Anggun Di Usia 51, Dato’ Suriani KSU Kementerian Komunikasi dan Multimedia Yang Baharu

Sering tampil anggun dan menawan dengan baju kurung moden atau suit membuat penampilan Dato’ Suriani Dato’ Ahmad sering mencuri tumpuan. Wanita yang bakal menyambut ulang tahun ke 51 pada 25 Julai ini benar-benar cantik dalam kelasnya yang tersendiri.

Pada 1 Julai lalu Dato’ Suriani telah memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang baharu.

Sebelum ini Dato’ Suriani merupakan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada November 2017.

Dato’ suriani berkelulusan Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sarjana Strategi dan Diplomasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Walaupun minatnya begitu mendalam di bidang komunikasi tetapi, sanggup berkorban demi memenuhi permintaan ibu bapa yang mahu Dato’ Suriani mewarisi kerjaya bapanya sebagai penjawat awam.

“Saya terpaksa melupakan kerjaya sebagai Eksekutif Editorial di Bernama PR walaupun sangat menyukai kerjaya itu yang memberikan saya peluang keluar berjumpa orang ramai dan mengatur pelbagai program.

Bagi saya, restu ibu bapa lebih penting dalam semua perkara yang ingin dilakukan kerana ia adalah doa dan hasilnya, di sinilah saya berada kini,” katanya yang pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Pengarah Dasar dan Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Pernah berkhidmat selama 23 tahun sebagai pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD), Dato’ Suriani merupakan anak kelahiran Perlis Indera Kayangan.

Mempunyai tiga orang anak, Dato’ Suraini juga pernah dianugerahkan Anugerah Pekerja Contoh 2005 (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Sepanjang perkhidmatan, Suriani juga pernah menjawat jawatan penting di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pertahanan.

Nampaknya Dato’ Suriani juga aktif bersukan. Mungkin ini adalah salah satu rahsia awet mudanya. Dato’ Suriani juga merupakan pencinta kucing.

Sumber: BERNAMA & Berita Harian
Foto: Instagram @surianibintiahmad & www.kkmm.gov.my

IKLAN
Share