi untuk stamina supaya kita tak cepat letih. Jadikan senaman ini macam rutin hidup. Selain itu, waktu tidur juga harus dijaga. Ibadah pun jangan lupa.”
Baru-baru ini keadaan kesihatan Kuza menarik perhatian ramai apabila dia dilihat terpaksa menjalani sesi fisioterapi. Difahamkan Kuza mengalami masalah di bahagian lutut sejak sekian lama namun tidak sangka ia beri kesan kepada kesihatan diri. Selepas berjumpa doktor dan hasil diagnosis mendapati Kuza mengalami chondral injury of right knee, osteoarthritis left knee dan osteoarthritis fingers.”
Ads
Bagaimanapun, kesihatan Kuza kini dilaporkan beransur baik. Jarang berkongsi kisah peribadi di media sosial selama ini, pendedahan Kuza mengenai kisah hidup yang pernah dilalui sekitar Februari lalu mendapat reaksi pelbagai daripada peminat.
“Sudah lama saya simpan. Hampir 20 tahun saya simpan kehidupan saya. Setelah anak-anak sudah besar dan masing-masing sudah ada kerjaya, jadi sampailah masa untuk saya kongsikan kehidupan saya bersama peminat saya. Sebenarnya saya ingin memberi semangat pada yang senasib dengan saya. Saya ajar diri saya jangan banyak cakap tapi usaha biar lebih kerana hasil yang kita dapat tanpa kita bercakap banyak.
Alhamdulillah setakat ni belum ada kecaman lagi dari netizen. Tapi kalau ada pada masa akan datang, kena pandai kawal diri dan kalau boleh jangan cepat melenting. Kalau nak jawab pun kena jawab pakai fakta, jangan ikut hati dan pastikan masa nak jawab hati dalam keadaan tenang bukan dalam keadaan panas sebab apa yang kita jawab dalam hati yang panas, fikiran kita luar dari kawalan.”
Tambahnya lagi, keperitan hidup masa lalu tersimpan hikmah tersendiri buat dirinya dan anak-anak. Enggan terus meratapi kenangan lalu, Kuza bangkit menjalani hidup yang lebih bahagia di samping keluarga.
Ads
“Kekuatan saya adalah anak-anak. Bila tengok anak-anak, saya selalu tanam azam kena kuat dan mampu teruskan hidup walau macam mana susah sekalipun. Kita tak boleh tunjuk pada anak-anak yang kita lemah sebab kita ni ibu, pemberi semangat pada anak-anak di kala mereka dalam kesedihan, kekecewaan dan kesusahan.
Jadi kalau kita ibu sentiasa tunjuk pada anak-anak yang kita ni lemah, macam mana anak-anak nak dapat semangat. Saya kalau boleh, sedih pun saya tak nak anak-anak saya tahu sebab saya tak nak anak-anak merasa kesedihan saya.”
Anak sulung lelaki & perempuanAnak perempuan Kuza, Puteri NazihahAnak bongsu
Tatkala diaju cara Kuza mendidik anak-anak hingga berjaya dan menjadi insan berpekerti baik, ini jawapan jujur selebriti cantik berkenaan. “Iyalah, ibu mana yang tak nak tengok anak-anak berjaya. Saya sedar saya ni bukannya senang dan taklah pandai jadi bila kita tahu kita ni bukanlah orang yang senang dan tak pandai, kita kenalah ubah nasib anak-anak.
Jangan jadikan anak-anak kita ni macam kita. Utamakan pelajaran kerana bagi saya ilmu tu penting. Begitu juga adab. Dengan adanya ilmu, kita ‘campak’ anak-anak dekat mana-mana pun inshaAllah mereka boleh survive.
Sebagai ibu kita kena ada plan masa depan anak-anak. Kita kena peka apa yang anak-anak kita minat. Dari situ kita dah boleh plan. Saya selalu berbincang, berkongsi pandangan dan rasa bersama-sama anak. Kena bagi semangat kepada mereka ini.
Jangan sekali-kali kita patahkan semangat anak-anak. Saya bersyukur kerana anak-anak saya sekarang dah ada kerjaya masing-masing. Alhamdulillah sangat. Semoga mereka berjaya di dunia dan akhirat. Doa yang baik-baik untuk anak-anak,” telus ibu penyayang ini.
Kredit foto: Instagram Kuza
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terpegun melihat kecantikan semula jadi Datin Seri Camelia! Sejak bergelar penyanyi era 1990an sampai sekarang macam tak berubah wajah figura ini. Makin meningkat usia, makin terserlah kejelitaan wanita kelahiran Sarawak berkenaan.
Biarpun tidak lagi bergiat aktif dalam industri seni tanah air selepas album Mysticasm pada tahun 2007, pelantun lagu Rindu Padanya ini sering menjadi bualan khalayak khususnya di media sosial kerana kecantikan yang dimiliki.
Foto figura ini yang ditata rias jurusolek ternama, Najeeb Azami baru-baru ini menjadi tular di media sosial. Mana tidaknya, pada usia sudah pun mencecah 50 tahun pemilik nama Datin Seri Dayang Nur Camelia Abang Khalid ini kelihatan anggun dan awet muda.
Wajah Cantik Datin Seri Camelia Usia 50an!
Tak dinafikan, selebriti ini mempunyai aura dan kecantikan dalam kelas tersendiri. Walau sekadar mengenakan solekan nipis dan aksesori minimalis pun tetap nampak mahal!
Selain mendapatkan khidmat solekan dengan Najeeb Azami, antara jurusolek terkenal yang sering menata rias raut wajah sempurna Datin Seri Camelia ialah Khir Khalid.
Walau jelitawan ini sudah pun meninggalkan dunia hiburan yang penuh glamor namun kelibatnya yang hadir di majlis sosialit sentiasa mencuri tumpuan.
Bakal menginjak usia 51 tahun pada 20 Jun depan, personaliti wanita ini pernah menerbitkan lima buah album sepanjang pembabitannya dalam industri seni. Antaranya album Camelia, Memori, Mimpi, Untukmu dan Mysticam.
Pasti ramai yang merindui alunan lembut suara penyanyi yang pernah bergelar duta produk antarabangsa seperti L’Oreal, Tag Heuer, Omega dan Pantene ini.
Tidak bersandar kepada wajah semata-mata, Penyanyi lagu Puteri Santubong ini membuktikan bakat yang mengalir dalam tubuhnya apabila dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1998.
Selain itu, dia juga berbakat sebagai penulis lagu dan mempunyai bakat dalam seni lukisan. Ternyata, darah seni mengalir deras dalam diri Datin Camelia.
Jelitawan ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Mohd Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce namun bercerai pada tahun 1999.
Datin Seri Camelia dilaporkan berkahwin dengan usahawan berjaya, Datuk Seri Akhbar Khan dan dikurniakan cahaya mata perempuan iaitu Aisha Asmara Khan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sudah menjadi lumrah, wanita ingin kelihatan menawan sepanjang masa. Cuma ancaman udara tercemar dan tabiat pemakanan kurang berkhasiat antara kebiasaan buruk punca jerawat di wajah semakin kronik?
Tanpa disedari, ada banyak kebiasaan yang membuat kondisi kulit terjejas sedikit demi sedikit. Berikut adalah tabiat buruk atau ‘pantang’ yang mencetuskan masalah kulit dan harus ditinggalkan sekarang.
(1) Solekan
Tidur dengan solekan masih menempel adalah kebiasaan yang sangat buruk untuk kulit. Sisa minyak, solekan dan kotoran akan menyumbat pori-pori.
Padahal, waktu malam merupakan tempoh untuk regenerasi kulit. Jika kulit tertutup, maka regenerasi tidak akan sempurna. Kulit jadi bermasalah seperti muncul jerawat, ruam merah dan kusam.
(2) Tidur Meniarap
Tidur dengan wajah menghadap ke bawah atau mengiring akan membuat kulit wajah sering terhimpit. Beberapa penelitian menunjukkan bahawa seseorang yang tidur meniarap lebih cepat mengalami kulit berkedut. Belajarlah untuk tidur telentang.
(3) Mencuci Muka Dengan Kasar
Membersihkan wajah tidak sama seperti membersihkan tubuh. Kulit wajah lebih sensitif dan halus, sehingga sedikit sentuhan saja sudah cukup. Wajah yang digosok secara kasar akan mudah mengalami iritasi.
(4) Diet Yoyo
Jangan lakukan diet sembarangan. Lebih-lebih lagi jika anda sering mengalami kenaikan dan penurunan berat badan. Elastin kulit boleh berkurangan jika anda sering mengamalkan diet yoyo.
Sekali pun ingin menurunkan berat badan, selalu amalkan pengambilan buah-buahan segar yang kaya serat. Hindari menurunkan berat badan terlalu banyak. Turun 1 kilogram setiap minggu adalah penurunan yang disarankan.
(5) Perlindungan Sinar Matahari
Pastikan anda melindungi kulit dengan produk yang mengandung SPF dan PA + untuk menghindari pengaruh buruk sinar kesan UVA dan UVB. Dengan melakukan kebiasaan ini kulit akan jadi lebih sihat dan cantik, mulakannya dari sekarang!
(5) Kerap Membasuh Muka
Memang sangat penting jika memiliki kulit wajah yang selalu bersih. Namun, bila terlalu sering mencuci wajah anda hanya akan menyebabkan jerawat semakin parah. Sebaik-baiknya, bersihkan wajah anda dua kali dalam sehari, pada pagi hari dan pada malam hari sebelum kita tidur.
(6) Menggosok Wajah Terlalu Kasar
Jangan menggosok wajah dengan terlalu kasar menggunakan kain, tisu dan sebagainya kerana penyebab alahan. Disarankan mengguna medium pembersih wajah yang lembut dan bebas sabun apabila wajah mahu dibersihkan.
(7) Perlu Cepat Lap Peluh
Pastinya setelah bersenam di luar kediaman atau di bawah sinar matahari, kulit kita akan mengeluarkan banyak peluh. Maka jangan biarkan peluh mengering dengan sendiri. Disarankan untuk selalu mencuci wajah setelah anda melakukan sebarang aktiviti yang mengeluarkan peluh.
(8) Memegang & Memicit Jerawat
Jangan! Dengan memegang dan memicit jerawat hanya akan mengakibatkan jangkitan semakin melarat. Lebih baik sapukan jerawat dan biarkan mengering sendiri.
(9) Malas Bersyampu
Bila kulit kepala kita berminyak, sangat digalakkan untuk mencuci rambut setiap hari. Rutin ini bertujuan untuk peluh dan minyak berlebihan di bahagian rambut mengalir ke wajah yang menyebabkan timbulnya jerawat.
(10) Lindungi Wajah
Produk yang digunakan untuk menata rambut seperti penyembur, gel, mousse dan beberapa produk perawatan rambut harus dielakkan pada terkena wajah.
Ini kerana produk-produk ini boleh menutup pori-pori kulit wajah hingga menyebabkan jerawat. Disarankan anda melindung wajah bila ketika menggunakan produk-produk tersebut.
(11) Hindari Makanan Berlemak
Makanan berlemak menyebabkan jerawat anda lebih parah. Sebaiknya hindari makanan berlemak tinggi dan makanan ringan.
(12) Kosmetik Berunsurkan Minyak
Akibat penggunaan kosmetik yang berformulasi minyak boleh mengakibatkan pori-pori wajah jadi tersumbat. Sebaik-baiknya gunakanlah produk kosmetik yang berlabel non-comedogenic.
(13) Berhenti Rawat Jerawat
Jangan sesekali berhenti merawat jerawat kerana ini akan memburukkan lagi keadaan. Lakukan rawatan hingga jerawat pulih sepenuhnya. Pastinya bukan hanya dengan beberapa siri rawatan, jerawat boleh pulih dengan mudah. KR
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sekali terpandang wajahnya, mesti nak tengok berkali-kali! Masih ingat lagi tak aktres cantik rupawan yang membintangi telenovela popular Maria Mercedes pada tahun 1992? Kecantikan luar biasa yang dimiliki selebriti Mexico ini nyata memberi impak kepada peminat drama bersiri tersebut hingga ke hari ini.
Thalia atau nama sebenarnya Ariadna Thalia Sodi Miranda bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-48 pada 26 Ogos nanti. Maknanya lagi dua tahun dah masuk usia 50. Tapi dari susuk tubuh dan raut wajah sedikit pun tak menggambarkan umur Thalia bahkan pesona yang ada pada dirinya tetap menarik pandangan!
18 tahun mendirikan rumah tangga bersama Tommy Mottola yang merupakan CEO Sony Music, pasangan romantis ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Sabrina Sakae Mottola Sodi berusia 11 tahun dan Matthew Alejandro Mottola Sodi, 8 tahun. Tommy yang bertindak selaku penerbit muzik dan buku serta usahawan berjaya dalam industri seni Amerika ini juga sebenarnya bekas suami kepada penyanyi terkemuka, Mariah Carey.
Namun perkahwinan bersama pelantun lagu My All berkenaan hanya bertahan selama lima tahun sebelum kedua-duanya dilaporkan berpisah pada tahun 1998. Dua tahun kemudian, Tommy menamatkan zaman duda bersama Thalia dan berkahwin pada 3 Disember 2000.
Bersandarkan kejayaan Tommy dan kemasyhuran isterinya, Thalia sebagai penyanyi, pelakon dan ahli perniagaan.. tak hairanlah pasangan ini mampu menikmati kehidupan serba mewah. Selesa menaiki jet peribadi untuk bercuti, Thalia dilihat kerap memuat naik gambar percutian bersama keluarga di media sosial miliknya selain berkongsi cita rasa fesyen buat tatapan lebih 13 juta peminat!
Alahai, sudahlah cantik… kaya dan ternama pula tu. Patutlah dia mendapat gelaran ‘Queen of Latin Pop’. Tahun lalu, Thalia hadir dengan lagu duet terbaharunya ‘No Me Acuerdo’ bersama Natti Natasha yang memperoleh lebih 900 juta tontonan di YouTube!
Mengintai Instagram Thalia, wanita cantik ini rupa-rupanya seorang yang aktif bersukan lasak dan berenang. Sebelum ini Thalia dan keluarga telah berkunjung ke Utah untuk mengikuti aktiviti rock climbing. Tidak cukup dengan itu, dia juga gemar melakukan rutin senaman pilates demi mengekalkan susuk tubuh langsing dan bertenaga.
Teruja tengok aksinya melakukan teknik pilates sebab bukan mudah untuk mahir dalam rutin tersebut kerana memerlukan keseimbangan tubuh yang tinggi.
Lepas ini kalau ada yang berhajat hendak memiliki tubuh seksi seperti Thalia, boleh amalkan sukan mendaki dan praktikkan pilates. Dengan usia yang bakal memasuki usia 50 tahun dan mempunyai dua orang anak, kecantikan dan aura Thalia sememangnya tiada tandingan. Sudah pasti segala kecantikan, kemasyhuran dan kemewahan yang dimiliki Thalia menjadi impian setiap wanita.
Kredit foto: Instagram Thalia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.