Penuh karisma tengok Datuk Nora Ariffin lengkap mengenakan Pakaian Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran. Bukan calang-calang individu berpeluang menyarung pakaian rasmi tersebut kerana ia dikhususkan buat mereka yang menghadiri istiadat penganugerahan atau menerima darjah kebesaran dalam Majlis-majlis Istiadat Pengurniaan Bintang dan Pingat Persekutuan / Negeri.
Tanggal 1 Februari lepas bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2021 pastinya menjadi sejarah paling manis buat Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin apabila menjadi salah seorang penerima pingat kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Beliau dilaporkan menerima pengurniaan Pingat Panglima Mahkota Wilayah (PWM) yang membawa gelaran Datuk!
Bagaimanapun Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran berkenaan tidak dapat diadakan pada tarikh tersebut memandangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan situasi pandemik Covid-19. Sebaik keadaan negara kembali reda dengan penurunan kes wabak itu, barulah semalam bersamaan 23 Mac, Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 (Sesi Pertama) berlangsung di Istana Negara.
Dalam majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 143 individu termasuk Datuk Nora Ariffin. Jelas pelantun lagu popular ‘Hanya Satu’ ini, “Alhamdulillah syukur pada Allah SWT. Satu anugerah yang cukup istimewa dan bermakna sepanjang 30 tahun di dalam bidang seni dan budaya.”
Mendahului senarai penerima istiadat ialah Menteri Kewangan Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berbahagia Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Ads
Seramai 15 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri, 41 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, 21 individu dianugerahkan Darjah Johan Mahkota Wilayah (JMW), 26 orang menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 11 individu dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 27 orang penerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).
Penganugerahan ini pastinya menjadi semangat kepada Datuk Nora yang tidak terlepas berdepan pelbagai dugaan hidup. Pada 24 Mac 2017, beliau kehilangan suami tercinta yang merupakan composer terkenal Johan Nawawi akibat serangan jantung. Kira-kira dua tahun kemudian, beliau sekali lagi diuji apabila anak keduanya, Muhammad Syakir Alif Johan meninggal dunia disebabkan faktor genetik pada 15 Disember 2019.
Ads
Datuk Nora kini bergelar nenek kepada cucu sulungnya, Ayden Johan yang berusia enam bulan. Selain menyanyi, Datuk Nora turut dilantik sebagai duta produk kecantikan Prettian. Moga Datuk Nora terus kuat mengharungi hari-hari mendatang dan menjadi sumber kekuatan buat ramai wanita.
Ads
Kredit foto: Instagram Nora
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Happy birthday, Amyra Rosli! 24 Ogos lepas genap 31 tahun umur isteri Amar Baharin ini. Pastinya kehidupan Amyra kini lebih bahagia kerana bukan hanya dikurniakan suami penyayang dan anak-anak bijak, malah kerjaya seni Amyra juga makin meningkat naik.
Bersempena ulang tahun kelahiran, Amar meraikan isteri tercinta secara sederhana bersama dua anak mereka. Daripada perkongsian video yang dimuat naik Amar di media sosial, kelihatan wajah terharu Amyra dengan sambutan tersebut.
Namun yang paling mencuri tumpuan dan menjadi bualan peminat ialah kek hari lahir yang dihadiahkan kepada Amyra. Mengamati salah satu kek berkenaan, kelihatan nasi lemak yang dibentuk menjadi kek dan dihiasi dengan hirisan timun, telur rebus, sambal dan taburan beberapa ekor udang di atasnya. Memang rare!
Dalam pada itu, Amar turut menitipkan ucapan romantis buat Amyra Rosli. “Selamat Hari Lahir Sayang, Amyra Rosli. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keberkatan di dunia dan di akhirat.”
Tak dinafikan sejak berkahwin dan berhijab, kerjaya seni Myra makin meningkat naik. Bermula dengan karier lakonan, selebriti cantik ini terus mengembang bakat bergelar duta dan diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai pengacara televisyen.
Amyra atau nama sebenarnya Nur Amirah Izzati Rosli seorang wanita yang sarat dengan naluri keibuan. Cara Myra melayan dan mendidik dua cahaya mata penuh dengan kelembutan.
Meskipun sudah beranak dua, bintang drama popular Nur ini cukup pandai menjaga penampilan diri. Mana tidaknya, dari zaman anak dara sampai sekarang maintain menawan.
Amyra Rosli mendirikan rumah tangga dengan pelakon Amar Baharin pada tanggal 11 November 2016. Hasil perkongsian hidup, pasangan romantis ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu anak lelaki Aqeef Anaqi dan anak perempuan Ayra Aryssa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya sungguh tak terhingga. Perkongsian wanita bernama Bibi Nurul Asyikin Adnan ini cukup membuktikan kecekalan hatinya, walaupun cabaran dikurniakan anak cerebral palsy begitu hebat.
Melihat foto anak syurga bernama Adam, 7 tahun, cukup memilukan hati kami. Kata ibunya yang kini berusia 34 tahun, Adam suka belajar dan mahu ke sekolah, tapi hasrat itu terbantut. Kenapa ya? Ikuti perkongsian wanita asal Pulau Pinang ini kepada Nona.
=========================
Nama anak saya Muhammad Nur Zafran, tapi sejak dalam kandungan lagi saya selalu panggil nama dia Adam. Adam penghidap cerebral palsy dan umurnya 7 tahun.
Semasa hamil, kandungan saya sihat cuma saya pula ada masalah anemia dan kerap jatuh. Masa hampir melahirkan iaitu sekitar pukul 5.00 pagi, saya terasa kontraksi yang kerap dan suami pun cepat-cepat bersiap untuk bawa saya ke Hospital Sg. Buloh.
Jam 6.50 pagi, kami tiba di hospital. Sebaik tubuh saya dibaringkan atas katil, air ketuban pun pecah. Masa tu baru pukul 7.50 pagi dan bukaan saya cuma 5 sm. Kena tunggu lagi. Selalunya kalau ikut kelahiran sebelum ni, bila ketuban pecah confirm bukan sakit lagi dah, tapi terus teran.
Tapi yang ni tak rasa pun. Cuma mengeras dan kontraksi pun tak kuat sangat. Dari pukul 8.00 pagi sampai 12.00 tengah hari, saya kira dah ramai doktor pelatih yang datang dan seluk. Tetap sama, 5 sm.
Sampailah tiga orang doktor pakar datang dan salah seorangnya tanya, kenapa doktor bertugas tak paksa bukaan rahim? Bila dia seluk, mukanya terus berubah. ‘Baby dah berak’, katanya.
Saya terus dikejarkan ke bilik pembedahan kerana bila CTG, jantung baby dah lemah. Bila masuk epidural saya terus tak sedar waktu dibedah… walaupun masih terasa tajamnya pisau yang menghiris lapisan demi lapisan kulit perut ni.
16 Ogos 2011, saya selamat lahirkan Adam. Tapi dia keluar tanpa suara. Senyap. Macam-macam saya dengar doktor dan jururawat lakukan, CPR serta sebagainya. Akhirnya baru dengar suara tangisan yang maha lemah.
Doktor cakap anak saya lemas dalam perut dan dah berak. Mungkin termakan najis. Oksigen pula kurang sampai ke otak. Jadi dijangkakan akan ada masalah.
Walaupun ramai yang menuduh salah pihak tertentu sebab saya tak dibedah lebih awal, tapi saya tak percaya semua tu. Saya percaya ini takdir Allah SWT. Mungkin ada sebab dan hikmah yang Dia nak beri kepada kami, seorang anak syurga.
RENUNGAN BERMAKNA
Bertuah kalau ada anak yang bijak dan petah berkata. Tapi Adam tak pandai semua tu. Dia cuma pandai sebut ‘Buu…’ atau ‘Yam…’ macam bayi. Tapi pandangannya dah cukup untuk menceritakan segalanya. Ya, dari segi fizikal, Adam tak mampu. Tapi dia faham cakap orang dan ada rasa marah. Kadang bila Adam tengok kakak, abang dan adiknya main berlari-lari… Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu erti renungannya.
Saya tahu Adam mesti nak cakap, kenapa aku tak boleh berjalan? Padahal tahun ni Adam sepatutnya sekolah, tapi Adam tak sanggup nak tengok ke pintu, tak nak duduk bermain. Saya tahu hati Adam, dia nak sekolah sebab Adam bukan budak bodoh. Cuma tak mampu uruskan diri je.
Bila saya pangku Adam dan bukakan buku, Adam suka. Adam akan tengok gambar-gambar dan dengar saya cerita. Sambil pandang muka saya, Adam akan ketuk-ketuk kaki dia. Ketuk sampai mengamuk, mungkin bertanya kenapa kaki Adam ni ibu? Allahu, mengalir air mata saya.
Dalam redup mata Adam, pelbagai kata-kata nak diucapkan. Kalaulah dari dulu saya selalu ke fisio, buat urutan, mungkin Adam dah boleh berjalan walau tak selaju orang lain.
JATUH DITIMPA TANGGA
Dari saat Adam lahir sampailah umurnya 5-6 bulan, kami selalu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan. Dalam tempoh tu, satu persatu masalah datang. Antaranya kekurangan duit.
Anak-anak sulung (kembar) nak bersekolah. Kami suami isteri terpaksa ikat perut untuk bayar yuran, beli segala kelengkapan sekolah macam baju, kasut dan beg, untuk dua orang. Waktu tu pula, kami baru berpindah dan masih perlu berulang-alik ke hospital.
Tanpa kereta, bayangkan susahnya nak bawa Adam buat rawatan. Takkan nak pinjam kereta orang selalu? Kalau dapat pinjam, kami kena usahakan belanja isi minyak dan tol. Pernah satu hari, susu Adam habis. Duit dalam tangan saya ada RM50 je.
Jadi sebagai ibu, saya cuma fikir susu anak sebab Adam bukan makan macam budak biasa. Kalau tak ada susu, badannya akan lemah. Ibu mana yang sanggup tengok anak kelaparan? Berkorbanlah guna duit tu untuk beli susu dia.
Masuk tahun 2016, kami berpindah sekali lagi ke Klang. Saya cuma dapat bawa Adam ke klinik desa menaiki motosikal. Masa tu Adam meronta-ronta tak mahu naik motor. Mungkin dia rasa kurang selesa.
Tahun 2017, Adam kena serangan sawan. Mujurlah masa tu bapa mertua ada di rumah dan kami terpaksa pinjam keretanya untuk kejarkan Adam ke hospital. Nasib baik umur Adam masih panjang.
Kos minyak dan tol saja bagi kami yang kurang kemampuan ni, memang tinggi. Dalam anggaran RM35-40 pergi dan balik. Kalau kereta meragam lagi parah, kami kena sewa kereta yang sekurang-kurangnya RM80 sehari.
Saya pening memikirkan masalah kewangan yang dihadapi. Selepas suami diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan, dia cuma bekerja kebun dengan bapa saudaranya. Kerja sendiri ni, upahnya tak menentu. Dalam sebulan, kadang-kadang adalah 2-3 kali bekerja. Pergi ke Perak atau Negeri Sembilan, ada kerja adalah duit. Bila tak kerja, kami terpaksalah berlapar.
Itu pun saya tetap dahulukan susu Adam. Dengan anggaran pendapatan suami lebih kurang RM500-700, saya mohon bantuan zakat dan alhamdulilah diluluskan. Sekarang pun saya dalam proses mohon bantuan JKM dan insyaAllah saya akan mulakan kerja sebagai dropshipper di Facebook.
Saya tahu tiada ubat yang dapat merawat pesakit cerebral palsy seperti Adam. Yang ada hanyalah rawatan terapi, urutan dan kalau ada ubat pun, mungkin untuk melembutkan atau melicinkan pergerakan sendi-sendi tulang, paha, tangan atau ubat mencegah sawan. Paling penting di rumah kami ni, wajib ada ubat demam. Sebabnya bila badan Adam mula panas, saya akan lekas suapkan ubat demam supaya sawannya tak menyerang.
Jumlah belanja ni saja, termasuk susu, lampin pakai buang, Nestum dan sebagainya dalam anggaran RM400-500 sebulan. Hari-hari saya panjatkan doa, kalaulah dapat sumbangan dan bantuan masyarakat, saya teringin nak belikan kerusi roda khas serta barangan terapi untuk sensori dia. Saya kesian dengan Adam. Kakinya mungkin lenguh dan kebas di atas kerusi biasa.
Harapan saya tentulah nak tengok anak syurga saya boleh berdikari. Boleh uruskan diri walaupun hanya pergi ke bilik air dan membersihkan diri. Saya sedar kami tak mampu dari segi wang ringgit, jadi saya harap sesiapa di luar sana tak mempertikaikan usaha ibu yang mempunyai anak istimewa ni. Bukan saya tak sayang anak tapi saya tak mampu! Saya juga nak tengok dia sihat dan boleh bagi rawatan sepatutnya untuk dia.
Saya dan keluarga sungguh-sungguh nak mohon bantuan untuk Adam. Tak kisahlah dalam apa bentuk sekali pun untuk menampung kos perbelanjaannya yang di luar kemampuan kami. Sambil itu suami juga sedang berusaha mendapatkan kerja tetap.
=========================
Begitulah harapan dan hajat wanita ini yang menggunung tinggi untuk menggembirakan anak tersayang. Semoga kisah Adam menjadi iktibar dan mendapat ehsan orang ramai untuk memberikan bantuan. Sebarang bantuan boleh disalurkan kepada:
Bank: Bank Simpanan Nasional
No. Akaun: 1010841000064253
Nama: Bibi Nurul Asyikin Binti Adnan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap kali menjelang Zulhijjah dan Aidiladha pasti memori mengerjakan ibadah haji tahun 2018 memberi kesan kepada selebriti cantik, Datin Hajah Fouziah Gous. Mana tidaknya, waktu itulah dia dan suami benar-benar diuji untuk memilih sama ada mahu terus berada di samping anak tersayang ataupun berserah kepada Allah Taala dan menunaikan haji. Biarpun suasana haji tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya disebabkan Covid-19… namun ia bukan penghalang buat umat Islam seluruh dunia untuk terus beriman dan bertakwa kepada Yang Maha Esa.
Mengimbas kembali kenangan sehari sebelum berangkat ke tanah suci, pasangan romantis ini diduga dengan keadaan kesihatan anak bongsu mereka iaitu Zaheen Yusuf. Dalam keadaan anak yang masih tidak sedarkan diri selepas dibedah, Datin Hajah Fouziah Gous dan suami, Dato’ Haji Md Zhafran Md Yusof terpaksa meninggalkan Zaheen di Unit Rawatan Rapi (ICU). Bukan kerana tidak sayangkan anak… sebaliknya mereka yakin urusan ‘jemputan ke rumah Allah’ waktu itu lebih penting daripada segala-galanya. Malah, mereka tetap percaya ia adalah keputusan terbaik waktu itu.
Menyerahkan hidup dan mati serta nasib keluarganya kepada Allah Yang Maha Esa, Datin Hajah Fouziah dan suami selamat tiba di Tanah Suci pada saat-saat akhir selepas berdepan pelbagai halangan. Mengakui lebih selesa disapa Hajah kerana mahu menghargai kesukaran yang dilalui untuk mendapatkan ‘gelaran’ tersebut, penampilan usahawan berusia 37 tahun ini tampak lebih manis sejak dia memutuskan untuk berhijab kira-kira dua tahun lalu.
Menyimpan kemas semua pengalaman pahit dan manis sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima itu pada Ogos 2018, Datin Hajah Fouziah terbuka membuat pendedahan eksklusif kepada Nona.
“Dua hari sebelum pergi haji anak saya, Zaheen Yusof tak sihat. Bawa pergi ke klinik dan check tapi tak demam pula. Malam tu lepas balik dari klinik saya jadi nervous bila tengok pampers dia ada darah. Bagi minum air atau susu, dia muntah. Call doktor tapi esok pagi baru doktor akan datang untuk periksa usus anak kami. Memang saya tak tidur langsung sampai ke pagi. Keesokan hari, doktor buat ultrasound. Setelah puas diperiksa, doktor kata semuanya ok dan tak jumpa apa-apa yang meragukan.
Kebetulan masa doktor suruh balik ke wad, Zaheen menjerit. Reaksi sama yang saya nampak bila dia rasa sakit. Terus doktor buat ultrasound dan nampak usus besar dan kecil dia tersangkut jadi kena dibedah. Memang besar dugaan Allah bagi tapi saya bersyukur sebab kebetulan waktu itu ada pakar bedah kanak-kanak yang bertugas dan boleh terus buat operation pada hari sama pukul 5 petang. Sampai Maghrib kami tunggu, tapi anak tak keluar lagi dari bilik pembedahan. Jujurnya, kami suami isteri dah mula tak tentu arah. Segala baju dan kelengkapan haji pun kami tak sempat buat apa-apa lagi.
Zaheen Yusuf ketika masih kecilZaheen di majlis ulang tahun kelahiran ke-2Wajah terkini Zaheen
Ikutkan esok dah nak pergi haji dan kumpulan kami kena berkumpul di KLIA pukul 4 pagi untuk transit di Filipina sebelum bertolak ke Mekah. Tapi sebab anak kena pembedahan kecemasan ni, kami tak jadi ikut kumpulan jemaah seramai 36 orang tu. Walaupun risau dengan keadaan anak, sedikit pun tak timbul niat untuk batalkan hasrat pergi haji. Jadi, sementara tunggu anak keluar dari operation theatre suami sempat beli tiket penerbangan ke Filipina yang dijangka bertolak waktu Subuh.”
Dugaan ibu dua anak ini tidak hanya terhenti di situ. Sebaik mengetahui pembedahan berjalan lancar namun Zaheen terpaksa diletakkan di ICU kerana keadaan dirinya yang masih kecil dan belum sedarkan diri. Waktu menatap wajah anak kecilnya itulah Datin Hajah Fouziah teringat perbualan mereka suami isteri yang secara tak sengaja mengkaji situasi pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sehari sebelum dijadual berangkat ke Tanah Suci. Sungguh, ia seolah-olah menggambarkan perkara sama yang sedang dilalui mereka suami isteri pada saat itu.
“Seperti mana Nabi Ibrahim meletakkan Allah dahulu daripada anak kandungnya sendiri, seperti itu jugalah yang harus kami lakukan. Setelah bertanya kepada ustaz, semua ini adalah dugaan dan kena percaya kepada Allah. Sebab itu kami memutuskan untuk pergi mengerjakan haji walau apa cara sekalipun. Saya rasa Allah betul-betul bagi satu kekuatan yang luar biasa. Kami masing-masing macam tahu tanggungjawab nak pergi haji. Walhal bila saya ada di pejabat pun, saya akan tetap bawa anak sebab tak mampu berenggang dengan mereka.
Tengah malam lepas selesai packing baju semua, kami datang balik ke hospital nak tengok Zaheen tapi dia masih belum buka mata lagi. I try to be strong. Balik rumah, memang tak boleh tidur. Subuh tu, kami bersiap-siap untuk berangkat ke Filipina. Apa yang boleh saya katakan, bila kita tahu maksud reda yang sebenar, apa saja yang berlaku bukan lagi benda besar.
Sebelum berlepas ke Tanah Suci dua tahun lalu
Dah sampai Filipina kami akhirnya dapat bertemu dengan kumpulan jemaah kami. Mereka sedang tunggu di dalam bas sebab penerbangan kami ditunda. Lepas makan, kami balik semula ke airport sebab waktu penerbangan dalam pukul 12 tengah malam.
Bayangkan keadaan kami suami isteri yang dua hari tak tidur. Memang lesu. Walaupun flight ditunda tapi Alhamdulilah, saya dapat facetime.. chat dengan anak. Ada hikmah tersendiri yang susah nak diungkapkan. Saya percaya Allah bagi benda yang Dia dah rancang yang terbaik untuk kita.”
Ujian datang menimpa lagi ketika mereka dijadual berlepas ke Mekah. Sebaik saja semua penumpang sudah berada di dalam pesawat, kami kemudian diarahkan keluar atas sebab teknikal. Berbekalkan beg bimbit yang hanya membawa Al-Quran dan telekung serta persalinan yang dipakainya, Datin Hajah Fouziah dan kumpulan jemaah ditempatkan di sebuah hotel di Manila buat sementara waktu. Diam tak diam, mereka terkandas di Filipina selama tiga hari dua malam.
“Masa tu 15 hari bulan Ogos.. ikutkan 17 hari bulan dah tak boleh masuk Mekah sebab dah nak wukuf. Nasib baik kami naik Saudia Airlines dan diberi keistimewaan kerajaan Arab Saudi, jadi tak terlepas wukuf. Kelebihan Allah nak bagi, saya dapat tidur puas-puas. Daripada nak buat haji tamattu.. dapat pula buat haji ifrad. Walaupun makanan, hotel dan segala keperluan kami sepanjang terkandas tu sangat best dan hebat tapi selagi tak dapat pergi Mekah, rasa kosong. Kalau tengok sudut positif pula ketika terkandas ni, saya dapat communicate dengan anak-anak saya very well. Alhamdulillah.
Sampai je malam tu kami semua terus ke Arafah. Masa dekat Muzdalifah, Arafah dan Mina pun kami terkandas. Dengan pakai baju yang sama lagi.. tapi syukur, akhirnya kami dapat mengerjakan haji dengan baik walau berdepan dengan macam-macam dugaan. Bila dikenang kembali semua kenangan ini, saya dapat rasa betapa besarnya cabaran dan
sukarnya to get my ‘Hajah’,” akhirinya.
Alhamdulillah, kini Zaheen sudah pun berusia dua tahun dan abangnya Muhammad Zeeshan, empat tahun. Dari apa yang dikongsikan Datin Hajah Fouziah, jelas menunjukkan betapa besar ‘kuasa’ yakin terhadap Allah SWT. Andai kita reda dengan ketentuanNya, yakinlah Dia ada perancangan yang lebih hebat. Moga impian kita semua untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci suatu hari nanti dimakbulkan. InshaAllah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.